Ibadah Haji sebagai Proses Kesempurnaan Hidup Insan
Musim haji datang lagi. Para tetamu Allah yang telah disenaraikan semakin berdebar menanti waktu penerbangan ke tanah suci. Namun telah bersediakah kita untuk menunaikan sebuah ibadah hebat ini? Persiapan utama yang perlu disempurnakan dan difahami oleh seseorang yang bakal menjadi tetamu Allah yang terpilih dan dipilih ialah dengan mengetahui, kenapa ibadah haji menjadi keutamaan dalam proses kesempurnaan hidup insan di dunia ini?
Hakikat nyata, kesedaran diri sebagai manusia jahil, hina dan kerdil di sisiNya tidak menghalang untuk kita berfikir dan tidak melakukan perkara tanpa memahami sebab ia perlu dilakukan. Maksud tersirat apabila kita mahu melaksanakan ibadah haji, kita perlu melakukan dengan cara yang terbaik supaya dapat meninggalkan kesan yang mendalam pada diri sendiri terutamanya dalam konteks hubungan dengan Pencipta. Ia memerlukan pemahaman sepenuh hati dan perasaan.
Namun untuk mengetahui dan memahami persoalan ini ianya tidak memungkinkan kita memperolehi jawapannya dalam ceramah-ceramah kursus asas haji sahaja kerana di sana ia lebih menitikberatkan persoalan tatacara perlaksanaan haji. Sebenarnya, kita perlu lebih menekuni beberapa aspek daripada falsafah ibadah haji melalui pembacaan dan perbincangan dengan mereka yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang baik khususnya dalam bab ibadah haji.
Hakikatnya, falsafah dan hikmah daripada segala sesuatu tidak semua dapat dilihat oleh pandangan mata kepala, tetapi dengan mata hati. Allah SWT tidak mencipta segala yang wujud di dunia ini kecuali mempunyai falsafah dan hikmahnya. Ada sebab dan tujuannya. Sama ada diketahui oleh manusia ataupun tersembunyi daripadanya.
Begitu juga Allah SWT tidak memerintahkan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau melarang daripada sesuatu amalan, melainkan kerana hikmah yang ada disebaliknya. Semuanya itu tidaklah sia-sia, bagi yang mahu berfikir pasti akan menjumpai jawapannya sebagaimana firman Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan segalanya ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah ali-Imran: 191)
Hikmah pada Ibadah Haji
Hikmah Allah SWT yang berlaku meliputi segala sesuatu dalam dunia ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu; pertama, Jaliyyah yakni nyata dan jelas. Kedua, Khafiyyah iaitu tersembunyi dan tidak diketahui secara mudah.
Hikmah Jaliyyah iaitu nyata dan jelas. Ianya boleh diketahui kewujudannya oleh semua orang melalui lima pancaindera. Sama ada boleh dilihat, dicium, disentuh, dirasa dan didengar. Contohnya, hikmah diciptakan matahari, ianya memberi manfaat dengan adanya siang dan malam. Pada waktu siang manusia dapat bekerja mencari penghidupan dan di waktu malam pula mereka dapat berehat dan beribadah kepada Penciptanya. Ini adalah antara hikmah diciptakan matahari, tetapi bukan hanya itu sahaja. Masih banyak lagi yang lain, sama ada yang telah diketahui oleh manusia mahupun belum diketahui.
Namun hikmah kejadian alam, manusia dan kehidupan ini, telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam banyak ayat-ayat al-Quran bagi memudahkan kita untuk meneliti, mengambil pengajaran serta iktibar daripadanya dan ianya mampu pula difahami dengan logik akal.
Hikmah Khafiyyah ialah hikmah yang masih tersembunyi dan tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia. Ia hanya dapat diketahui oleh golongan tertentu yang memiliki ketajaman mata hati dan kesucian jiwa dalam menterjemahkan iktibar daripada segala peristiwa yang berlaku, khususnya dalam hal-hal yang berkaitan pengabdian diri kepada Allah SWT dan kepatuhan kepada perintahNya.
Contohnya, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya tanpa dijelaskan terlebih dahulu sebarang sebab dan tujuan arahan itu diperintahkan. Namun hikmahnya, Allah SWT zahirkannya apabila Nabi Ibrahim telah berusaha melaksanakan perintah tersebut dengan segala kepatuhan dan tanpa ada sebarang syak serta ragu-ragu kepada Allah SWT. Allah SWT merakamkan peristiwa kesungguhan ketaatannya ini dalam al-Quran antaranya dalam surah as-Saffaat ayat 100 – 111;
“Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!. Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.”
(Surah as-Saffaat: 100 – 111)
Sebenarnya melalui gambaran peristiwa inilah letaknya hikmah ibadah haji. Arahan segala perintahNya adalah ujian buat kita. Begitulah juga sebagimana perintah Allah SWT kepada setiap muslim agar berusaha secara kolektif melaksanakan hukum hudud dan qisas seperti sebat 100 kali rotan kepada penzina, potong tangan kepada yang mencuri apabila sabit kesalahan serta cukup syarat-syaratnya.
Dalam segala suruhan dan perintah Allah SWT ini, selalunya menimbulkan perdebatan kepada golongan yang hanya memakai logik akal semata-mata. Kita tidak dapat mengetahui hikmah semuanya melainkan apabila Allah SWT memberi kefahaman kepada kita melalui ilmu serta hidayahNya. Iaitu setelah kita berusaha untuk menunaikan sebaik mungkin segala perintahNya dengan penuh ketaatan dan kesungguhan.
Keadaan dan perintah yang sama seperti arahan Allah SWT kepada Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail di bumi penuh gersang lagi tandus sedangkan ketika itu Nabi Ismail masih lagi kecil. Kemudian arahan membina kaabah dan menyeru manusia kepadanya. Arahan menyembelih Nabi Ismail, semuanya ini mencabar akal insani yang waras.
Pada asalnya manusia hanya diperintahkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan semua ibadah, tanpa mempersoalkan mengenai hikmah daripada ibadah itu. Namun melalui pengalaman dan pengajaran umat-umat terdahulu yang terdiri daripada kalangan para Nabi, para sahabat dan para ulama’ yang memiliki ilmu, kesempurnaan iman dan ketakwaan serta pengalaman perjalanan rohani mereka menuju Tuhan, kita dapat mengetahuinya sedikit sebanyak melalui iktibar kisah-kisah mereka dalam usaha menambah kekhusyukan ketika melaksanakan segala perintah Allah SWT termasuklah ibadah haji dan umrah ini.
Para ulama terdahulu telah menulis sebahagian dari tujuan dan hikmah haji dalam kitab-kitab mereka. Antara yang utama, tujuan disyariatkan ibadah haji ini adalah untuk berzikir dengan mengingati Allah SWT, yang bukan hanya menyebut-menyebut namaNya sahaja tetapi juga mengenali segala sifatNya yang mulia serta merasainya dalam segenap perjalanan kehidupan. Firman Allah SWT:
“Tidaklah menjadi salah (berdosa), kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya. Kemudian hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan Ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! berilah kami kebaikan di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya. Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa Yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadaNya.
(Surah al-Baqarah: 198-203)
Dalam ayat di atas berulang kali Allah SWT memerintahkan untuk berzikir dan mengingatinya dengan ingatan yang sempurna melibatkan penghayatan mendalam terhadap anugerah Allah SWT kepada kita. Antaranya penghayatan ketika berada di Mash’ar al-Haram dan selepas wukuf di Arafah. Demikian pula perintah berzikir diulang lagi oleh Allah SWT dalam ayat yang berbicara mengenai mabit di Mina.
Malah semenjak awal pelaksanaan ibadah haji, iaitu berihram dari Miqat sehingga selesai dengan melaksanakan tawaf Wada’, semuanya berisi zikir atau mengingati Allah SWT. Walaupun ianya sunat yang dituntut pada bacaan dan sebutan, tetapi itulah dia lambang kesungguhan dan ketaatan seorang hamba dalam mematuhi arahan daripada Tuhannya yang perlu dipasakkan dalam hati melalui niat dan keazaman.
Bahkan secara khas Rasulullah SAW menyebutkan bahawa amalan-amalan haji disyariatkan oleh Allah SWT adalah untuk berzikir kepadaNya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Aishah RAH, beliau berkata; “Sesungguhnya dijadikan tawaf di Kaabah, sa’i di antara Safa dan Marwah dan melontar jamrah adalah untuk mengingati Allah.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).
Mengesakan Allah SWT
Disyariatkan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah adalah juga untuk mentauhidkan dan mengesakan Allah SWT. Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk membina Kaabah dan menjadikannya sebagai tujuan manusia dari pelbagai negara datang mengunjunginya adalah untuk menyatakan kesatuan dalam mentauhidkan Allah SWT dan membersihkannya daripada segala bentuk kesyirikan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya:
“Dan (ingatlah) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahku (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).”
(Surah al-Hajj: 26)
Falsafah tauhid dan mengesakan Allah SWT dalam ibadah haji sebenarnya wujud dalam semua amalan haji. Bermula dari para jemaah disunatkan menggunakan satu warna pada pakaian, beribadah kepada Tuhan yang Esa, bertalbiah dengan satu talbiah dan seterusnya bertawaf di satu tempat dengan melaksanakan satu ibadah yang khusus iaitu ibadah haji secara keseluruhannya. Semua ini mengambarkan tentang wajibnya bertauhid kepada Allah SWT, tuhan yang esa serta tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.
Proses Memantapkan Ketakwaan
Pensyariatan ibadah haji ini juga merupakan salah satu daripada proses memantapkan ketakwaan seseorang hamba. Perkara ini jelas melalui ayat-ayat perintah perlaksanaan haji antaranya dalam firman Allah SWT:
“Dan sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati; Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) Ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); Semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).”
(Surah al-Baqarah: 196)
Pada ayat berikutnya Allah SWT berfirman:
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah Takwa (memelihara diri dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”
(Surah al-Baqarah: 197)
Di ayat yang lain Allah SWT berfirman:
“Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadaNya.”
(Surah al-Baqarah: 203)
Dan firman-Nya lagi:
“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”
(Surah al-Hajj: 32)
Proses peningkatan takwa adalah permulaan bagi seseorang manusia yang ingin mencapai kemuliaan sebagai hamba kepada Allah SWT setelah ia menyatakan keimanannya. Sebagaimana yang telah kita ketahui, ibadah haji adalah merupakan jalan dan medan latihan untuk seseorang hamba sampai kepada Tuhannya. Ibadah haji adalah pelengkap pencariannya kepada sebuah kehidupan ini.
Bilamana ia telah berjaya membekalkan diri dengan bekalan yang betul nescaya ia akan beroleh nikmat dalam bentuk kesenangan dan mampu dimanfaatkannya ketika ia berhajat di dunia mahupun akhirat. Justeru sebaik-baik bekalan yang Allah SWT perintahkan untuk kita berbekal dengannya ialah sifat ketakwaan.
Memperolehi takwa tidak semudah yang dilafazkan. Pesanan takwa yang sering diulang-ulang dalam ayat-ayat al-Quran begitu penting untuk kejayaan umat Islam, yang ianya merupakan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hanya orang yang dicelikkan mata hatinya dengan taufik dan hidayah sahaja akan memburu takwa.
Hati orang yang bertakwa akan dipenuhi malu, cinta, takut, kagum, harap dan hina dengan Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang mukmin yang sebenar (imannya) itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
(Surah al-Anfal: 2)
Dengan hati yang sebegitulah mereka mengatur kehidupan dengan dinamik dan progresif. Jika pemimpin, mereka adil. Jika pengikut, mereka taat. Sekiranya kaya, mereka bersyukur. Tetapi jika diuji dengan kemiskinan, mereka tetap sabar. Suami yang bertakwa akan menyayangi isterinya. Manakala isteri yang bertakwa akan setia kepada suaminya. Dengan takwa hubungan antara majikan dengan pekerja akan erat dan sama-sama menyumbang kepada produktiviti dan kualiti kerja yang tinggi.
Hakikatnya, pengembaraan menunaikan ibadah haji dan umrah yang dipenuhi dengan pelbagai hikmah yang tersirat akan mampu dihadapi dengan penuh kenikmatan oleh golongan yang telah berjaya mengharungi kehidupannya dengan sifat takwa. Malah ia akan mampu pula mempelajari setiap gerak dan diam, segenap deria dapat merasai dalam menghayati sebuah perjalanan suci disebalik kehebatan ibadah haji dan umrah yang ringkas tetapi sarat dengan pengajaran dan nikmat. Dengan itu fahamlah kita kenapa ibadah Haji ini menjadi keutamaan dalam proses kesempurnaan hidup insan di dunia ini. Subhanallah.
Posted on 26 September 2011, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.
Tinggalkan komen
Comments 0