Nur Imam
Seorang lelaki yang ‘low profile’, tawaduk dan suka membantu. Hari pertama saya berjumpa dan mengenali beliau tatkala terpandang kad nama yang tergantung di lehernya. Kebetulan saya sudah dimaklumkan oleh Us. Yusuf Ahmad (Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang) tentang beliau secara ringkas sehari sebelum berangkat ke Madinah.
Bekenalan dengan beliau membuatkan saya lebih banyak merenung diri. Seorang insan yang merantau jauh dari Indonesia berkelana mencari ilmu seterusnya mencuba nasib mencari rezeki di bumi orang, Makkah al-Mukarramah. Sudah hampir 8 tahun ia berkhidmat sebagai ‘rencam’ pembantu am dalam operasi haji setiap musim.
Beliau mempunyai falsafah hidup yang ringkas tetapi cukup signifikan. Sebelum merantau ayahnya telah berpesan; “Imam, engkau jangan lupa dua perkara, pertama; bila engkau buat keputusan jangan pakai kepala sendiri [maknanya selalulah berdoa dan minta petunjuk dari Allah]. Kedua; kau jadilah manusia yang sentiasa menolong orang lain”.
Saya cuba memahami perjalanan hidup beliau. Seringkali apabila habis acara ziarah dalam, kami akan bersama-sama bersarapan, di sana saya mula lebih mengenali beliau.
Beliau sering menyatakan senjata utama di perantauan ini adalah doa. Banyak bergantung pada ketentuan Allah dan pasrah dengan segala takdirNya. Beliau tidak lupa pada pesanan ayahnya untuk sentiasa berbakti kepada orang lain. Sebab itu beliau memohon pekerjaan di Tabung Haji menjadi sebagai pembantu am. Walaupun hanya bermusim, tujuannya untuk berbakti kepada tetamu Allah.
Siapa tahu, rupa-rupanya beliau adalah seorang yang mempunyai perniagaan sendiri di Indonesia. Perusahaan kuari, perusahaan kopi dan lain-lain yang menjadi aset dan pemangkin kepada penduduk di daerahnya. Niatnya adalah untuk membantu orang kampung yang di dalam kesusahan. Disediakannya medan untuk mereka mencari rezeki. Kagum saya melihat betapa keikhlasan yang terpancar pada wajahnya. Moga ia memiliki sifat Saidina Abdul Rahman al-Auf RA. Amin.
Posted on 5 Disember 2009, in Teruja. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.
Tinggalkan komen
Comments 0