RSS

Haji Dan Umrah: Rinduku Pada BaitulLah

17 Jan

Saudaraku, ketahuilah bahawa setiap ibadah itu merupakan wasilah taqorrub (mendekatkan diri) kita pada Zat yang Maha Tinggi lagi Perkasa, Maha Sempurna dalam sifat dan asma (nama-nama Allah yang mulia), Maha Lembut dalam takdir dan qada’-Nya. Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dia yang memerintah dan membimbing. Dia yang mengancam dan menyelamatkan. Sehingga semua manusia harus sedar bahawa kewujudannya dalam kehidupan ini adalah sebagai makhluk yang lemah lagi memerlukan, faqir penuh kekurangan, hina tanpa kemuliaan. Kecuali orang-orang yang diberi nikmat ilmu untuk memahami setiap gerak dan kejadian yang tidak pernah lepas dari ketentuan Tuhan.

Datang Arafah 1432_2Setiap insan yang berakal, setelah ia memahami betapa adil dan bijaknya Allah SWT mensyari’atkan agama sebagai aturan, mewajibkan ibadah sebagai tuntunan, maka akan lahirlah kerinduan dalam setiap ibadah, baik yang sunnah lebih-lebih lagi yang wajib. Hal ini disebabkan oleh adanya kekuatan hidayah daripada Allah SWT serta usaha yang dilakukan sebagai pembuktian kehambaan. Sejauhmana pengetahuan yang difahami oleh seseorang daripada nilai sebuah ibadah maka sebesar itulah juga kerinduan yang akan mengisi hatinya pada pelaksanaan ibadah.

Kerinduan dalam ibadah haji tidak akan pernah lahir jika kita tidak memahami erti sesungguh-sungguhnya ibadah ini. Sebagaimana Allah SWT telah menjadikan Baitullah al-Haram tempat mulia yang disandarkan pada kebesaran-Nya. Menjadikan Ka’abah sebagai pusat ibadah manusia, tanah sekelilingnya Allah SWT haramkan (muliakan) dari kelakuan kejahatan manusia. Dilarang manusia berburu haiwan buruan di dalamnya. Dilarang memotong pepohonan yang ada di sekitarnya. Dijadikan-Nya padang Arafah sebagai hamparan bidang tanah yang Allah SWT muliakan, sebagai tempat wuquf bagi manusia yang mendapat panggilan. Berduyun-duyun datang dari segala arah penjuru dunia, penuh mujahadah (bersungguh-sungguh) dan tawaduk (merendah diri). Menjadi para tetamu Allah dan yang selalu berharap keampunan, sehingga zikir daripada tasbih, tahmid dan tahlil bergema daripada setiap rongga yang dahaga, haus akan limpahan kurnia serta maghfiroh-Nya.

Merindukan Baitullah al-Haram bererti merindukan Allah SWT, kerana Baitullah adalah sesuatu yang disandarkan pada kebesaran-Nya. Sehingga para penziarah Baitullah al-Haram adalah orang-orang yang menghendaki ziarah kepada-Nya, rindu dan ingin menjumpai rahsia disebalik syi’ar-syi’ar Allah SWT di dunia sebagai bentuk perhubungan cinta yang akan menghantarkan setiap hamba pada kekasihnya di alam akhirat kelak. Kerinduan kepada Allah SWT akan membawa manusia kepada sebab-sebab perjumpaan yang hakiki dengan-Nya, kerana orang yang hatinya telah dipenuhi cinta maka akan selalu rindu kepada sesuatu yang disandarkan pada apa yang dicintainya.

Semangat dan tekad melaksanakan ibadah haji

Tiada kemenangan tanpa usaha, tiada usaha tanpa semangat dan cita-cita. Malah cita-cita tidak akan lahir dengan sendirinya. Hendaklah bagi orang yang beribadah agar selalu membulatkan tekad dalam usaha untuk memenuhi panggilan-Nya dalam taat beribadah. Begitulah seharusnya ibadah haji yang kita tunaikan, agar tekad kita bulat ketika meninggalkan sanak saudara dan negara tercinta, meninggalkan syahwat dan kenikmatan, berjalan menuju Baitullah al-Haram dalam keadaan sentiasa mengagungkan Allah azza wa jallaa, menuju urusan yang sangat mulia. Maka sesiapa yang mencari sesuatu yang tinggi dan mulia haruslah tergetar dalam sanubarinya akan pemilik kebesaran itu, iaitu Allah SWT. Hendaklah bersih tekad dan cita-cita daripada kejahatan riya (menunjuk-nunjuk), kerana tiada amal dan jerih payah beribadah dapat diterima kecuali dengan keikhlasan yang hanya berharap redha-Nya.

Manakala sejahat-jahat orang yang melakukan ibadah haji adalah mereka yang menuju Baitullah al-Haram sedangkan hatinya berpaling daripada Allah SWT. Maka perhatikanlah tekad dan cita-cita kita dalam ibadah haji yang disyaratkan dengan keikhlasan hati lagi murni tindakkan serta menjauhkan diri daripada memilih sesuatu yang buruk sebagai pengganti daripada yang baik.

Langkahan Bermakna

Saudaraku, adalah menjadi suatu impian dan niat seseorang muslim yang memahami dan mengerti lagi beriman untuk mengunjungi Baitullah al-Haram sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bagi menunaikan rukun Islam kelima yang wajib kepada setiap orang Islam setelah cukup segala syarat-syaratnya. Apabila mampu, setiap umat Islam wajib melakukan ibadah ini. Realitinya, sukar untuk memberi jawapan yang tepat, mengapa individu dapat mengambil keputusan drastik bagi menunaikan ibadah ini, walaupun ianya boleh bertangguh?

Saya pernah bertemu dengan seorang jemaah yang membahasakan dirinya mama. Dia mula bercerita tentang pengalamannya serta suaminya yang begitu teruja untuk menunaikan ibadah haji ini sebelum umurnya mencecah 50 tahun.

Semenjak mama bekerja di sebuah syarikat swasta yang terkenal setiap bulan mama akan membuat potongan gaji ke dalam akaun Tabung Haji mama sebanyak RM100. Mama mula bekerja di situ pada tahun 2000. Seterusnya setiap kali mendapat kenaikan gaji mama akan terus menambah jumlah potongan Tabung Haji. Itu adalah salah satu usaha yang mama lakukan untuk merealisasikan impian mama untuk menunaikan haji. Tapi sebenarnya cara ini memang tidak berapa berkesan sebab apabila terdesak duit dalam akaun Tabung Haji akan dikeluarkan untuk menampung keperluan tersebut.”

Dalam masa yang sama niat dan keinginan untuk menunaikan haji semakin membuak-buak. Begitu juga pakcik. Hinggakan mama dan pakcik menetapkan tahun 2010, kita mesti pergi HAJI!!”.

Dengan nada bersemangat ia meneruskan cerita. “Maka, pada tahun 2009 selepas hari raya Aidiladha mama dan pakcik pergi mendaftar di Tabung Haji. Setiap seorang mesti ada dalam akaun sebanyak RM1300. Bila dah daftar duit tersebut memang tidak boleh dikeluarkan. Mama dan pakcik tanya kepada pegawai Tabung Haji: “Boleh tak kalau kami nak pergi haji tahun hadapan?”

Jawab pegawai Tabung Haji: “Itu encik kena buat rayuan dari sekarang”

hmmmm… nak buat rayuan memang boleh tapi wangnya tidak ada dan masih tidak mencukupi!!. Terdetik dalam hati mama ketika itu.”

Tiba-tiba dengan tidak diduga, dapat durian runtuh yang entah gugur dari mana, ini semua dalam kekuasaan Allah. Mama dan pakcik terus masukkan duit dalam akaun Tabung Haji RM9000 seorang pada bulan Februari 2010 dan membuat surat rayuan kepada Tabung Haji. Selepas itu mama dan pakcik berserah kepada Allah disamping doa yang tidak henti siang dan malam memohon semoga Allah SWT pilih mama dan pakcik menjadi tetamuNya.
Pada bulan April 2010, ketika itu pakcik berkursus, mama dapat surat dari Tabung Haji. “Sukacita dimaklumkan tuan / puan telah terpilih untuk menunaikan haji pada tahun 2010/1423H”.

Meremang bulu roma mama bila membaca surat tawaran itu. Hati berdebar, gembira bercampur takut. Tidak disangka Allah SWT memakbulkan doa mama dan pakcik. Mama anggap itulah hadiah paling istimewa yang Allah SWT berikan semasa pakcik keluar menjalankan tugas dan amanah di jalan Allah SWT. Alhamdulillah. Mama terus memberitahu atuk dan nenek. Atuk menangis dan bersyukur sebab doa atuk semasa di Makkah supaya Allah SWT pilih anak-anak atuk yang akan membiayai atuk dan nenek menunaikan ibadah haji bersama-sama mereka semua sebelum atuk meninggal dunia telah dimakbulkan Allah SWT”.

Sebagaimana coretan kisah ini, Allah SWT memberi taufik dan hidayahnya secara luar biasa kepada para hambaNya. Kita hendaklah sedar, bahawa seluruh kehidupan ini adalah di bawah kawalan dan kekuasaanNya. Permohonan secara bersungguh-sungguh hampir setiap malam bagi tempoh yang panjang supaya diberi rezeki, insya Allah akan dimakbulkan. Malah Allah SWT akan memberi kemuliaan dan kenikmatan yang tidak pernah diimpikan.

Siapa sangka hanya dengan pendaftaran haji pada tahun sebelumnya telah melayakkannya dipilih untuk menjadi tetamuNya dalam jangka waktu yang amat singkat. Hakikatnya, itulah sebahagian peristiwa yang membawa pengajaran yang tersirat bagi mereka yang mahu mengutip ilmu dan menggunakan akal.

Sedutan dari buku “Duyufurrahman” yang bakal diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

About these ads
 
4 Komen

Posted by di 17 Januari 2013 in Teruja

 

4 responses to “Haji Dan Umrah: Rinduku Pada BaitulLah

  1. My

    29 Januari 2013 at 5:43 pm

    Assalamualaikum Ustaz.
    Masa saya lalai dulu,saya banyak meninggalkan solat.Dengan izin Allah swt saya dapat hidayah dan sekarang saya sudah dapat istiqamah qada solat2 saya.Saya bercadang ingin menunaikan haji dalam tahun2 yg terdekat ini.Saya fikir saya nak qada solat2 saya di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.Saya berdoa agar apabila saya menqadakan solat2 saya disana nanti,apabila pulang saya berdoa agar Allah akan detikkan hati saya yang saya telah selesai qada solat2 saya dan apabila pulang,bolehlah pula saya menunaikan pula solat2 sunat yg dituntut.Untuk pengetahuan Ustaz,saya seorang wanita yang bekerja jadi untuk melakukan qada solat dan solat sunat berterusan agak terbatas.
    Cuma saya ada soalan,DiTanah suci nanti antara qada solat dan solat sunat,yang manakah saya perlu utamakan?Kalau Ustaz ada nasihat yang lebih baik,boleh ustaz terangkan?

     
    • Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

      29 Januari 2013 at 6:33 pm

      Wa’alaikum salam..

      Puan Mai, Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana telah melapangkan dada puan untuk menerima hidayah dan seterusnya dapat beramal. Didoakan moga terus istiqamah dalam kebaikkan dan ditambahkan iman serta takwa dalam kehidupan yang mendatang.
      Setiap hutang hendaklah dibayar dan ditunaikan, apatah lagi perintah yang Allah SWT wajibkan ke atas kita. Tindakan puan untuk mengqada solat-solat yang tertinggal dahulu amatlah baik, namun hendaklah disertai sama taubat dan penyesalan terhadap perbuatan yang lalu (solat yang pernah ditinggalkan). Untuk lebih menyakinkan, puan cubalah hitung bilangan solat yang telah tertinggal bermula puan baliqh sehingga puan dapat menyempurnakan solat dengan sepenuhnya. Dengan cara tersebut puan dapat menghilangkan sedikit sebanyak rasa ragu tentang berapa banyak yang telah diqada dan berapa bayak pula yang masih perlu dilakukan. (Harus diingat, solat yang ditinggalkan kerana uzur syari’e, seperti haid tidak diwajibkan qada). Untuk lebih mudah setiap kali puan solat wajib, iringkan selepas itu dengan solat qada dan sunat 2 rakaat (kecuali waktu yang diharamkan solat sunat, seperti lepas solat asar dan selepas solat subuh kecuali solat qada tadi). Dengan cara itu puan dapat menyelesaikannya sedikit demi sedikit dengan lebih selesa.
      Di tanah suci, insya Allah kita akan memiliki waktu yang banyak tanpa gangguan duniawi untuk kita beribadah (jangan pula disibokkan dengan urusan shopping, hadkan waktu). Justeru, kita boleh lakukan solat qada disamping itu, harus juga kita lakukan solat sunat yang lain. Insyaallah usaha kita itu akan dinilai kebaikan oleh Allah SWT. Bersangka baiklah dengan Allah disamping istiqamah melakukan kebaikkan.

       
  2. My

    30 Januari 2013 at 10:36 am

    Assalamualaikum Ustaz.
    Terimakasih kerana menjawab soalan saya.Seperti yang Ustaz cadangkan itulah yang saya buat iaitu setiap kali usai solat wajib saya solat qada.Terlalu byk yg saya tinggalkan Moga Allah ampunkan dosa2 saya.Alhamdulilah saya makin istiqamah melakukan nya.Yg sunat selalu saya buat biasanya solat sunat subuh dan tahajud.Tapi Tahajud pun kdg2 pukul 5 pgkdg2 pukul 3pg.Saya mahu susun balik jadual harian saya supaya saya dpt bangun setiap kali pukul 3pg.Doakan yer Ustaz.Dalam usia begini alhamdulilah Saya rasa Allah swt naikkan derajat saya dengan melapangkan masa saya kerana semua anak2 saya sudah masuk asrama.Sejak mendapat hidayah 3thn lepas ,saya catit perkembangan ibadah saya tahun demi tahun.Alhamdulillah semakin baik .Untuk pengetahuan Ustaz,sejak hati saya terdetik mahu mengerjakan haji,saya berdoa sambil merayu2 pada Allah swt supaya Allah swt membuka pintu hati hamba2nya yg terbaik untuk membeli rumah pertama saya.kerana itu sahaja harta yang saya ada.Saya berkata semasa bedoa”Ya Allah berikan aku pengetahuan bagaimana cara utk menjual rumah itu.mungkin usaha aku kurang,jadi engkaulah yg Maha mengetahui.Ya Allah engkaulah yg memegang ubun2 hamba2mu,bukakanlah hati mereka yang terbaik utk membeli rumahku’.Selepas itu saya pun iklankan byk dlm internet.selepas agak lama tiba2 ada orang telepon utk membeli.Ustaz,seram bulu roma saya apabila yg hendak membeli itu dia hanya dtg sekali dan terus setuju.(sebelum ini ramai yg datang tapi tak jadi)dia pula merupakan org yg berpangkat dlm sektor kerajaan dan mempunyai kenalan dalam kementerian perumahan.Semua urusan loan berjalan dengan lancar sehingga peguam yg menguruskan pun hairan kerana biasa urusan pinjaman kerajaan sangat lambat.Menangis Sujud syukur saya Ustaz kerana saya sangat percaya Allah maha penyayang dan Maha mendengar dan Maha berkuasa.AllahuAkbar.
    Terimakasih ustaz kera sudi mendengar kisah saya.Doakan impian saya dan suami menunaikan haji dipermudahkan.

     
    • Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

      30 Januari 2013 at 3:29 pm

      Wa’alaikum salam Puan Mai..

      Alhamdulillah, segala puji hanya layak bagi Allah yang menganugerahkan manusia dengan pelbagai nikmat dalam kehidupan. Begitu indahnya hidup ini apabila kita mengerti nilai sebuah kehidupan yang dianugerahkan Allah kepada kita. Hidup di dunia yang bersifat sementara dan medan ujian semata-mata. Kebahagian di dunia dan kejayaan di akhirat akan kita kecapi apabila telah berjaya meletakkan kehidupan ini sesuai dengan kehendak Allah SWT. Malah rezeki Allah akan mencurah-curah dari segenap arah tanpa kita sedari akan kehadirannya. Semoga puan dan keluarga akan terus istiqamah dalam ibadah dan ketaatan kepada Allah disamping dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat. Jangan lupa doakan saya juga, insya Allah. Ameen.

       

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 53 other followers

%d bloggers like this: