Syubhah Membinasakan Akidah

Dalam tempoh kehidupan ini, kita tidak dapat lari daripada persoalan halal dan haram kerana segalanya tertakluk kepada penilaian Allah SWT terhadap segala amalan dan perbuatan yang kita lakukan. Sebagai panduan, setiap perkara dari segi hukum halal dan haramnya telah diperjelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran disamping hadis-hadis Rasulullah SAW menghuraikan lagi persoalan tersebut. Hukum halal dan haram yang mewarnai kehidupan manusia di dunia ini adalah suatu persoalan yang berkaitan dengan kepercayaan dan keimanan kita kepada Allah SWT ianya melibatkan suruhan serta tegahan, galakkan dan amaran.

Allah SWT tidak meninggalkan persoalan asas dan pokok yang melibatkan halal dan haram yang dibicarakan di dalam al-Quran mengenai urusan akidah, ibadah, syariah dan akhlak yang mulia tanpa ada jawapan serta panduan untuk melaksanakannya. Walaubagaimana pun di antara segala perkara yang jelas halal dan haram tersebut, ada perkara-perkara yang syubhah iaitu perkara yang samar-samar hukumnya di antara yang halal atau haram sebagai ujian untuk orang yang beriman. Justeru, orang mukmin yang benar dan bersifat warak akan meninggalkan perkara-perkara syubhah ini sebagai lambang kesempurnaan iman kerana dikhuatiri tanpa disedari ianya boleh terjatuh kepada perkara yang haram dan dimurkai Allah SWT.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nukman bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, (sambil Nukman memegang kedua belah telinganya): “Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan perkara haram itu pun jelas. Manakala di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh orang ramai. Oleh itu, sesiapa menjaga dirinya daripada perkara syubhat, maka dia telah bebas (dari kecaman) untuk agamanya dan kehormatannya dan sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhat, bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram.”

Memang tidak dapat dinafikan, tidak semua perkara yang telah Allah SWT dan Rasulullah SAW nyatakan dalam al-Quran dan hadis, jelas dari segi hukumnya sama ada halal ataupun haram. Namun begitu ianya tidak bermakna apabila Allah SWT dan Rasul-Nya tidak mengatakan mengenainya, lantas perkara itu boleh dianggap halal!

Rasulullah SAW telah menjelaskan di dalam hadis di atas bahawa antara halal dan haram, terdapat perkara syubhah. Syubhah merupakan sesuatu perkara atau keadaan yang tidak pasti akan hukumnya. Syubhah juga boleh juga ditakrifkan sebagai perasaan was-was akan sesuatu perkara. Walaupun syubhah bukanlah halal dan tidak juga haram, tetapi ianya tidak bermakna perkara syubhah itu boleh dilakukan sesuka hati.

Pengertian daripada hadis di atas juga jelas menyatakan, syubhah bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan ataupun dibuat main-main. Ini adalah kerana Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang menjauhkan perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan akidahnya serta memelihara kehormatannya. Akan tetapi jika sesiapa mengamalkan amalan syubhah, bermakna ia mengamalkan perkara yang haram dengan membelakang arahan dan perintah Allah SWT malah tidak berhati-hati dalam urusan tersebut. Bukankah itu satu penekanan dan penegasan yang berat?

Di dalam sebuah riwayat yang lain Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menjauhi syubhah, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhah, ia seolah telah jatuh dalam yang haram” ( Riwayat Muslim, no 1599, 3/1219)

Ingatan Rasulullah SAW dalam hadis ini membuatkan kita mesti berwaspada dalam setiap tindakan dan perkara yang bakal dilakukan dalam kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi apabila segala aktiviti kita melibatkan urusan sesama manusia khususnya golongan yang tidak beriman. Malah mereka langsung tidak mengetahui apa itu halal dan haram yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Seharusnyalah apabila kita meragui sesuatu perkara, hendaklah kita menjauhkan diri daripada melakukan perkara tersebut kerana dikhuatiri akan terjerumus kepada perkara yang haram. Jika kita berhati-hati dan mengambil berat mengenai urusan agama dan perkara yang berkaitan dengan akidah, sudah pasti kita akan dapat menjauhi diri daripada terjebak dengan perkara yang diragui atau syubhah sekaligus menjauhkan diri kita daripada terlibat dengan perkara yang haram dan kemurkaan Allah SWT. Justeru, elakkan diri dariapda perkara-perkara yang syubhat agar kita dapat menjaga diri dan agama serta ahli keluarga daripada terjebak ke dalamnya. Contoh perkara-perkara syubahat adalah seperti berikut :

1. Makanan dan minuman daripada luar negara (walaupun daripada negara Islam) yang tidak ada pegesahan tanda halal oleh negara tersebut atau daripada JAKIM. Di khuatiri makanan tersebut dicemari oleh unsur-unsur haram walaupun sedikit.

2. Makan dan minum di hotel, restoren, cafeteria atau kopitiam yang tidak ada kelulusan JAKIM, kelulusan halal daripada luar negara boleh dipertikaikan sebab tidak ada siapa yang boleh mengesahkan dan pantau kehalalannya.

3. Makanan dan minuman yang dikeluarkan oleh syarikat bukan muslim yang tidak ada kelulusan halal oleh JAKIM atau Jabatan Agama negeri-negeri.

4. Menerima hadiah atau hamper oleh kakitangan kerajaan (yang menguruskan tender atau pembekalan barang-barang) daripada syarikat-syarikat pemborong yang ada kepentingan perniagaan. Di khuatiri ada unsur-unsur rasuah.

5. Apa sahaja samaada pekerjaan, makanan, minuman, perkhidmatan yang mana di situ ada keraguan dan boleh menimbulkan fitnah atau kesangsian ianya boleh dikategorikan sebagai perkara syubahah.

6. Melabur di dalam pelaburan internet yang tidak jelas skimnya dan menyerupai skim cepat kaya. Tidak ada perjanjian dan muamalah yang jelas mengikut sistem Islam.

7. Membeli, menjual, membuat dan menghisab rokok. Sesetengah ulama mengatakan ia haram (dengan huraian yang terkini) manakala yang lain mengatakan makruh. Jabatan Fatwa Perak sebulat suara mengatakan rokok itu haram di sokong oleh Jabatan Agama Islam di Selangor. Walaupun majlis fatwa negeri-negeri tidak 100% mengatakan ia haram, bukankah perbuatan ini syubhat dan menurut hadis di atas dan boleh terjerumus ke dalam perkara yang haram. Ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda bahawa mengamalkan perkara syubhat itu merosakkan kehomatan diri sendiri. Marilah kita cuba berhenti beramai-ramai. Memang tidak dapat dinafikan untuk berhenti itu sukar. Tetapi ingat Allah ada berfirman di dalam al-Quran surah al-Talaaq ayat 3 yang bermaksud: “Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya).”

8. Membeli lembu, kambing atau ayam daripada tuan binatang ternak yang tidak menjaga binatang belaan mereka. Binatang tersebut dilepaskan dengan bebas. Kita khuatir binatang tersebut telah memakan tanaman orang lain dan tuannya membiarkannya saja. Oleh itu binatang seperti ini termasuk di dalam perkara syubahat. Belilah binatang-binatang ternak yang jelas makanannya daripada sumber yang halal.

Marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang haram samaada makanan, minuman, perbuatan dan pertuturan. Kita juga perlu jauhkan diri kita daripada perkara-perkara syubahat yang tidak jelas halal dan haram semata-mata untuk menjaga agama dan akidah agar tidak tergelincir kepada perkara yang dimurkai oleh Allah SWT.

Oleh itu, sesiapa yang menjaga dirinya daripada melakukan perkara syubhat, bererti dia telah bebas (dari kecaman) untuk akidah dan kehormatannya. Manakala sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara syubhat, bererti dia telah terdedah untuk terjerumus ke dalam perkara yang haram, seperti penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, maka kemungkinan besar binatangnya akan memasuki kawasan tersebut. Sabda Rasulullah SAW:

Ingatlah! Sesungguhnya setiap penguasa (kerajaan), memiliki daerah terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya daerah yang terlarang milik Allah adalah apa saja yang diharamkan-Nya. Ingatlah! Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahu’alam

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 20 Mac 2012, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 11 Komen.

  1. Assalamualaikum Ustaz, mohon panduan dr Ustaz berkenaan isu syubhah di atas.
    Contoh : Kedai makanan milik org cina yang terang2 di luarnya nama cina tersebut. Tapi didalamnya makanan seperti nasi campur ,mee sup dan sebagainya diuruskan oleh orang melayu yang menyewa di situ. Minuman dan makanan seperti telur separuh masak pula diuruskan oleh cina tersebut. Pandangan orang islam yang makan minum disana ialah makanan yang dimakan dibuat oleh orang melayu dan bukan dibuat di kedai cina itu. Mmg ramai melayu yang makan disitu termasukla yang memakai kupiah & bertudung.

    Tolong ustaz bagi pencerahan dan panduan kepada saya kerana ramai kakitangan bawah saya yang makan minum di kedai sana, saya rasa bertanggungjawab untuk menyedarkan staf2 saya tersebut.
    Terima kasih

    • Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

      Wa’alaikum salam..
      Tuan Meor Harun,
      Kalau hendak dihitung dari segi halal ataupun tidak hendaklah ditentukan sebagaimana syarat2 yang telah disebutkan di atas. Namun persoalannya sekarang ialah untuk menjadikan ianya betul-betul suci agar tidak timbul keraguan, kerana keraguan itu sudah menjadi syubhah.

      Amat penting menjaga makanan yang hendak masuk ke dalam perut kita kerana ia akan memberi kesan yang signifikan kepada akhlak, kejernihan hati dan iman. Makanan yang hendak masuk ke perut kita bukan setakat dijaga pada halal dan sucinya sahaja tetapi juga bagaimana penyediaannya dan siapa yang menyediakannya hendaklah diambil kira.

      Bersolatkah dia, sempurnahkan penutupan aurat orang yang menyediakannya juga perlulah dititik beratkan kerana makanan yang terhasil dari tangan-tangan ini amat memberi kesan kepada perkembangan jiwa. Memang nampak agak keterlaluan namun itulah hakikatnya. Golongan yahudi banyak merosakkan manusia melalui makanan, kerana mereka tahu sebagaimana yg ditekan ALLAH dalam al-Quran, pengaruh makanan amat besar kepada perkembangan jiwa dan iman seseorang. Sebab itu mereka berusaha seboleh-bolehnya memasukkan unsur2 haram walaupun sedikit ke dalam makanan yang dikeluarkan oleh mereka.

      Berbalik kepada persoalan kita.. amalan memakan makanan di kedai makan cina (non-muslim) yang disediakan oleh muslim adalah syubhah kerana ia menimbulkan keraguaan dan boleh juga menimbulkan fitnah. Sebaiknya dijauhkan dan nasihatiah muslim yang berniaga di situ supaya mengwujudkan perniagaannya sendiri tanpa dibayangi oleh kedai non-muslim itu tadi.

      Wallahu’aklam.

  2. Assalamualaikum ustaz..saya ada masalah sikit,seseorang individu ini telah menggunakan satu produk dan meyakini bahawa produk itu halal,,setelah bertahun-tahun menggunakannya,individu ini terdetik hati untuk mengkaji samada produk halal ke tidak..dan apabila diselidik,didapati produk ini tidak halal..apakah yang harus dilakukan? harap ustaz dapat bantu selesaikan kekusutan ini..terima kasih…

    • Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

      Wa’alaikum salam..

      Iz, apa khabar harap maaf kerana agak lewat memberi respon.

      Apa yang kita tidak tahu itu dimaafkan. Namun setelah diketahui hendaklah dijauhkan. Mohonlah kepada Allah SWT keampunan dari sifat kejahilan dan kekalkan sifat ketaatan. Semoga Allah SWT merestui perjalanan hidup insan. Insya Allah.

  3. ustaz..mohon share

  4. ustad contoh perkara yg subhat itu apa saja tolong beserta alasanya

  5. muhammad affisyahruddin

    Assalamualaikum ustaz… bleh sya tnya ka?? Apa kesan dan keburukan melakukan perkara syubhah??
    Terima kasih

  6. nor fiza binti mohd yusop

    assalammualaikum ustaz… boleh ustaz terang kan apa maksud selamatlah masalah keduniaanya tetapi rosaklah agamanya? terima kasih

  7. Assalamu’alaikum ustaz, Bagaimana pula dengan pendapatan kakitangan kerajaan? Dimana terang terangan kerajaan mengambil cukai dari peniaga2 yang menjual sesuatu yang yang haram bagi umat isla., seperti arak dan babi. suda tentu ada cukai, hasil pendapatan ini termasuk dalam pendapatan kerajaan. digunakan untuk membayar gaji2, pembangunan, buat masjid dan macam2 lagi. termasuklah pekerja2 yang kariernya baik dari sudut islam, seperti ustaz2 dan mufti, jabatan2 agama kerajaan juga termima duit ini.

  8. Bagaimana dengan melakukan perkara syubhah boleh memberi kesan kepada akidah?

    Biasanya,kl makanan yg syubhah boleh menyebabkan penyakit.
    Harta yg diambil Dr Jalan yg diragui, boleh menyebabkan pergaduhan.
    Pergaulan bebas atau menghampiri Zina boleh merosakkan keturunan.

    Tp, ,macam xnampak kesannya pada akidah.tolong jelaskan,jika boleh..tq

  9. Faza Abdul Gafoor

    Sy nak tahu kiranya restoran yg dikendali bukan Islam sejak turun temurun, adakah syubhah jika ada sijil halal kerana pd sy, masak nasi pun ada doanya apalagi melibatkan daging dll

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: