Dosa tanggung sendiri, tapi akibatnya?…

Pernahkah anda mendengar orang berkata; “kubur masing-masing, Jadi aku tak kacau korang buat apa la korang nak sibok jaga tepi kain orang lain..Dosa aku, aku tanggung. Kubur masing-masing, kamu punya kubur kamu jaga, aku punya kubur aku jaga”?!!

Pernah juga saya mendengar komentar seorang wanita berkenaan suruhan menutup aurat diajukan kepadanya, dengan nada kata-kata yang agak bangga ia menjawab; “eleh… peduli apa aku, nak tutup ke tak ke, itu hak aku… batang tubuh aku. Ikut suka akulah”.

Astaqfurullah..” itu saja lafaz yang mampu kita ucapkan. Moga Allah memberi hidayah serta keampunan kepada mereka.

Persoalannya sekarang, betulkah dakwaan mereka, dosa atau perbuatan maksiat yang kita buat hanya akan melibatkan kita seorang sahaja? Atau adakah bencana dan kesan daripada perbuatan itu akan melibatkan orang lain juga?


Iktibar disebalik kejadian

Suatu ketika saya telah diajukan persoalan oleh rakan facebook mengenai tafsiran ayat 48 surah an-Nahl yang bermaksud:

Apakah tidak mereka lihat barang sesuatu yang dijadikan Allah, yang beredar bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri, kerana sujud kepada Allah, sedang mereka adalah merendah diri?”

Apa yang anda faham maksud dari ayat ini? Dalam ayat ini Allah SWT mengkehendaki supaya kita melihat kepada kejadian alam yang diciptakan Allah SWT. Segala sesuatu yang memiliki keistimewaan dan kehebatan malahan kesemua yang diciptakanNya itu memiliki kesempurnaan dan kelebihan masing-masing serta mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu melengkapi antara satu sama lain. Namun pada umumnya kita dapati segala sesuatu itu mempunyai kaitan serta keperluan kepada kehidupan manusia secara tidak langsung.

“Apakah tidak mereka lihat barang sesuatu yang dijadikan Allah, yang beredar bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri, kerana sujud kepada Allah, sedang mereka adalah merendah diri?” An-Nahl:48

 

Yang beredar bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri” maksud kenyataan ini ialah melalui pengkhususan yang Allah SWT kehendaki untuk kita fahami serta fikirkan antara ciptaanNya itu ialah matahari, merujuk kepada cahayanya yang beredar dari timur ke barat setiap hari semenjak alam ini diciptakan. Suatu tempoh yang agak lama, dalam keadaan taat serta merendah diri pada ketentuan Allah SWT terhadapnya.

Walaupun sifat fizikal matahari lebih besar berbanding planet ciptaan Allah SWT yang terdekat dengan kita, namun ia tetap tunduk patuh, tidak menyombong diri dan membantah apa yang telah ditetapkan Allah kepadanya. Perjalanannya teratur malah dengan disiplin dan kepatuhan tersebut manusia dapat menetapkan waktu serta tarikh tanpa sebarang percanggahan.

Manusia melalui akal yang Allah SWT anugerahkan ini mengakui bahawa matahari adalah keperluan utama yang menentukan perjalanan serta kelangsungan kehidupan manusia melalui fungsinya, manfaat dari cahaya yang diterbitkannya serta segala planet yang tertumpu pada peredarannya memberi kemudahan dan kesejahteraan kepada hidupan yang mendiami alam ini khususnya di muka bumi.

Begitulah hebatnya penciptaan Allah SWT ini, suatu perbentangan fakta yang akal tidak mampu untuk menafikan kebenarannya. Namun disebalik kenyataan tersebut cuba kita andaikan keadaan sebaliknya berlaku, jika matahari tidak patuh malah menyombong diri dengan peraturan serta hukum Allah SWT padanya sebagaimana (boleh dikatakan hampir keseluruhan) manusia menyombong diri, bongkak serta mempertikaikan pula ketentuan Allah SWT kepada mereka. Apa akan jadi alam ini, bila matahari bersifat begitu?

Ya, tidak dapat digambarkan. Malahan mungkin segala planet akan berlanggaran sesama sendiri. Itulah akibatnya kalau alam juga bersifat sebagaimana manusia pasti kelangsungan kehidupan manusia di dunia ini tidak akan wujud malah membawa bencana yang besar bukan hanya kepada dirinya tetapi juga makhluk lain yang berada disekitarnya.

Justeru, Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang dan Maha lembut telah mengingatkan kita melalui firmanNya di dalam al-Quran Surat Al-Anfaal Ayat 25 maksudnya:

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya. .

Ayat ini Allah SWT menyatakan akibat dari dosa yang dilakukan oleh kita mengakibatkan bencana dari kemungkaran itu akan terkena kepada semua orang yang berada disekelilingnya.

Cuba kita fikirkan tentang kesalahan jenayah tidak menutup aurat. Kita mungkin memandang ringan sahaja kesalahan ini kerana ianya telah menjadi kebiasaan dikalangan masyarakat, malahan ada pula orang yang berlebih-lebih mendedahkan auratnya dengan hasrat supaya dirinya dipuji. Bahagiakah dia?.. baginya mungkin bahagia kalau orang tidak mengapa-apakannya tetapi dia telah membangkitkan perasaan dan gelora lelaki untuk mendapatkan suatu yang bukan haknya untuk dipuaskan. Maka akan terjadilah zina atau rogol.

Tidak kesiankah kita, angkara seorang wanita yang mendedahkan auratnya, berapa ramai lelaki yang tercabar nafsunya? Kalau yang beriman dan sedar tentang kesalahan melihat kepada aurat wanita yang bukan mahram, tidak henti-henti terpaksa bertaubat dan beristiqfar berhempas pulas memujuk nafsu. Bagi yang tiada imam pula, akan rosak fikirannya malah ia berada dalam alam fantasi yang direka sendiri untuk memuaskan kehendak nalurinya. Bertambah parah lagi bagi yang hilang sifat kemanusiaan dan pertimbangannya, akan mencari kepuasan melalui wanita yang lemah dan tidak agresif. Akhirnya yang jadi mangsa rogol ialah pelajar sekolah, wanita bertudung malah yang lebih dahsyat nenek yang dah tua pun menjadi sasaran nafsu yang telah terbuka suisnya.

Berapa ramai juga wanita yang diperdaya khususnya wanita yang asalnya bersopan dan bertudung. Sedangkan mereka ini mempunyai kelembutan, bersifat jujur dan mudah percaya tetapi lelaki yang telah dighairahkan nafsunya oleh penjenayah pendedah aurat tadi mempunyai agendanya tersendiri akan mempermainkan kejujurannya. Begitulah kesudahannya angkara yang berlaku hanya melalui kesalahan jenayah pendedahan aurat membawa kepada perzina, perogolan, ugutan dan ke peringkat pembunuhan.

Ini hanya kesan dari jenayah dedah aurat, cuba perhatiankan kepada jenayah lain pula. Akibatnya kita berada dalam kehidupan yang penuh dengan kecelaruan, himpitan, ketakutan dan perlbagai perkara yang menyebabkan kita sudah tidak aman dan hilang ketenangan dalam hidup.

 

Islam menyediakan penyelesaian

Justeru Islam menyediakan panduan yang lengkap untuk menjaga manusia dari terus berada dalam kemusnahan. Diturunkan Al-Quran sebagai panduan yang memperjelaskan kepada manusia tentang sebuah kehidupan yang sempurna. Rasul diutus Allah untuk menjadi model yang manusia mampu mengikutinya serta mencontohinya. Supaya menjadi manusia yang mematuhi kepada fitrah sempurna yang Allah sediakan kepada manusia.

Walaupun kebanyakkan manusia menafikan tentang kebenaran serta memperkotak katikkan arahan Allah, namun tidak semua perkara akal mampu menyelesaikannya walaupun kebanyakan akal manusia menimbang melalui logiknya perkara tersebut.

Benarkah akal itu “super power” kepada manusia yang menyebabkan manusia menolak panduan Allah?

Banyak perkara akal akan menipu kita, tanpa kita sedari. Cuba kita teliti suatu perkara yang selalu berlaku kepada kita. Jika kita demam deria rasa yang ada pada lidah akan menipu kita. Minumam yang manis dirasanya pahit, payau. Boleh dikatakan semua deria yang ada pada kita akan menipu kita. Bolehkah kita berpegang pada penilaian akal pada ketika itu?

Sebab itu manusia tidak layak menilai hanya pada rasa atau nalurinya sahaja. Sedangkan perasaan tadi akan dibuat telahan oleh akalnya, yang menyebabkan kita tersalah buat pilihan dan tindakan jika tidak dipandu oleh al-Quran

Kesimpulannya

Sekiranya ada yang mengatakan bahawa “kenapa perlu sibuk jaga tepi kain orang?” Saya menjawab “orang gila pun akan tegur orang yang berseluar koyak”. Bolehkah orang yang berseluar koyak itu menjawab “ini seluar aku, aku punya pasallah!” Lihatlah kebodohan orang yang berseluar koyak ini, apabila ditegur tentang keAIBan dirinya, dimarahi pula orang itu.

Kembalilah kepada kenyataan, kita adalah makhluk yang mulia kalau kita mampu mengunakan akal berpandukan ilmu dari al-Quran tetapi kita akan menjadi hina jika akal yang dikawal nafsu menjadi panduan kita. Fikirkanlah…

 

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 22 Oktober 2010, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 3 Komen.

  1. Ada satu pepatah terkenal yang menggambarkan sikap peduli masyarakat terhadap hal ehwal orang lain. Pepatah yang dimaksudkan ialah ‘jangan jaga tepi kain orang’ yang membawa maksud, jangan ambil peduli hal orang lain.Persoalannya, adakah pepatah ini masih relevan dengan cara hidup kita hari ini? Lebih-lebih lagi, bagi orang Islam adakah pepatah itu selaras dengan tuntutan agama? Sebenarnya pepatah ini mempunyai pro dan kontranya, bergantung dari sudut mana kita melihatnya.Sekiranya pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’ ini membawa maksud buangkan sifat ingin tahu yang berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban seseorang, maka memang layak pepatah ini diamalkan.
    Namun apa yang ingin dilihat di sebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu molek diamalkan ini ialah ia masih tetap relevan dengan tuntutan kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin ia terpaksa diubah dari ‘jangan jaga tepi kain orang’ kepada ‘tolong jaga tepi kain orang’. Apa yang ingin dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman dan selamat seperti suatu masa dahulu.

    Di mana salah satu puncanya adalah runtuhnya institusi kejiranan dan lemahnya institusi kekeluargaan. Jiran sudah tidak lagi mengenali jirannya dan saudara-mara pun jarang sekali ingin bersemuka dan bertanya khabar.

    Rasa tanggungjawab dan kepekaan ini mungkin boleh menyelamatkan masyarakat kita daripada terus diceroboh dengan masalah pembuangan bayi, mendera anak-anak ataupun pedofilia yang sering mengambil kesempatan daripada kecuaian dan kelalaian ibu bapa.

    Mesej jelas daripada senario kehidupan masyarakat kita ini menggambarkan bahawa mahu tidak mahu rasa prihatin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran hidup kini mesti diwujudkan semula.Dan pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’ perlu diubah kepada ‘tolong jaga tepi kain orang’ sekiranya kita inginkan suasana yang lebih aman dan selamat.

  2. Assalamu’alaikum..

    Saya setuju dengan pandangan En. Roslan Tahir.. Disebabkan sikap tidak ambil pedulilah yg merebaknya pelbagai gejala dalam masyarakat.

  3. Semua manusia mempunyai dosa,cuma kadarnya sahaja berbeza di antara satu sama lain, hanya nabi dan rasul sahaja maksum ( tiada dosa). Dosa berlaku apabila kita melanggar perintah Allah, seperti meninggalkan suruhan dan melanggar larangan-Nya. Setiap kesalahan akan dicatat dan direkodkan oleh malaikat yang ditugaskan Allah dan catatan tersebut akan dibentangkan pada Hari Akhirat untuk dihisab atau dihitungkannya, sekiranya tidak diampunkan akan dimasukkan ke dalam neraka mengikut keadaannya masing-masing.

    Ketika sebelum baligh.
    Kanak-kanak belum baligh tiada sebarang dosa kerana mereka tiada apa-apa tanggungjawab, mereka ini dianggap putih bersih seperti kain putih.Oleh itu manusia tidak boleh dikaitkan dengan dosa sebaik sahaja mereka dilahirkan sehinggalah mereka baligh.

    Orang dewasa, ibu bapa atau waris berkewajipan mendidik kanak-kanak yang belum baligh yang di bawah jagaan masing-masing. Sekurang-kurangnya memberi pelajaran yang dikategorikan sebagai Fardu ‘Ain, di mana pelajaran ini diwajibkan ke atas orang Islam yang telah baligh mengetahui dan menguasainya, kurikulumnya mencakup perkara asas panduan hidup bagi orang Islam.

    Sekiranya kanak-kanak di peringkat ini melakukan kesalah atau melanggar perintah Allah kerana kelalaian waris mendidiknya, maka warisnya berdosa di atas kelalaian itu, walaupun kanak-kanak itu tidak melakukan kesalahan waris tetap berdosa di atas mengabaikan tanggungjawabnya sebagai waris. Dosa tersebut bukanlah dosa kanak-kanak itu kerana seperti dinyatakan tadi bahawa mereka itu tiada dosa, dosa itu adalah dosa waris itu sendiri, dalam hukum Islam seseorang itu tidak dibebankan dengan menanggung dosa orang lain. Kita hanya menanggung dosa kita sendiri. Kalau pendidikan telah diberikan dengan sempurna tetapi kanak-kanak itu masih melanggar larangan Allah , maka tiadalah apa-apa dosa ke atas waris mahupun ke atas kanak-kanak itu disebabkan mereka itu belum baligh lagi.

    Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: