Menunaikan Haji: Tunggu Sampai Seru?
Musim kursus asas haji sudah bermula. Ramai dikalangan jemaah yang telah berdaftar dengan Tabung Haji untuk menunaikan fardu haji mengintai-intai tempat-tempat kursus untuk dihadiri. Manalah tahu jika sekiranya nama mereka tersenarai untuk jemputan sebagai tetamu Allah pada tahun ini yang sering didoakan dimakbulkan Allah Taala. Namun tidak kurang juga ada dikalangan kita yang tidak mengambil peduli dengan seruan haji atau umrah ini. Mereka merasakan ibadah itu hanyalah kepada golongan-golongan tertentu sahaja, iaitu mereka yang mendapat seru. Betulkah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah ini perlu menunggu sampai seru?
Suatu ketika saya telah didatangi oleh seorang wanita bertanyakan keadaan suaminya yang masih lagi tidak berminat untuk menunaikan haji ataupun umrah. Suaminya telah berusia melebihi 50 tahun, tetapi masih lagi tidak terlintas dan terdetik niat atau azam untuk menunaikan ibadah haji padahal duitnya telahpun mencukupi. Malah ia mampu pula melancong keluar negara sekurang-kurangnya dua kali setiap bulan. Apabila disapa oleh rakan-rakannya berkenaan menunaikan ibadah haji, dia sering berdalih dengan mengatakan; “belum sampai seru.”
Sesetengah orang beralasan “belum sampai seru” untuk melengah-lengahkan perlaksanaan ibadah haji. “Belum sampai seru” bukanlah alasan untuk mengabaikan keutamaan ibadah haji kerana hakikatnya seruan haji sudah lama disampaikan oleh Allah SWT melalui “lisan” Nabi Ibrahim AS.
Ketika Nabi Ibrahim AS membina Kaabah atas arahan Allah SWT dan bertawaf sebanyak tujuh kali setelah selesai melengkapkan tugasannya, Allah SWT mewahyukan kepadanya supaya menyeru manusia untuk datang ke Baitullah al-Haram bagi mengerjakan ibadah haji. Telah terakam kisah ini sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu dengan sebab Allah telah mengurniakan mereka binatang-binatang ternakan untuk dijadikan qurban.
(Surah Al-Haj: 27-28)
Nabi Ibrahim bertanya kepada Allah SWT: “Wahai Tuhanku, sampai ke manalah suaraku? FirmanNya: “Hai Ibrahim! Tugas engkau menyeru dan Aku akan menyampaikannya. Maka naiklah Nabi Ibrahim ke atas Jabal Qubais[1] dan menyeru “Ya ibadallah (Wahai hamba Allah)! Sesungguhnya tuhan kamu telah membina rumah (Baitullah) dan menyuruh kamu mengerjakan haji, maka datanglah kamu untuk mengerjakan haji.” Firman Allah SWT: “Apa yang ada di langit dan bumi mendengarnya, tidakkah engkau melihat manusia datang dari kawasan yang sehabis-habis jauh di bumi sambil mengucap talbiah mereka?”[2]
Maka Allah SWT memperdengarkan seruan tersebut kepada semua makluk yang berada di bumi. Lalu dijawab oleh manusia, jin, batu, kayu, bukit-bukau, pasir, tiap yang basah dan kering daripada Masyriq (timur) dan Maghrib (barat), dan yang ada di dalam perut ibunya dan pada sulbi bapanya:
لَبَّيْـكَ اللَّهُمَّ لَبَّـيْكَ، لَبَّـيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّـيْكَ،
إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ
Aku menyahut seruanMu, wahai Tuhanku! Aku menyahut seruanMu, wahai Tuhanku! Aku menyahut seruanMu, wahai Tuhanku! Tiada sekutu bagiMu, Aku menyahut seruanMu, wahai Tuhanku! Sesungguhnya segala pujian dan kenikmatan bagiMu dan juga kerajaan, tiada sekutu bagiMU.
Saya pernah bertemu sepasang suami isteri yang telah terpilih untuk menunaikan ibadah haji ketika sedang menanti pesawat untuk berlepas ke tanah suci Makkah al-Mukarramah. Mereka sudah hampir 10 tahun menunggu giliran untuk dapat mengerjakan ibadah haji. Pasangan tersebut berusia dalam lingkungan 50 – 60 tahun. Berkat kesabaran, akhirnya mereka dapat juga menunaikan ibadah itu selepas berusaha mengumpulkan wang dan juga melalui doa yang berterusan dipanjatkan kepada Allah SWT. Khususnya bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah haji dalam keadaan usia yang masih lagi kuat untuk melaksanakannya dengan sempurna.
Si suami berkata, dia dan isterinya sudah tiga tahun memenuhi syarat wang tabungan yang secukupnya untuk mengerjakan haji, namun terpaksa menunggu giliran terlebih dulu.
“Sebaik saja cukup wang tabungan, saya beberapa kali membuat permohonan kepada pihak Tabung Haji, namun semuanya ditolak. Saya tidak menyalahkan pihak Tabung Haji tetapi sebaliknya akur dengan keputusan berkenaan kerana dimaklumkan masih perlu menunggu giliran pada tahun berikutnya. Alhamdulillah akhirnya dapat juga pergi menjadi tetamu Allah di sana (Makkah),” katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang.
Bekas pesara itu berkata, pemergiannya berkat hasil wang pampasan pesaraan yang diterimanya selepas menamatkan perkhidmatan di salah sebuah Jabatan Kerajaan di Pahang, kira-kira tiga tahun sebelum itu. Bukan itu saja, dia turut bekerja sebagai penoreh getah bagi menambah wang perbelanjaan untuk dibuat bekal ketika mereka di sana nanti. Ujarnya, sudah menjadi impian setidak-tidaknya selepas sahaja bersara untuk pergi menunaikan rukun Islam kelima itu.
Bagi si isteri pula, lima anaknya juga banyak membantu dalam menyediakan kelengkapan sebelum berangkat mengerjakan haji.
“Rasa bertuah kerana dapat anak-anak yang banyak membantu saya dan suami, syukur kepada tuhan kerana dikurniakan anak yang berjaya dalam hidup dan beringat untuk akhirat. Jasa mereka saya hargai dan tiada apa yang mampu dibalas melainkan berdoa di depan Ka’abah nanti,” katanya dengan nada penuh syahdu.
Kehadiran pasangan suami isteri itu turut ditemani lima orang anak mereka serta sembilan cucu yang menunggu sejak jam 3 petang walaupun penerbangan mereka hanya akan berlepas kira-kira jam 9 malam.
Terdetik di hati saya dan berasa kagum dengan kegigihan dan kuatnya keazaman mereka. Begitulah berusahanya orang-orang yang sedar akan kewajiban diri untuk menyahut seruan Allah SWT dan menunaikan hak-Nya iaitu melaksanakan ibadah haji yang merupakan rukun kelima dalam rukun Islam yang wajib dilaksanakan.
Kewajipan Menunaikan Haji
Antara syarat wajib untuk menunaikan ibadah haji ini ialah apabila berkemampuan dari segi kesihatan, kewangan dan aman perjalanan. Namun begitu, dari sudut kewangan kita disuruh untuk berusaha dengan cara menabung dan membuat perancangan seawal mungkin khususnya ketika kita diberi rezeki oleh Allah SWT tidak mengira sedikit ataupun banyak. Jika tidak menabung dan membuat perancangan awal sampai bila-bila pun kita tidak akan berkemampuan dari sudut kewangan ini.
Sebagaimana tercatat dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa muda sebelum datang masa tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Bagaimana pula orang yang memang berkemampuan dalam segala segi tapi masih menangguhkan lagi untuk pergi melaksanakan rukun Islam yang kelima ini? Ada yang memberi alasan kerana belum sampai seru.
Bagaimanakah mereka boleh terfikir untuk memberi jawapan yang sebegitu rupa; “belum sampai seru”? Sedangkan panggilan dan seruan ke Makkah ini sudah lama sejak zaman Nabi Ibrahim AS, sebelum Rasullulah SAW wafat lagi dan kewajipan mereka adalah untuk berusaha bagi menyampaikannya. Malah Allah SWT menuntut untuk kita tunaikannya sebagai menghargai dan mensyukuri segala nikmat daripada-Nya. Firman Allah SWT:
“(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah. Maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”
(Surah Muhammad 47:38)
Hakikatnya dalam kehidupan seharian kita ini, untuk mendapatkan sesuatu perlulah disertai dengan usaha. Maka apabila kita telah memiliki segala keperluan yang berupa rezeki daripada Allah SWT sedikit ataupun banyak, sebenarnya kita tiada lagi alasan untuk tidak menunaikannya. Keinginan dalam hati hendaklah disedarkan tentang kewajipan menyahutnya kerana lengkapnya keIslaman kita ialah apabila telah sempurna segala tuntutan rukun Islam yang telah difardhukan ke atas diri kita, bermula penyempurnaan syahadah, solat, puasa, zakat dan kesempurnaan segala kewajipan tersebut adalah dengan terlaksananya ibadah haji.
Disyariatkan kepada yang berkemampuan
Sebagaimana yang diketahui bahawa ibadah haji disyariatkan oleh Allah SWT hanya kepada orang-orang yang mampu sampai kepada Baitullah dan mempunyai bekalan. Antara hikmahnya adalah kerana Allah SWT yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu, telah mengetahui bahawa ramai dikalangan para hamba-Nya yang tinggal jauh dari Makkah dan tidak memiliki kemampuan untuk datang ke Makkah.
Sekiranya haji difardukan kepada setiap Muslim sebagaimana ibadah solat dan ibadah yang lainnya nescaya orang yang tidak mampu menunaikannya akan berada dalam keadaan maksiat kepada Allah SWT dan sentiasa berdosa kerana tidak melakukan perintah Allah SWT tersebut. Namun mereka yang berusaha dengan sebab kesedaran tentang kewajipannya yang perlu dilaksanakan sewaktu ia masih hidup, malah berusaha untuk mencapai kesempurnaan Islamnya, maka ia akan memperolehi pahala jihad kerana pengorbanan besar yang telah dilakukannya.
Difardukan ibadah haji ini hanya sekali seumur hidup. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah berkhutbah:
“Wahai sekelian manusia, sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan pelaksanaan ibadah haji ke atas kalian, maka hendaklah kalian bersegera melaksanakannya. Seorang bertanya: ‘Adakah setiap tahun wahai Rasulullah?’ Baginda terdiam sehingga beliau menyampaikan pertanyaannya tiga kali. Selepas Rasulullah SAW bersabda: ‘Seandainya aku mengatakan ya, nescaya haji wajib dilakukan setiap tahun dan kalian tidak akan mampu melakukannya.
Baginda kemudian bersabda lagi: ‘Biarkanlah apa yang aku diamkan, kerana sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kalian disebabkan banyak bertanya dan menyelisihkan para nabi. Oleh kerana itu jika aku memerintahkan suatu perkara, maka laksanakanlah mengikut kemampuan kalian. Dan jika aku melarang daripada sesuatu perkara, maka tinggalkanlah.’”
(Riwayat Muslim)
Di dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia difardukan ke atas kalian ibadah haji. Al-Aqra’ bin Habis berdiri dan bertanya: ‘Adakah setiap tahun wahai Rasulullah? Baginda bersabda: ‘Sekiranya aku berkata demikian, nescaya diwajibkan setiap tahun. Jika diwajibkan (setiap tahun) kalian tidak akan melaksanakannya dan kalian tidak akan mampu melakukannya. Beribadah haji hanya sekali, sesiapa yang menambahnya maka dikira tatawwu’ (sunat).’”[3]
[1] Menurut sesetengah pendapat mengatakan di Bukit Safa, ada pula yang mengatakan di atas batu maqam Nabi Ibrahim AS.
Posted on 21 Februari 2012, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 6 Komen.
Assalamualaikum Ustaz,
Saya nak minta pendapat Ustaz.
Saya ingin ke tanah suci mekah.Saya dan suami membuat tabungan dan mengikut duit tabungan kami pada 2015 InsyaAllah tabungan kami mencukupi untuk kami kesana melalui pakej .Kami mahu pergi dlm usia 45thn sbb itu kami merancang utk pergi melalui pakej.kalau menunggu giliran waktu tu kami sudah sgt tua.
Masalahnya sekarang saya teringin kesana lebih awal kerana ingin berdoa kepada Allah supaya saya dijadikan lebih bertaqwa dan saya mahu berdoa agar Allah boleh memberi hidayah kepada suami saya supaya suami saya lebih bersungguh menjaga ibadatnya dan dapat menjadi imam yg soleh pada keluarga saya.
Bukan bermakna saya tidak berdoa disini,setiap hari saya berdoa supaya suami saya mahu mempelajari Al-Quran dan membacanya diatas kesedarannya sendiri dan bukannya disebabkan saya yg menyuruhnya.Saya mahu dia menjadi imam solat dan membimbing keluarga saya.
Saya juga mahu menqada solat2 yg telah ditinggalkan semasa saya lalai dahulu.Sekarang saya mmg menqadakan solat2 saya tapi disebabkan terlalu byk solat2 yg telah ditinggalkan,saya rasakan kalau saya dapat solat disana saya akan jadi lebih baik.
Jadi saya rasakan mungkin elok jika saya dan suami pergi umrah pada bulan ramadan.dlm tahun hadapan.Suami saya ikut saja cadangan saya.
Tapi masalahnya disini,jika kami sudah pergi menunaikan umrah,saya rasakan saya memerlukan masa lagi untuk mengumpul kembali wang untuk menunaikan haji.Mmg lah rezeki itu Allah yg tentukan.dan ada org kata lepas pergi umrah ,nanti Allah akan murahkan rezeki kita untuk menunaikan haji.
Tapi saya tersepit antara yg sunat dan yg wajib dan juga keinginan saya.
Disamping itu saya juga mahu membuat pembedahan mata yg rabun kerana saya fikir kalau saya pakai contact lens kesana mungkin agak sukar dan kalau saya pakai kacamata,kacamata menganggu saya sebab kantanya sgt tebal sbb powernya yg tinggi(1050).Saya ingin sgt buat pembedahan lasik tapi belanja nya yg tinggi membuatkan saya berfikir byk kali.kerana ini akan menjejaskan tabungan saya ke tanah suci.
Saya sangat2 berharap mendapat pendapat Ustaz untuk persoalan2 saya ini.
terimakasih .
Wa’alaikum salam..
Puan Maimoon,
Terdetik untuk menjadi tetamu Allah adalah petanda permulaan hidayah daripada Allah SWT. Hidayah ini pula hendaklah disuburkan dengan ilmu untuk menambahkan iman dan memberi keyakinan kepada amalan. Untuk menyatakan iman dan melakukan amalan ianya tidak tehad pada tempat yang tertentu, malah di mana jua dituntut untuk kita melaksanakannya.
Janganlah pula kita terlampau ta’asub dengan merasakan hanya di Makkah segala-galanya akan berubah. Belum tentu apabila kita telah beribadah dan berdoa di Makkah kita dengan serta-merta akan berubah menjadi baik. Jika puan ke Makkah sekalipun dengan tanpa bekalan yang betul ia tidak akan memberi apa-apa manfaat malah puan hanya akan mampu berbangga dengan rakan taulan sahaja. Semuanya akan bersifat sementara, penuh hipokrit. Sampai satu ketika puan akan jemu dengan amalan ibadah yang puan lakukan, dah bertambah malang.. puan akan kembali kepada kehidupan asal atau lebih teruk daripada itu.
Apa yang perlu puan lakukan sekarang ini, kumpulkanlah bekalan takwa dengan sebanyaknya. Bukan setakat ilmu yang dicari tetapi belajar untuk menjiwai, menghayati dan memahami apa yang telah dipelajari dengan sifat rendah diri. Disamping itu tanamkanlah keazaman yang tinggi disamping berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi tetamu Allah sama ada untuk melaksanakan haji (yg wajib) ataupun umrah (yg sunat). Saya yakin apabila telah sampai waktunya nanti (dijemput Allah sebagai tetamu-Nya) rezeki akan datang mencurah-curah tanpa perlu puan bersusah payah memikirkannya.
Sebagai insan, puan masih perlu berusaha.. Kumpulkan bekalan duit sekadar yang mampu untuk menyampaikan diri ke tanah suci. Dalam keadaan diri puan itu letakkanlah yang terlebih utama iaitu untuk menunaikan haji yg wajib terlebih dahulu. Tunaikanlah juga hak badan untuk berubat mata.. Jangan putus asa untuk memohon kepada ALLAH dalam apa jua yang berlaku dalam hidup kita. Insyaallah, doa saya agar pun dapat menangani permasalah ini dengan tenang dan mendapat petunjuk daripada ALLAH.
Untuk panduan bekalan takwa, dapatkan buku “PULANG BERSAMA HAJI MABRUR” dikedai buku yg berhampiran atau hubungi Galeri Ilmu Sdn. Bhd. di talian: 03-6142 1614
Terima kasih Ustaz atas nasihat yg berguna ini.Saya akan berusaha mencari taqwa seperti yg Ustaz cakapkan.
Assalamualaikum Ustaz.
Saya dah beli buku Ustaz pulang bersama haji mabrur.Doakan Allah bukakan jalan yg mudah utk saya ke tanah suci menunaikan haji ya Ustaz.
Wa`alaikumsalam…
Alhamdulillah dan terima kasih, moga ianya dapat membantu puan menghayati ibadah haji dan umrah yg bakal dilaksanakan, insyaallah.
Assalamualaikum ustaz..
Mohon ustaz bagi pendapat berkenaan masalah saya..ayah saya sudah berusia 63 tahun.alhamdulillah beliau masih sihat dan hanya berkebun untuk mengisi masa lapang.saya juga masih mempunyai datuk dan nenek dari sebelah ibu. Manakala dari sebelah ayah pula, saya masih mempunyai nenek, datuk saya telah meninggal. saya telah membuat simpanan untuk ayah saya menunaikan haji dan simpanan tersebut telah lama cukup untuk beliau menunaikan haji. Namun, masalah yang timbul ialah, ayah saya berkeras tidak mahu menghadiri kursus haji dan melarang saya untuk membuat rayuan haji bagi pihak beliau kerana takut sekiranya nama beliau terpilih untuk panggilan haji. Walaupun hakikatnya saya tahu beliau sebenarnya teringin untuk menunaikan haji. Keadaan ini membuatkan ibu dan kakak saya rasa tidak puas hati dengan tindakan ayah saya. Alasan ayah saya, beliau tidak akan menunaikan haji selagi ibunya masih hidup kerana bimbang akan mengguris hati ibunya. Walaupun semua keluarga tahu bahawa sekiranya ayah saya dapat menunaikan haji beliau pergi semuanya atas pembiayaan saya sebagai anaknya dan keluarga sebelah ibu dan ayah sedia maklum bahawa ayah saya sudah lama tidak bekerja. Saya juga tahu bahawa nenek saya mungkin tidak berfikiran seperti apa yang difikirkan oleh ayah saya. Sebagai anak sulung, ayah saya terlalu fikirkan keluarga dan adik beradiknya. Ayah saya juga tidak mahu menyatakan perkara ini kepada nenek saya kerana bimbang akan perasaan ibunya. Dipihak saya pula, apabila ayah saya berkeras dengan pendiriannya membuatkan saya juga turut terkesan. Saya juga punya niat untuk menunaikan umrah atau haji tetapi bila melihat keadaan ayah saya..saya berasa berat hati dan risau akan perasaanya..saya ingin jadikan ayah saya sebagai mahram sekiranya dia bersetuju untuk menunaikan umrah/haji..namun keadaan ini agak menyukarkan untuk saya meneruskan niat saya ini..sikap ayah saya ini kadang kala menyebabkan saya rasa tidak puas hati, geram dan kesian kepada beliau..