Bersediakah; “Aku terima nikahnya…”?
Musim cuti sekolah selalu dikaitkan dengan musim majlis perkahwinan. Seolah-olah telah menjadi adat, cuti sekolah dengan majlis perkahwinan tidak dapat dielakkan. Maka ramailah raja sehari berhias indah melakarkan sejarah peribadi dalam perjalanan sebuah kehidupan berkeluarga.
Namun beberapa perkara yang perlu difahami oleh setiap pasangan ialah bagaimana untuk mengekalkan ikatan perkahwinan agar ianya berkekalan serta mencapai kebahagian yang berterusan sehingga ke akhirat nanti.
Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan? Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati bahagia? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?
- Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.
- Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.
- Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.
- Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.
- Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.
- Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.
- Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya.
Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah. Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat!
Pilihan yang tepat
Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih. Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak ‘niat’. Jika kita menginginkan jodoh baik, mula dari diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula.
Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda bersabda bermaksud:
“Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Orang mengahwini wanita kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, carilah wanita yang mempunyai agama (kerana kalau tidak) binasalah dua tanganmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis itu tidak hanya merujuk kepada pihak lelaki, malah wanita dalam memilih calon suami. Oleh kerana Rasulullah tidak merumuskan bentuk tertentu daripada perkataan binasa, berkemungkinan besar yang dimaksudkan ‘binasa’ adalah penderitaan batin kerana ketegangan yang berlaku akibat salah memilih teman. Janganlah terpedaya dengan keindahan fizikal dan duniawi semata-mata dan mengaburkan tujuan perkahwinan yang sebenarnya iaitu penyempurnaan ketakwaan kepada Allah.
Jodoh memang sudah ditetapkan Allah, tetapi sesuai dengan hukum-Nya, Allah tidak akan menjodohkan seseorang yang soleh dengan seorang penzina. Jika ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka mulalah dengan memperbaiki diri sendiri kerana Allah menetapkan takdir, bahawa: “(Lazimnya) perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik”.
Punca Kepincangan Rumahtangga
Selama pengalaman saya sebagai Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, sejak kebelakangan ini pendaftaran penceraian sama banyak dengan pendaftaran perkahwinan baru malahan kekadang dalam bulan-bulan tertentu pendaftaran penceraian mengatasi pendaftaran perkahwinan. Kenapa ini terjadi?.
Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana ceteknya pengetahuan dan persediaan untuk berumahtangga. Berkahwin bukan hanya untuk menghalalkan percintaan atau persetubuhan tetapi perkahwinan adalah memikul suatu bebanan dan amanah. Tidak kiralah ia walaupun sebagai seorang suami atau isteri, bebanan dan tanggungjawab masing-masing menunggu untuk dilaksanakan.
Oleh itu setiap pasangan haruslah menguasai pengetahuan yang jelas berkenaan ilmu rumahtangga disamping membuat persiapan yang secukupnya sebelum bersedia melafazkan “aku terima nikahnya”.
1. Persediaan Minda dan Kerohanian.
Pasangan yang ingin berkahwin perlu bersedia secara minda yang sedar bahawa ia telah betul-betul;
- Bersedia untuk berumahtangga.
- Bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami/isteri.
- Bersedia untuk belajar kemahiran berkeluarga
Setiap pasangan juga perlu bersifat matang. Banyakkan membaca dan berkongsi pengalaman dengan mereka yang telah melalui alam rumahtangga khususnya orang-orang tua yang lebih berpengalaman tentang cara-cara mengatasi masalah dan bukannya rakan sebaya apatah lagi yang belum berumahtangga. Jangan cepat melenting. Ia mungkin membawa padah.
Begitu juga setiap pasangan hendaklah mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan hal ehwal rumahtangga. Soal hukum-hakam dan ilmu agama amatlah penting, begitu juga dengan kemahiran berkomunikasi,menguruskan sumber (masa,wang dan tenaga) dan kemahiran mengatasi tekanan.
2. Persediaan Fizikal
Bakal pasangan perlu bebas daripada sebarang penyakit berjangkit. Kesihatan yang baik akan membolehkan pasangan hidup bahagia dan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Dan juga bakal pasangan hendaklah memiliki kemampuan seksual. Ia amat penting dalam menjamin kebahagiaan sesebuah rumahtangga. Ia juga merupakan faktor utama bagi membolehkan pasangan mendapatkan zuriat. Kematangan fizikal pula penting terutama bakal isteri yang inginkan anak sebaik sahaja berkahwin. Bagi seorang wanita, mengandung pada umur kurang 18 tahun adalah tidak digalakkan, kerana pada umur tersebut tubuh badan wanita itu sedang membesar dan belum bersedia untuk mengalami perubahan-perubahan fizikal dan fisiologikal semasa mengandung. Umur yang ideal bagi wanita untuk menjadi seorang ibu ialah antara 20-30 tahun.
3. Persedian Kewangan
Tugas dan tanggungjawab utama suami ialah memberi nafkah kepada isteri mengikut kadar kemampuannya. Sebarang sumbangan daripada isteri berhubung dengan perbelanjaan rumahtangga adalah merupakan sedekah daripada isteri.
4. Persediaan Sosial
Perkahwinan membawa kepada perubahan peranan ke atas kedua-dua pihak. Contohnya mereka yang berumahtangga kini mempunyai hubungan sosial dengan mertua dan saudara mara pasangan. Oleh itu bakal pasangan perlu memastikan diri masing-masing untuk menerima segala nasihat dan tunjuk ajar daripada mentua masing-masing. Ini termasuklah gaya hidup dan pergaulan.
- Penyesuaian dengan pasangan
- Penyesuaian dengan keluarga dan mertua
- Penyesuaian dengan jiran
- Penyesuaian dengan rakan-rakan
5. Persediaan Spiritual
- Pengetahuan agama
- Penghayatan agama
- Perubahan akhlak
Kesimpulan
Jelaslah sebagaimana yang telah disebut oleh baginda Rasulullah SAW;
“Apabila kamu telah berkahwin maka sempurnalah sebahagian agama kamu, maka sempurnakanlah lagi sebahagiannya yang lain”. (Mafhum al-hadis)
Yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW itu ialah mereka yang berkahwin dengan segala pengetahuan dan amanahnya dan bukanlah mereka yang hanya berkahwin untuk memenuhi nafsunya sahaja.
Marilah sama-sama kita perindahkan hubungan kekeluargaan kita khususnya hubungan suami dan isteri melalui asas-asas yang telah disebutkan. Moga sebagaimana yang kita harapkan kebahagian hakiki agar ianya akan menjadi milik kita, insyaallah.
“Orang mengahwini wanita kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, carilah wanita yang mempunyai agama (kerana kalau tidak) binasalah dua tanganmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
saya ingin bertanya tentang statement di atas…boleh tolong explain kan x ape maksudnya ……..binasalah dua tanganmu.” Makaseh.