Pulangnya seorang Tetamu Allah

Saat perpisahan dengan Baitullah adalah merupakan detik yang amat mencengkam hati dan perasaan. Perasaan sedih yang bukan dibuat-buat, tetapi sebuah kepiluan yang sarat dengan pengharapan kepada Ilahi moga pertemuan ini bukanlah detik terakhir dalam sebuah perjalanan seorang hamba. Saya merenung kaabah buat kali terakhir setelah selesai melaksanakan tawaf wada’. Membetuli pintu kaabah saya memohon kepada Allah agar diri ini dijemput lagi menjadi tetamuNya di ketika yang lain. Air mata kesayuan laju mengalir membasahi pipi penuh pengharapan dan keazaman.

Menunaikan haji memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit

Mengimbau saat pertama kali menjejakkan kaki ke tanah haram dan berpisah dengannya adalah suatu pengalaman yang sukar digambarkan walaupun peluang mengunjunginya masih lagi diberi oleh Yang Maha Esa namun perasaannya tetap sama.  Apa yang pasti setiap kita akan teruja kerana impian untuk melaksanakan tuntutan agama dalam rukun Islam yang kelima ini membawa pengertian yang cukup hebat kepada insan yang beriman kepada Yang Maha Esa dan merasai hikmahnya.

Setiap kita inginkan yang terbaik dalam beribadah, khususnya ibadah haji yang menjadi kemuncak pengabdian kita kepada Allah. Disebalik pensyariatan ibadah ini, Allah SWT ingin mendidik manusia beriman yang patuh serta memahami perjalanannya agar dapat mendidik rohani dan akhlak menjadi manusia sempurna dari segi penghayatan dan bersyukur dengan sebuah kehidupan yang dianugerahkan Allah kepadanya. Firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 96 dan 97:

Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Allah) ialah baitulLah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaanNya, diantaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekelian makhluk.”

Sesungguhnya segala ketaatan dalam beribadah yang dilakukan manfaatnya adalah untuk kita kerana Allah tidak berhajat kepada segalanya. Allah SWT tetap mulia, hebat dan agong walaupun seluruh makhluk kufur kepadaNya.

Justeru apakah yang perlu kita fahami dari ibadah ini agar ianya kekal menjadi momentum kecemerlangan diri yang seiring dari segi tindakan dan peningkatan keimanan dan ketaqwaan?.

Pulang dengan perubahan

Seseorang tetamu Allah akan beroleh keberhasilan dalam amalan hajinya samaada diterima Allah atau tidak. Bagi menilai status haji, adakah kita pulang dengan keuntungan dan keampunan dari Allah atau hanya sekadar sah perlaksanaannya tanpa apa-apa pahala atau tertolak terus haji kita? Kita seharusnya menilai semula tahap perlaksanaan ibadah tersebut. Menurut pandangan masyhur dikalangan ulama’ penerimaan ibadah haji di sisi Allah SWT mempunyai empat peringkat yang berbeza;

Pertama, Haji Mardud ialah haji yang tidak diterima oleh Allah SWT. Apakah sebab hajinya tidak diterima? Keadaan ini berlaku adalah kerana sewaktu melaksanakan ibadah tersebut terdapat kekurangan syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab yang lain seperti pelanggaran pantang larang semasa ihram yang menyebabkan hajinya tidak sah pada pandangan syarak maka secara lansung hajinya tidak diterima dan ditolak oleh Allah SWT. Bagi mereka yang berstatus ini wajib menqadakan hajinya pada tahun hadapan.

Oleh sebab itu, bagi mengelak berlakunya kesilapan ini, para jemaah dinasihatkan supaya mengikuti kursus sebanyak mungkin iaitu sebelum pergi, semasa di tanah suci dan ‘post mortem’ setelah selesai melaksanakannya sehingga betul-betul dapat menguasai ibadah tersebut. Jika berlaku kekeliruan maka hendaklah segera merujuk kepada guru-guru yang bertauliah dan elakkan dari merujuk kepada mereka yang berlagak pandai tetapi tidak mempunyai asas pengetahuan yang kuat berkenaan ibadah haji.

Boleh jadi juga hajinya tidak diterima adalah disebabkan kehadirannya belum diterima sepenuhnya oleh Allah SWT. Melalui pengalaman saya, ada juga dikalangan jemaah yang pada asalnya sihat mentalnya tetapi bila sampai sahaja waktu melaksanakan rukun-rukun haji khususnya wukuf di Arafah, ia menjadi tidak siuman seolah-olah telah hilang ingatan. Kenapa boleh jadi yang demikian? Bila diselidiki, rupa-rupanya jemaah tersebut masih lagi belum bersedia dari segi rohaninya untuk bertemu Allah SWT, dari segi maksiatnya dan taubatnya yang masih lagi belum sempurna ditunaikan haknya.

Kedua, haji Maqbul ialah haji yang sah dan diterima oleh Allah SWT dan orang yang mengerjakan haji maqbul ini dianggap sebagai telah menunaikan perintah Allah dan telah menyempurnakan rukun Islam yang ke lima tanpa diberi ganjaran pahala.

Kenapa terjadi demikian, sah tetapi tidak mendapat pahala? Ini adalah kerana ia melakukan ibadah haji tanpa disertai dengan penghayatan dan kesungguhan. Cukup syaratnya tetapi dalam perlaksanaannya ada kecuaian dari segi sikap dan akhlak seperti sombong, angkuh, rasa hebat, boros, dengki, dan segala penyakit hati yang menyebabkan seseorang itu merasakan ibadah haji ini umpama satu percutian sahaja. Sedangkan konsep haji yang diterapkan oleh Allah SWT ialah melalui pembentukan sikap dan akhlak, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 197:

Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadah) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertangkar dalam masa mengerjakan ibadah haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri, dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

Keadaan ini juga mungkin mudah berlaku kepada golongan hartawan dan berpangkat. Bila datangnya mereka menjadi tetamu Allah dalam keadaan statusnya yang hebat, hendak dilayan bagaikan raja yang penuh dengan kesenangan dan kemewahan hinggakan kadang-kala hilang rasa susah dan pengorbanan. Keadaan inilah yang menyebabkan rasiko tidak mendapat pahala adalah tinggi. Malahan akan terdedah kepada maksiat dan dosa.

Bagi golongan ini biasanya ia mengharapkan kepuasan, “berapa yang kami bayar begitulah khidmat yang kami harapkan”. Mereka akan mudah melenting dengan perkara-perkara remeh dalam perkhidmatan seperti kesesakan lalulintas, bilik yang kurang selesa, penghawa dingin rosak, tv yang tidak ada siaran antarabangsa, masakan yang tidak menepati citarasa dan bermacam-macam lagi sehinggakan terdapat juga mereka yang sanggup bertengkar disebabkan kerana tali bag putus, masyaallah.

Malahan mereka lebih suka mengambil jalan pintas untuk beribadah. Apa yang mereka harapkan ialah segala kemudahan dari A sampai Z dalam ibadah. Tempat hendaklah selesa, perkhidmatan mestilah pantas, kurangkan kesesakan tidak kiralah sama ada semasa tawaf, saie, berwukuf, melontar malahan solat pun biarlah mudah hanya di hotel sahaja. Bolehkah kita bayangkan keadaan ini? Justeru mereka ini telah memperolehi kesenangan dan kemudahan itu maka layaklah mereka tidak mendapat ganjaran pada sisi Allah disebabkan sikap mereka yang masih merasa tuan. Sedangkan sepatutnya mereka lebih mendidik diri merasai diri hamba kepada Allah dengan bersikap merendah diri sesama manusia dan sanggup berkorban seperti orang lain yang susah dalam beribadah.

Walaupun benar mereka telah berkorban ribuan ringgit, lebih dari orang kebanyakkan disebabkan kekayaan mereka. Namun cabaran yang paling besar buat mereka ialah bagaimana hendak melentur sifat angkuh, suka memberi arahan, menganggap orang lain rendah dan hina, tidak bertolak ansur dan sebagainya. Kerana dalam keadaan sebegitu mereka mampu mencapai apa yang dihajati dengan hanya menghulurkan wang dari kekayaan mereka. Apa yang hendak dididik oleh Allah SWT sepanjang proses ibadah ini ialah sifat sama rata, tidak merasa mulia, saling membantu walaupun yang dibantu itu kita yang membayar upahnya.

Begitulah nilai dan hikmah yang diterapkan Allah SWT dalam ibadah haji. Berdasarkan latarbelakang kemampuan harta dan persiapan minda yang telah bersedia untuk diuji dan didik oleh suasana dan persekitaran disamping perlaksanaan khusus bermula dari azam sejak keluar dari rumah hinggalah kita pulang semula ke pangkuan keluarga. Jika kita telah bersedia dan mampu menjalaninya dengan sempurna maka peluang untuk mengapai tingkatan ketiga amat cerah iaitu Haji Makhsus.

Sebagaimana yang didefinasikan olah ulama’ Haji Makhsus ialah ibadah haji yang dikerjakan oleh orang-orang yang tertentu yang sempurna segala syarat dan rukunnya, ia bukan sahaja sekadar dianggap sah dan diterima oleh Allah tetapi diampunkan segala dosanya. Haji ini termasuk dalam kategori apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ibnu Majah, An-Nasai dan Ahmad daripada Abu Hurairah yang bermaksud:

“Sesiapa yang menunaikan ibadah Haji, tidak ia melakukan keburukan dan kekejian, maka kembalilah ia seperti hari yang dilahirkan oleh ibunya

Tingkatan keempat, tingkatan yang tertinggi ialah Haji Mabrur. Inilah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa serta amat didambakan oleh hamba yang bertaqwa. Haji ini bukan sahaja sekadar dianggap menunaikan kewajipan, tetapi selain dari diberi keampunan dari segala dosa, ia juga akan dimasukkan ke dalam syurga. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani daripada Abdullah ibnu Abas RA yang bermaksud :

“Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa yang terjadi antara keduanya. Haji mabrur itu, tiadalah lain lagi ganjarannya melainkan Syurga”

Bagaimanakah haji mabrur ini membezakannya dengan haji makhsus, sedangkan tahap haji makhsus saja sudah mengambarkan kelebihan diampunkan dosa, bukankah itu telah memadai?

Adakah cukup dengan pengampunan dosa tanpa ada jaminan syurga?. Tentulah tidak memadai, kerana yang penting di akhirat nanti ialah kejayaan kita mendapat keredhaan Allah melalui balasan syurga yang disediakannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa dia berkata: “Saya bertanya kepada Nabi SAW: Saya mendapat tahu bahawa berjuang di medan jihad adalah seafdhal-afdhal amal. Tidakkah boleh kami (kaum wanita) ikut berjuang? Sabda baginda: Tetapi seafdhal-afdhal jihad ialah haji yang mabrur”.

Menunaikan haji memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Bukan hanya pengorbanan harta, masa dan tenaga tetapi lebih dari itu. Pengorbanan yang diperlu dicurahkan umpama seorang pejuang yang akan turun ke medan jihad. Segalanya diserahkan kepada yang Maha Esa. Harta benda, anak-pinak, jiwa-raga, minda dan perasaan. Pemergian yang bukan main-main atau sekadar melepaskan sebuah tanggungjawab tetapi pergi dengan dua tujuan syahid atau menang.

Bayangkan bagaimanakah persiapan kita jika dicalonkan sebagai seorang pejuang yang akan ke medan pertempuran. Pertama sekali, kita akan mencari dan mengisi minda dengan ilmu dan pengetahuan dengan bersungguh-sungguh untuk mengetahui teknik mempertahankan diri, mengunakan sejata, teknik pertempuran dan sebagainya kerana tanpa pengetahuan yang cukup ini, ia akan mendedahkan kita kepada bahaya kecederaan dan kematian. Musuh akan senantiasa mencari kelemahan kita tersilap langkah atau tercuai seketika maka celaka padahnya.

Disamping itu juga kita akan mempersiapkan diri dengan kelengkapan dan bekalan fizikal dengan secukupnya setanding atau melebihi dari ancaman dan bahaya yang tidak diduga yang bakal kita tempuhi.

Begitu juga apabila keluar dari rumah kita sudah bernekad akan melakukan yang terbaik kerana pertemuan inilah mungkin yang terakhir dengan sanak-saudara kita. Jika kita tiadak bersungguh-sungguh mendapatkan kemenangan kemungkinan kita pulang hanya akan jadi sebuah impian.

Begitulah sebuah gambaran yang semestinya kita fahami jika inginkan ganjaran haji mabrur ini menjadi milik kita.

Persoalannya sekarang, bagaimanakah persiapan yang telah kita siapkan sebelum menjejakkan kaki ke tanah haram? Persiapan ilmu, emosi, penghayatan, pengorbanan, harta dan sebagainya. Di tahap manakah kesungguhan kita?. Sebenarnya kita mampu menjawap sendiri persoalan itu. Sekarang terpulanglah kepada anda wahai para tetamu Allah, bagaimana kesudahan yang anda dambakan?. Kepulangmu amat bermakna buat dirimu sendiri. Moga mendapat haji yang mabrur, ameen.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 24 November 2010, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. Assalammu’alaikum,
    Bolehkah ana share apabila berkunjung ke laman ini tanpa meminta izin lagi?

    • Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

      Wa’alaikumsalam, dipersilakan. Apa yang dipaparkan diblog ini adalah bertujuan utk berdakwah dan memberi kefahaman ttg agama. Mana yg kurang tlg perbetulkan.. mana yang baik perpanjangkanlah. Moga usaha kita diberkati Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: