Kemesraan Jambatan Kasih Sayang
Rumahtangga adalah sebuah medan penyempurnaan sebuah kehidupan. Fitrah manusia ingin menyayangi dan disayangi akan wujud dikala rumahtangga yang dibina atas sifat fitrah keinsanan dibajai ilmu pengetahuan dalam mencari nikmat ketenangan dan keredhaan Tuhan. Kehidupan yang sempurna ialah kehidupan yang tidak hanya diberati pada mengikuti nafsu semata-mata tetapi juga ditimbang dengan akal yang sempurna ilmunya.
Perkara utama dalam mengwujudkan kasih sayang ialah sifat mesra diantara kedua-dua belah pihak. Kemesraan yang terjalin antara suami isteri akan menyemarakkan lagi sifat kecintaan. Hubungan yang penuh kasih sayang, InsyaAllah, akan kekal selama-lamanya kerana hubungan yang kaya dengan kasih sayang akan membetulkan segala keadaan, segala salah anggap, segala buruk sangka.
Terdapat beberapa tips kemesraan yang boleh dibangkitkan di antara suami isteri. Tips-tips ini adalah merupakan amalan baginda Rasulullah S.A.W. Adalah lebih sempurna kita mengambil contoh baginda kerana segala perbuatan baginda adalah suatu sunnah. Ganjaran pahala diberikan sekiranya kita mengamalkannya. Betapa romantiknya Rasulullah S.A.W.
Tidur dalam satu selimut bersama isteri
Dari Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W dan ‘Aisyah r.a biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan ‘Aisyah r.a, tiba-tiba ‘Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, ‘Mengapa engkau bangkit?’ Jawabnya, ‘Kerana saya haid, wahai Rasulullah.’ Rasulullah berkata, ‘Kalau begitu, pergilah ambil kain dan dekatlah kembali kepadaku.’ Aku pun masuk lalu berselimut bersama beliau” (Hadith Riwayat Sa’id bin Manshur)
Mendinginkan kemarahan isteri dengan mesra
Rasulullah S.A.W biasa memicit hidung ‘Aisyah jika beliau marah dan baginda berkata, “Wahai ‘Uwaisy, bacalah doa: ‘Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan.” ( Hadith Riwayat Ibnu Sunni)
Membersihkan titisan darah haid isteri
Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah S.A.W di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Bila darahku menitis ke atas tikar itu, beliau mencuci bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda solat di tempat itu pula, lalu baginda berbaring kembali di sisiku. Bila darah ku menitis lagi di atas tikar itu, baginda mencuci di bahagian yang terkena darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun solat di atas tikar itu.” (Hadith Riwayat Nasa’i)
Segera menemui isteri jika tergoda
Dari Jabir, sesungguhnya Nabi S.A.W pernah melihat wanita, lalu baginda masuk ke tempat Zainab, lalu baginda tumpahkan keinginan baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita, kalau mengadap, ia mengadap dalam rupa syaitan. Bila seseorang di antara kamu melihat seorang wanita yang menarik, hendaklah ia datangi isterinya, kerana pada diri isterinya ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadith Riwayat Tirmidzi)
Tidur di pangkuan isteri
Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Nabi S.A.W biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran.” (Hadith Riwayat ‘Abdurrazaq)
Memanggil isteri dengan kata-kata mesra
Rasulullah S.A.W biasa memanggil ‘Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti ‘Aisy dan Humaira (pipi merah delima).
Meminta isteri meminyaki badan
Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah S.A.W pada Hari Raya Aidil Adha setelah baginda melakukan jumrah ‘aqabah.” (Hadith Riwayat Ibnu ‘Asakir)
Membelai isteri
“Adalah Rasulullah S.A.W tidaklah setiap hari melainkan baginda mesti mengelilingi kami semua (isteri-isterinya) seorang demi seorang. Beliau menghampiri dan membelai kami dengan tidak mencampuri hingga beliau singgah ke tempat isteri yang beliau giliri waktunya, lalu beliau bermalam di tempatnya.” (Hadith Riwayat Ahmad)
Mencium isteri
Dari ‘Aisyah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W biasa mencium isterinya setelah wudhu’, kemudian beliau solat dan tidak mengulangi wudhu’nya.” (Hadith Riwayat ‘Abdurrazaq)
Dari Hafsah, puteri ‘Umar r.a, “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W biasa mencium isterinya sekalipun sedang puasa.” (Hadith Riwayat Ahmad)
Kesimpulan
Begitulah betapa hebatnya contoh yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW dalam melayani fitrah kemanusiaan. Bila keperluan dan hajat masing-masing sama difahami, akan wujudlah keserasian yang membolehkan fikiran lebih mengfokuskan keutamaan kehidupan iaitu mencari keredhaan Ilahi. Bukan hanya pada pihak suami sahaja tetapi juga akan turut disertai dan difahami oleh isteri dan anak-anak. Maka akan lahirlah keluarga sakinah “Rumahku Syurgaku”. Bayangan syurga yang menjadi dambaan setiap manusia. Wallahu’aklam.
Ya Rasul, betapa tinggi akhlakmu dan mulianya peribadimu, tiada teladan yang terbaik, melainkan Kamu jua. Selawat dan Salam kepada Junjungan yang Mulia, serta keluarga dan para sahabatnya.
tolong kirimi kiat-kiat mnjaga keluarga agar selalu harmonis mnurut rosull