Mengekalkan Ikatan Perkahwinan
“Rasulullah dalam mengenangmu, kami susuri lembaran sirahmu…” [Lagu “ring tone handphone”, nyanyian Nazri, Kenangan The Zikr]. “Assalamu’alaikum, ustaz… boleh saya nak berjumpa ustaz, ada hal sikit nak berbincang”. Jawab saya ringkas; “Wa’alaikum salam, insyaallah… petang nanti di pejabat saya ye?, kita jumpa di sana jam 3…”.
Begitulah keadaan saya saban hari tidak mengira waktu melayani panggilan dan permasalahan yang pelbagai. Syukur, alhamdulillah kerana Allah Taala masih lagi memberi kekuatan dan suatu perasaan dalam bentuk kepuasan apabila dapat berbakti dan memberi manfaat kepada orang lain.
Suatu hari saya didatangi oleh sepasang suami isteri yang mahukan saya menjadi orang tengah dalam permasalahan mereka. Dalam keadaan runsing si suami memulakan bicara. “Ustaz, isteri saya minta cerai dari saya, dia kata, dia dah ada lelaki lain… saya boleh saja nak tunaikan kehendaknya tapi saya nak tahu apa sebabnya dia dah tak sukakan saya..?. Bila saya tanya, dia tak jawab, asyik nak cerai saja, peningla ustaz.”
Sebenarnya situasi begini sering berlaku terutama kepada pasangan yang baru berkahwin dan juga pasangan yang telah mula rasa bosan atau hilang keserasian dengan pasangan dalam kehidupan rumahtangga mereka walaupun usia perkahwinan mereka telah menjangkau 10 tahun ke atas. Banyak faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku. Sama ada sedar atau tidak setiap pasangan pasti akan melalui peringkat-peringkat ini. Cuma bagaimana mereka menghadapi dan menanganinya sahaja yang membezakan antara pasangan yang berjaya meneruskan fasa perkahwinan mereka atau golongan yang tewas dengan penceraian.
Melalui pengalaman yang diperolehi, ketika saya berhadapan dengan pelbagai persoalan rumahtangga khususnya, membuatkan saya terfikir tetang beberapa perkara yang dapat dirumuskan. Disamping melalui kajian-kajian secara realiti yang telah dibuat diharapkan ianya dapat membantu pasangan-pasangan yang bermasalah ini sebagai usaha untuk mengekalkan ikatan perkahwinan, antaranya;
1.Kenali pasangan.
Ramai yang menyangka untuk mengenali pasangan dan memasuki fasa penyesuaian ini, ianya mestilah dilakukan sebelum perkahwinan lagi. Justeru, dalam keadaan yang telah menjadi budaya dalam masyarakat kita hari ini, ramai yang berkawan dalam istilahnya bercinta sebelum berkahwin. Alasannya mudah, iaitu untuk mengwujudkan keserasian antara pasangan dan untuk mengenali dengan lebih dekat pasangan masing-masing.
Sebenarnya kefahaman seperti ini tidak banyak membantu. Kebaikan mengenali dan memahami pasangan sebelum diijab-kabulkan hanyalah pada anggapan kita sahaja. Islam telah meletakkan batasan yang tertentu dalam hal ini supaya ianya tidak menjadi sesuatu yang hanya bersifat kepura-puraan semata-mata. Syarak telah mengharamkan pergaulan bebas kerana ianya mengundang kelalaian yang membuka pintu-pintu kemaksiatan sehingga akhirnya akan merosakkan perhubungan suci yang bakal dimetri melalui sebuah perkahwinan.
Jadi bagaimanakah ianya harus bermula dan apakah kebaikannya?
Setelah diijab-kabulkan pasangan mempunyai masa yang cukup panjang untuk menilai hati budi masing-masing. Proses ini berlaku sepanjang masa dan tidak terhad dalam tempoh tertentu. Ini kerana pemikiran, tindakan serta emosi kita akan berubah setiap hari mengikut tahap keilmuan, kematangan, umur dan persekitaran. Cara yang terbaik untuk mengwujudkan keserasian ialah dengan menanamkan seawal perkahwinan sikap berlapang dada serta menerima seadanya pasangan kita.
Fahamilah bahawa kita insan yang mempunyai banyak kelemahan dan kita memerlukan orang lain untuk membantu bagi menyempurnakan segala kekurangan itu. Apabila keadaan kesedaran ini wujud, ia akan menyebabkan kita akan berada dalam keadaan yang bersedia serta tenang ketika menghadapi sebarang perubahan pada pasangan kita.
2. Fahami pasangan.
Setelah kita dapat menerima pasangan kita dengan seadanya. Cubalah memahami pula sikap, perwatakan dan segala bentuk tingkah-lakunya. Perkara ini perlu dilakukan melalui perbincangan terbuka antara pasangan dari masa ke semasa, hatta masalah serta keperluan hubungan kelamin sekalipun. Bersikap jujurlah walaupun ianya pahit pada peringkat awalnya. Kerana kejujuran akan membuatkan kita lebih dihargai dan pasangan kita juga akan rasa dihargai.
Amalkan sikap suka berbincang dan berkongsi pendapat tentang apa saja perkara yang hendak dilakukan, sama ada ianya hanya untuk kepentingan diri sendiri, kerana pasangan kita akan rasa lebih selesa dan tenteram.
3. Hargai pasangan.
Selain kejujuran, pasangan kita hendaklah sentiasa dihargai. Penghargaan dapat dilakukan melalui kata-kata pujian, ciuman, dan sentuhan. Setiap insan tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, ia akan rasa lebih tenteram bila pasangannya menghadiahkan kata-kata rangsangan berbentuk motivasi dan cinta disertai dengan ciuman, sentuhan dan dakapan. Hakikat yang perlu diakui ialah semakin kita meningkat dewasa semakin itulah kita mengharapkan belaian dari pasangan kita. Jadi apa yang perlu dimalukan.
4. Menyuburkan sifat kasih sayang.
Tidak dinafikan, perasaan kasih sayang ada turun dan naiknya. Makin lama hidup bersama akan wujud perasaan jemu dan bosan pada pasangan kita. Sebab itu, pepatah orang tua ada mengatakan; “sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”, mungkin ada kebenarannya.
Tatkala kita berjauhan dari pasangan dalam satu tempoh yang agak lama, serta tidak mengabaikan kejujuran masing-masing, akan menyebabkan timbul semula sifat kasih dan sayang di dalam hati. Bila cuba dikenangkan kembali saat-saat manis, susah-payah, pahit getir yang diharungi ketika bersama, maka pada ketika itu kita akan amat berterima kasih dan menghargai kehadiran insan mulia dalam hidup kita.
Kesimpulan.
Justeru, kebahagian dalam rumahtangga dapat dikekalkan melalui kasih sayang yang disemai, dibajai serta dijaga oleh kedua-dua belah pihak. Kerana cinta yang lahir daripada kasih-sayang yang dipupuk umpama sebatang pohon. Kalau kita pandai menjaganya, ia akan memberi manfaat yang berguna bukan sahaja untuk pasangan kita tetapi juga untuk anak-anak dan orang di sekeliling kita. Bila rumahtangga kita bahagia dan ceria, akan menyebabkan jiran tetangga, sanak keluarga dan orang lain juga akan merasainya.
Itulah dia syurga yang disegerakan Allah. Inti pati maksud doa yang dipanjatkan, hasanah fil dunya (kebaikan di dunia dalam bentuk kebahagiaan rumahtangga, anak-anak yang soleh, harta yang dapat dimanfaatkan serta nikmat iman yang berkekalan) dan kebaikan di akhirat dengan balasan syurga yang kekal abadi selamanya.
bagaimana kita hendak kekalkan momentum hubungan baik dalam sesebuah Perkahwinan … situasi byk berubah ketika bujang dan berkahwin… pohon pandangan
Pretty nice post. I just stumbled upon your blog and wished to say
that I have truly enjoyed browsing your blog posts.
After aall I’ll be subscribing to your feed andd I hope you wriite again soon!