Ramadhan Bulan Kasih Sayang

Kini telah seminggu kita umat Islam sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Kita menyambut kehadiran bulan yang penuh dengan pengampunan dosa bersama tawaran penggandaan pahala, terbuka luasnya pintu syurga bersama tertutupnya pintu neraka disamping terantainya syaitan penggoda. Semoga kehadiran Ramadhan bersama dengan kewajipan berpuasa dapat kita tunaikan dengan sebaiknya untuk lahir sebagai hamba Allah yang bertaqwa.

Jika diperhatikan kepada 5 rukun Islam maka kita akan dapati bagaimana setiap suatu rukun tersebut mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang perlu dijaga dan ditunaikan dengan sempurna. Maka  segala kewajipan mengikat kita untuk menjaga segala peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT, berdisiplin dan menghomati masa dengan sebaiknya demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Sebagai contoh, kita wajib menjaga segala tuntutan dua kalimah syahadah sepanjang masa agar tidak dicemari dengan sebarang perkara yang membatalkannya seperti syirik samaada melalui perkataan, perbuatan ataupun keyakinan pada hati. Kita diwajibkan untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam mengikut masa yang telah ditetapkan malah haram serta berdosa jika mengabaikannya.

Kita semua diwajibkan untuk berpuasa selama sebulan dalam setahun kemudiannya diwajibkan menunaikan zakat fitrah setahun sekali. Manakala kewajipan untuk menunaikan haji bagi yang mampu pula adalah sekali seumur hidup. Inilah keindahan Islam yang tiada di dalam agama yang lain. Kewajipannya datang daripada Allah SWT bukannya rekaan manusia.  Malah kesemua kewajipan ini mestilah ditunaikan dengan sebaik-baiknya untuk kebahagiaan manusia itu sendiri.

Apabila umat Islam dapat melaksanakan segala kewajipan tersebut dengan penuh keikhlasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah maka insyaAllah ganjaran yang besar akan diperolehinya sebagai bekalan untuk menempuh hari akhirat yang merupakan hari pembalasan kepada setiap amalan yang dikerjakan sepanjang hidup di dunia yang sementara ini.

Membina Jiwa Takwa

Takwa itulah matlamat utama yang mesti dicapai oleh umat Islam yang berpuasa disamping menunaikan kewajipan agama yang lain. Perkataan takwa begitu mudah disebut dimulut tetapi begitu susah untuk diperolehi. Oleh itu sempena kedatangan Ramadhan yang mulia ini hendaklah kita sama-sama hidupkannya dengan seberapa banyak amalan soleh disamping menjauhi segala bentuk maksiat.

Jangan biarkan diri kita berpuasa tetapi tidak akan mendapat apa-apa ganjaran melainkan hanya lapar dan dahaga sahaja. Jika kita begitu cermat dan mempunyai perancangan yang baik untuk mencapai keuntungan berbentuk keduniaan, walaupun kita semua tahu bahawa ia akan ditinggalkan apabila mati kelak, maka mengapakah kita tidak boleh berbuat demikian dalam masalah mencari bekalan akhirat?

Mempersiapkan segala amalan sebanyak yang mungkin dengan sentiasa cermat dan memperbaiki segala amalan soleh kita ke arah yang lebih baik dari hari ke hari. Jika kita boleh menghindarkan sebarang sebab atau faktor yang akan merugikan kita dalam masalah mencari keuntungan dan kejayaan dalam perniagaan dunia maka mengapakah kita tidak mampu untuk menghindarkan diri daripada terpedaya  dengan hasutan nafsu jahat yang sememangnya akan merosakkan diri dan cuba mengheret kita ke arah neraka Allah?

Jangan biarkan nafsu terus mengganas terutama di bulan Ramadhan tatkala syaitan yang menjadi kawan rapat kepada nafsu sedang dirantai. Ingatlah kita, bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang mampu menggunakan nafsu untuk mendapatkan keredhaan Allah dan sejahat-jahat manusia ialah mereka yang digunakan  oleh nafsu untuk menderhakai Allah.

Jangan jadikan diri ini sebagaimana golongan munafik yang melihat dosa seperti lalat yang hinggap di hidung oleh kerana lalat tadi boleh dihalau pada bila-bila masa sahaja. Disebabkan dosa yang dianggap remeh dan mudah untuk dihilangkan dengan hanya bertaubat. Malah kita belum pasti adakah Allah SWT dengan mudah menerima taubat kita sedangkan kita masih lagi bergelumang dengan maksiat.

Tetapi jadikanlah diri kita sebagai seorang yang benar-benar beriman kepada Allah, di mana kita melihat segala dosa itu seperti gunung besar yang akan menghempap diri. Atas sebab kejahilan, kedoifan dan jauhnya kita dengan Allah SWT sedangkan Allah SWT mengkehendaki kita supaya menjadi seorang yang betul-betul bersifat hamba kepada-Nya.

Melalui ibadat puasa ini ia melatih kita untuk menjadi manusia yang sabar dengan ujian yang mendatang serta menanamkan rasa kasih sayang kepada manusia yang lain. Apabila kita berasa lapar dan dahaga maka kita akan terbayang bagaimana orang lain yang tidak bernasib baik menanggung penderitaan dan kebuluran. Melalui tarbiah lapar ini maka akan lahirlah sikap untuk membantu orang yang susah dan menderita.

Kita di sini masih boleh menunaikan ibadat puasa dalam keadaan yang aman dan tenang dengan hanya perlu berlawan terhadap serangan hawa nafsu, sedangkan ramai saudara seagama kita yang lain bukan sahaja berlawan dengan godaan nafsu tetapi mereka turut diancam oleh peluru dan bom kuffar. Kita di sini boleh berbuka puasa dan seterusnya menunaikan solat tarawih berjemaah di surau-surau dan masjid-masjid dengan mudah, sedangkan ramai saudara kita di negara lain yang terancam nyawa dan sentiasa berhati-hati untuk bergerak kerana kuffar sentiasa menghalakan senjata untuk membunuh mereka.

Maka gunakanlah nikmat sihat dan keamanan ini untuk kita menunaikan segala amalan soleh dengan sebaik-baiknya. Rasulullah s.a.w telah berpesan dan mengingatkan bagaimana ramai umatnya sentiasa lupa dan mengabaikan 2 nikmat yang utama iaitu masa sihat dan masa senang.

Jadikanlah tarbiah Ramadhan ini sebagai medan untuk melahirkan diri sebagai seorang mukmin yang sentiasa membantu saudaranya yang lain. Tanamkanlah rasa kasih sayang kepada saudara kita yang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri.

Tanpa kasih sayang maka timbullah huru-hara apabila masing-masing tidak lagi menghormati hak orang lain. Tanpa kasih sayang maka tersebarkan api permusuhan dan kebenciaan sesama manusia. Kita lihat dan rasai bagaimana besarnya bala Allah yang menimpa negara kita apabila hilangnya rasa kasih dan sayang.

Kita lihat bagaimana seorang ayah sanggup membunuh isteri dan anaknya. Seorang anak sanggup membunuh ayah dan ibunya. Nyawa dan maruah manusia semakin lama semakin murah nilainya di kaca mata insan yang telah hilang rasa kasih sayang daripada dirinya.

Mengapakah bala ini boleh terjadi di negara kita di mana kita tidak diuji oleh Allah dengan serangan musuh dari luar tetapi musuh datangnya dari kalangan kita sendiri?

Selagimana kita mengabaikan suruhan Allah dan memperlekehkan perundangan Islam maka selagi itulah ujian yang besar ini akan berlanjutan. Masalah akan semakin rumit dan mencengkam jiwa. Keruntuhan akhlak dan akhidah akan berterusan. Oleh itu bersungguhlah kita dalam perjuangan untuk melaksanakan seluruh sistem Islam dalam diri dan di negara ini bagi menghindarkan bala Allah yang lebih besar.

Jalankanlah amanah dan tanggungjawab yang sebaiknya dalam membina keluarga bahagia yang tunduk pada agama seterusnya membina masyarakat yang patuh kepada kehendak Allah demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Ramadhan juga adalah bulan kemenangan kepada  umat Islam. Bulan puasa bukanlah bulan untuk kita melawan nafsu dalam diri sahaja tetapi umat Islam silam telah membuktikan kepada kita bagaimana Ramadhan juga telah mencatatkan kemenangan umat Islam ketika berhadapan dengan kuffar.

Sejarah Islam telah mencatatkan bagaimana kemenangan baginda Rasulullah s.a.w  dalam peperanan Badar al-Kubra berhadapan dengan musuh yang berganda. Begitu juga dengan pembukaan Kota Mekah yang penuh kegemilangan tanpa pertempuran sehingga semua berhala lambang kesyirikan yang berada di keliling Ka’abah telah dihancurkan.

Bermula daripada pembukaan Kota Mekah inilah maka kemenangan selepas itu terus meliputi kawasan di luar semenanjung Tanah Arab sehingga runtuhnya 2 kerajaan besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi. Seterusnya Islam mampu tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Ramadhan tidak pernah melemahkan semangat juang umat Islam sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad yang sedia ada. Semoga kedatangan Ramadhan kali ini akan menjadi tapak permulaan untuk umat Islam mencapai kemenangan di dalam melawan musuh. Sudah lama umat Islam menderita kerana mengabaikan kewajipan agama. Oleh itu umat Islam mesti bangkit dari tidur kerana musuh kini sedang membakar kita.

Kita mesti bangkit dan bersatu di bawah satu panji iaitu Islam barulah kita akan berjaya melawan pengganas kuffar yang diketuai oleh 2 kuasa utama iaitu Amerika dan Britain. Jangan biarkan kuffar bermaharajalela membaham kita. Jangan biarkan air mata kita terus mengalir kesedihan menyaksikan kekejaman musuh meratah umat Islam. Biarkanlah air mata yang mengalir selepas ini ialah air mata kegembiraan tanda syukur di atas kemenangan. Kemenangan dari Allah begitu hampir kepada hambaNya yang soleh. Renungilah Firman Allah dalam ayat 26 surah an-Nahlu  :

قد مكر الذين من قبلهم فأتى الله بنيــنهم من القواعد فخر عليهم السقف من فوقهم وأتئهم العذاب من حيث لايشعرون

 Maksudnya : Sesungguhnya orang-orag sebelum mereka telah melakukan perancangan maka Allah menghancurkan bangunan-bangunan mereka dari asas-asas binaaannya lalu bumbung bangunan itu jatuh menimpa mereka dari atas dan datanglah azab itu kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari.

Advertisements

About Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 8 Ogos 2011, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: