Rawdah

Depan Mehrab Masjid Nabawi
Suatu pagi, rutin biasa memimpin para jemaah menziarahi Rawdah, Maqam Rasulullah dan Perkuburan Baqi’. Dua orang jemaah haji keluar dari masjid Nabawi melalui pintu Baqi’ dalam keadaan hampa. Merungut kerana Sheikh Arab yang menjadi mutawwif memimpin doa jemaah dalam kawasan hadapan Rawdah dan Maqam Rasulullah seolah-olah lepas tangan dan tidak membantu mereka untuk mendapat ruang dalam kawasan Rawdah. Mereka tidak berpuas hati.
Saya biarkan mereka melepaskan kehampaan mereka sambil sebilangan kecil para jemaah yang lain turut menyokong pendapat mereka sambil memberi cadangan; “Sepatutnya para jemaah yang datang secara perkumpulan diberikan keutamaan”. Saya terus membisu sehinggalah terlintas difikiran, apakah tujuan kita sebenarnya ke bumi barakah ini?. Seolah-oleh satu kekuatan diberikan Allah, lantas terus saya membalas rungutan mereka.
“Tuan-tuan, sebenarnya kita sekarang berada di bumi yang barakah, Allah nak [hendak] didik kita untuk lebih merasai kewujudanNya. Sepatutnya kita pohon kepada Allah supaya diberi kemudahan untuk dapat solat dan berdoa dalam kawasan Rawdah, bukannya kita merungut dengan hanya bergantung kepada manusia.” Saya menyambung lagi; “Tuan-tuan semalam saya membawa seorang jemaah uzur untuk menziarahi Maqam Rasulullah dan melintasi kawasan Rawdah dengan kerusi roda, waktu asar memang sesak. Saya pesan kepada pak cik itu; pak cik sekejab lagi kita masuk masjid melalui pintu [Babul Salam], pak cik solat tahayatul masjid dan berdoa supaya diberi kemudahan. Memang Allah beri kemudahan, bayangkan dalam keadaan bersesak itu kami mampu berdoa dan menziarahi Maqam Rasulullah tanpa sebarang masalah. Seolah-olah hanya kami berempat sahaja (dengan seorang pembantu perubatan) melalui kawasan itu, mudah.. Subhanallah… itulah kekuatan doa.” Sebilangan jemaah terfikir sendiri, seraya melepaskan pandangan mereka memerhatikan kubah hijau tempat maqam Rasulullah dari kejauhan. Saya biarkan mereka berfikir.
Kebetulan sehari sebelum itu, saya bersama Nur Imam (pembantu dalam unit ziarah) membantu seorang jemaah uzur yang berkerusi roda untuk membuat ziarah wida’ (selamat tinggal) kerana hendak berangkat ke Mekah pada sebelah malamnya. Seorang tua yang uzur tidak punya waris, seolah ditinggalkan ahli keluarga. Saya terharu. Bagaimana anak-anaknya boleh berkeyakinan untuk menghantar ayah mereka untuk menunaikan haji secara berseorangan. Sedangkan si ayah ini menaiki kapal terbang pun tidak pernah. Apatah lagi berada di bumi orang yang begitu asing baginya.
Redup matanya, ketika saya ajarkan doa selepas melintasi dan memberi salam di Maqam Rasulullah. Begitu sayu seorang tua yang berusia lingkungan 80an sendirian membawa diri mencari keredhaan Ilahi. Termanggu-manggu kebingungan, masih lagi dalam keadaan kejutan budaya dengan kelam ramainya manusia. Saya berdoa moga dia beroleh haji yang mabrur dan di terima oleh Allah yang Maha Esa.
Posted on 20 November 2009, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.
Tinggalkan komen
Comments 0