Sapaan Rindu..

Tatkala hati berbisik, mengalunkan kalimah, Ya Allah.. Ya Rabbi.. Sesekali sayub kedengaran kicauan beburung dan unggas melaungkan zikir, asyik dalam dunianya sendiri. Sapaan lembut bayu petang menyergah ke muka membangkitkan rasa damai, tenang dan keasyikan. Insan yang kerdil ini mula merenung ke dalam diri. Segala isi alam tenggelam dalam keasyikan mencari makna “asal” diri sendiri.

Dari mana diri ini? Dari mana seluruh makhluk yang menghiasi alam ini? Hati yang mencari terus mencari, sehingga benih keinginan yang mula subur untuk mengetahui asal kejadian diri, kian terus bercambah. Dari kehendak yang tinggi untuk lebih mengetahui kepada kerinduan terhadap “asal” yang dicari.

Ruang untuk bermuhasabah diri dan memikirkan hakikat keagungan, tentang makna yang dicari terbentang dihadapan. Suasana sunyi dihiasi dengan ingatan dan fikiran yang tulus suci.

Ketika fitrah mula berbicara, akal mula menjadi pemerhati yang setia. Intipati “tauhid murni” secara fitrah mula menzahirkan maknanya. Hati mula menerimanya dengan penuh rela. TAUHID MURNI seraya berkata: “HUWA ALLAH” (DIALAH ALLAH). Dialah Pencipta, Dialah yang mengwujudkan kamu dari tiada, Dialah yang kamu cari wahai insan. Dialah yang kamu rujuk sebagai “asal” hakiki seluruh kejadian.

Jawapan halus dari lafaz “ALLAH” mula memendam makna menyelinap keseluruh jiwa. Asyik dan khusyuk, lafaz yang mengandungi seluruh makna ketuhanan, menyerlahkan lagi makna kehambaan dalam diri sang hamba, leka dalam dakapan penghayatan. Maka, tali hubungan kehambaan kepada ALLAH yang menyimpan rahsia ketuhanan mula membenihkan “kelazatan” dalam rasa kehadiran. ILAHI… kata diri berbicara merintih diperhati. ‘ABDI… (HambaKu)… Seru Maha Cinta Abadi nan Hakiki.

Ketika dalam kesunyian itu, seruan semakin rancak. Yang berbicara terus berbicara. Yang menjadi pendengar terus setia. Hanya yang ada, cinta dengan cinta. Itulah ruang kesunyian yang bisa menjernihkan kekaratan nafsu duniawi. Allah..

Hati terdetik seketika, lintasan ingatan terjelma sabda baginda –shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang bermaksud:

“Tujuh golongan yang dinaungi di bawah naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya… Antaranya: Seorang lelaki yang mengingati ALLAH dalam keadaan bersendirian lalu berlinangan air (dari) matanya…”

Kuntuman kerinduan di hati kian mekar. Tangisan rindu keasyikan terus berlagu. Ia adalah tangisan dalam menzahirkan keinginan untuk kembali bersama “asal” hakiki yang Maha Menciptakan. Ia adalah linangan mencari pertemuan dalam keabadian cinta.

Hati terus berbicara, melepaskan rindu di dada. “Hidup ini terlalu lama untuk menterjemahkan pertemuan dua cinta. Bagaimana agarku bisa terus rasa dimilikiMu setelah nanti kembali melihat alam maya? Bagaimana bisa ku berinteraksi denganMu ketika keluar dari kesunyian ini menuju kesesakan dunia?..” Allah.. Allah… Allah..

Hidup ini punya seribu satu cerita disebalik misteri. Namun, usia dari awal kelahiran sehingga ajal yang entah bila, seolah-olah menjarakkan lagi pertemuan yang agung. Namun duhai sang hamba, lihatlah segala di sekelilingmu sebagai interaksi Tuhan kepadamu, nescaya itu yang akan terus mengikat kerinduanmu kepadaNya.

Ketika engkau melihat seorang ibu mendukung si anak kecil dengan penuh kasih, lihatlah bahawasanya ia adalah limpahan dari kasih sayang Allah Taala. Kasih ibu yang terzahir adalah secebis rahmat dan kasih sayang Allah Taala yang dicurahkan agar kita mengerti betapa nilai kasih itu amat suci. Kasih yang disalut harapan, perhatian, rindu dendam hingga sanggup melepaskan kepentingan diri, lalu dia (si ibu) memberi kasih itu kepada anaknya. Si anak tenang dan selesa dalam dakapan. Sebenarnya keselesaan itu, ketenangan itu dalam “dakapan penjagaan” Allah Taala yang dizahirkan dalam dakapan kasih yang tertumpah kepada si ibu.

Apabila engkau mendengar kicauan burung menyanyikan lagu rindu, tiupan angin membawa nyaman, pepohonan melambai ria, haiwan ternakan meragut rerumput di padang, sungai yang mengalir membicarakan kedamaian dan cahaya mentari menyinar riang di balik bukit nan tersergam, maka lihatlah keindahan Allah Taala melalui keindahan segala makhluk ciptaanNya. Makhluk-makhluk adalah cerminan sifat Allah Taala melalui perbuatanNya.

Dengan demikian, kamu akan terus fokus terhadap DIA yang kamu cari. Bahkan, kamu akan terus mengerti yang hanya DIA yang kamu cari dalam hidup ini.

Ramai manusia mencari apa yang belum pasti, sedangkan dia menuju apa yang pasti. Manusia yang bijak, dia hanya mencari dan menuju kepada apa yang pasti. Justeru, matlamat hakiki adalah ALLAH, puncak tertinggi. Tangisanmu biar terarah kepada mencariNya, agar jiwamu puas hanya dengan merinduiNya.

Kehilangan segala-galanya kecuali DIA adalah anugerah jika disertai dengan kehadiranNya. Mendapatkan apa sahaja selain DIA adalah musibah jika disertai dengan kehilanganNya. Anda berduka bukan kerana tidak dapat apa yang anda ingini, tetapi anda berduka kerana tidak mahu apa yang sepatutnya anda ingini.

Titisan butiran mutiara yang terbit dari matamu tatkala menangis ketika kesunyian dari makhluk, adalah sebesar-besar hijab yang menjauhkanmu dari hakikat diri. Tangisan biarlah antara takut kepadaNya atau rindu kepadaNya.

Rasulullah –shollaLlahu ‘alaihi wasallam–  bersabda:

Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka (antaranya): Mata yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t…” (hadith riwayat Imam At-Tirmizi)

Rindu kepadaNya bermula dengan hati yang hanya mencari redhaNya. Hidup ini sentiasa ada lebih dari satu pilihan. Tetapi, satu-satunya pilihan yang membawamu kepada kebahagiaan abadi adalah dengan hanya memilih ALLAH sebagai tujuan. Daripada tujuan membawa kepada pengenalan. Daripada pengenalan membawa kepada kecintaan. Daripada kecintaan membawa kepada kerinduan. Semuanya bermula dengan “pencarian” yang tulus dan penuh kejujuran.

Semoga Allah Taala membantu kita untuk fokus hanya mencariNya, agar diberi peluang terutamanya ketika dalam kesunyian, untuk merinduiNya lalu mengalir air mata “mengharap” cintaNya. ALLAH… Ajarkanlah kami cinta agar dapat mencintaiMu dengan cinta yang Engkau redhai… Engkaulah sumber cinta sedangkan kami “rindu” untuk mencintaiMu dengan cintaMu.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 8 Februari 2010, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: