Doa dan terus berdoa…

Doa, ungkapan yang sering dilafazkan disertakan dengan perbuatan memohon sesuatu hajat kepada Allah. Ia merupakan pengakuan hamba terhadap kekuasaan Allah yang mutlak terhadap segala yang berlaku, manakala dari segi yang lain pula ia adalah bentuk pengabdian seorang hamba kerana hadirnya perasaan berhajat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sesungguhnya doa yang kita panjatkan tidak pernah diabaikan oleh Allah malah ia merupakan ibadah yang dimuliakan oleh Allah. Firman Allah SWT:

“Minta doalah daripada-Ku, aku menerima doamu.” (Surah Ghafir, ayat 60)

Sebagaimana sabda Nabi SAW:

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda;

“Tidak ada suatu yang lebih mulia di sisi Allah Ta’ala melainkan berdoa.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain pula, daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Mohonlah kebaikan/kelebihan daripada Allah kerana sesungguhnya Allah suka diminta kebaikan/kelebihan dan sebaik-baik ibadah adalah menunggu kelapangan (terlepas daripada kesusahan).” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Kisah Doa Nabi

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW sedang solat di kaabah. Pembesar-pembesar Quraisy melihatnya sambil mengejek beliau. Tiba-tiba, ada orang datang menyembelih unta di Kaabah. Pembesar-pembesar Quraisy cabar mencabar antara mereka siapa yang berani mengambil perut-perut unta yang berdarah dan bernajis itu dan meletakkannya di atas kepala Nabi Muhammad yang sedang sujud di Kaabah.

Uqbah bin Mu’it, jiran Nabi Muhammad bangun dan berkata, “Aku yang akan melakukannya.”

Dia pun pergi mengangkat tali-tali perut itu dan meletakkannya di atas kepala Nabi Muhammad yang sedang sujud itu. Uqbah dan pembesar-pembesar Quraisy yang lain ketawa terbahak-bahak sampai bergoyang-goyang badan mereka. Nabi Muhammad terus sujud tidak bergerak-gerak. Perut-perut unta itu terus berada di atas kepala Nabi Muhammad yang sedang sujud sehinggalah Fatimah lalu di situ. Dia membuang kotoran-kotoran itu sambil menangis melihat penghinaan dan ujian yang ditanggung oleh Nabi Muhammad, ayahnya.

Apabila Nabi Muhammad bangun daripada sujudnya, beliau memerhati mereka semua. Lantas Nabi Muhammad berdoa dan menyebut setiap nama mereka yang ada pada masa itu. Mengikut cerita perawai hadis ini, “Aku melihat setiap orang yang Nabi Muhammad sebut itu semuanya mati terbunuh di perang Badar.”

Allah mengabulkan doanya beberapa lama selepas itu. Oleh itu, jangan kita gopoh dalam berdoa. Nabi Muhammad pernah berpesan, “Akan dikabulkan doa seseorang daripada kamu selagi dia tidak gopoh dengan Allah.” Apabila ditanya, “Bagaimana gopoh itu, wahai Muhammad?” Nabi Muhammad berkata, “Iaitu orang yang berkata, ‘Aku sudah berdoa dan berdoa, tetapi tidak dimakbulkan lagi oleh Allah!”.

Harapan

Telah berkata Sheikh Ibnu ‘AtailLah Assakandari; “Janganlah kelewatan kurniaan Tuhan kepadamu, padahal engkau bersungguh-sungguh berdoa menyebabkan putus asa, kerana Allah telah menjamin akan menerima semua doa menurut yang Dia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukanNya, bukan pada waktu yang engkau tentukan.”

Sebagai seorang hamba, janganlah berputus asa disebabkan lambat penerimaan dan maqbul hajat yang dituntut, sedangkan kita telah bersungguh-sungguh berdoa. Hal ini adalah kerana Allah telah memberi jaminan penerimaanNya sepertimana firmanNya:

“Minta doalah daripada-Ku, aku menerima doamu.” (Surah Ghafir, ayat 60)

Al-Imam al-Baghawi menafsirkannya, bahawa beribadatlah kepada-Ku dan bukan yang lain daripadaKu, nescaya Aku terima permohonanmu dan memberi pahala dan keampunan kepadamu.

Tatkala ibadat diibaratkan dengan doa, ia menunjukkan bahawa melalui pemberian pahala daripada Allah adalah merupakan sebagai penerimaan terhadap permohonan kita. Sebagaimana sabda Nabi SAW;

“Sesiapa yang dikurniakan doa pasti diperkenankan.” (Riwayat al-Tabarani)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Nabi SAW telah bersabda;

“Pastilah Allah, nescaya akan membuka pintu doa kepada hambaNya dan pintu ijabah daripadaNya.”

Doa tertolak

Meskipun waktu dan keadaan berdoa sudah dipatuhi, masih ada doa yang tidak dimakbulkan Allah. Ia berlaku apabila seseorang berdoa tetapi dalam masa sama masih melakukan maksiat kepada Allah. Pengajaran daripada kisah Ibrahim bin Adham, seorang ahli sufi cukup untuk menjelaskan kenapakah doa seseorang masih tidak dimakbulkan Allah.

Ketika berada di tengah pasar Basrah, beliau disapa sekumpulan pemuda. Mereka bertanya Ibrahim, mengapa doa tidak dimakbulkan Allah pada hal selalu berdoa.

Ibrahim menjawab doa itu tidak dimakbulkan kerana hati mereka buta (mati) berpunca daripada 10 perkara iaitu:

  • Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.
  • Kamu sangka bahawa kamu cintakan Rasulullah, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
  • Kamu membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
  • Kamu makan nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
  • Kamu berkata bahawa syaitan itu musuh, tetapi kamu tidak menentangnya.
  • Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.
  • Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
  • Kamu berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
  • Kamu bangun daripada tidur, lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.
  • Kamu kebumikan mayat saudara kamu, tetapi tidak mengambil iktibar daripadanya.

Oleh itu, kita perlulah sentiasa berdoa kepada Allah dengan mematuhi segala syarat ketika berdoa. Moga harapan kita dalam berdoa akan menjadi kebaikan dan anugerah yang besar di akhirat nanti.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 6 April 2010, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: