Korban Demi Cinta

Tatkala Nabi Ibrahim membaringkan anaknya Nabi Ismail untuk membuktikan ketaatannya kepada perintah Allah SWT, jelas terpancar kecintaan yang tulus dalam jiwa dua insan hebat ini terhadap cinta utama. Hakikatnya kecintaan mereka menuntut pengorbanan. Itu yang tersirat dalam tarbiah Allah kepada para hamba-Nya yang mahu berfikir.

Aku, kamu dan kita semua kerap dibutakan oleh cinta. Musuh cinta paling utama ialah cinta yang utama. Sentiasa ada sahaja kecintaan lain, yang menghalang cinta utama kita – cinta Allah.

Ibrahnya, cinta kepada selain Allah diumpamakan “Ismail” dalam hidup kita. Carilah “Ismail” itu di sebalik harta, keinginan, keyakinan, prinsip, gelaran, jawatan, isteri, teman dan segala yang menjadi kecintaan kita. Korbankan itu semua demi cinta utama.

Kita mungkin kehilangan yang disuka, tetapi dengan itu kita akan menemui sesuatu yang lebih berharga. Moga Allah SWT memberi kita ketaatan seperti Nabi Ibrahim, yang rela mengorbankan segala kesayangan demi cinta. Begitu juga kesabaran seperti Nabi Ismail yang rela “dikorbankan” demi cinta.

Jangan pula kita dibutakan dengan kemewahan dunia. Sedangkan dunia sifatnya sementara pasti akan ada gantiannya jika ia hilang dari pandangan mata. Sebaliknya jika kita kehilangan Allah dalam hati, kepada siapa lagi yang kita harapkan? Imam Ghazali menegaskan; “Jika Allah bersamamu, maka jangan takut kepada sesiapa sahaja, akan tetapi jika Allah sudah tiada lagi bersamamu, maka siapa lagi yang boleh diharapkan olehmu?”

 

Dr. Zakihalim alAzhari alBakapi.

 

Kebaikan Dan Kejujuran

Jika ingin mencari semut maka taburkanlah gula, pastinya ia akan muncul tanpa diduga. Jika hendak menangkap ayam, jangan dikejar nanti kita akan kepenatan malah ayam pun bertempiaran lari menjauhi kita. Akan tetapi taburlah beras atau makanan, pasti nanti ia akan datang menghampiri dengan rela.

Kupu-Kupu_2

Begitulah Rezeki. Rezeki akan datang menemui kita tepat pada waktunya melalui usaha dan ikhtiar yang diamalkan berserta tawakal yang ditautkan.

Kalau ingin memelihara kupu-kupu, jangan ditangkap kupu-kupunya, pasti ia akan terbang. Tetapi tanamlah bunga​, maka kupu-kupu akan datang membentangkan sayapnya yang indah. Bahkan bukan hanya kupu-kupu yang datang, tetapi kawanan yang lain juga, lebah, pepatung, dan pelbagai jenis serangga yang indah menambah warna-warni keindahan alam.​

Demikianlah resam kehidupan di dunia ini. ​Ketika kita menginginkan​ kebahagiaan dan keberuntungan, tanamlah kebaikan demi kebaikan dan kejujuran demi kejujuran. Nescaya kebahagiaan dan keberuntungan akan datang yang merupakan anugerah langsung daripada Yang Maha Pemberi Anugerah, Allah SWT, “the only ones”.

أللّهُـمَّ يَسِّرْلِي رِزْقًا كَثِيرًا مُبَـارَكَا
Ya Allah mudahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi barakah.
 
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ أَوْسَعْ رِزْقِكَ عَلَيَّ عِنْدَ كِبَرِ سِنِّي
Ya Allah jadikanlah semakin lebih luas rezekimu atasku ketika semakin bertambahnya usiaku
 
اَللَّهُــمَّ اجْعَلْ أَوْسَـعَ رِزْقِـكَ عَلَينَــا
Ya Allah jadikanlah semakin lebih luas rezekimu atas kami
 
اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا رِزْقًا حَسَنًا وَاسِعًا حَلاَلاً طَيِّبًا مُبَارَكًا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِيْنَ
Ya Allah kurniakanlah rezeki kami, dengan rezeki yg baik, luas, halal, bagus, barakah dan sedangkan Engkaulah sebaik-baiknya yang Maha memberi rezeki.
 
آميـــــــــن …. يَارَبَّ الْعَالَمِين

 

Dr. Zaki Halim alAzhari alBakapi

 

Bersabarlah Menghadapi Fitnah

Soalan:

Assalamualaikum.

Saya penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan persekutuan Malaysia. Namun, saya difitnah oleh penjawat awam juga. Saya mohon bantuan kerohanian dari ustaz untuk mendoakan kekuatan untuk saya menghadapi fitnah tersebut. Mohon juga ustaz memberikan perkongsian sunnah junjungan Rasulullah kepada saya untuk menghadapi fitnah tersebut.

Terima kasih.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Kehidupan manusia di dunia ini sememangnya tidak terlepas daripada fitnah. Perbuatan tersebut menjadi lumrah sama ada memfitnah atau difitnah dan ia merupakan antara ujian daripada pelbagai ujian yang ditakdirkan Allah SWT terhadap manusia di atas muka bumi ini. Allah SWT telah mengingatkan manusia dalam firman-Nya;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Oleh itu, amat penting untuk mendepani fitnah-fitnah yang berlaku sesuai dengan cara yang telah ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi SAW. Ini supaya fitnah-fitnah tersebut dapat dihadapi dengan penuh tertib, berhati-hati serta tidak melampaui batas sehingga tidak membelakangi panduan yang telah digariskan di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menyediakan solusinya bagi umat manusia menghindarkan diri daripada pelbagai bentuk fitnah dan dugaan yang menimpa. Kita disarankan untuk bertawakal sesuai dengan tuntutannya dan sering berdoa. Antara doa yang digalakkan untuk diamalkan sebagaimana yang dititipkan dalam surah al- Mumtahanah ayat 5;

رَبَّنَا لَا تَجۡعَلۡنَا فِتۡنَةٗ لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ وَٱغۡفِرۡ لَنَا رَبَّنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

(Surah al-Mumtahanah: 5)

Di zaman Rasulullah SAW pernah berlaku suatu peristiwa fitnah yang kepada Saidatina Aisyah R.A. yang dikenali dengan peristiwa al-Ifki. Peristiwa ini terakam di dalam surah al-Nur ayat 11 hingga 19. Banyak pengajaran yang boleh diambil daripadanya, khususnya ketika menghadapi dugaan bagi membina kekuatan rohani dengan bertawakal dan bersabar.

Read the rest of this entry

PERSOALAN: IKHTIAR, TAWAKAL DAN TAREKAT JALAN KENABIAN

Assalamualaikum ustaz,

Saya ada pertanyaan mengenai seorang ustaz yang buat ceramah di surau kawasan saya bekaitan kenyataan dalam ceramah beliau. Kenyataan ustaz tersebut adalah seperti berikut :

“Ikhtiar atas asbab(benda) dengan mengharap kepada Allah, ini bukanlah tawakkal. Hal seperti ini, orang tidak beriman pun paham. Thariqat itu berbeda dengan jalan kenabian.”

Saya berharap pihak ustaz dapat menjelaskan maksudnya ikhtiar dan tawakal, serta pengertian tarekat, apa perbezaan tarekat sufiyyah dan nabawiyyah, mohon penjelasan.

Terima kasih

Tujukanlah Kami Jalan Yang Lurus

Jawapan:

Wa’alaikumussalam wrt. wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari pembalasan.

Apa Itu Ikhtiar?

Perkataan ikhtiar diambil dari bahasa Arab, yakni ‘ikhtaara‘ yang bermaksud memilih. Sementara dalam bentuk kata kerja, ikhtiar bererti pilihan atau memilih hal yang baik (khair).

Manakala menurut istilah, ikhtiar adalah usaha manusia untuk memenuhi keperluan dalam hidupnya, sama ada dari sudut material, spiritual, kesihatan, dan juga masa depannya dalam usaha mendapatkan yang terbaik, agar tujuan hidupnya selamat sejahtera di dunia dan di akhirat.

Ikhtiar bukan hanya usaha, atau semata-mata kemampuan untuk menyelesaikan persoalan yang sedang dihadapi. Ikhtiar adalah konsep Islam dalam cara berfikir dan mengatasi permasalahan. Dalam ikhtiar terkandung pesan takwa, yakni bagaimana kita menyelesaikan masalah dengan mempertimbangkan apa yang baik menurut Islam. Kemudian menjadikannya sebagai pilihan dalam apa jua keadaannya, walaupun keputusan itu tidak popular atau terasa berat.

Ikhtiar bermaksud tidak mengenal putus asa disertai dengan keyakinan bahawa rahmat Allah pasti akan datang setelah berikhtiar. Allah memerintahkan para hamba-Nya untuk berikhtiar, dan melarang hamba-Nya daripada sifat berputus asa. Sebagaimana perintah Nabi Ya’akub a.s. kepada anak-anaknya untuk terus berikhtiar dalam mencari berita tentang Nabi Yusuf a.s. dan adiknya Bunyamin. Hal tersebut diabadikan Allah SWT dalam al-Qur’an;

يَٰبَنِيَّ ٱذۡهَبُواْ فَتَحَسَّسُواْ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَاْيۡ‍َٔسُواْ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ لَا يَاْيۡ‍َٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ

Maksudnya“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.

(Surah Yusuf: 87)

Dan Allah juga berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

(Surah Al-Ra’d:11)

Ayat di atas menjelaskan bahawa manusia sebagai hamba Allah diperintahkan untuk berusaha, bukan untuk bermalas-malasan. Sebab, rahmat Allah turun kepada kita melalui sebab atau usaha yang kita lakukan. Ini bererti kita disuruh berusaha dan jangan pernah berputus asa dalam mencari rahmat serta redha Allah SWT.

Setelah berikhtiar dengan segala kemampuan, seterusnya kita dituntut untuk menyerahkan segala usaha yang telah dilakukan itu kepada Allah SWT. Tindakan ini dinamakan tawakal.

Read the rest of this entry

Hargailah “Hidayah Itu Milik Allah”

Sesungguhnya Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada manusia melalui pelbagai cara. Dengan itu setiap insan perlu berusaha untuk mendapatkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT melalui cara-cara yang telah ditentukan-Nya. Allah SWT mengutuskan para Nabi dan Rasul, serta diturunkan bersama mereka beberapa kitab suci. Selepas zaman kenabian, Allah SWT mengiktiraf pula para ulama sebagai pewaris nabi yang bertindak mengajak umat manusia kepada keredhaan Allah SWT. Semua itu merupakan bukti yang jelas atas adanya ketersediaan pelbagai cara dan saluran bagi manusia untuk memperolehi hidayah daripada Allah SWT.

Perlu difahami, walaupun Allah SWT telah menyediakan pelbagai cara untuk menyampaikan petunjuk dan hidayah kepada umat manusia, akan tetapi Allah SWT tidak pernah memaksa mereka untuk menerima saranan itu dan tidak pula pernah memaksa mereka untuk beriman kepada-Nya. Sehinggakan ada seseorang yang dibesarkan di rumah seorang Nabi, akan tetapi dia tidak dapat menerima petunjuk daripada Nabi tersebut, bahkan cenderung menentangnya. Sebaliknya, ada pula seseorang yang dibesarkan di dalam lingkup istana Firaun, akan tetapi dia beriman dan membesar sebagai seorang muslim di kalangan keluarga Firaun dan isterinya.

Petunjuk seperti ini berkait rapat dengan kesanggupan seseorang itu untuk menerima perintah dan hidayah daripada Allah SWT. Allah SWT hanya menyediakan pelbagai cara dan saranan untuk manusia menerima hidayah dan perintah daripada-Nya. Namun begitu penerimaan tersebut amat bergantung kepada kehendak individu itu sendiri. Walaupun keadaan penerimaannya itu cukup misteri, akan tetapi untuk menerima petunjuk dan hidayah itu mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri yang telah ditetapkan Allah SWT.

Al-Quran telah menyatakan, bahawa untuk menerima petunjuk dan hidayah ada beberapa syarat yang perlu dilakukan. Kenyataan ini sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah SWT;

وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيۡنَٰهُمۡ فَٱسۡتَحَبُّواْ ٱلۡعَمَىٰ عَلَى ٱلۡهُدَىٰ فَأَخَذَتۡهُمۡ صَٰعِقَةُ ٱلۡعَذَابِ ٱلۡهُونِ بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ

Maksudnya“Dan adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepada mereka, lalu mereka mengutamakan kesesatan daripada hidayah dan petunjuk; maka mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.”

(Surah Fushshilat: 17)

Dengan erti kata lain, Allah SWT telah menyediakan salah satu cara untuk memberi petunjuk kepada kaum Tsamud dengan diutuskan Nabi Ṣāliḥ as. kepada mereka. Namun sebaliknya mereka lebih mengutamakan kesesatan daripada menerima petunjuk (hidayah), sehingga mereka diseksa dan berakhir di api neraka. Read the rest of this entry

Salam Aidilfitri 1440

 

 

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

سلامت هاري راي عيد الفطر
معاف ظاهر دان باطن

تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال

من العاءدين والفاءزين

Moga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita serta merahmati, memberkati, dan mengampunkan kita semua.

Maaf dan ampun dipinta dari kami sekeluarga atas segala salah silap serta khilaf sekiranya ada.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin

Ramadhan: Persiapan Untuk Jemaah Haji

Satu Syawal adalah merupakan Hari Raya Idul Fitri yang disambut sebagai tanda kemenangan bagi yang berjaya melaksanakan ibadah puasa. Namun perlu diingatkan, dengan masuknya 1 Syawal, bermulalah bulan-bulan haji. Bakal haji akan mula bersiap sedia untuk bermusafir ke Tanah Suci bagi menyempurnakan rukun Islam ke 5.

Dengan rahmat Allah SWT, sebelum memasuki Madrasah Haji, para hamba-Nya terlebih dahulu dipersiapkan dengan satu fasa penyucian jiwa di Madrasah Puasa selama sebulan. Ia lebih khusus kepada para bakal tetamu Allah sebagai persiapan untuk memasuki Madrasah Haji. Ini kerana cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam Madrasah Haji ini memerlukan kekuatan roh dan jiwa yang jitu supaya lulus dengan cemerlang.

Oleh itu, bagi bakal jemaah haji jadikanlah Madrasah Puasa kali ini sebagai yang terbaik pernah dilalui dalam hidup ini. Penuhilah Madrasah Puasa ini dengan pelbagai amal ibadat, bermula dengan sabarnya, mengekang hawa nafsu, menjaga segala anggota tubuh badan supaya tidak terlibat dengan dosa dan noda.

Dengan segala persiapan ini, didoakan semoga bakal jemaah haji akan berjaya mengharungi ujian rafath, fusuq dan jidal yang disebut secara khusus oleh Allah SWT dalam Al-Quran al-Karim. Begitu juga mereka akan mampu melaksanakan pelbagai pesta ibadat di Tanah Suci nanti sebagaimana mereka berpesta ibadat sepanjang sebulan di Madrasah Puasa ini. Wa Allah A’lam.

KECUAIAN YANG TERBIASA

Pernah suatu ketika Rasulullah SAW melintasi seorang sahabat yang bernama Saad Ibnu Abi Waqas yang sedang berwuduk. Lalu baginda SAW bertanya: “Mengapa engkau melakukan pembaziran seperti ini?” Saad bertanya: “Apakah ketika berwuduk pun ada pembaziran?” Baginda SAW pun menjawab: “Bahkan, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir!”

Seringkali berlaku, apabila berwuduk kebanyakkan kita akan membuka pili air dengan laju dan membiarkan air mengalir dengan begitu banyak. Sedangkan air yang digunakan untuk berwuduk hanyalah sedikit dan tidak perlu membazir. Kelaziman ini adalah disebabkan ketidak prihatinan serta kejahilan kita tentang pembaziran yang berlaku. Disebabkan kejahilan kita telah merelakan diri terjerumus ke dalam kancah dosa tatkala melakukan ibadat.

Pembaziran amat dilarang dalam syarak dan dimurkai Allah SWT, sehinggakan perbuatan ini disamakan dengan saudara syaitan. Allah SWT berfirman;

Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’-27)

Berwuduk sepatutnya dapat mendidik dan membentuk diri untuk membersihkan segala kekotoran yang bukan hanya bersifat lahiriah tetapi juga batiniah. Orang yang menghayati sifat wuduk yang sempurna akan terbentuk jiwanya. Jiwa yang bersih akan mencorak seorang insan yang taat dan tidak melaksanakan sesuatu yang dimurkai Allah SWT.

Demikianlah tarbiah Allah SWT yang membentuk keperibadian mukmin sejati melalui perlaksanaan syariat yang tidak hanya tertumpu kepada amalan lahiriah tetapi mendidik manusia agar memiliki sikap dan akhlak yang baik. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru hendaklah kita perhatikan setiap perbuatan dan tindakan yang dilakukan. Jangan sampai perkara pahala bertukar menjadi haram dan berdosa disebabkan kelalaian kita terhadap urusan agama.

Salam Ramadhan 1438H

 

KEPADA SEMUA SAUDARA² KU YANG MENGUNJUNGI BLOG INI..

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

*Maaf* sekiranya pernah menyakiti,
*Maaf* sekiranya pernah menghina,
*Maaf* sekiranya pernah terkasar,
*Maaf* sekiranya pernah membohongi,
*Maaf* sekiranya pernah menyinggung,
*Maaf* sekiranya pernah mengumpat,
menjelang 1 Ramadhan 1438 ini saya memohon kemaafan kepada anda sekiranya saya pernah melakukan kesalahan sepanjang perkenalan kita…
Sesungguhnya yang buruk datang dari diri ini sendiri dan yang baik sentiasa daripada *اللهِ*

*Saya akan sentiasa memaafkan anda kerana memaafkan itu lebih baik dari meminta kemaafan*

Selamat Berpuasa.

 

 

 

HARGAILAH PASANGAN ANDA SEADANYA

pasangan-yang-baikSeorang lelaki telah berkahwin dengan seorang gadis cantik. Dia sangat mencintainya. Suatu hari si isteri mengalami penyakit kulit. Dengan penyakitnya itu si isteri telah mula kehilangan kecantikannya. Suatu hari si suami pergi untuk bekerja. Ketika pulang dari tempat kerja, dia mengalami kemalangan lalu kehilangan penglihatannya. Namun kehidupan pasangan tersebut tetap terus berjalan seperti biasa. Namun seiring waktu dan hari yang berlalu, si isteri telah kehilangan kecantikannya secara bertahap. Suaminya yang buta tidak menghiraukannya dan tidak ada perubahan dalam kehidupan pernikahan mereka. Si suami terus mencintai isterinya, demikian juga si isteri amat sangat mencintai dan mengasihinya.


Akan tetapi kebahagiaan mereka tidak lama, ditakdirkan si isteri meninggal dunia. Kematiannya membawa kesedihan yang mendalam terhadap si suami. Setelah dia menyelesaikan urusan pengkebumian dan ingin meninggalkan pekan itu, seorang rakannya telah menyapa dari belakang dan mengatakan; “sekarang bagaimana Anda akan menjalani kehidupan secara sendirian? Selama ini isteri Andalah biasanya membantu Anda.”

Dia menjawab; “saya tidak buta, saya hanya berpura-pura, kerana jika dia tahu saya dapat melihat keburukan dirinya, perkara itu akan merunsingkan perasaan dan menyakitkan dirinya lebih dari penyakitnya. Jadi saya berpura-pura buta. Dia adalah seorang isteri yang baik. Saya hanya ingin membuatnya bahagia.”

Pesanan Moral:

Terkadang bagus untuk kita menutup mata dan mengabaikan kekurangan orang lain supaya tetap menjadi bahagia.


Tidak peduli berapa kali gigi tergigit lidah, mereka masih tinggal bersama dalam satu mulut. Itulah semangat PENGAMPUNAN.


Meskipun kedua mata kita tidak dapat melihat antara satu sama lain, namun mereka melihat banyak perkara bersama-sama, berkedip secara bersamaan dan menangis bersama-sama. Itulah KESATUAN.


Semoga Allah SWT memberikan kita semua semangat pengampunan dan kebersamaan.

1) Sendirian, saya dapat ‘berkata’ tetapi bersama-sama kita dapat ‘berbincang’.

2) Sendirian, saya dapat ‘menikmati’ tetapi bersama-sama kita dapat ‘merayakan’.

3) Sendirian, saya dapat ‘tersenyum’ tetapi bersama-sama kita dapat ‘bergurau senda’.


Itulah keindahan hubungan manusia. Hidup kita tidak bererti tanpa orang lain di sekeliling. TETAPLAH PERHUBUNGAN.

Sebuah kenyataan terkait dengan qada dan qadar;

“Perkahwinan itu adalah nasib (ketentuan) manakala penceraian pula adalah keputusan, sakit itu adalah nasib (ketentuan) manakala berubat pula adalah keputusan, memiliki sesuatu adalah nasib (ketentuan) manakala menjaganya adalah keputusan, disayangi adalah nasib (ketentuan) manakala menghargainya adalah keputusan. Oleh itu, jika kita kurang bernasib baik Janganlah pula kita bodoh dalam membuat keputusan.”

Hargailah pasangan anda dan hayatilah peluang hidup anda yang sekali cuma ini.

<span>%d</span> bloggers like this: