Solat: Punca Perceraian?
Rutin sebagai Naib Khadi bukan hanya untuk menikahkan pasangan pengantin sahaja tetapi juga sebagai orang tengah dan tempat rujukan dalam urusan dan permasalahan rumahtangga. Selalunya pihak Naib Khadi akan dirujuk untuk khidmat nasihat dalam proses mencari jalan penyelesaian sebelum sesuatu kes itu dilanjutkan dengan aman melalui perdamaian kedua-dua belah pihak atau terpaksa bercerai yang berkelanjutan seterusnya melalui proses mahkamah mengikut prosedur tertentu.
Dalam sebuah hadis, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Umar, Rasulullah SAW telah bersabda;
“Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak” Riwayat Abu Daud dan Hakim
Manakala firman Allah SWT, di surah An Nisa’ ayat 19 bermaksud;
“Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi ada yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya”
Ayat Al-Quran dan Hadis di atas ini dengan jelas memberikan kita penjelasan bahawa perceraian merupakan suatu perkara yang paling dibenci oleh Allah SWT. Agama Islam tidak mengalakkan umatnya bercerai berai, kerana ia akan mengakibatkan implikasi yang negatif kepada pasangan itu sendiri, anak-anak, keluarga mahupun masyarakat amnya.
Amanah dan tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan oleh kedua pasangan suami isteri dengan baik dan sempurna, jika keduanya menjadikan dasar ikatan atau perjanjian yang suci ini dengan bersumberkan iman dan taqwa kepada Allah swt. Selagi kedua pasangan ini menjadikan sumber pegangan mereka berpandukan dengan ajaran Islam, Insya Allah tujuan dan matlamat perkahwinan yang didambakan akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.
Kesan Perceraian
Perceraian bukanlah suatu perkara yang mudah, dan ia tidak pernah dipermudahkan dan digalakkan oleh agama Islam. Islam hanya membenarkan perceraian, jika kedua pasangan suami isteri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bantuan dan nasihat yang diperlukan, sehingga tiada lagi ruang bagi mengatasi permasalahan mereka untuk berdamai.
Jika semua usaha-usaha ini telah mereka laksanakan, namun rumahtangga mereka masih tidak dapat diselamatkan, maka Islam membenarkan pasangan tersebut bercerai. Perceraian merupakan perkara yang halal tetapi paling dibenci oleh Allah swt. Firman Allah di surah Al Baqarah ayat 229 yang bermaksud,
“Rujuklah mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang ma’ruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik”
Begitu juga Islam melarang seorang isteri yang minta diceraikan tanpa ada sebab-sebab yang syar’ie, sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud,
“Dari Sauban r.a bahawa Rasulullah saw bersabda : “Mana-mana perempuan yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada apa-apa keuzuran syar’ie, maka haram ke atasnya bau syurga” Riwayat : Abu Daud
Perkara di atas ini berlaku juga terhadap suami yang menceraikan isterinya, tanpa ada sebab-sebab atau alasan yang kuat sehingga isteri terasa dizalimi atau menceraikannya dengan cara penganiayaan. Begitu juga haram bagi suami menceraikan isterinya sewaktu sedang haid atau sewaktu isteri dalam keadaan suci tetapi telah dicampurinya.
Punca Perceraian
Untuk membicara perkara ini ianya agak subjektif, kerana setiap pasangan mempunyai alasan dan persoalan yang tersendiri yang menyebabkan rumahtangga mereka bergelora. Namun melalui pengalaman saya sebagai Naib Khadi atau istilah sekarang Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk orang Islam, bolehlah dijadikan sedikit ukuran dan pertimbangan untuk mengenal pasti punca perceraian yang berlaku dari segi akar umbinya.
Saya suka meneliti dari setiap sudut persoalan dan cuba memahaminya agar persoalan itu lebih mudah untuk dirungkaikan. Dalam al-Quran, firman Allah SWT yang berkaitan hukum serta persoalan talaq atau perceraian ada dihuraikan pada surah al-Baqarah. Bermula dari ayat 222, yang menceritakan tentang kedudukan wanita di sisi suaminya sehinggalah kepada ayat 242 yang menghuraikan tentang hak-hak wanita yang telah ditalaqkan.
Namun yang menariknya, terselit diantara persoalan tersebut dua ayat, iaitu pada ayat 238 dan 239 yang menghuraikan perintah dan arahan Allah SWT untuk memelihara solat tidak kira dalam bagaimana keadaan sekalipun, ketika aman atau dalam permusafiran.
Sebagaimana yang difahami, ayat-ayat al-Quran walaupun ianya diturunkan secara berperingkat-peringkat dan kadang-kala setiap ayat itu berpisah antara satu sama lain ketika penurunannya, namun setelah mana ia dibukukan mengikut wahyu Allah SWT kepada Nabi SAW, ianya mempunyai nilai maksud yang tersendiri melalui tafsiran secara tahliliyyah yakni tafsiran secara terperinci. Maksud dari setiap ayat berkait-kait dari satu ayat dengan ayat yang lain, begitu juga dari satu surah kepada surah yang lain. Walaupun sebab penurunan ayat berbeza ketika waktu penurunannya dan jalan ceritanya juga berbeza pada zahir ayatnya tetapi ianya mempunyai hubungan dari satu ayat dengan ayat yang lain. Itulah kehebatan al-Quran, tersimpan rahsia bagi yang mahu mengkajinya.
Justeru, ketika kita cuba memahami tafsiran ayat-ayat tersebut, pengertian yang ingin disampaikan oleh Allah SWT secara tersirat ialah melalui bagaimana persoalan perceraian ini boleh dan dapat dibendung. Allah SWT menegaskan terhadap penjagaan hak Allah sebagaimana yang ditetapkan iaitulah menjaga solat. Firman Allah SWT dalam ayat 238;
“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. (238) Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (239)
Jagalah hak Allah SWT dalam apa keadaan sekalipun dan ingatilah Allah SWT nescaya Ia akan mengajar kamu dan memelihara kamu.
Dalam kehidupan ini, apa yang perlu kita ketahui ialah perjalanan hidup kita senantiasa dalam ketentuan Allah. Walaupun kita mampu berusaha dan sememangnya disuruh untuk berusaha tetapi kita kena senantiasa bersandarkan kepada ketentuan Allah SWT, kerana Dialah yang menentapkan segala sesuatu.
Daripada Ibnu Abbas RA, sabda Nabi SAW:
“Wahai anak, aku ingin ajarkan kepada engkau beberapa kalimah: Peliharalah hak-hak Allah nescaya Allah memelihara kamu. Peliharalah hak-hak Allah nescaya engkau akan mendapatiNya di mana saja kamu berada. Apabila kamu ingin meminta bermohonlah kepada Allah. Apabila kamu inginkan pertolongan mohonlah pertolongan daripada Allah. Dan ketahuilah, sekiranya seluruh umat berhimpun untuk memberikan suatu manfaat kepada engkau, mereka tidak akan dapat berbuat demikian sedikit pun melainkan dengan suatu yang telah Allah tetapkan kepada kamu; sekiranya mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu, mereka tidak akan dapat berbuat demikian sedikit pun melainkan dengan suatu yang telah Allah SWT tetapkan ke atas kamu. Telah pun diangkat segala pena dan telah keringlah segala buku (segalanya telah ditetapkan oleh takdir dan ditulis di Luh mahfuz).
Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad.
Jelaslah bila kita jaga hak-hak Allah pastinya Allah akan memelihara kita, apatah lagi untuk memelihara hubungan kita sesama manusia khususnya suami isteri.
Solat menjadi asasnya. Hubungan yang sentiasa dengan Allah akan membuahkan ketenangan dan kedamaian serta jalan keluar dari segala permasalahan. Namun apa yang berlaku disebalik corak kehidupan manusia yang dikatakan beriman kepada Allah dewasa ini, jauh menyimpang dari sifatnya sebagai seorang yang beriman. Solat hanya sekadar adat kebiasaan bukan suatu yang didambakan untuk memuji-muji tuhan, memohon keampunan dan kerahmatan, tetapi hanya sekadar hiasan dan kebiasaan. Kesannya, solat yang tidak mampu meraih kasih Allah dan menghindarkan dirinya dari kemungkaran.
Dan ingatlah sebahagian besar perselisihan dalam rumahtangga adalah terkesan dari kemungkaran yang dilakukan, sama ada secara sedar atau tidak kemungkaran terhasil dari pengabaian hak-hak Allah yang pelbagai. Bermula dari solat, penutupan aurat, pergaulan bebas, makan minum dari sumber yang haram, mengambil hak orang lain secara haram, pelanggaran hukum-hukum Allah dan sebagainya.
Bila saya bersoal selidik dengan para pasangan yang bermasalah khususnya berhasrat untuk bercerai, 90 % dikalangan mereka mengabaikan solat, sama ada suami atau isteri. Justeru kesimpulan ringkas yang boleh saya nyatakan, apabila tidak menjaga solat dengan sempurna maka ia adalah sebahagian dari punca penceraian dan akan membawa kepada pengabaian yang lain juga.
Oleh itu jagalah, sempurnakanlah serta berusahalah untuk mendapat khusyuk padanya, kerana sesungguhnya berjayalah orang mukmin yang khusyuk dalam solatnya. Bila solat berjaya maka segala lapangan kehidupan kita juga akan berjaya serta jagalah hak-hak Allah yang lainnya. Itulah keberhasilannya. Moga kehidupan kita diberkati Allah, ameen.
ooo.. anta dah jadi naib kadhi…tahniah….
Syukran, Naib khadi ni dah lama hampir 4 tahun dah, kalau nak kira tahun ni sekali. Boleh la cara-cara orang tua-tua.. kita pun dah semakin tua, kan ka?..
masya Allah ustaz… rencana dan kesimpulan yang baik. Mabrook
Assalamualaikum uztaz??saya cuma nk mnta pandangan,salahkah saya menegur suami yang hari hari keluar waktu malam, balik k rumah apabila sesudah subuh,bukan tujuan bekerja..terima kasih
Asalamualailum ustaz..saya sedang dlm delima perkahwinan yg telah berusia 23thn..saya mmg x tidak menyangka suami sebaik dia itu rupanya mempunyai tabiat buruk.saya hanya menyedari kecuranganya pada tahun 2010 ttg hubungan sulitnya di tempat kerja..membohongi saya utk outstation krn meeting sedangkan mereka keluar bercuti bersama2..saya telah mengizinkan suami saya utk bernikah lgi dan tidak ada halangan dri saya.tetapi perkara itu terhenti disitu.saya fikir dia telah sedar kesalahannya..tetapi baru2 ini saya mendpt whspp dri seorg wanita yg lain pula memberitahu dia ada hubungan dgn suami saya..bukan sekadar berkawan tetapi mereka melakukan zina..wanita itu adalah seorg ibu tunggal.sebenarnya suami saya ini sering outstation keluar daerah dan negara ..saya sudah hilang kepercayaan kepdnya dan adakah suami saya nusyuz ustaz terhadap saya.saya bimbang akan dijangkiti penyakit kelamin krn perbuatannya itu..nusyuzkah saya jika menolak keinginan dia utk bersama saya..dan adakah saya salah jika memohon cerai darinya..tetapi mengenangkan anak2 saya mmg tidak mahu penceraian ini..tetapi saya mmg takut utk tidor bersamanya lgi krn kebimbangan saya dijagkiti penyakit krn sifat liar nya diluar..tolonglah saya ustz apa yg harus saya lakukan..dia suami yg baik nafkah mkn pakai terjaga mmg nmpk x ada cacat celanya..tolonglah ustaz..
Apa hukum isteri tidak tidur bersama suami?
Alhamdulillah, moga bermanfaat untuk semua. Terima kasih kembali.
Pingback: Solat: Punca Perceraian? (via Menilai Sebuah Kehidupan) « Menilai Sebuah Kehidupan