Nikmat yang disalah ertikan

Dalam keterbatasan waktu ketika ini, saya cuba gagahi juga untuk istiqamah menulis dan menukilkan sesuatu buat ingatan dan bahan renungan bagi diri ini khususnya. Memang payah untuk istiqamah apatah lagi dengan sesuatu yang baru walaupun suatu ketika dahulu ianya pernah menjadi kebiasaan.  Kekadang perasaan malas menyergah, pastinya ada saja halangan yang menyebabkan tertangguh segala yang dirancang. Apa yang pasti, Rasulullah SAW mendidik, jika kita hendak lakukan sesuatu dan menjadikannya sebagai kebiasaan hendaklah kita terus melakukannya dan berusaha dalam mengekalkannya. Itulah dia ciri-ciri mujahadah. Kesungguhan, keazaman dan tindakan seiringan dengan tanpa rasa jemu pastinya akan beroleh kejayaan. Saya akan cuba, insyaallah…

“Ya Allah, izinkan aku untuk menceritakan tentang keagonganMu, membongkar hikmah syariatMu dan berkongsi rasa dengan sahabat-sahabatku agar ianya akan lebih menambahkan rasa kehambaan pada jiwaku. Ya Allah, jadikanlah ia sebagai ibadah serta dapat memberi manfaat untuk diriku, juga untuk insan-insan yang dengan rela hati terpanggil untuk membaca coretanku ini. Ya Allah jauhkanlah diriku dari sifat ‘ujub, riak dan takabbur tatkala aku menumpang di bumiMu, berlangitkan kekuasaanMu, bernafas dengan izinMu serta berezeki dengan limpah kurniaanMu. Ya Allah sesungguhnya tiada daya dan kuasa melainkan dariMu jua.”

Sesekali bila merenung semula segala nikmat yang dianugerahi Allah, terlalu banyak yang telah kita kecapi. Seawal dilahirkan sehinggalah ke saat ini, tidak pernah terlalai walau sekelumit cuma anugerah Ilahi terhidang di hadapan kita. Begitulah sifat Ar-Rahmannya Allah Ta’ala dalam melimpahkan kasih kepada semua makhluk ciptaanNya.

Namun, kita hanya menilai nikmat itu hanyalah dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan keseronokan. Sedangkan kesakitan, kesengsaraan dan musibah itu pula dianggap azab, bukan nikmat?. Lantaran itu ramai yang mengeluh bila sesuatu takdir dari Allah bercanggah dengan kefahaman dan keinginannya. Malah sehingga sampai ke peringkat menyalahkan Allah serta takdirNya. Beginikah sifat hamba?. Kerana jahil kita bertindak begitu. Kerana lemahnya iman kita seolah-olah hilang pertimbangan.

Bukankah bersangka baik dengan Allah Taala itu sifat kesempurnaan insan?. Segalanya dari Allah dan pasti ada hikmah dan kebaikkannya. Fahamilah bahawa nikmat itu lebih luas maksudnya bagi mereka yang telah seikhlas hati meredhai segala ketentuan Allah pada dirinya. Sedangkan Allah tidak pernah menzalimi hambaNya apatah lagi untuk menyakiti serta menderanya.

Nikmat pada kefahaman dasarnya membawa erti ketenangan, kedamaian dan faedah untuk kebaikkan. Nikmat yang Allah sediakan untuk manusia bukan hanya dalam bentuk sementara yang hanya dirasai di dunia tetapi sesuatu yang bakal diterima di akhirat. Renungilah betapa banyak ayat-ayat panduan Allah dalam al-Quran secara jelas atau tidak menyatakan hal ini. Antaranya sebagaimana firman Allah Taala:

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.” Al-Baqarah: 25.

Inilah sebenarnya nikmat hakiki yang sepatutnya difahami. Nikmat serta anugerah yang tiada tara untuk hamba-hambaNya yang telah berjaya mengharungi tempoh ujian di dunia dengan segala kebaikan dan kesempurnaan. Sedangkan nikmat di dunia ini hanyalah dalam bentuk ujian untuk menilai tahap keimanan serta ketaqwaan insan.

Sebagimana yang telah kita ketahui, nikmat membawa erti ketenangan, kedamaian dan faedah untuk kebaikkan. Juteru, dalam kehidupan ini segala pemberian Allah adalah nikmat. Sama ada kesenangan atau kesusahan semuanya adalah nikmat. Namun kedua keadaan ini kadang kala boleh juga bertukar menjadi sebaliknya, apabila tersalah dalam aturannya.

Firman Allah Taala:

“Jika kamu bersyukur akan aku tambah lagi nikmatku, dan jika sekiranya kamu kufur sesungguhnya azabku adalah pedih”.

Bagaimanakah kita hendak menghargai segala nikmat itu?. Dalam usaha kita memahami konsep nikmat ini, sebenarnya telah tersedia jawapan dari Allah Taala. Allah telah meletakkan syarat yang utama dalam kesempurnaan nikmat ialah melalui sifat syukur. Syukur yang dimaksudkan ialah melalui pelaksanaan arahan serta kepatuhan terhadap perintah Allah.

Cuba perhatikan pada petikan ayat; “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;…” . Kenyataan dari firman Allah Taala cukup jelas, tambahan penyempurnaan nikmat hanyalah bagi mereka yang beriman dan beramal soleh.

Apa yang hendak ditegaskan di sini ialah sifat beriman yang sebenar serta kepatuhan dalam beramal akan menyebabkan tahap kesyukuran bertambah dan akan mengwujudkan sifat keredhaan yang tinggi pada Allah.

Bolehkah kita bersyukur sekiranya kita ditimpa kesusahan?. Kesusahan sebenarnya nikmat, bukan azab. Bagaimana pula?. Pada kesusahan itu terselit kerahmatan dari Allah. Contohnya; bila kita diuji dengan kesakitan sehingga menyulitkan kita untuk bersolat, Allah telah sediakan kemudahan dengan rahmatNya, kefardhuan itu diringankan sehingga setara mana kemampuan kita untuk melaksanakannya.

Hakikatnya, Allah hanya mahu melihat sejauh mana usaha dan kesabaran kita dalam ketaatan. Diganjarinya pahala dengan sebab kesabaran serta kepatuhan yang telah dilaksanakan. Kita akan memperolehi dua kelebihan atau lebih dengan sebab ketaatan itu. Bukankah itu nikmat?. Melalui kepayahan tersebut kita beroleh keuntungan yang banyak jika dilihat melalui nilai akhirat.

Malangnya kita terhijab, hati kita tertutup untuk memahaminya. Kita lebih rela menangguh atau mengabaikannya. Di sinilah letaknya tahap keimanan kita. Sepatutnya kita lebih bersyukur jika kita sakit, kerana gandaan pahala yang diberikan Allah.

Sebaliknya kita menjadi kufur, engkar dan melanggari perintahnya, kerana kita tidak menganggapnya sebagai nikmat. Justeru Allah tambahkan lagi keperitan pada kita. Bila sakit, kita gelisah. Masa yang berlalu terbiar kerugian, wang ringgit berkurangan, maka akan hilanglah keberkatan dalam hidup. Hari-hari yang berlalu dalam hidup (ketika sakit) kosong, kita menjadi bosan akhirnya kita akan mengeluh. Itulah dia maksud Allah, “sesungguhnya azabku adalah pedih”. Di dunia lagi kita telah merasai kepedihannya, belum lagi di akhirat. Itu baru hanya nikmat sakit, jika dinilai dengan keimanan, belum lagi dalam hal yang lainnya.

Sebenarnya kalau disedari, Allah Taala sememangnya hendak menganugerahkan kitabanyak kelebihan dan kebaikan. Disebabkan kejahilan, iman menjadi lemah, kefahaman kepada Allah tidak wujud dan akhirnya kita telah mengabaikan segala peluang yang terbentang untuk kejayaan dan nikmat akhirat kita. Tidakkah kita merasa menyesal serta rugi yang amat sangat?. “Sedar dahulu keberuntungan sedar kemudian tidak berguna”.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 24 Januari 2010, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. Bersyukurlah kepada Allah atas taufik dan hidayah yang masih diberikan oleh Allah kepada kita dan masih bernaung di bawah lembayung rahmatNya.Alhamdulillah.

  2. Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

    Bersyukur dengan melaksanakan segala suruhanNya tanpa prasangka, bersangka baik, mengharap dengan penuh kesabaran.. sesungguhnya Allah tidak pernah mengabaikan hambaNya..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: