Riak Yang Membinasakan Diri

Salah satu penyakit hati ialah sifat riak yang dikenali melalui perwatakan yang suka menunjuk-nunjuk serta ego. Bagaimanakah kita hendak mengenali sifat-sifat ini?. Di sini saya sertakan tips mengenal-pasti sifat ini bagi membantu diri kita untuk mengubatinya, insyaallah.

  • Riak – bangga dirinya melebihi orang lain, suka memuji diri, bangga dengan kemuliaan diri, harta, ilmu dan keturunannya.
  • Suka menonjol diri kepada orang lain.
  • Memandang rendah orang lain.
  • Minta dirinya dipuji di majlis keramaian.
  • Bermulut keji, suka mencela atau mengkritik orang lain secara berlebihan dan melampau.
  • Berlagak angkuh ketika berjalan.
  • Memaling muka ketika bertemu dengan seseorang.
  • Berlagak dalam berbicara.
  • Membantah teguran orang lain.
  • Tidak mengendahkan nasihat dan teguran orang lain.
  • Berlagak pandai walaupun tidak tahu.
  • Berpakaian terlalu menonjol dan berlebih-lebihan.
  • Suka menindas orang Islam yang lemah dan miskin.
  • Berlagak dirinya sahaja betul dan tidak pernah salah.
  • Suka membazir harta benda sama ada milik sendiri atau orang lain.

Punca

Antara punca utama segala sifat tersebut berlaku ialah apabila hati kita sudah hilang sifat kehambaan kepada Allah SWT. Sudah tidak merasai kewujudan Allah SWT, yang bahawasanya dari Allahlah segala yang kita miliki dan punyai selama ini. Segala-galanya hanya dipinjamkan Allah kepada kita sebagai modal untuk beramal. Berusaha mentaati dan berbakti mengikut ketentuaanNya.

Firman Allah SWT: Maksudnya, “Dan tidaklah mereka diperintahkan melainkan supaya beribadah kepada Allah dengan mengikhlaskan amal (ketaatan) kepada-Nya dalam menjalani agama yang lurus, mendirikan shalat, menunaikan zakat. Itulah agama yang lurus.” (QS. Al-Bayyinah : 5)

Kita seharusnya memahami bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah aturcara sebuah kehidupan yang melengkapi kehidupan insani, meletakkan sumber fitrah kepada yang haknya dan membatasi pada yang membinasakannya.

Indahnya Islam dapat dirasai apabila kita sudah mengetahui betapa indahnya hikmah yang tersirat disebalik setiap arahan, peraturan dan penetapan. Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hambanya dengan sesuatu yang memberati dan memayahkan. Malah setiap sesuatu itu disudahi dengan kenikmatan serta ketenangan yang merupakan dambaan setiap jiwa insani. Hanya mereka yang angkuh sahaja yang menafikan kebenarannya. Begitulah kasihnya Allah kepada kita.


Atasi

Justeru, cara yang baik untuk menghalang penyakit rohani dan takbur ini ialah dengan menguatkan diri dan mengawal segala perbuatan lahir dan batin disamping, menyedari kelemahan diri sendiri dan segeralah bertaubat.

Individu yang bersikap sedemikian perlu memohon keampunan Allah dan meminta dijauhkan dari sifat-sifat yang tercela itu dan gantikan dengan sifat-sifat mahmudiah (terpuji).

Sifat terpuji ialah lawan kepada sifat takbur seperti merendah diri, kasih sayang dan bersopan santun sesama manusia dan tolong menolong sesama insan, lebih-lebih lagi yang beragama Islam. Dari situlah akan lahirnya sifat ikhlas.

Bila kita sedari Allah Yang Maha Agong, rasailah bahawa kita ini adalah insan kerdil ciptaanNya. Bila kita merasai kasih-sayangnya Allah, maka kita akan insafi betapa perlunya kita berkasih-sayang dan menghubungkan silaturrahim kerana kasih Allah pada kita tidak pernah pudar hanya kita yang sering menjauhkan diri dariNya.

Ikhlas sebenar-benar ikhlas akan lahir bila kita sedari segala-galanya adalah kepunyaan Allah. Tidak ada milik kita. Tiada daya dan kuasa melainkan dari Allah segalanya.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 17 September 2010, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 6 Komen.

  1. Salam ustaz..Persoalan. kdg2 apabila saya ditegur, saya akan mula merasa tidak senang hati dengan teguran tersebut walaupun saya tidak menonjolkannya. Bak kata lain, cepat rasa sensitif dan terasa hati. Adakah itu ego, ustaz? Saya juga akan memikirkan negatif apabila saya ditegur oleh seseorang yang juga susah menerima teguran orang lain tpi asyik nampak kesalahan orang lain. Macamn saya nak bersihkan hati saya dari perasaan tu?

    • Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

      Wa’alaikum salam,

      Terima kasih kerana Umaidah sudi melayari blog ini. Untuk persoalan yang diajukan, pertama sekali kita kena lihat kepada status teguran orang kepada kita.

      1.Jika teguran itu membetulkan kita kerana memang ada kesilapan tetapi kita tidak mahu mengakuinya ia termasuk dalam sifat ego.
      2.Jika teguran itu pula tak betul atau silap mengenai apa yang telah kita buat, sedangkan tindakan kita betul serta yakin dengan apa yang kita buat maka dia tidaklah termasuk dalam kategori ego namun kita kena menerima dengan berlapang dada akan apa yang ditegur tadi sebagai ingatan dan kayu ukur kepada apa yang telah kita lakukan. Kalau kita menyimpan perasaan marah atau sebagainya yang buruk maka itu juga akan menjadi sifat ego walaupun pada asalnya kita yang betul.

      Membersihkan hati?

      Siapakah yang akan mudah menerima nasihat dan termasuk dalam golongan orang yang membersihkan hati? Jawapannya telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran, mereka itu hanyalah orang2 yang bertaqwa. Kalau bukan golongan yang berusaha untuk menjadi orang yang bertaqwa, mereka hanya mengambil peringatan dan nasihat ketika mereka perlu dan kena dengan nafsu mereka sahaja. Mereka itulah yang digelar Allah sebagai “Munafik”.

      Justeru untuk mengubah diri dan membersihkan hati, ikutlah panduan yang telah tersedia iaitu berusaha menjadi orang yang bertaqwa melalui belajar mengenali Allah dan sifat2Nya serta yakin disamping berusaha beramal dengan seikhlasnya hanya mencari keredhaanNya semata-mata. Rujuk surah al-Baqarah ayat 1 – 20. Insyallah moga Allah memberi pemahaman yang baik kepada Umaidah.

      Terima kasih.

  2. Assalamualaikum Ya Uztaz. tiap-tiap pagi saya akan melayari web uztaz sejak saya ketemu web ‘Menilai Sebuah Kehidupan’ pada 17 Mei 2011 yg lalu. Banyak pelajaran dan pengajaran baik di web ini. Tahniah Uztaz n terima kasih.

    Saya ingin bertanya sesuatu.. Saya memang suka membaca di Blog2 dan berita2 di Internet. Apabila kita membaca berita/blog2 yang banyak cerita fitnah yang tak masuk akal, adakah kita akan tergolong sama dengan orang yang membuat fitnah? sebab melelalui akbar, berita disiarkan seolah2 ianya benar2 belaka, tetapi hanya ALLAH sahaja yang MAHA MENGETAHUI,, bukan kah dosa fitnah itu menggerunkan… Terima kasih jua.

    • Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

      Wa’alaikum salam..

      Terima kasih kerana menjadikan blog saya sebagai singgahan. Moga beroleh manfaat utk semua.

      Berkenaan berita2 yang kita terima ataupun baca seeloknya selidiki dulu.. Baca ambil tahu boleh, cuma jgn terlalu cepat buat andaian. Seeloknya perkara buruk tidaklah diperbesarkan, keaiban org eloklah ditutup moga Allah menutup keaiban kita di akhirat nanti.

      Sekali lagi terima kasih saya ucapkan kerana sudi menjadi pengunjung tetap blog nie.. cuma bulan ni tak sempat nak update, insyaallah moga Allah memberi kekuatan kepada saya dan kita semua…

  3. Asssalamuailaikum ustaz..saya amat tertarik dgn blog ini. Saya nak minta pendapat ustaz mengenai sikap sombong diri. saya ada beberapa kawan wanita yg lebih usia dr sy.mrk ini kalau berkata2 seolah2 mrk sahaja yg betul.kdg2 x logik tetapi mrk rasa pendapat mrk itu betul dan pendpt saya salah dan sering dianggap kehabisan idea. sebenarnya sy ras ax guna bertekak dgn mrk sbb apa yg saya katakan adalah berdasar fakta.bagaiman sy hendak menghadapi org begini?

    • Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

      Wa’alaikum salam Puan Rafizah..

      Terima kasih kerana memberi sokongan dengan mengunjungi blog saya yang tak seberapa ini. Untuk menjawab persoalan yang puan utarakan bolehlah saya kongsikan sedikit sedutan persoalan “sombong” ini daripada buku saya yang bakal diterbitkan bertajuk: “Bergembiralah dengan kerja dan tugasan”. Insya Allah moga ia bermanfaat.. Tunggu kelahiran buku tu nanti ye.. terbitan Galeri Ilmu Sdn Berhad.

      …….

      Antara ciri-ciri kesombongan ialah seperti membanggakan diri, menganggap diri lebih baik daripada orang lain, menghina dan memandang rendah, memperkecilkan usaha orang lain, enggan menerima pakai pandangan walaupun benar hanya kerana ia disuarakan oleh orang yang dianggapnya rendah kedudukan atau pekerja bawahan.
      Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang akan dianggap melakukan keburukan apabila dia menghina saudara Muslimnya.”
      Sifat Sombong Yang Berlebihan
      Di dalam pergaulan juga khususnya dengan golong yang berkedudukan ataupun “bos”, kita sering bertemu dengan manusia-manusia yang sombong dan bongkak. Orang yang suka berlagak dan menonjolkan dirinya secara berlebih-lebihan. Bila bercakap sering menyebut-nyebut status dan kedudukannya, “aku bos kamu”, “aku orang kuat di sini” dan segala macam kedudukan yang di sudut hatinya mengharapkan simpati dan hormat orang kepadanya. Jangan gentar dan gerun dengan orang seperti ini kerana mereka sebenarnya orang yang lemah dan kurang.
      Kesombongan dan keangkuhan yang ditunjukkan mereka itu adalah semata-mata tabir palsu yang dipasang dengan tujuan untuk melindungi sesuatu kekurangan dan kelemahan yang dirasa ada pada dirinya. Fahamilah bahawa setiap orang yang terlampau menonjolkan keangkuhan dan kesombongannya mempunyai kelemahan-kelemahan yang tertentu. Mereka adalah orang yang dahagakan penghargaan, perhatian, pengakuan dan penghormatan orang sekelilingnya serta cuba mencari dan mencapainya dengan cara yang salah dan ikhtiar yang palsu. Oleh kerana itu manusia yang seperti ini seringkali mudah rebah bila dipuji dan diampu malah akan mudah meletus kemarahannya dengan serta-merta bila dikritik atau disinggung perasaannya.
      3 Tips berhadapan dengan bos yang sombong dan panas baran
      Biasanya bos yang sombong dan panas baran ini orangnya jenis “high expectation”. Citarasanya tinggi. Dia agak cerewet. Cakapannya kekadang sedikit kasar kerana emosinya sensitif pada perubahan situasi di sekitar tempat kerja. Sebab itu asal ada sahaja yang tidak kena, dia akan cepat melenting.

      Tips 1: Tonjolkan diri.
      Untuk mengambil hati seorang bos yang sombong dan panas baran, anda perlu mencapai ekspektasi yang dimahukannya. Anda kena tunjukkan kepadanya kerajinan anda, professionalisma, juga kecekapan anda bekerja supaya dia sedar yang anda ada kelebihan tersendiri. Berikan kepadanya idea-idea bernas yang anda fikirkan. Beranikan diri memberi pendapat di kala rakan-rakan sekerja anda teragak-agak untuk mengutarakan pendapat mereka. Stand out from the crowd! Sikap sombong dan panas baran itu jika dipandang dari sudut positif, sebenarnya mendesak anda untuk memajukan diri sendiri supaya prestasi anda sama seperti prestasi kecemerlangan yang dimahukan oleh bos anda itu.

      Tips 2: “Dalam dia marah-marah tu, mesti ada waktu untuk dia ‘cool’ seketika.”
      Orang yang sombong dan panas baran ini, hatinya perlu dirawat dengan pujian namun janganlah pula berlebihan. Ajak dia bercerita tentang kisah hidupnya, bercerita pasal anak-anak, ahli keluarganya, majlis-majlis tertentu, sukan rekreasi yang dia selalu lakukan. Seorang bos akan merasa bangga apabila ada dikalangan para pekerja atau orang bawahannya yang ingin tahu bagaimana dia berusaha untuk berjaya sehingga sampai ke tahap kedudukan dan jawatannya sekarang ini. Sudah tentu dia akan menceritakan segala pengalamannya dengan senang hati. Bila dia sudah senang hati, mudahlah untuk anda berhadapan dengannya bila-bila masa. Anda boleh dekatinya, dan dia juga akan merasa selesa untuk bergaul dengan anda.

      Tips 3: “Bila bos anda marah anda, biarkan saja dia memarahi anda semahunya.”
      Orang yang sombong dan panas baran ini, memiliki perasaan sakit hati pada situasi-situasi tertentu dalam hidupnya. Semua perasaan sakit hati itu telah terkumpul lama dalam ingatannya. Makin lama semakin bertambah dan makin membanyak. Mungkin dia ada masalah kewangan, masalah perhubungan atau merasa tertekan dengan tanggungjawab kerjanya yang banyak. Bila dia ada peluang untuk marah, dia akan melepaskan semua perasaan sakit hati yang terkumpul selama ini.
      Apabila anda berdepan dengan bos yang pemarah, panas baran atau “cepat naik angin”, biarkan saja dia melepaskan kemarahannya selagimana dia mahu. Beri peluang untuk dia lepaskan kesemua yang terbuku di hatinya. Dia gunakan kemarahannya itu pada anda sebagai cara untuk dia lepaskan geram. Elakkan untuk memberi apa-apa respon pada waktu itu. Lama kelamaan bila keadaannya sudah reda, bila geramnya sudah hilang “power”, dia akan menjadi seseorang yang amat baik. Masa inilah anda boleh gunakan untuk mendekatinya. Pastikan suasana ketika itu sunyi, bebas dari apa jua gangguan. Beritahu bos anda yang anda faham dengan situasi-situasi sukar yang dihadapi olehnya.
      Pasti hatinya luluh dengan keikhlasan anda. Bos anda akan menganggap anda seorang kakitangan yang boleh dipercayai. Selepas itu, setiap kali anda berdepan dengannya atau duduk berhampiran dengannya, anda akan merasa selesa, tidak ada lagi perasaan takut-takut atau segan-segan.
      Setiap orang yang kena marah memang agak sukar untuk melupakan rasa dimarahi itu, melainkan kita mengganggap yang kita sedang memberi peluang kepada bos kita untuk melepaskan tekanan yang telah lama terbuku di hatinya. Inilah caranya untuk kita memiliki ketahanan apabila dimarahi. Bersangka baiklah dengan kemarahan orang yang memarahi anda!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: