Muhasabah Haji: Adakah ibadah haji kita mengandungi kecacatan ataupun tidak?
Pertama sekali hendaklah kita fahami bahawasanya ibadah haji yang dilaksanakan adalah suatu ibadah yang wajib kita laksanakan. Ia adalah ketetapan agama, yang akan menjadi wajib apabila kita mampu melakukannya. Ibadah haji sama halnya dengan perintah mendirikan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat dan membaca al-Quran. Tujuannya supaya kita mahu mendekatkan diri kepada Allah, bukannya kita mahu mendapatkan status gelaran haji atau hajjah. Tidak juga hanya kerana gambaran keajaiban, keseronokan dan ketenangan yang diperolehi ketika melaksanakannya, sepertimana yang gembar-gembur oleh kebanyakkan orang. Dengan itu, kita menjadi bersemangat melaksanakannya.

Haji membina keperibadian manusia beriman
Tujuan dan niat kita hendaklah jelas, ini kerana boleh jadi kita menjadi hamba kepada ibadah jika sekiranya tujuan dan matlamat kita hanya mengharapkan keajaiban dan manfaat dari ibadah haji yang kita laksanakan. Inilah yang berlaku kepada kebanyakkan kita. Bila minda dan ingatan sudah tertanam rasa takut untuk membuat kesalahan sebelum dan semasa melaksanakan ibadah haji hanya kerana Allah membayar ‘cash’ dengan segala niat dan tindakan kita. Kalau bercakap angkuh atau sombong, Allah datangkan peringatan dalam bentuk pengajaran yang menyakitkan. Atau bersemangat membuat kebaikan, kebajikan dan ibadah kerana seolah-olahnya Allah hanya pada ketika dan di situ sahaja maha menerima dan memakbulkan segala doa dan ibadah yang kita lakukan. Perkara ini pastinya memberi kesan ujian yang mencabar keyakinan kepada Allah. Keyakinan kita mungkin hanya berwaktu dan bertempat. Sedangkan bila kita sudah selesai menunaikan haji dan pulang ke pangkuan keluarga kita masih lagi memiliki sikap dan akhlak yang tidak baik. Sama seperti sebelumnya. Hanya di tanah haram sahaja!
Ia sama seperti orang yang mendirikan solat. Setiap hari dia mengerjakan solat tetapi dia tetap juga melakukan maksiat. Dengan kata lain, kita lupa yang kita memerlukan syarat-syarat tertentu supaya ibadah haji yang kita laksanakan memiliki kesan yang signifikan.
Mari kita fahami. Dalam solat contohnya, solat itu bukan bertujuan menjadikan seseorang itu seorang Islam tetapi solat adalah cara bagi mencapai tujuan hidup sebagai orang Islam iaitu mendapat keredhaan Allah. Dengan kata lain, Allah adalah pusat daripada tujuan kita solat.
Tidak hanya solat, bahkan semua suruhan yang diperintahkan oleh Allah dalam agama, apa yang disunahkan, apa yang dibolehkan, makruh dan haram itu bertujuan bagi mendapatkan keredhaan Allah. Ungkapan yang selalu kita lafazkan; “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah.” Tidak ada tujuan lain kecuali Allah sebagai tujuan solat, ibadah, hidup dan mati kita.
Bila terdapat kecacatan pada niat dan tujuan ia akan menyebabkan matlamat mengapai haji yang mabrur akan semakin hilang. Kita akan hilang fokus dan matlamat untuk mendidik jiwa. Akan hilang juga khusyuk serta hikmah dari ibadah tersebut.
Kedua, ketidak-prihatinan kita semasa melaksanakan rukun-rukun dan wajib-wajib haji juga akan menyebabkan kekurangan malahan kecacatan kepada ibadah haji kita. Perkara yang paling utama yang perlu dijaga ialah pantang larang semasa ihram. Kita hendaklah jujur dengan diri sendiri kerana perkara-perkara yang berkaitan pantang larang dalam ihram hanya kita dengan Allah sahaja yang mengetahuinya. Samalah keadaannya sebagaimana kita berpuasa. Jika sekiranya melanggari batasan syarak ketika berpuasa maka batallah puasa pada hari itu. Dalam ibadah haji dan umrah pula jika terlanggar pantang larang tersebut hendaklah segera ditunaikan dam yang wajib ke atas kita. Jika tidak akan rosak dan tidak sempurnalah ibadah kita. Jangan pula ditangguhkan, dikhuatiri akan terlupa atau terabai melaksanakannya.
Seringkali dalam ceramah kursus ibadah haji dan umrah, saya cadangkan supaya diadakan buka nota kecil. Tujuannya adalah untuk mencatat apa-apa kemusykilan yang mungkin timbul semasa melaksanakan ibadah haji atau umrah khususnya berkaitan perlanggaran pantang-larang, supaya tidak terlupa dan dapat dilunaskan damnya, kalau sekiranya ada.
Ketiga, menjaga adab tamu sebagai tetamu Allah. Sebagai tetamu Allah adakah kita telah benar-benar sebagai tetamu-Nya atau sebaliknya? Inilah yang sama-sama kita insafi dan harus difikirkan. Walau apa pun kelas pemergian kita ke tanah suci, walau apa pun darjat pakejnya, sama ada yang termahal atau yang paling minimum, yakinlah kita punya tanggungjawab yang sangat besar. Seumpama kita mendapat jemputan menghadap raja atau sultan. Sudah tentu banyak protokol, perkara rasmi dan serba-serbi persiapan yang perlu kita lakukan dan patuhi. Apatah lagi sebagai tetamu Allah.
Apa yang Allah suka dan tidak suka kepada para tetamu-Nya? Sebelum itu mari kita kenali para tetamu Allah. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim bahawa Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon kepadanya, pasti diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan kepadaNya, pasti diampunkan.”
(Riwayatkan oleh Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim)
Orang yang menunaikan umrah dan haji adalah para tetamu Allah. Mereka tergolong dalam dua kategori;
- Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
- Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
Kedua-dua golongan ini termasuk dalam jaminan Allah, iaitu doa dan taubat mereka akan dimakbulkan Allah. Namun terdapat perbezaan dari segi layanan Allah kepada mereka setelah mana mereka tersenarai dalam jemputan-Nya.
Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya adalah dikalangan mereka yang telah membuat persiapan seawal niat dan azam untuk menunaikan haji lagi. Mereka telah mempersiapkan diri dengan keperluan batiniah melalui taubat yang bersungguh-sungguh serta memperbanyakkan doa khusus supaya dijemput sebagai tetamu-Nya. Begitu juga mereka mempersiapkan diri dengan ilmu amali ibadah haji dan umrah seawal mungkin agar jelas dan timbul rasa keyakinan di dalam hati. Ibadah fardu yang lain juga tidak ketinggalan seperti solat, berzakat dan puasa diperkemaskan dan ditunaikan dengan sebaik mungkin. Hubungan sesama manusia diperbaiki, jika ada dosa dan pernah membuat kejahatan kepada orang maka bersegera memohon kemaafan kepada mereka. Dijelaskan segala hutang yang mampu dijelaskan dan mempersiapkan keperluan segala bebanan dan tanggungjawab yang bakal ditinggalkan. Mereka ikhlas memperlakukan demikian demi kerana mencari redhanya tuhan.
Keikhlasan mereka itu adalah antara penyebab segala urusan mereka dipermudahkan Allah malah sepanjang menunaikan ibadah haji dan umrah juga akan berada dalam ketenangan dan dilimpahi bantuan dari Allah. Mereka ini telah benar-benar menghayati dan mempraktikkan suruhan Allah sebagaimana firman Allah:
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri, dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”
(Surah al-Baqarah: 197)
Bekalan taqwa mereka ialah ilmu, praktikal ibadah yang sempurna dan kefahaman dalam erti yang sebenarnya disamping belajar untuk memperbaiki diri serta hubungannya dengan Allah SWT.
Manakala golongan tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya ialah mereka yang sebaliknya. Ada yang pergi ke Makkah dengan niat hanya untuk berziarah dan mengalami sendiri pengalaman sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh kebanyakkan orang yang telah menziarahinya. Ada yang terpaksa mengerjakan haji kerana mengikut suami, ibu bapa, keluarga, majikan, kelab atau jemaah tertentu. Ada juga yang merasai kewajipan itu pada dirinya lantas ia berusaha melayakkan dirinya, namun pelbagai niat dan persepsi yang dilahirkan hanya dalam bentuk sekadar menunaikan sahaja tanpa persiapan yang menyeluruh dari segi niat, bekalan ilmu, iman dan amalan. Kebanyakkannya benar-benar berharap mendapat yang terbaik tetapi tidak menepati syarat. Tidak kurang juga yang hanya tangkap muat, asal terlaksana ibadah haji dan umrah sudah dianggap memadai.
Satu ketika seorang sahabat Nabi SAW, Abdullah Bin Umar RA apabila melihat rombongan haji sedang melewati satu jalan, beliau berkata:
“Pada hari ini, para jemaah haji menjadi semakin berkurangan dan pengembara-pengembara semakin bertambah ramai.”
Maksud beliau, bahawa kekasih Allah SWT yang sebenar semakin berkurangan sementara mereka-mereka yang tidak ikhlas telah bertambah dengan hebatnya. Justeru ia menyeru ke arah kesederhanaan dan menjauhkan segala kemewahan dan keseronokan.
Para jemaah haji hendaklah menunjukkan tanda keghairahan cinta kepada Allah SWT, dan bukannya tanda cinta kepada kemewahan atau kecantikan yang bersifat keduniaan. Membuktikan bahawa pemergiannya untuk menunaikan ibadah haji itu semata-mata mencari keredhaan Allah SWT agar tidak tergolong dalam salah satu golongan yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Akan datang kepada manusia suatu masa, umatku melakukan haji kerana empat perkara:
- Orang kaya melaksanakan ibadah haji kerana melancong.
- Orang pertengahan menunaikan haji kerana berniaga.
- Orang miskin menunaikan haji kerana meminta-minta.
- Orang qari dan para ilmuaan menunaikan haji kerana riya’ dan nama.”
(Riwayat al-Dailamy)
Sifat Pengampunnya Allah SWT masih memberi ruang dan peluang untuk para hamba-Nya bertaubat dan menginsafi diri. Walaupun hadirnya mereka mengundang kemurkaan Allah disebabkan sikap yang ada pada diri mereka tetapi Maha Pengasihnya Allah masih membuka tawaran keampunan untuk hamba-hamba-Nya. Tidak hairanlah jika kebanyakan kita menyakini bahawa kepayahan, kesakitan, tekanan yang wujud semasa, sebelum dan selepas menunaikan haji dan umrah adalah kifarat serta ujian Allah untuk hamba-hamba-Nya. Inilah hakikatnya komunikasi tanpa suara antara Tuhan dengan hamba-Nya. Ujian terkecil malah yang terbesar adalah takdir Allah SWT. Ia mempunyai maksud tertentu. Bagi para tetamu Allah SWT ianya adalah sebagai ingatan atau kifarat dari dosa moga hamba-Nya akan segera bertaubat menyedari segala kesilapan sama ada dengan Allah SWT ataupun sesama manusia. Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, sama ada di dunia atau di akhirat kecuali kita telah bertaubat bersungguh-sungguh sehingga Allah SWT mengampuni dosa-dosa itu.
Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapat sifat-sifat terpuji. Sabar, redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah SWT, harapkan pertolongan Allah SWT, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji.
Kadang-kala Allah SWT dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghina tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat dan tidak meneruskan dosa itu sampai bila-bila. Banyak sudah kita dengar pengalaman dari para jemaah yang pernah menunaikan ibadah haji menceritakan pengalaman mereka bertemu dengan pelbagai manusia yang dibukakan Allah SWT keaibannya. Saya sendiri pernah berjumpa dengan jemaah yang seolah-olahnya telah hilang ingatan bila saja ia menjejakkan kaki ke bumi Tanah Haram. Bermacam keaiban dirinya yang dicerita dan diungkit-ungkitkannya sediri semasa dalam keadaan separa sedar itu. Inilah dia kifarat. Bagaimana status hajinya? Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Kita hanya mampu menilai dari lahiriah perbuatannya sahaja. Bila sah pada syarak maka sahlah hajinya. Tetapi nilaiannya?…
Bagi orang yang dikasih Allah SWT, di dunia lagi Allah SWT hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan dan sebagainya. Sekiranya kita boleh sabar dan redha, itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh sabar dan tidak redha malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, ianya hanya akan menambah dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya, tidak mahu hukum kita di akhirat kerana penderitaan di neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia.
Ujian juga adalah untuk menilai sejauhmana keyakinan kita kepada Allah SWT. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud;
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”
(Surah ali-Imran: 142)
Namun begitu kegagalan kita dalam menghayati hikmah ini menyebabkan kita bertambah jauh dengan Allah SWT; mengeluh dan menyesali takdir Allah SWT. Apatah lagi ianya akan menjauhkan kita untuk mengapai haji yang mabrur.
Posted on 27 Januari 2011, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 2 Komen.
MAJLIS-MAJLIS ILMU 28-30 JANUARY 2011
28hb JAN 2011 – PENGAJIAN HABIB ALI, SURAU AL HIDAYAH, KERAMAT AU3 JAM 915PM
29hb JAN 2011 – USTAZ AZHAR IDRUS, CERAMAH PERDANA DI MASJID AR RIDUAN HULU KELANG LEPAS MAHGRIB.
30hb JAN 2011 MAJLIS MAWLID DI MASJID KOLEJ ISLAM MALAYA, PUSAT ASASI UIAM PJ, LEPAS MAGHRIB
LAIN-LAIN MAJLIS ILMU :
http://www.facebook.com/home.php#!/pages/PONDOK-HABIB/295419981998
Good replies in return of this matter with firm arguments and telling the
whole thing regarding that.