Muhasabah Haji: Pengorbanan yang telah kita lakukan benar atau tidak?

Ibadah haji juga merupakan latihan jasmani bagi menghadapi keadaan yang sukar, menempuh pelbagai kesulitan dan tabah menghadapi cabaran. Melaluinya akan terdidik budi pekerti manusia supaya merendah diri, bertolak ansur, bergaul dengan baik dan berlemah lembut. Seterusnya mendidik jiwa agar sanggup berkorban, mencurah tenaga, berbakti, menderma dan membuat kebaikan. Disamping itu, ibadah haji juga mendidik hati menjadi suci dan sentiasa memerhati kebesaran Allah SWT.

Inilah intipati ibadah haji. Sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang terlakar dan terangkum dalam ibadah haji adalah sebagai satu peringatan dan pengajaran yang berterusan tentang bagaimana tabahnya Nabi Ibrahim AS memikul amanah dan arahan Allah SWT dengan penuh ketaatan. Allah SWT merakamkan peristiwa pengorbanan ini dalam al-Quran antaranya dalam surah as-Saffaat ayat 100 – 111;

“Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!. Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.”

(Surah as-Saffaat: 100 – 111)

Asasnya ialah kepatuhan, pengorbanan dan kesabaran. Sanggup mengenepikan hawa nafsu dan fikiran logik untuk menjunjung arahan dan perintah Allah SWT. Secara realiti, ibadah haji juga mencabar logik akal melalui segala rukun dan wajibnya semasa melaksanakannya seperti wukuf di Arafah dan melontar di Mina yang tidak dikhususkan bacaan tertentu cuma dengan hanya “do it” lakukan saja apa yang disuruh, seolah-olahnya bermain-main sahaja. Bagi mereka yang tidak berfikir akan menganggap perlaksanaannya sia-sia dan membuang masa.

Begitu juga terpaksa mengorbankan tenaga dan perbelanjaan yang banyak setelah dikumpulkan bertahun-tahun, bahkan ia berkehendakkan seseorang itu bersusah payah menanggung perpisahan dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan kampung halaman serta menahan kemahuan-kemahuan nafsu semasa dalam ihram. Ia juga merupakan satu pengorbanan yang luar-biasa dari kelaziman menunaikan ibadat-ibadat lain dalam hidup kita. Umpamanya solat lima waktu boleh dilakukan dalam rumah sendiri, di bilik berkipas atau berhawa dingin, begitu juga puasa boleh berbaring-baring malah tidur pun boleh di bilik yang selesa dengan tidak perlu keluar rumah.

Ibadat haji tidak memungkinkan seseorang itu mencapai kehendak ibadatnya dengan begitu mudah, kita perlu menghadirkan diri kita ke Tanah Suci dengan keadaan yang luar dari kebiasaan. Kita terpaksa berkhemah dan bersesak-sesak di Arafah, Mina dan bermalam di Muzdalifah dalam kawasan serta batasan waktu yang tertentu dan terhad. Dalam ertikata lain, kita mesti keluar dari kelaziman dan kesenangan yang diterima selama ini, di mana keadaan di Tanah Suci tidak memberi peluang untuk kita menikmati keselesaan seperti di negara sendiri. Ibadat haji merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah SWT. Firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 27 hingga 29, maksudnya:

“Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu dengan sebab Allah telah mengurniakan mereka binatang-binatang ternakan untuk dijadikan qurban. Dengan yang demikian makanlah darinya (daging qurban itu) dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir, (kemudian hendaklah membersihkan diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakankan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu)”.

(Surah Al-Haj:  27-29)

Dalam ayat tersebut Allah SWT memerintahkan, haji itu hendaklah disempurnakan sekalipun dengan berjalan kaki atau berkenderaan menunggang unta yang kurus dengan sebab jauhnya berjalan bersusah payah menghadapi halangan dan rintangan. Kenyataan dalam bentuk satu gambaran yang sarat dengan kepayahan dan menuntut kesabaran. Sememangnya Allah SWT menyediakan kepayahan-kepayahan itu untuk kita fahami dan mengambil pengajaran, bahawa biar pun hebat kedudukan kita, kita masih lagi tertakluk kepada hukum alam dan ketentuan yang telah Allah SWT tetapkan.

 

Pengorbanan yang tersasar

Namun kejahilan dalam menilai sifat pengorbanan ini menyebabkan kita tersilap langkah dan menimbulkan kekeliruan dalam memburu kemabruran haji. Kita hanya berkorban untuk kepentingan diri. Bersolat, berdoa, puasa, membaca al-Quran dan membaca buku adalah ibadah yang bersifat peribadi. Namun berbeza dengan ibadah haji. Ibadah haji adalah ibadah peribadi dan umum sekaligus. Secara peribadi, ibadah ini berkaitan antara kita dengan Allah SWT sahaja seperti tawaf, wukuf, sa’ie, melontar dan sebagainya. Namun secara umum, kita akan melibatkan orang lain dalam ibadah secara tidak langsung. Sedar ataupun tidak, kita akan berkongsi tempat, ruang, waktu dan susah senang bersama-sama para jemaah yang lain ketika kita melaksanakannya. Ibadah haji adalah ibadah individu yang wujud dalam bentuk sosial. Dalam hal ini ibadah haji terbahagi kepada dua iaitu;

  • Nilai rohani atau iman
  • Nilai sosial

Ini bererti, ibadah haji memerlukan seni perlaksanaan dalam bentuk keimanan yang yakin dan bergantung pada Allah SWT serta dalam bentuk sosial sesama para jemaah dan keadaan persekitaran. Manakala seni sosial ini pula amat bergantung pada pemahaman kita terhadap para jemaah yang berada di sekitar kita melalui sifat prihatin dan mengambil peduli. Sebab itu di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri, dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

(Surah al-Baqarah: 197)

Allah SWT menegaskan; dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah..” Maksudnya perkara-perkara yang berhubungan dengan seni sosial ini bergantung pada diri kita sendiri. Bagaimana kita menjalinkan hubungan sesama jemaah? Adakah kita mementingkan diri sendiri untuk membolehkan kita melaksanakan ibadah? Bagaimana kita melayani kerenah orang jahil yang menyusah dan menyakitkan kita? Adakah kita mengharapkan pujian dan balasan dari pertolongan kita?

Perkara-perkara di atas, sama ada kita menghadapinya dengan menghulurkan kebaikan atau mengabaikannya bergantung kepada kehendak dan kerelaan kita. Walaubagaimana pun tidaklah dinamakan ibadah haji yang sempurna kalau kita tidak boleh berkorban kepentingan diri dan nafsu untuk memberi kebaikan kepada orang lain.

Memahami kenapa dan bagaimana hendak berkorban dalam ibadah haji itu adalah perkara-perkara yang tidak boleh diabaikan kerana ia akan menentukan, adakah ibadah haji kita memiliki kesempurnaan ataupun tidak, mabrur ataupun hanya sia-sia. Memahami kenapa dan bagaimana hendak berkorban yang melibatkan orang lain, mempunyai pengaruh yang besar pada cara kita melaksanakan ibadah haji.

Ingat, ibadah haji kita adalah ibadah yang juga berkaitan dengan orang lain. Orang lain juga manusia seperti kita. Kita tidak boleh gelap mata dan gelap hati dengan berasa puas hati selepas sempurna menunaikan rukun-rukun dan wajib-wajib haji. Ini kerana belum tentu orang-orang yang bersama-sama kita berkongsi masa, tempat dan susah senang berasa senang ataupun selesa dengan kewujudan kita bersama-sama mereka.

Ingatlah, apabila kita berurusan dengan manusia sebenarnya kita sedang berurusan dengan makhluk yang mempunyai logik, emosi, penuh dengan prasangka dan didorong oleh perasaan bangga dan sombong.

Secara fitrahnya kita memilik naluri dan perasaan yang sama dengan orang lain di sekitar kita. Kita tidak suka apabila orang mengejek dan mencaci kita, begitu jugalah orang lain. Mereka juga tidak suka sekiranya kita mengejek dan mencacinya.

Kita tidak suka melihat orang yang sombong dan suka menunjuk-nunjuk, begitu juga orang lain. Mereka juga tidak suka sekiranya kita sombong dan menunjuk-nunjuk kepadanya.

Kita suka mendapat pujian dan sanjungan daripada orang lain, begitu juga orang lain. Mereka juga suka mendapat pujian dan sanjungan daripada kita dan tidak suka sekiranya kita menghina atau merendah-rendahkannya. Begitulah seterusnya.

Saya perlu menjelaskan demikian kerana dalam kedudukan sebagai tetamu Allah, kita mungkin mengharapkan layanan sebagai seorang tetamu yang penuh penghormatan. Sebagai tetamu-Nya yang istimewa. Tidak kira status kita berpangkat atau tidak. Kaya atau miskin. Berilmu atau jahil. Kita bakal menghadapi situasi yang sama bilamana kita mengharapkan segala kemudahan bergolek di hadapan mata dengan hanya berdoa dan mengharapkan Allah SWT memberi yang terbaik untuk kita.

Sekiranya diberi kekayaan oleh Allah SWT, kita menganggap pengorbanan kita hanyalah melalui wang ringgit dan harta benda yang menjadi kepunyaan. Kita beli segala kemudahan melalui tawaran-tawaran pakej ibadah haji yang menampakkan segala kemudahan yang tersedia. Sehinggalah kita berada dalam kepura-puraan, menganggap Allah SWT memberi kelebihan tetapi rupa-rupanya sebagai satu ujian ataupun fitnah. Apa yang amat ditakuti ianya akan bertukar menjadi kemurkaan Allah SWT. Kemurkaan dalam bentuk kemewahan dan kesenangan, sama seperti golongan kafir dan munafik yang Allah SWT beri dan tunaikan segala kemahuan mereka, tetapi dalam kemurkaanNya. Na’uzubillahimin zalik.

Namun inilah cabarannya di akhir zaman ini, bila beribadah pun sudah dianggap seperti perniagaan. Keuntungan dunia yang diharap dan didambakan ancaman akhirat diabaikan. Pengorbanan disalah ertikan, mencari makna yang lebih hampir kepada kemahuan diri bukannya kerana Allah SWT atau untuk Allah SWT. “Ya Allah pimpilah kami ke jalan kebenaran.”

Orang yang sederhana kedudukannya tidak kurang juga keadaannya. Pergantungan hanya pada sesama insan bila hati tidak kenal tuhan. Berkorban perasaan dan maruah diri menagih simpati sesama insan, hilangkan sifat malu kerana hajat hendak menunaikan impian yang satu. Harta benda mampu dikorbankan tetapi perasaan, sifat keegoaan dan kerakusan nafsu sukar dijinakkan disebabkan oleh kurangnya ilmu dan keimanan serta keyakinan kepada Tuhan.

Allah SWT menurunkan perintah haji melalui gambaran perlaksanaan ketaatan Khalilullah Nabi Ibrahim AS yang penuh kesusahan dan kepayahan,  pengorbanan dan airmata, lantas ia sabar dengan segala rintangan dan ujian yang menjadikannya manusia yang dimuliakan Allah SWT. Begitu juga saat-saat terakhir Nabi Muhammad SAW sewaktu sebelum dapat membuka Kota Mekah dari genggaman Arab jahiliah. Titik permulaan yang berlaku melalui perjanjian Hudaibiyah yang penuh sejarah adalah bertujuan membebaskan manusia daripada kecenderungan-kecenderungan yang membinasakan.

Ibadah haji mahu membebaskan kita semua daripada perangai-perangai yang buruk, tidak mengira walaubagaimana sekalipun kedudukan kita. Ia adalah perintah yang hebat dan agung. Ia adalah perintah yang secara halusnya bersifat memerangi sikap-sikap buruk dalam diri manusia dan membina sifat insan kamil melalui liku-liku pengorbanan yang penuh dengan penghayatan dan keinsafan.

Justeru kedudukan pengorbanan dalam ibadah haji sama penting dengan niat dan tujuan yang diazamkan. Kesempurnaan ini berkaitan antara satu sama lain. Niat dan tujuan kerana Allah SWT adalah nilai keimanan manakala pengorbanan yang lahir dari jiwa yang sedar mengwujudkan nilai sosial iaitu hablumminannas yang dihiasi dengan kasih-sayang akan mempasakkan lagi sifat kehambaan dan harapan yang tinggi kepada Tuhan Yang Maha Pengasih.

Advertisements

About Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 5 April 2011, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 3 Komen.

  1. Roslan Tahir

    Cinta kepada dunia datang dengan pelbagai bentuk seperti cintakan kemewahan, kesenangan, keamanan, kesihatan, kedudukan dan pangkat. Lantas dengan perkara ini kita menjadi lalai dan tidak mampu mengorbankan apa jua yang ada pada kita di jalan Allah SWT. Kita beranggapan segala yang kita perolehi adalah hasil dari usaha kita sendiri tanpa menghubung kait dengan pemberian dari Allah SWT. Kita lebih mengutamakan kerja daripada melaksanakan perintah Allah, lalai untuk mengorbankan sedikit waktu untuk sujud dan patuh kepada perintah-Nya dan ada juga yang belum mampu untuk mengorbankan sedikit hasil pendapatan dan harta kerana dikhuatiri kekayaan dan harta itu akan berkurangan, justeru kita lebih suka memikirkan kepentingan diri daripada kepentingan umum.

    Ibadah haji yang sedang dilaksanakan pada saat ini sebenarnya memupuk semangat berkorban sesama umat Islam, menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri sendiri. Prinsip-prinsip inilah yang akan membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap individu muslim pada ketika ini. Umat Islam yang longgar atau mengenepikan prinsip prinsip pengorbanan ini membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Oleh itu pengorbanan antara satu sama lain adalah agenda umat yang paling dituntut. Marilah sama-sama kita mengorbankan sedikit kepentingan diri demi mengatur langkah bagi memperkukuhkan dan memperkasakan ukhwah sebagai agenda utama dalam menentukan masa depan umat Islam itu sendiri.

  2. shahanah/shahamah md.shah

    assalaamu’alikum,
    ana mohon copy maklumat-maklumat dari blok ustaz untuk rujukan.
    syukran jazilan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: