Muhasabah Haji: Niat dan tujuan adakah betul?

Pentingkah niat itu pada pandangan manusia dan pentingkah ia pada pandangan Allah SWT? Niat adalah ketetapan hati dalam melakukan sesuatu tindakan atau perbuatan. Niatlah yang menghubungkan diri kita dengan tindakan itu. Sesungguhnya tidak ada satu perbuatan pun yang tidak bermula dengan niat. Dengan kata lain, semua perbuatan dimulakan dengan niat. Sebagaimana sabda Nabi SAW daripada Umar bin al-Khatab RA berkata;

“Aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda; Sesungguhnya segala amalan itu bermula dengan niat-niat dan sesungguhnya bagi setiap seorang itu (ia akan memperolehi berdasarkan) untuk apa diniatkannya….”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak manakah niat yang ada pada seseorang? Jawapannya adalah, sebanyak mana tindakan atau perbuatannya yang sudah, sedang dan akan dilakukannya. Dengan itu setiap perbuatan memiliki niat masing-masing. Kita dapat membahagikan niat kepada dua kategori, iaitu;

  • Niat baik
  • Niat buruk

Jadi, apakah tujuan sebenar kita menunaikan haji dan pada setiap amalan yang dilakukan sepanjang menunaikan haji? Adakah mengharapkan balasan, pujian, sanjungan, gelaran dan penghormatan walaupun kita berniat melakukannya kerana Allah SWT? Inilah persoalannya. Daripada satu sudut, harapan-harapan itu adalah kecenderungan umum dalam diri manusia yang telah tersedia secara fitrahnya. Secara kebiasaannya, bila melakukan sesuatu kita akan mengharapkan sesuatu pula sebagai balasannya. Namun, dari satu sudut yang lain pula, kita berusaha memberikan sesuatu itu hanya kerana Allah SWT. Jadi, yang mana benar?
Adakah yang benar itu melakukannya semata-mata kerana Allah SWT tanpa mengharapkan yang lain? Adakah Allah SWT menerima harapan-harapan yang mengharapkan balasan yang baik daripada Allah SWT umpama pahala dan ganjaran kerana ia adalah kecenderungan fitrah yang ada dalam diri manusia?

Pada kebiasaannya dan telah menjadi fitrah, apabila kita memberi sesuatu kepada seseorang atau melakukan kebaikan, tentu ada dorongan dalaman padanya untuk membalas budi kita sama ada dinyatakan atau didiamkannya. Tidak dinafikan, ada orang akan menyanjungi, menghormati dan menghargai kemuliaan dan kebaikkan yang kita hulurkan kepadanya. Apatah lagi Allah SWT yang telah menyatakan dan menjanjikan kebaikkan serta balasan dari perbuatan baik dan ibadah yang telah kita lakukan.

Justeru, kita tidak perlu mengharapkan perkara-perkara demikian daripada orang yang kita bantu ataupun daripada Allah SWT yang menjadi tujuan ibadah kita kerana sifat baik akan dibalas dengan kebaikkan. Kita sebenarnya tidak perlu mengharapkan balasan, pujian atau penghormatan sebagai imbalan atas ibadah kita. Ini kerana kita pasti menerimanya, khususnya dalam beribadah kerana janji Allah SWT adalah benar.

Kefahaman inilah yang membezakan haji makhsus dengan haji mabrur. Allah SWT menguji hamba-hambanya dengan sifat fitrah yang ada dalam dirinya sendiri bagi mendidik dan mentarbiah diri supaya tidak wujud sifat syirik yang akan menghilangkan sifat ikhlas kepada Allah SWT. Adakah mengharapkan pahala itu juga dianggap syirik? Secara logiknya, “ya”. Kita telah menduakan Allah SWT dalam ibadah yang dilakukan, mengharapkan balasan bukan keredhaanNya. Bukankah Allah SWT telah berfirman untuk mengingatkan kita bahawa tujuan ibadah adalah semata-mata kerana-Nya. Dalam tujuan ibadah solat Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 14:

“Dan dirikanlah solat kerana mengingatiku.” (Surah Taha: 14)

Begitu juga dalam ibadah puasa, dalam sebuah hadis Qudsi Rasulullah SAW bersabda;

“Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah dari bau-bauan kasturi. Allah azzawajalla berkata; Sesungguhnya ia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu (dilakukannya) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.”

Dalam kategori ibadah zakat pula, firman Allah SWT;

“Orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tiada membelanjakannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah mereka itu akan ditimpa azab yang amat pedih.”

(Surah at-Taubah: 34)

Dan jelasnya dalam ibadah haji juga keutamaan melaksanakannya adalah kerana Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 196;

“Dan sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.”(Surah al-Baqarah: 196)

Namun kebanyakan orang memiliki tujuan selain Allah SWT dan bahkan menjadikan ibadah kepada Allah SWT bagi mencapai tujuannya sendiri. Ini samalah seperti orang yang pergi menunaikan ibadah haji demi mencapai maksud yang diinginkannya. Ramai dikalangan jemaah yang saya temui secara tersiratnya menyatakan tujuan mereka menunaikan ibadah haji adalah untuk mendapat keuntungan peribadi contohnya panjang umur, murah rezeki, dapat jodoh dan tidak kurang juga yang melakukan kurafat semasa mengerjakan ibadah haji kerana mengharapkan niat dan hajat mereka cepat dimakbulkan Allah SWT. Cuba kita renungi firman Allah SWT ini;

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

(Surah Ali Imran: 133-134)

Secara logiknya, kita perlu memohon keampunan dahulu kepada Allah SWT, barulah memohon keinginan kita. Miliki Tuhan dahulu dan jangan minta balasan. Kenali Allah SWT dahulu, baru meminta selepas mengenalinya.

Tetapi kebanyakkan daripada kita melakukan perkara yang sebaliknya. Kita menginginkan sesuatu daripada Allah SWT tetapi kita tidak mahu mengenalinya. Apabila kita tidak mengenali seseorang, bolehkah kita pergi menemuinya dan meminta sesuatu daripadanya? Memang boleh tetapi kemungkinan besar orang itu tidak mahu memenuhi permintaan kita. Mungkin juga, orang itu memberikannya kepada kita tetapi pemberian itu tidak sesuai dengan apa yang kita harapkan.

Apa yang kita amalkan sekarang ini iaitu syurga, kebahagiaan, ketenangan ataupun yang berkaitan dengannya sering kita jadikan tujuan dalam beribadah. Allah SWT sudah tentu memberikan pahala kepada orang yang beribadah dengan baik dan sempurna. Tetapi, mendapatkan pahala itu sendiri bukanlah tujuan kita beribadah. Tujuannya adalah menyembah, mengabdi, tunduk dan patuh pada Allah SWT.

Selain itu juga sewaktu melaksanakan ibadah haji mahupun umrah kita sering diuji Allah SWT dengan keajaiban-keajaiban melalui doa dan harapan kita kepadanya. Kebanyakkan kita pasti pernah mendengar daripada mereka yang telah menunaikan umrah atau haji tentang cerita-cerita dan pengalaman semasa di tanah suci. Suatu keajaiban merasai keadaan, seperti bila baru sahaja terlintas sesuatu perkara dalam hati langsung saja Allah SWT tunaikan. Seolah-olahnya Allah SWT cepat memakbulkan sesuatu yang kita inginkan. Kadangkala tanpa dipinta, cuma bila keinginan membunga dihati perkara yang dicita datang tersedia. Bila bercakap takbur balasan buruk yang akan Allah SWT kenakan. Secara tunai Allah SWT berikan. Sebenarnya itu semua adalah atas rahmat Allah SWT kepada kita yang mungkin baru berjinak-jinak untuk mengenaliNya. Allah SWT buktikan betapa dekatnya Dia dengan kita pada ketika itu, Maha Mendengar dan Mengetahuinya Dia terhadap apa yang terlintas dalam hati manusia. Walaupun hakikatnya Allah SWT sentiasa dekat dengan kita dan Maha Mengetahui dengan segala perbuatan hamba-hambaNya. Sebagaimana firman Allah SWT;

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(Surah al-Baqarah: 186)

Namun kerana sifat kejahilan dan lemahnya iman, kita menganggap ianya sebagai suatu keajaiban dan luar biasa seolah-olahnya Allah SWT hanya berada di Tanah Haram dan bukannya untuk merasai kewujudan Allah SWT yang sememangnya sedia wujud serta bersama-sama kita di mana sahaja kita berada. Cuma hati kita sahaja yang terhijab untuk merasainya kerana kita belum betul-betul kenal siapa Allah SWT, Tuhan kita.

Lantaran itu kita menjadi ghairah dalam beribadah apabila berada di bumi Tanah Haram Makkah dan Madinah. Ghairah untuk memperbanyakkan solat, zikir, bacaan al-Quran, sedekah dan lain-lain lagi perkara kebaikan seakan-akan hanya di sana sajalah amalan dan doa kita dimakbulkan. Doa yang kita panjatkan adalah doa yang bersifat memaksa. Kita menyuruh Allah SWT mengabulkan permintaan dan hajat kita. Kita kobarkan api eksploitasi dalam ibadah kita kepadaNya. Kita tidak kenal diri!

Ada satu peristiwa yang pernah saya alami ketika memimpin para jemaah haji sebagai guru agama di tanah suci. Ketika itu saya bertugas di Madinah Munawwarah sebagai guru pembimbing ziarah. Ada segelintir jemaah yang hilang pertimbangan sanggup bertegang urat meminta supaya pihak pengurusan Tabung Haji Malaysia mengenapkan jadual keberangkatan mereka ke Makkah supaya mendapat 40 waktu untuk bersolat jemaah di masjid Nabawi. Namun atas faktor pengurusan pengangkutan dan penjadualan yang telah ditetapkan oleh Muasasah Haji Kerajaan Arab Saudi, pihak pengurusan Tabung Haji Malaysia tidak dapat memenuhi permintaan tersebut. Akhirnya mereka protes sehingga berlaku kelewatan keberangkatan dalam rombongan mereka. Disebabkan beberapa orang yang jahil menyebabkan ramai jemaah yang berada dalam kumpulan tersebut, tergendala perjalanan mereka. Disebabkan hendak cukupkan 40 waktu, kaifiat solat di masjid Nabawi dan kegahirahan mereka yang tidak bertempat menyulitkan ahli jemaah yang lain. Masyaallah!

“Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.  Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Surah al-Fatihah: 1-5)

Surah fatihah yang sering kita baca dalam solat dan ditambah lagi dengan membacanya selepas solat. Jarang sekali kita menghayatinya. Kita tidak seperti apa yang kita pinta dan nyatakan kepada Allah SWT. Sepatutnya kita kena fahami bahawa sembahlah Allah SWT dahulu, kemudian pohonlah pertolonganNya, demikianlah logik surah al-Fatihah. Tetapi kita sering menggunakan logik terbalik, minta tolong dahulu, kemudian menyembahNya sekiranya sempat. Itupun sekiranya sempat, sekiranya tidak lupa ataupun sekiranya tidak dirundung duka.

Bagi mencapai kesempurnaan ibadah haji dengan kemabrurannya, kita hendaklah dapat menguasai aqidah dengan sempurna melalui penyataan syahadah kita dengan menzahirkannya melalui amalan seharian. Buktikan kewujudan Allah SWT dalam diri kita, pergantungan yang bersungguh kepadaNya. Menghayati khusyuk dalam solat untuk membangkitkan sifat kepatuhan, serta menahan diri dari melakukan pelanggaran arahan Allah SWT melalui penghayatan berterusan daripada latihan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan dan bersifat prihatin melalui hikmah perlaksanaan zakat yang diwajibkan. Secara tertibnya ibadah haji adalah rangkuman kesempurnaan rukun Islam bermula dari mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa dan zakat.

Mungkin sebagai pengajarannya juga, semasa Nabi Muhammad SAW melaksanakan ibadah haji buat dirinya yang digelar dengan hujjatul wida’ (haji perpisahan), di Arafah Nabi Muhammad SAW berkhemah di Namirah. Di situlah beliau menyampaikan khutbahnya. Dalam khutbah tersebut beliau menyampaikan ringkasan agama Islam dengan mengulangi dan menegaskannya lagi kepada umat Islam perkara-perkara asas yang menjadi tunjang kesempurnaan Islam disamping menjaga hubungan silaturrahim sesama insan dan menjaga serta menunaikan amanah yang telah diamanahkan. Kemudian turunlah ayat 3 daripada surah al-Maidah yang bermaksud;

“Pada hari ini, Aku sempurnakan kepada kamu agama kamu dan Aku sempurnakan nikmatku kepada kamu dan aku redha kepada kamu Islam sebagai agama.”

(Surah al-Maidah: 3)

Maksud zahir ayat memahamkan kita bahawa kemuncak ibadah yang sempurna ialah perlaksanaan Islam yang syumul dalam segenap aspek kehidupan bermula hubungan dengan Allah SWT melalui perlaksanaan ibadah dan hubungan sesama manusia melalui syariat yang merupakan undang-undang Islam sebagai panduan kehidupan yang lengkap.

Justeru, tujuan ibadah haji dengan tawaran kemabrurannya adalah bertitik tolak kepada kesempurnaan penghayatan seseorang insan sebagai hamba yang sebenar kepada Allah SWT dalam aqidah dan ibadahnya serta bertindak melaksanakan syariat Allah SWT dalam segenap kehidupannya.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 23 Mei 2011, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 3 Komen.

  1. Assalamualaikum Uztaz.. saya mohon share artikel ke FB saya ya… TQ

  2. Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

    Wa’alaikumsalam.. dipersilakan. Moga dpt dimanfaatkan sebaik mungkin.

  3. Majlis Dakwah Nuruzzahro’ KL 2011 (Khas buat Muslimat)

    1. http://pondokhabib.files.wordpress.com/2011/05/250885_121770481238969_100002180532145_185234_6182719_n.jpg

    2. http://pondokhabib.files.wordpress.com/2011/05/247950_121770417905642_100002180532145_185233_6614712_n.jpg

    Majlis Bacaan Kitab Shohih al-Bukhari (InsyaAllah sampai khatam) Bersama Syeikh Muhammad ‘Awadh al-Manqoush

    Jadual Am Pengajian Bersama Al Habib Ali Zeinal Abidin Al Hamid

    Pengajian/Diskusi Kitab Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki (Bulan JUN)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: