Muhasabah Haji: Mabrurkah Haji Yang Telah Dilaksanakan?

Rasulullah SAW telah menyatakan tentang kelebihan haji mabrur sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud : “Antara umrah ke umrah adalah penghapus dosa yang terjadi antara keduanya. Dan Haji mabrur itu, tiadalah lain lagi ganjarannya melainkan Syurga” (Riwayat al-Bukhari no. 1683)

Mendapatkan syurga tidak semudah lafaz yang diucapkan untuk mencapainya. Sebenarnya latihan dalam ibadah haji adalah merupakan pengukur kepada status iman yang telah kita miliki, sama ada ia akan semakin bertambah atau berkurangan. Jika sekiranya kita telah berusaha memiliki keimanan yang terbaik kepada Allah SWT sebelum keberangkatan kita menunaikan ibadah haji itu lagi, maka kepulangan kita akan menambahkan sinar keyakinan serta kecintaan yang hakiki pada Ilahi dalam diri. Namun jika sekiranya kefahaman dan keyakinan iman kita kepada Allah SWT ditahap yang lemah atau sederhana, maka kepulangan kita hanyalah dihiasi dengan keseronokan pengalaman bermusafir dan hadiah-hadiah serta buah tangan yang dibawa pulang sahaja. Pengekalan kerinduan kepada ibadah, zikir dan doa mungkin akan hilang dengan berlalunya masa, disebabkan perginya kita sebelum ini hanyalah sekadar mengisi keperluan semasa bukan memburu ketelusan cinta yang Maha Agong lagi Berkuasa.

Oleh itu bagi membantu mengetahui tahap iman kita, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dalam kitabnya ‘Aqidatul Najin, telah menyatakan bahawa iman yang ada pada diri manusia mempunyai 5 peringkat iaitu iman taqlid, iman ilmu, iman ‘ayyan, iman haq dan iman hakikat.

 

Doa mengharapkan kemabruran hajiLima Tahap Iman bagi mengukur kemabruran haji

Dengan mengetahui tahap jenis-jenis iman tersebut, ianya dapat membantu menilai kesan kepada perasaan dan perubahan dalam hati semasa dan selepas menunaikan ibadah haji. Bagi mengetahui dan menghayatinya, kita hendaklah memahami takrifan kepada tingkatan-tingkatan iman tersebut. Di sini disenaraikan secara ringkas kaitan iman dengan diadaptasikan bersama penghasilan ibadah haji yang telah dilaksanakan:

 1.      IMAN TAQLID

Iman taqlid iaitu Iman yang terhasil daripada mendengar kata orang seperti guru tanpa dalil. Iman yang terhasil secara “ikut-ikutan” ini adalah tahap iman orang awam. Pegangan Islamnya tidak kuat dan prinsip keIslamannya tidak kukuh. Dia tidak mempunyai alasan yang kuat mengapa dia beriman. Malah berkemungkinan besar amalan yang dilaksanakannya seperti ibadah dan segala kebaikan serta kebajikan tidak sah dan tidak akan menghasilkan apa-apa nilai pada dirinya di sisi Allah SWT. Mereka juga akan mudah melanggari hukum serta larangan Allah SWT tanpa perasaan bersalah atau takut kepada ancaman neraka Allah SWT.

Maka para jemaah yang pergi menunaikan ibadah haji dengan tahap iman yang sebegini kebanyakkannya akan mengalami masalah keyakinan dan kesempurnaan pada ibadahnya secara keseluruhan. Ia tidak memiliki keyakinan pada diri, malah akan timbul keraguan pada ilmu yang dipelajari kerana statusnya hanyalah sekadar ‘asal boleh, buat sahaja’. Malah ibadah yang dilaksanakannya adalah sekadar hiasan untuk pandangan manusia, namun ibadahnya itu suram tanpa roh apatah lagi penghayatannya.

Jiwanya meronta-ronta ingin segera pulang ke pangkuan keluarga, kepada asal rutin kehidupannya walaupun pada permulaannya hati berbunga-bunga, bersemangat untuk melaksanakan tuntutan ibadah haji yang dihajatinya. Namun apabila ujian dan keperitan suasana mula menjelma, ia sudah hilang kesabaran dan ketenangan jiwa.  Terasa sesak nafasnya dengan kekalutan manusia yang berpusu-pusa ketika di taman-taman syurga, Masjidil Haram, Arafah, Muzdalifah, Mina dan di Masjid Nabawi mencari keredhaan Tuhan Yang Maha Esa. Ia sudah tidak merasakan bahawasanya suasana itu adalah rahmat. Ibadah yang dilaksanakannya itu adalah nikmat. Malah hatinya sentiasa dihimpit perasaan serba salah, bosan, rimas dan ingin segera keluar dari kemelut perasaannya itu.

Maka apabila mereka telah selesai dari melaksanakan ibadah haji dan pulang ke pangkuan keluarga di tanah air, jiwa mereka merasa merdeka. Bebas dari cengkaman keperitan yang dialami di Tanah Suci. Namun mereka bangga. Bangga dengan gelaran haji atau hajjah yang meniti di bibir-bibir ahli keluarga, jiran-jiran dan sanak saudara. Ini adalah kerana hidup mereka penuh dengan kepura-puraan semata-mata. Alangkah ruginya mereka ini!

2.      IMAN ILMU

Iman yang terhasil berdasarkan Ilmu. Iaitu seorang yang telah mempelajari dan yakin dengan ilmu tentang Allah SWT, para Malaikat, para Rasul dan Nabi-nabi, Kitab-kitab, hari Kiamat dan lain-lain yang diwajibkan mengimaninya. Iman dan keyakinannya berasas dan kuat bertunjang pada akal. Iqtikad yakni pegangannya disertai dengan dalil-dalil yang kuat serta pegangan yang kukuh. Dia tidak mudah goyang atau terpengaruh dengan ideologi lain.

Namun kedapatan orang yang beriman Ilmu ini, tidak takut akan Allah SWT dan mudah berbuat derhaka kepada-Nya. Iman mereka hanya pada akal dan dalam pengetahuan minda semata-mata atau pada bibirnya sahaja tetapi masih belum ada keyakinan dan sifat rasa dalam hati. Imannya masih belum masuk ke dalam hati. Gambaran status iman ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

“Orang-orang “A’raab” berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` Kami telah Islam ‘. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

(Surah al-Hujuraat :14)

 Dengan kefahaman dan ilmu yang ada, mereka hanya mampu memperkatakan Islam, tetapi tidak mampu berbuat atau mengamalkannya. Jadi, tahap Iman Ilmu ini belum lagi dapat menyelamatkan seseorang itu daripada siksaan neraka Allah SWT.

Manakala ibadah haji pada golongan ini sebahagiannya adakalanya memberi kebaikan kepada perubahan diri  dan ada juga dikalangan mereka yang masih kekal dengan keadaan iman serta tindakan yang sama, tanpa perubahan yang ketara. Ini disebabkan keyakinan yang ada dalam diri mereka masih lagi bercampur aduk dengan tujuan duniawi dan bukannya bermatlamatkan mencari keredhaan Allah SWT. Keadaan imam mereka masih dalam situasi turun-naik, tidak tetap. Jika mereka mendapat bimbingan dan dorongan yang baik dari orang lain yang mempunyai keimanan yang lebih sempurna, maka mereka akan cepat terdorong untuk membuat perubahan yang terbaik. Malah mereka lebih terpengaruh kepada keadaan dan kurang kekuatan dari dalaman diri untuk mengawal sikap dan tindakan yang dilakukan. Sukar mengawal keadaan, mudah hilang pertimbangan malah lebih banyak berkorban untuk diri sendiri (pentingkan diri sendiri) melebihi kemaslahatan orang lain.

Golongan ini perlu kepada bantuan hayat yang berterusan agar keimanan mereka sentiasa berkembang dan bertambah sifat kehambaan. Mereka tidak mampu menggagahinya sendiri melainkan setelah mereka berazam bersungguh-sungguh disusuli taubat yang berterusan serta istiqamah. Berusaha menghayati perlaksanaan ibadah dan ketaatan dengan kefahaman ilmu yang dimiliki. Bahkan yang paling utama, mendampingi guru-guru yang mursyid lagi berakhlak untuk menjadi rakan pembimbing yang setia dengan seikhlas hati membantu bagi mencapai kesempurnaan diri. Maka ketekunan mereka ini akan melonjakkan tahap keimanan mereka kepada iman ‘ayyan.

Namun jika sekiranya hanya dalam ibadah haji ini sahaja baru ia hendak bermula, keberkesanannya agak kurang mendalam kepada jiwa. Dalam keadaan ini, ia perlu lebih menekuni ilmu serta penghayatan pada perlaksanaan ibadah hajinya, serta berusaha menghidupkan penghayatan terhadap sifat-sifat keagongan Allah SWT dalam jiwa dan sanubari. Malah ia perlu kekal dalam keadaan mujahadah selepas kepulangannya dari Tanah Suci sehinggalah ia dapat menghayati kecintaan, kerinduaan, kedamaian, keasyikan dan pergantungan hanya kepada Allah SWT semata-mata disamping berusaha mendapatkan kemanisan dalam ibadah yang dilakukannya.

 3.      IMAN ‘AYYAN

Iman ‘Ayyan terhasil daripada tarbiyah dan mujahadah yang bersungguh-sungguh. Orang yang beriman Ilmu akan meningkat kepada Iman ‘Ayyan melalui usaha serta beramal dengan ilmu dan kefahaman yang ada pada dirinya. Imannya bertempat di hati, bukan lagi di fikiran. Hati orang-orang yang beriman ‘Ayyan sentiasa mengingati Allah, ibadahnya khusyu’ dan ia sentiasa merasai kebesaran Allah SWT. Apabila disebut nama Allah, gementar hatinya.

Semua perintah Allah SWT dipatuhi dengan penuh rela dan kesungguhan. Ia terlalu sensitif dengan dosa serta sangat berakhlak dengan Allah SWT dan sesama manusia. Setiap ujian dihadapi dengan penuh sabar. Ia juga sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT. Orang yang berada di peringkat Iman ‘Ayyan tidak lama dihisab di Akhirat dan ia mudah masuk ke Syurga.

Ibadah haji bagi golongan ini adalah suatu nikmat yang sukar diluahkan dengan kata-kata. Mereka dapat menghayati setiap gerak laku dalam ibadah haji yang dilaksanakan. Malah keinsafan dalam hati mereka amat mendalam sehinggakan setiap gerak-laku yang dilaksanakan seolah-olahnya mereka berhadapan dengan Allah SWT dalam keadaan nyata. Segala-galanya tertumpu kepada yang satu iaitu Allah SWT. Titisan air mata serta tangisan bukan lagi dibuat-buat tetapi lahir dari keinsafan diri yang tidak pernah putus. Mereka berada dalam keasyikan, kelazatan ibadah.

Walaupun dalam keadaan asyik beribadah setiap ketika, mereka tidak pula mengabaikan segala suruhan Allah SWT yang bersifat kemanusiaan. Kerana rasa cinta yang mendalam, mereka menzahirkannya melalui hubungan sesama manusia dalam keadaan yang harmonis, berkasih sayang tanpa ada perasaan dengki, riak, ujub dan takabbur. Berkawan atau berdampingan dengan mereka terasa rahmatnya, malah jiwa mudah terkesan dengan kemuliaan akhlak dan keikhlasan budi yang terpancar pada kata-kata dan perwatakkan mereka. Dengan segala sifat kesempurnaan yang terpancar itu, kemuncak kemabruran haji mungkin milik mereka.

 4.      IMAN HAQ

Seseorang yang mencapai tahap Iman Haq ini, ialah bagi mereka yang ‘arif yakni kenal Allah SWT melalui mata hati. Dan kedudukan mereka ini dinamakan maqam Musyahadah, yakni mata hatinya melihat Allah SWT. Ertinya setiap kali melihat kejadian dan kebesaran Allah SWT, hati dan fikirannya tertumpu kepada Allah SWT. Terasa takut dan hebat kepada Allah SWT setiap masa. Hatinya tidak lekang mengingati Allah SWT dan sentiasa karam serta khusyu’ dalam kesyahduan cintanya pada Rabb (Allah). Hatinya tidak terpaut dengan dunia dan ia tidak dapat dilalaikan oleh nafsu mahupun Iblis laknatullah. Mereka yang beriman Haq digelar Muqarrobin oleh Allah SWT, yakni orang yang hampir dengan-Nya.

Pada padangan mata kasar, kita tidak mampu menterjemahkan apa yang tersirat dalam sanubari mereka. Ibadah haji pada mereka melebihi sifat golongan iman ‘ayyan. Malahan golongan iman ‘ayyan kebanyakkannya akan terkesan dengan ibadah haji ini sehingga faedah kekhusyukan serta penghayatan mereka meningkatkan lagi keyakinan serta kerinduan mereka kepada Allah SWT hingga mencapai kedudukan dan menepati ciri-ciri iman haq.

Ibadah haji bagi mereka adalah salah satu antara nikmat syurga yang disegerakan. Mereka merasai kedamaian, perasaan rindu dan kecintaan mereka berbalas. Mereka dapat merasai betapa nikmatnya hidup bersama Allah SWT dan amat rindu untuk bertemu dengan-Nya. Jaminan syurga sememangnya milik mereka yang ikhlas beribadah dengan penuh kecintaan dan kepatuhan.

 5.      IMAN HAKIKAT

Iman yang terhasil daripada tidak memandang kepada selain Allah SWT. Inilah peringkat iman yang paling sempurna dan tertinggi yang dimiliki oleh para Rasul, para Nabi, khulafa’ ar-Rasyideen serta para auli’a. Mereka akan di tempatkan oleh Allah SWT di dalam Syurga yang paling tinggi. Hidup mereka setiap masa asyik dangan ibadah. Ibadah mereka cukup hebat, budi serta akhlak yang ada pada diri mereka adalah yang terbaik dan paling terpuji. Allah SWT akan menurunkan barakah di mana sahaja mereka berada. Allah mengurniakan yang sedemikian itu sebagai membalas cinta dan pengorbanan hakiki yang cukup besar yang dicurahkan semata-mata kerana Allah SWT.

Melihat kepada kedudukan dan tahap-tahap tingkatan iman ini, sekurang-kurangnya ia dapat menjadi panduan untuk menilai status kesempurnaan ibadah haji kita. Adakah ianya mampu memberi perubahan kepada diri ataupun masih lagi jauh dari kesempurnaan yang diharapkan?

(Petikan dari buku: Pulang Bersama Haji Mabrur terbitan Galeri Ilmu)

Advertisements

About Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 13 Julai 2011, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 3 Komen.

  1. Ass. dalam kitab Safinatunnaja juga terdapat pembagian Iman yg lima di atas, bagi penulis mungkin ini hanya tambahan daftar pustaka saja, trimakasih Wass.

  2. Antara lain, sebagaimana dalam sebuah hadith diriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw “Wahai Rasulullah, apakah itu agama ” Rasulullah menjawab “Akhlak yang baik.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: