Cintailah Rasulullah SAW Kerana Dia Mencintaimu

Renungkanlah wahai saudaraku, bagaimana kasihnya Rasulullah SAW kepada kita, umatnya. Sedangkan hati baginda SAW sentiasa hadir mengingati kita sebelum kelahiran kita lagi (seluruh umat Islam). Ada sebuah hadis menyebutkan tentang cinta dan kerinduan khusus Rasulullah SAW kepada umatnya yang terkemudian iaitu umat yang dilahirkan setelah kewafatannya. Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda:

Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW)” [Riwayat Muslim, Ibn Majah, An-Nasa’ie dan Imam Malik]

Alangkah malangnya bagi mereka yang tidak pernah cuba untuk menghadirkan Rasulullah SAW dalam satu saat pun daripada kehidupan dan ingatan mereka, sedangkan baginda menghadirkan kita semua dalam kehidupannya dan juga dalam setiap doa. Rasulullah SAW sendiri menghayati kehadiran kita sebelum kelahiran kita, bagaimana kita tidak berusaha untuk menghayati kehadiran Rasulullah SAW setelah kewafatannya?

Bagaimana pula bentuk kehadiran Rasulullah SAW dalam segenap kehidupan umat Islam sedangkan Rasulullah SAW sudahpun wafat?  Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan: Alhamdulillah, dan apa saja amal kamu yang aku dapati jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu.” (Riwayat Ad-Dailami dan Al-Bazzar)

Hadis ini memahamkan kita bagaimana kehadiran Rasulullah SAW dalam kehidupan para umatnya dan sentiasa memerhatikan dan mengetahui perihal umatnya walaupun setelah kewafatan Baginda SAW. Dalam riwayat yang lain, dinyatakan bahawa segala amalan umat Baginda SAW akan dibentangkan kepadanya pada setiap malam Isnin dan Khamis.

Ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW sememangnya hadir dalam kehidupan umat Islam dengan kehadiran yang hanya diketahui oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW sahaja. Namun, sudah pastilah rasa penghormatan dan penghargaan yang cuba dizahirkan oleh para umatnya akan juga sampai kepada Baginda SAW, melalui selawat dan doa disamping ziarah kita ke Makam baginda SAW melalui salam yang disampaikan selagimana menepati syarak.

Kisah al-Utbi

Daripada Imam al-‘Utbi[1] bahawa ia telah menceritakan: “Adalah aku satu ketika duduk di samping Makam Junjungan Nabi SAW, maka telah datang seorang ‘Arabi (penduduk kampung) mengucapkan salam kepada Junjungan Nabi SAW dengan katanya: “Salam kesejahteraan bagimu, wahai Rasulullah, aku telah mendengar ayat Allah Ta`ala sebagaimana firman-Nya:

“Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri (dengan membuat dosa dan kesalahan) datang kepadamu (wahai Nabi) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”  [Surah an-Nisa’: 64]

Dan aku telah mendatangimu dalam keadaan memohon keampunan daripada segala dosaku dan mengharapkan syafaatmu kepada Tuhanku.”

Lalu dia melantunkan beberapa bait syair seperti berikut:-

يا خير من دفنت بالقاع اعظمه * فطاب من طيبهن القاع والأكم

نفسي الفداء لقبر انت ساكنه * فيه العفاف وفيه الجود و الكرم

Maksudnya: “Wahai manusia terbaik bersemadi dalam bumi jasadnya, Maka harumlah lembah dan bukit dengan keharumannya, Jiwaku jadi tebusan kubur yang engkau penghuninya, Dalamnya ada (peribadi) yang suci, pemurah lagi mulia.”

Al-‘Utbi meneruskan ceritanya; “Kemudian, dia berpaling meninggalkan Makam Junjungan Nabi SAW, tiba-tiba dua mataku mengantuk, lalu aku bermimpi melihat Junjungan Nabi SAW dalam tidurku dan baginda bersabda kepadaku:

Wahai ‘Utbi, segera pergi berjumpa A’rabi itu dan khabarkan berita gembira kepadanya bahawa Allah telah mengampuninya.[2]

Kisah ini diriwayatkan oleh seorang ulama’ besar dalam bidang hadis yang sangat mementingkan sumber-sumber yang sahih dalam periwayatan iaitulah Imam An-Nawawi r.a.. Maka, ini adalah sebahagian daripada contoh di mana Baginda SAW hadir dalam kehidupan para pencinta secara khusus dan umat Islam secara umumnya.

Begitu juga kehadiran khusus Rasulullah SAW terhadap mereka yang berselawat ke atas Baginda SAW setelah kewafatannya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tiadalah seseorang yang menyampaikan salam ke atasku melainkan Allah SWT akan mengembalikan rohku sehingga aku menjawab salam ke atasnya”. (Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

Dalam riwayat lain, Ibn Abbas r.a. berkata: “Tiadalah seseorang pun daripada Umat Muhammad SAW berselawat ke atas Baginda SAW melainkan ia akan sampai kepada Baginda SAW lalu malaikat berkata kepada Baginda SAW: “Si fulan berselawat ke atasmu dengan begini dan begini…”

Ini menunjukkan samada Rasulullah SAW berinteraksi secara langsung dengan umat Islam yang menyampaikan salam dan selawat ke atas Baginda SAW ataupun melalui perantaraan malaikat, namun tetap sahaja bentuk amalan yang dilakukan oleh mereka yang menyampaikan salam dan selawat kepada Baginda SAW itu sampai kepadanya dengan izin Allah SWT.

Oleh itu lakukanlah yang terbaik dengan segala suruhan agama sebagai tanda kesyukuran kita terhadap cintanya Nabi SAW kepada kita sebagai umatnya. Betapa kasihnya baginda SAW untuk menuntun kita kepada kebaikkan dan keredhaan Allah SWT. Hargailah pengorbanan baginda SAW itu dengan banyak berselawat disamping mengharapkan syafaat daripadanya.  Zahirkanlah kegembiraan apabila berada di sisi Majid Nabawi yang mulia dan beradablah ketika menziarahi Makamnya sebagai simbol penghormatan terhadap baginda SAW. Namun yang paling utama, ikutlah sunnah dan petunjuk yang ditinggalkannya sebagai penyaksiaan kita, bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah SWT.


[1] Abu ‘Abdul Rahman Muhammad bin ‘Abdullah atau ‘Ubaidillah bin ‘Amr bin Mu`awiyah bin ‘Amr bin ‘Utbah bin Abu Sufyan Sakhr bin Harb yang lebih dikenali sebagai Imam al-‘Utbi

[2] Rujuk Kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi; Fasal Mengenai ziarah Qubur Nabi SAW. Hal. 206, Dar al-Fikr Beirut- 2002M/1422H.

Advertisements

About Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 8 Disember 2011, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: