Nikmat Yang Didustakan

Dalam kehidupan seharian, kita sering mendapati orang memuji dan berterima kasih antara satu sama lain, khususnya kepada seseorang atau golongan yang membantu dan menghulurkan bantuan kepadanya. Tetapi hakikatnya, ramai yang terlupa untuk memuji dan berterima kasih kepada Allah SWT malah tidak bersyukur kepada-Nya, sedangkan Allah SWT telah melimpahkan nikmat ke atasnya dengan begitu banyak. Sedangkan manusia dan segala makhluk hanyalah perantara antara kita dengan Allah SWT ketika menerima segala nikmat itu. Namum malangnya sikap manusia yang tidak mengerti dan mengenali Tuhan yang sebenar, merasakan bahawa segala nikmat yang diperolehinya itu adalah hasil daripada usahanya sendiri. Sikap inilah yang dinamakan pendusta nikmat atau kufur nikmat, ianya berlaku disebabkan oleh hati yang lalai dan sikap tidak tahu mengenang budi.

NikmatBagi golongan manusia yang mengerti dan memahami malah suka memikirkan tentang segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada para hamba-Nya, sudah tentu menyedari betapa banyak dan tidak terhitungnya nikmat Allah SWT itu. Pada diri manusia sahaja terdapat nikmat yang tiada nilai jika diamati dengan hati yang insaf. Sebagai contoh, bayangkanlah dengan nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan kepada kita; berapakah nilainya? Dua biji mata yang dapat melihat dan membezakan pelbagai objek, bentuk dan warna, boleh pejam dan celik. Begitu juga mulut yang boleh menuturkan apa yang dikehendaki oleh hati disamping menjadi sumber utama kepada kelangsungan hidup manusia melalui makanan dan minuman yang kita nikmati melaluinya, subhanallah. Begitu indah dan hebat ciptaan Allah SWT, malah pelbagai lagi bentuk nikmat yang tidak ternilai malah tidak mampu ditukar ganti dengan dunia dan segala isinya, ada pada diri kita.

Kemudian, cuba fikirkan pula nikmat akal fikiran yang hanya dianugerahkan kepada makhluk yang bernama manusia, tidak kepada makhluk-makhluk lain. Dengan nikmat ini kita mampu menguasai segala yang ada di sekeliling kita, mengetahui apa yang benar dan palsu, yang baik dan buruk. Dengan akal juga kita boleh mengetahui apa yang bermanfaat untuk dicari dan diperolehi dan apa pula yang memudharatkan untuk dihindari dan dijauhi.

Allah SWT tidak menciptakan kita seperti makhluk yang tidak berakal, malah segala makhluk yang diciptakan Allah SWT di atas muka bumi mahupun di langit dipermudahkan untuk kehidupan manusia. Hakikatnya segala yang terdapat di dunia ini Allah SWT ciptakan untuk manusia dan manusia pula diciptakan untuk mengambil manfaat daripadanya. Bahkan, mungkin ada yang bertanya untuk apa pula manusia itu diciptakan?

Manusia sebenarnya tidak dijadikan begitu sahaja, tanpa ada hala tuju dan matlamat kejadian. Sedangkan setiap apa yang ada di sekitar kita walaupun sekecil-kecil kejadian sehinggalah sebesar-besarnya semuanya ada tujuan dan matlamat diciptakan, tentu sekali manusia yang hebat ini ada tujuan diciptakan Tuhan. Justeru, jawapan hanya ada pada pencipta manusia itu sendiri, iaitu Allah SWT.

Nikmat hidayah kepada agama yang benar

Bagi umat Islam terdapat satu nikmat yang amat besar yang dianugerahkan Allah SWT kepada mereka, iaitu nikmat hidayah yang memberi petunjuk dan kefahaman kepada agama dan cara hidup yang benar. Bagi seseorang yang dilahirkan sebagai seorang Muslim, nikmat ini kurang dirasai atau mungkin tidak dirasai langsung. Tetapi bagi mereka yang dilahirkan dalam agama lain kemudian mendapat hidayah kepada Islam, maka perubahan dan nikmat ini amat dirasai sehingga tidak mampu diungkap dengan kata-kata tentang betapa hebatnya nikmat dan kebaikan yang telah diperolehinya.

Melalui nikmat hidayah ini, apabila kita amalkan dengan sepenuh hati dan yakin dengan ketetapan Allah SWT maka kita akan memperolehi kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman dalam hidup. Sifat kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman itu terhasil daripada aturan kehidupan yang selari dengan fitrah dan mencapai kesempurnaan hidup melalui ketetapan yang telah dilakarkan Allah SWT. Oleh sebab itu, bagi sesiapa yang memilih jalan hidupnya sendiri dan tidak menuruti aturan kehidupan yang telah ditetapkan Allah SWT, sudah tentu akan menemui kegagalan dan kekecewaan dalam hidupnya.

Nikmat adalah amanah

Ada banyak hadis yang memperingatkan manusia supaya tidak mendustakan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya. Antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a yang bermaksud: “Bahawa Allah SWT tidak memberikan sesuatu nikmat yang besar kepada seseorang hamba-Nya melainkan dia diamanahkan untuk membantu orang lain. Sesiapa yang tidak melaksanakan amanah ini maka dia mendedahkan nikmat itu kepada kehilangan.”

Kita mestilah sedar bahawa Allah SWT limpahkan nikmat-Nya kepada orang-orang yang tertentu supaya mereka menyampaikannya kepada para hamba-Nya yang lain. Jika mereka menggunakan segala nikmat itu untuk membantu orang lain dan membuat kebajikan untuk orang ramai, maka Allah SWT sangat menyukai perbuatan tersebut dan balasannya Allah SWT akan tambah lagi nikmat-nikmat-Nya. Sebaliknya jika mereka tidak membantu dan mencurahkannya kepada golongan yang memerlukannya maka Allah SWT akan murka dan menghilangkan segala nikmat kurniaannya itu daripada tangan mereka.

Inilah yang dimaksudkan daripada firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu; “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah lagi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.” (Surah Ibrahim: 7).

Akibat mendustakan nikmat Allah

Segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada kita hendaklah digunakan pada perkara kebajikan dan yang bermanfaat kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Nikmat-nikmat itu tidak selayak dan sepatutnya digunakan pada jalan-jalan maksiat apatah lagi dengan menderhakai Allah SWT.

Misalnya dengan nikmat akal, hendaklah digunakan sebaik-baiknya untuk manfaat diri sendiri dan orang lain. Akal jangan disalah gunakan pada jalan-jalan yang jahat seperti menipu orang, mencuri dan sebagainya. Malah tidak mengunakan akal dengan selayaknya untuk berfikir dan melihat kebesaran Allah SWT dengan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apapun. Begitu juga nikmat pangkat dan kedudukan hendaklah digunakan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara dan bukan untuk disalah gunakan untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni semata-mata.

Menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT pada jalan yang diredhai-Nya dan bukan sebaliknya, menandakan kita bersyukur kepada Allah SWT. Segala kesenangan hidup yang dinikmati sekarang setengahnya tidak dimimpikan oleh generasi yang terdahulu. Kesemuanya hasil penemuan akal fikiran yang Allah SWT anugerahkan kepada kita sebagai hamba-Nya di muka bumi ini.

Maka sayugianya manusia bersyukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat limpahan-Nya dan jangan sekali-kali mendustakannya. Segala nikmat adalah amanah dan ia juga sebagai ujian untuk menilai bagaimana kita menggunakan dan menguruskannya. Renungkanlah bagaimana Allah SWT telah menghancurkan kaum Saba’ (di Yamen) akibat pendustaan dan pengabaian mereka terhadap nikmat-nikmat yang telah Allah SWT anugerahkan kepada mereka. Firman Allah SWT: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantar kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur itu) dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur.” (Surah Saba’: 16-17)

Advertisements

About Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 18 Disember 2012, in Ketepatan Masa. Bookmark the permalink. 3 Komen.

  1. Nooriani Hashim

    mohon menggunakan semua idea dari artikel2 ustaz sebagai kajian dan untuk sebaran

  2. mohon share artikel ini ya ustaz.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: