Tarbiah dari Ibadat Haji

“Ustaz, kenapa bila kita di Tanah Suci, khususnya di Mekah… Apa saja yang terlintas di hati kita, boleh dikatakan terus Allah makbulkan?” Tanya seorang peserta kursus Umrah kepada saya di suatu sesi pada hujung minggu yang lalu. Soalan yang seakan sama maksudnya acap kali diajukan oleh para peserta yang mahukan kepastian, mengenai sebab dan hikmahnya berlaku sebegitu, dalam kebanyakkan kursus haji dan umrah yang telah saya hadiri sebagai penceramah. Ramai juga yang merasa gerun. Ada juga yang mula bercerita sesama sendiri tentang pengalaman masing-masing dan ingin berkongsi dengan jemaah yang lain.

Sememangnya pengalaman ini pasti ada, pada setiap tetamu Allah yang pernah menjejakkan kaki ke bumi barakah Makkah al-Mukarramah. Tidak kira sama ada ia mengunjungi tanah suci untuk tujuan Umrah di musim biasa atau ibadah haji dalam bulan-bulan haji, tentu sekali akan ada cerita-cerita pahit manis yang tersimpan erat di dalam minda sebagai kenangan.

Begitu indah pengalaman ini bagi mereka yang pernah melaluinya. Sebuah perjalanan yang sarat dengan pengajaran dan hikmah. Musafir seorang hamba untuk membongkar erti perjalanan sebuah kehidupan. Mengenal keagongan Tuhan serta menginsafi akan kelemahan insan. Inilah dia hakikat perjalanan menuju Tuhan. Cukup besar pengajaran yang Allah sediakan bagi insan yang bersedia untuk mengetahuinya. Bermula dari detik azam dan niat yang tersemat sehinggalah penyudah dalam mengekalkannya.

Latihan

Ibadat Haji khususnya bolehlah diumpamakan sebuah pusat latihan untuk membentuk manusia melalui peningkatan rohaniah, perubahan sikap dan akhlak serta cara hidupnya kepada yang lebih baik. Pelbagai ujian disediakan Allah Taala untuk menilai tahap kefahaman, keimanan dan kepatuhan insan kepada Tuhan. Sama ada senang atau susah ujian tersebut melihat kepada keikhlasan dalam niat kita.

Namun apa yang pasti setiap ujian itu menuntut  supaya kita redha dengan segala ketentuanNya. Redha… Ungkapan yang mengandungi makna yang tidak semudah menyebut lafaznya.

Lihatlah, ketika menjalani ibadah tersebut, kita ditengah dengan pelbagai pantang larang sedangkan ianya menjadi kesukaan nafsu dan kebiasaan dalam hidup. Adakah dengan cara Allah Taala menegah kita daripada apa yang diingini ianya suatu penyiksaan terhadap kita selaku hambaNya (yang beriman)?. Melainkan bila mana sang hamba sendiri tidak faham tujuan di sebalik penegahan tersebut. Hanya kebiadaban dan kejahilan kita yang akan memberontak terhadap ketentuan Allah Taala, membuatkan kita terus tersiksa dalam menghadapi takdirNya.

Masalah lebih besar adalah, ketika mana kita tidak memahami hikmah Allah Taala, menyebabkan kita tidak berbaik sangka terhadap Allah Taala. Makin buruk sangka itu maka akan membawa kepada makin merasai hidup ini terlalu pahit. Makin baik sangka itu jualah yang membawa kepada makin merasai manisnya kehidupan.

Laluan hidup ini hanya satu, dari Allah Taala dan menuju Allah Taala. Destinasi kita adalah asal kita. Kalau difokus kepada “kerana apa?”, kita terus berjalan menuju destinasi, maka kita tidak disibukkan dengan pelbagai rintangan di sana sini sepanjang perjalanan kehidupan. Seberat-berat rintangan ketika menuruti jalan menuju Allah Taala adalah sebuah kematian yang mempercepatkan kita untuk sampai kembali kepada Allah Taala. Justeru, redha dengan ketentuan Allah SWT pun sampai kepadaNya dan yang memberontak terhadap Allah SWT juga kembali kepadaNya.

Redha

Masalahnya bukan pada sebab yang menyebabkan kita kembali kepada Allah SWT, tetapi bagaimana kita, ketika kembali pulang kepada Allah SWT. Selaku hamba atau selaku pendusta? Kata mulut mencari redha, tetapi diri sendiri tidak mampu meredhai. Tanpa meredhai, bagaimana diredhai?

Hidup ini adalah untuk kita redha terhadap ketentuan Allah SWT dan terus beradab terhadapNya. Bahagialah orang yang tahu Allah SWT Maha Mengetahui lalu meredhai setiap ketentuanNya. Malanglah orang yang tahu Alah SWT Maha Penyayang namun masih sentiasa membangkang ketentuanNya.

Jangan bicara tentang erti perjuangan dan pengorbanan, kalau kita sendiri tidak tahu kerana apa kita berjuang dan berkorban. Hidup ini perjuangan. Namun, kalau tidak tahu tujuan kita menghadapi kehidupan, maka untuk apa diteruskan kehidupan ini? Memahami makna di sebalik sebuah perjuangan walaupun gagal dalam perjuangan itu lebih berharga daripada berjaya mendapatkan apa yang diperjuangkan tanpa mengetahui makna di sebalik perjuangan. Apatah lagi, kejayaan hidup adalah pada kejayaan menghayati makna secara hakikinya lalu merealisasikannya sebelum menemui kematian.

Makna kepada kehidupan di dunia ini, adalah kita sebagai hamba Allah SWT. Tujuan hidup kita adalah menunaikan kehambaan kita terhadapNya. Mati dan tahu kerana apa kita mati itu lebih baik daripada hidup namun tidak tahu kerana apa kita hidup. Apatah lagi ianya akan menjadi sangat berharga terhadap mereka yang hidup dan tahu atas tujuan apa ia dihidupkan dan bakal dimatikan serta bakal dihidupkan kembali. Inilah penghayatan yang sejati.

Justeru, itulah sebabnya Allah SWT menzahirkan kewujudanNya melalui lintasan hati [doa atau terdetik] pada setiap tetamuNya. Rasalah betapa dekatnya Allah kepada kita, bila berhajat pastinya Ia  [Allah] mendengar dan ditunaikannya segala yang terlintas. Merasai kita tidak punya apa-apa, segalanya adalah dari Allah dan untuk Allah.

Itulah secebis dari lautan hikmah bagi mereka yang mahu mengerti erti sebuah perjalanan sufi disebalik kefardhuan Haji. Keperitan dalam bentuk paksaan menatijahkan keredhaan dalam ketenangan. Kesenangan dan kenikmatan membuahkan keikhlasan dan ketaatan.

Belajarlah untuk mengenali diri, mempertajamkan minda untuk memahami hikmah ilahi. Mendapatkan mabrurnya haji adalah mudah bila kita laksanakan segala tuntutan mencukupi segala syarat-syarat sahnya tetapi mengekalkan kemabruran haji itu di dalam diri adalah lebih sukar lagi.

Moga Allah SWT membimbing kita serta menemukan kita kepada pembimbing yang boleh memandu kita kepadaNYa. Amin

Advertisements

About Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 23 Februari 2010, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: