Cinta yang terlarik…

Cinta adalah sebuah ungkapan yang seringkali diungkapkan dan membawa pelbagai maksud serta pengertian untuk dinyatakan. Kerana cinta, dunia ini wujud daripada tiada.  Kerana cinta manusia terus berkembang dan dunia semakin meriah, dan oleh kerana cinta juga segalanya tercetus. Satu perasaan unik secara fitrah yang disertakan Allah pada penciptaan setiap makluknya.

Daripada cinta terbitnya perasaan rindu. Kalau bukan kerana rindu, masakan manusia menyahut seru. Manusia dan kehidupan, punya makna dan penghayatan. Itulah antara hakikat yang tidak dapat dinafikan.

Allah Taala menciptakan seluruh alam ini, adalah dari limpahan kasih sayang  serta rahmatNya kepada setiap makluk. Allah Taala menyediakan segala kemudahan kepada manusia dalam segenap lapangan kehidupan mereka, agar sifat kepatuhan dan kehambaan yang menjadi amanah mudah terlaksana dan dilaksana.

Allah juga mengutuskan pemandu arah dan pemudah cara untuk manusia, disamping rahmat untuk semesta. Manusia agung dipimpin Ar-Rahman Saidina Rasulullah SAW, penghulu para perindu. Nilai cinta Allah, ada dalam diri setiap zarrah. Membuktikan Allah Taala bersifat penyayang. Tidak ditinggalkan hamba-hambaNya terkapai-kapai dalam kebutaan dan kebuntuan. Tersingkap segala rahsia yang mudah difahami tetapi perlu diteliti. Nabi dibimbing Allah dan ia [Nabi] membimbing manusia agar mengerti, laluan yang samar menjadi landai, jiwa yang kusut menjadi tenang dan damai.

Kitab panduan terbentang untuk disingkap segala rahsia. Manual kehidupan alam semesta, yang membawa kerahmatan dan kedambaan sang perindu untuk meraih cinta Agong dari Tuhannya. Panduan di dalamnya menjanjikan kedamaian yang menjadi dambaan setiap jiwa. Aturan lengkap untuk menyelaraskan fitrah insani, mengunjur kesudahan gemilang duniawi dan ukhrawi yang kekal abadi di sisi Rabbi.

Namun, bagi yang terus lalai, dirinya itu pun tidak mempunyai nilai. Bagi yang terus mendustai kebenaran, dirinya itulah sendiri yang menuju kemusnahan. Allah Taala menganugerahkan kepada manusia akal dan fikiran, supaya mereka berfikir dalam mencari kebenaran. Kebenaran itu lebih dekat dengan dirinya daripada dirinya sendiri.

Kebenaran abadi adalah mengenal Rabbi, melalui setiap gerak diam dan disebalik setiap kewujudan, ada yang Maha Pentadbir yang menggerakkan dan mentadbir segala urusan.

Seseorang yang dahaga, lalu meminum air dari telaga, tanpa menyaksikan di sebaliknya adanya yang Maha Pencipta, nescaya dia akan terus terleka dengan keakuan dirinya. Tetapi, bagi mereka yang menyaksikan diri sentiasa dengan Allah Taala dalam setiap gerak dan tindakan, pasti mereka mengerti akan hakikat kewujudan.

Pabila dia dahaga, dia tahu, bukan dialah yang akan menghilangkan dahaga tersebut. Dia juga tahu, bukan airlah yang menghilangkan dahaga tersebut. Tetapi, ALLAHlah yang terus menerus memberi nikmat imdad dan bantuan kepadanya, bahkan kepada setiap insan untuk terus hidup. Dia faham, kalau bukan Allah Taala yang menciptakan air, maka dia juga tidak akan dapat minum untuk menghilangkan dahaga.

Kalaulah di sana ada air, tetapi Allah Taala tidak memberi keupayaan dalam dirinya untuk bergerak, seperti lumpuh dan seumpamanya, maka dia juga tidak dapat mengambil manfaat daripada air tersebut kerana tidak mampu bergerak untuk mengambil air.

Kalaulah ada air dan kekuatan, tetapi air tersebut diciptakan Allah sebagai air yang tidak menghilangkan dahaga, seperti air laut, nescaya ia juga tidak dapat menghilangkan dahaga walaupun ada kekuatan dan air. Maka, hakikat ini akan membawa seseorang kepada menghayati di sana adanya ALLAH…ALLAH…ALLAH… di sebalik setiap yang wujud.

Hidup ini berkaitan dengan mencari erti. Hidup ini berkaitan dengan memberi bakti. Itulah risalah ketuhanan dalam makna kehambaan dan khilafah. Dengan kehambaan, seseorang perlu terus mencari erti hubungannya dengan Tuhan, lalu menunaikan makna kehambaan kepada Tuhannya, sehinggalah mencapai keredhaan.

Dengan peranan sebagai khilafah, seseorang perlu berinteraksi dengan alam sekeliling secara adil, dalam liku-liku untuk menunaikan tugas kehambaan kepada Tuhannya. Dia perlu menjaga, memakmurkan dan menjadikan alam ini sebagai tempat untuk menunaikan kehambaan makhluk kepada Tuhan Maha Pencipta.

Dalam diri manusia yang berperanan itu juga, ada peranan cinta Allah Taala bagi menterjemahkan hakikat ketuhananNya melalui kelembutan dan rahmatNya yang abadi. Dalam setiap ketentuan Ilahi, melalui pandangan kebersamaan Allah, seseorang akan melihat akan kelembutanNya (lutf). Dalam segenap aturan pentadbiran kewujudan makhlukNya, akan terpancar melalui hati yang dipenuhi akan cahaya ihsan, justeru seseorang itu akan dapat menghayati kebijaksanaanNya (hikmah).

Allah Taala itu lebih dekat kepada makhlukNya berbanding makhluk itu sendiri, kerana tanpaNya, tiadalah makhluk. Keakuan makhluk hanya terzahir di pandangan waham makhluk tersebut tatkala hijab melingkari hati daripada menyaksikan keagungan Allah Taala dan ketuhananNya di sebalik yang wujud. Bukalah mata, dan saksikanlah cinta…

Islam mengajarkan kita erti kehambaan. Namun, hakikat kehambaan itulah hakikat diri kita sejak dicipta. Dengan mengamalkan Islam, bererti kita menterjemahkan erti kehambaan kita. Dengan mengukuhkan keimanan, bererti kita menterjemahkan nilai-nilai kehambaan kita. Dengan anugerah Ihsan, bererti kehambaan kita diterimaNya… ALLAH…ALLAH…ALLAH…

Manusia makin menuju mati, samada merinduiNya atau mengkhianatiNya. Bagi yang terus lalai dari mempersiapkan diri, maka samada dia menipu dirinya ataupun dia tertipu dengan dirinya sendiri. Kedua-duanya adalah kecelakaan dalam kecelakaan.

Dunia ini, makin banyak yang dihimpun, makin banyak yang akan ditinggalkan. Dunia ini, makin tamak manusia mengejarnya, makin terbeban untuk meninggalkannya. Dunia ini, nilainya pada kehambaan. Dunia ini, ertinya pada kemerdekaan jiwa dalam menunaikan ketaatan kepada Allah Taala yang Maha Menciptakan.

Jalan ini, jalan cinta. Jalan cinta, menyaksikan yang dicinta tanpa pencinta. Nilainya pada kebersamaan. Keagungannya pada keredhaan. Seseorang itu sempurna bukan kerana banyaknya amalan, tetapi kesempurna di sisi Tuhan kerana Dia [Allah] memandangnya dengan pandangan keredhaan. Jalan keredhaan Tuhan bukan bergantung kepada amalan, tetapi sejauh mana seseorang itu menghayati bahawa setiap amalan yang dikerjakannya adalah dari Tuhan dan untuk ketaatan yang menerbitkan sifat keikhlasan.

Amal dengan keakuan, itulah pengkhianatan. Syukur melalui amalan, itulah kehambaan. ALLAH…ALLAH…ALLAH… Nabi Muhammad SAW Rasulullah, itulah seagung-agung qudwah dan tauladan. Salam Maulidur Rasul 1431 untuk semua.

Wallahu a’lam

Advertisements

About Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 5 Februari 2010, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 1 Komen.

  1. Kerinduan, merentang dua titik berbeda di garis yang satu.

    Tarian Kerinduan

    Aku hanyalah kisah-kisah yang tak punya arti, penggalan mimpi yang tak memiliki saksi. Aku hanyalah waktu-waktu yang tak punya makna, sepotong usia yang tak punya kemudi. Aku hanyalah kenangan-kenangan yang tak punya pesona, ruang kosong yang yang hampir mati. 😕

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: