Mengintai waktu-waktu terluang dalam hidup kita

Setiap muslim meyakini bahawa setiap detik masa yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia merupakan saat-saat yang sangat berharga. Ia perlu digunakan sebaik mungkin untuk melakukan pekerjaan yang diredhai oleh Allah agar akhirnya mendapat ganjaran syurga di alam abadi. Allah berfirman:

Maksudnya: “Demi masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman dan melakukan pekerjaan yang baik, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

(Surah al-Asr: 1-3)

Dalam keadaan begitu Islam membenarkan manusia untuk mengambil sedikit ruang masa untuk berhibur dan bergurau senda kerana itulah fitrah manusia. Imam Muslim meriwayatkan satu cerita tentang seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah.

Suatu hari ketika bertembung Abu Bakar bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaan kamu wahai Hanzalah?” Hanzalah lalu menjawab: “Hanzalah telah berpura-pura.” Abu Bakar terkejut mendengar jawapan Hanzalah lalu bertanya maksud ungkapannya itu. Jawab Hanzalah: “Kami ketika berada di sisi Rasululullah selalu diperingatkan dengan neraka dan syurga hingga kita terasa bagaikan kedua-duanya berada di hadapan mata. Tetapi apabila kita keluar meninggalkan Rasululullah sallalahu alaihi wasallam kita mula sibuk dengan isteri dan anak-anak serta harta benda. Dengan itu banyak perkara yang kita lupakan.”Sambut Abu Bakar: “Demi Allah kami juga mengalami perkara yang sama.” Mereka berdua lantas bertemu dengan Rasululullah sallallahu alaihi wasallam mengadu tentang apa yang mereka rasai dan alami. Baginda lalu bersabda: “Demi jiwaku yang berada di tanganNya. Sesungguhnya sekiranya kamu berterusan dengan kelakuan kamu ketika bersamaku dan berterusan dalam keadaan zikir, tentu para Malaikat Allah akan bersalam-salaman dengan kamu di tempat pembaringan dan di jalanan kamu. Tetapi wahai Hanzalah, ada ketika-ketikanya, ada ketika-ketikanya, ada ketika-ketikanya (baginda mengulanginya tiga kali)”. Hadis riwayat Muslim-Kitab Taubah, Tirmizi-Kitab Sifat al-Qiyamah, Ibn Majah-Kitab al-Zuhd dan Ahmad.

Justeru hadis di atas menjelaskan kepada kita kewujudan sifat fitrah manusia yang inginkan sedikit masa untuk menghiburkan hati. Ibn Qayyim berpendapat, setiap orang perlu mendapatkan ruang yang cukup untuk menghiburkan hati dan berehat untuk menghilangkan kepenatan dan keletihan, memperbaharui kecergasan dan daya kerja dan memperkuatkan tenaga untuk bergerak. Secara umumnya, hiburan itu adalah sesuatu yang diharuskan Islam.

Dalam memenuhi tuntutan fitrah ini, khalayak masyarakat lebih tertarik untuk menjadikan nyanyian sebagai salah satu cara untuk berhibur. Lihat sahaja apabila konsert, pesta nyanyian, program realiti berkonsepkan nyanyian atau lawak jenaka dianjurkan, ianya akan mendapat sambutan yang begitu merangsangkan sekali.

Namun Islam telah menetapkan bahawa ia mestilah dilakukan secara sederhana dan tidak keterlaluan sehingga melalaikan manusia daripada mengingati Allah Subhanahu Wata’ala. Prof. Dr. Yusuf Qardhawi telah memberikan beberapa garis panduan yang harus dipelihara ketika berhibur terutamanya hiburan yang berbentuk nyanyian, antaranya:-

1. Tema atau isi kandungan lagu itu mestilah sesuai dengan adab dan ajaran Islam.

2. Tidak boleh mengalunkan suaranya dengan tujuan membangkitkan rangsangan berahi.

3. Tidak ada percampuran bebas antara lelaki dan wanita dan sebagainya.

Sekiranya garis panduan tersebut tidak dipatuhi, maka hukum harus pada nyanyian tersebut boleh berubah menjadi syubhat atau pun haram.

Aktiviti-aktiviti hiburan yang dijalankan pada masa kini kebanyakannya tidak memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan. Bahkan kita dapati kebanyakannya dipenuhi dengan unsur-unsur yang melalaikan seperti terlalu memuja kecantikan manusia, senikata yang berunsur percintaan yang mengasyikkan, lawak jenaka yang berlebih-lebihan, mendedahkan aurat, gaya tarian yang menggiurkan dan lain-lain lagi. Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa hiburan-hiburan sebegini begitu mudah mempengaruhi jiwa anak-anak remaja kita.

Berdasarkan kajian-kajian tersebut, bolehlah dikatakan bahawa masyarakat di tanahair kita, terutamanya golongan remaja amat meminati hiburan seperti ini di samping hiburan lain yang diimport dari luar. Kita telah sedia maklum bahawa kesemua jenis muzik yang disebutkan itu merupakan sumber penyebaran budaya negatif di kalangan masyarakat kita. Pembawaan muzik ini amat pantas mempengaruhi identiti dan penampilan anak-anak muda kita. Di antara contoh yang sering kita lihat adalah cara mereka berpakaian yang sering berubah mengikut trend yang dibawa oleh artis-artis yang mereka minati.

Ada yang mewarnakan rambut, ada juga kaum lelaki yang bertindik, memakai anting-anting, ada yang memakai seluar londeh, baju T singkat sehingga menampakkan pusat dan lain-lain lagi. Kesemua ini dilakukan semata-mata kerana ingin meniru gaya yang dibawakan oleh artis-artis kesayangan mereka.

Seringkali kita lihat di dalam konsert-konsert ini, para penonton terutamanya anak-anak muda akan terjerit-jerit apabila seorang artis menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka. Mereka melonjak-lonjak dan menari sesama mereka dalam keadaan yang sukar dikawal. Selain daripada itu, penampilan buruk sebahagian para artis ini juga sering dijadikan ikutan mereka.

Keadaan ini menunjukkan betapa identiti mereka sebagai umat Islam sangat tercemar. Pergaulan di kalangan anak-anak muda yang tidak terkawal ini sebenarnya merupakan antara punca berlakunya masalah-masalah sosial lain yang lebih serius. Antaranya;

1. Masalah lari dari rumah.

2. Masalah zina dan bersekedudukan di kalangan remaja.

3. Masalah anak luar nikah.

4. Pembuangan bayi dan lain-lain lagi.

Tidak ketinggalan juga, fenomena ini terdapat di kalangan orang-orang dewasa dan lanjut usia. Ada di kalangan mereka terlibat dengan hiburan yang melalaikan seperti dangdut dan karaoke.

Dalam suasana lalai sebegini, bagaimanakah mereka mampu menunaikan tuntutan solat yang diwajibkan ke atas diri mereka apabila tiba waktunya?.

Amatlah malang bagi mereka yang melalui situasi sebegini. Mereka hanya inginkan keseronokan hidup tanpa memikirkan dosa atau pun pahala. Walhal, sebagai seorang muslim, kita seharusnya sentiasa menyedari hakikat bahawa Allah menciptakan manusia bukan untuk berseronok-seronok tetapi yang lebih utama adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam surah Al-Mukminun ayat ke 115;

Maksudnya: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”.

Sebenarnya, dalam Islam, hiburan seharusnya dapat memberikan kerehatan kepada manusia setelah penat bekerja seharian. Hiburan juga seharusnya dapat menghilangkan kerisauan dan kedukaan yang dialami oleh manusia. Seterusnya dapat memberikan ketenangan dan keselesaan kepada mereka untuk melaksanakan ibadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Selain daripada itu, hiburan juga seharusnya dijadikan sebagai salah satu wasilah untuk mendidik generasi muda ke arah kebaikan.

Namun realitinya sekarang ini, kebanyakan hiburan yang dipertontonkan sudah menyimpang jauh dari tujuannya yang asal. Ianya lebih bersifat komersial dan mencari keuntungan semata-mata tanpa memikirkan baik buruknya.

Oleh itu, hiburan-hiburan yang menyimpang ini mestilah dikawal daripada terus merosakkan akhlak masyarakat kita terutamanya muda mudi. Manakala rancangan-rancangan yang lebih bermanfaat di media elektronik hendaklah diperbanyakkan seperti rancangan berbentuk ilmiah dan maklumat semasa, yang seharusnya lebih ditonjolkan sebagai alternatif yang baik kepada masyarakat kita. Mudah-mudahan dengan cara ini akan dapat mendidik dan membentuk masyarakat terutamanya generasi muda menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 12 November 2010, in Ketepatan Masa. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: