Mencari Bahagia Nan Damai

Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia yang mendamaikan jiwa itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia dan kedamaian dalam hatinya.

Malangnya, keinginan manusia untuk mendamaikan jiwa dan merasai bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya yang membawa kepada kedamaian jiwa dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan dan kedamaian itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu sebelum beroleh kedamaian.

Bahagia yang merupakan eleman utama untuk mencapai kedamaian jiwa di sisi Islam terbahagi kepada dua, iaitu kebahagiaan sementara dan kebahagiaan abadi. Kebahagiaan sementara hanyalah bersifat seketika sahaja, ia boleh hilang daripada seseorang dengan sekelip mata. Kebahagiaan sementara ini dikurniakan di dalam kehidupan manusia yang sementara di dunia ini. Matlamat manusia yang mengejar kebahagiaan dunia sentiasa mengumpul harta, mencari pangkat serta kemasyhuran dan ingin memiliki segala-galanya yang ada di dunia ini sebagai milik mutlak dirinya. Namun, kebanyakkan manusia terlupa bahawa kebahagiaan yang dicari itu hanyalah bersifat seketika dan sementara. Apabila manusia terpaksa meninggalkan dunia ini dengan kematian segalanya itu akan ditinggalkan malah sudah tidak berguna lagi.

Kebahagiaan yang kekal akan menjadi milik hamba-hamba Allah yang menjadikan dunia sebagai ladang akhirat. Di dunia, mereka “bercucuk tanam” membuat bekalan bagi mempersiapkan diri menghadapi kehidupan di akhirat. Pada masa yang sama mereka tidak meninggalkan tanggungjawab asasi kehidupan mereka di dunia seperti pada keluarga, kerjaya dan harta benda. Urusan dunia dilaksanakan dengan penuh amanah demi mencapai keredhaan Allah SWT. Golongan inilah yang akan berjaya mencapai kebahagiaan yang menjadi idaman setiap insan malah hati mereka damai menerima takdir Allah SWT disamping mempunyai keyakinan dan iman yang utuh kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Segala kesenangan itu hilang kecuali kesenangan penghuni syurga dan segala kesusahan itu hilang kecuali kesusahan penghuni neraka.” Kenyataan ini diperkuatkan lagi melalui firman Allah SWT:

Dan berikanlah kepada mereka perbandingan: kehidupan dunia ini samalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur-lah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Kahfi: 45)

Perumpamaan yang dinyatakan oleh Allah SWT ini mengambarkan kepada manusia tentang kehidupan dunia yang bersifat sementara, tidak kekal.

Terdapat di dalam al-Quran acapkali Allah SWT mengunakan perkataan nikmat untuk mengambarkan kesenangan, kegembiraan dan anugerah. Antaranya firman Allah SWT:

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”

(Surah Ibrahim: 34)

Nikmat yang dimaksudkan di dalam ayat ini antaranya adalah anugerah seperti kesihatan badan yang baik, makanan, keselamatan, pakaian, air dan udara. Nikmat yang menjadi sumber kebahagiaan kepada para hambaNya ini tidak terhitung banyaknya yang seharusnya diterima dengan penuh kesyukuran. Nikmat yang tidak terhingga ini sewajarnya boleh memandu manusia menempuhi kehidupan yang diredhai dan bukan menghabiskan masa berkeluh-kesah, merintih dan berdukacita.

Allah SWT juga menggambarkan kebahagiaan bagi para hambaNya yang taat, sabar dan beriman dengan perkataan salam, rahmat dan berkat (selawat). Sebagaimana firman Allah SWT:

Salam sejahtera ke atas kamu kerana kesabaran kamu. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”

(Surah al-Ra’d: 24)

Firman Allah SWT:

Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Baqarah: 157)

Allah SWT telah menjanjikan keselamatan dan kebahagiaan kepada para hambaNya yang bersabar terhadap musibah dan ujian yang menimpa. Kebahagiaan dan kesejahteraan hidup yang disebut dalam al-Quran sering dikaitkan dengan para hambaNya yang melakukan amal soleh. Allah SWT menjanjikan kebahagiaan dunia dan akhirat jika para hambaNya konsisten pada amalan yang baik dan tetap di dalam iman kepada Allah SWT dalam keyakinannya, menjauhi dosa serta maksiat.

Terdapat banyak saranan serta panduan amalan yang digalakkan di dalam al-Quran dan hadis untuk kita meraih kebahagiaan. Antaranya memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT melalui solat yang dijagai serta dengan khusyuknya yang diusaha, melaksanakan segala perintah Allah SWT dengan penuh keyakinan. Juga memperbaiki hubungan sesama manusia dengan berbuat baik kepada ibubapa, menjaga hubungan yang baik dengan sanak saudara dan jiran tetangga, menunaikan zakat dan bersedekah bagi menginsafi dan prihatin kepada golongan yang lemah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Islam sebagai agama yang syumul lagi melengkapi telah memberikan garis panduan yang lengkap kepada kehidupan manusia. Manusia yang menghayati ajaran Islam dengan sempurna tidak akan merasai kekosongan di dalam hidupnya. Bahkan dia akan senantiasa dihujani rahmat dan berkat daripada Allah SWT yang akan membuatkannya bahagia pada perasaannya serta damai pada jiwa dan hati nuraninya.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 27 September 2012, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: