Terapi Keluarga Bahagia: Panas Baran

Awak ni.. Tak boleh tengok aku senang sikit. Asyik duit… duit… Apa? Ingat aku ni tukang cop duit ka?” Bentak Azli kepada isterinya, Rohana.

Dilema Rohana bersuamikan Azli amat mencengkam khususnya masalah nafkah yang sering diabaikan oleh suaminya. Tambahan pula Azli seorang suami yang panas baran, tidak boleh ditegur atau dibawa berbincang. Jika Rohana bersuara, Azli sering mengeluarkan kata-kata ancaman seperti isteri nusyuz, derhaka sehingga ada maki-hamun yang dikeluarkan dari mulutnya.

marah

Semuanya ini sangat menyakitkan perasaan Rohana. Dia sangat tertekan dari segi mental dan emosi. Pernah juga beberapa kali Rohana dipukul tetapi dia tetap berdiam diri serta sabar kerana sayang dan kasihkan suaminya dan berusaha untuk menjadi seorang isteri yang baik.

Marah adalah emosi normal yang ada pada setiap individu. Namun begitu, jika dizahirkan dengan cara yang tidak sihat, ia boleh menyebabkan seseorang individu bertindak ganas sehingga mampu mempengaruhi secara negatif hubungan personal atau di tempat kerja. Kemarahan yang tidak dapat dikawal akan menjadi punca pergaduhan dan penceraian sehingga menyebabkan tekanan yang serius dalam hidup seseorang.

Dalam konflik rumahtangga, ianya banyak berpunca daripada permasalahan individu khususnya pada pihak suami. Keadaan ini berlaku kerana stress dan tekanan hidup yang tidak mampu dikawal hingga melarat ke dalam rumahtangga. Sekiranya keadaan ini tidak dikawal selia dengan baik maka ia akan berkembang menjadi penyakit panas baran. Sikap panas baran ini semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita hari ini, pantang silap sikit habis semua dikerjakannya. Yang paling parah, apabila yang menjadi mangsanya anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa.

Panas baran merupakan sifat Mazmumah yang berpunca daripada dosa-dosa yang diabaikan daripada bertaubat kepada Allah SWT. Kesannya jika tidak dikawal dan diubati boleh menjejaskan hubungan intrapersonal dan interpersonal. Selain itu, ia boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Golongan yang telah terjerumus dalam sikap panas baran boleh menyebabkan dia mudah diserang masalah tekanan darah tinggi, sakit kepala, sakit jantung dan strok. Kadang-kala individu ini juga boleh mencederakan dirinya sendiri, terlibat dalam penyalahgunaan dadah atau alkohol serta rendah penghargaan diri.

Dalam situasi Rohana yang bersuamikan suami yang bersifat panas baran, tentu akan memberi kesan emosi yang mendalam kepadanya. Jika keadaan ini berkekalan tanpa diikhtiar penawarnya, lama kelamaan akan menjadi barah dalam kehidupan rumahtangga. Ia seumpama sebuah kapal yang berada di tengah lautan, yang sentiasa di landa ribut dan menunggu masa untuk karam.

Penyelesaian

Rasa marah ini disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran. Biasanya ketika marah, tekanan darah dan kadar denyutan jantung akan meningkat, begitu juga dengan hormon tenaga adrenalin dan noradrenalin juga turut akan meningkat. Oleh yang demikian jika anda ingin hidup gembira dan sihat, kawal kemarahan anda dengan sebaiknya. Ambil masa dan kawal diri dengan sebaik mungkin.

Apakah faktor-faktor penyebab panas baran? Secara amnya ia melibatkan faktor persekitaran dan dalaman yang menjadi punca seseorang individu itu menjadi panas baran.

Antara faktor lain ialah :

  • Renggangnya hubungan kerohanian dengan Allah SWT

  • Perilaku agresif

  • Gejala sosial

  • Beremosi

  • Masalah dalam hubungan keluarga

  • Ego

  • Tekanan perasaan

  • Faktor didikan

  • Bebanan kerja

Terdapat pelbagai cara bagi menangani marah, antaranya adalah seperti berikut:

Bertenang

  • Tarik nafas dalam dalam dan kosongkan fikiran. Ini mungkin dapat membantu menenangkan diri anda. Ambil nafas dalam-dalam jangan bernafas dari dada kerana ia tidak akan menenangkan anda, bayangkan nafas anda seolah-olah keluar dari perut. Secara perlahan-lahan ulangi perkataan ‘bertenang’ dan ‘jangan susah hati’, disamping menghembus nafas perlahan-lahan dengan menyebut kalimah “ALLAH” sehingga habis nafas. Ulanginya berkali-kali sehingga anda rasa tenang. Gunakan daya imiginasi anda gambarkan suasana tenang dan menyenangkan sambil menutup mata seperti laut yang luas terbentang disamping mengambarkan kebesaran Allah dengan menyebut kalimah ALLAH. Sambil itu tarik nafas sedalam-dalamnya.

Susun semula pemikiran

  • Bagi seseorang yang tengah marah selalunya dia akan mengeluarkan kata-kata yang tidak elok dan cacian. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, kita perlu guna teknik mengubah cara pemikiran. Jadi setiap kali marah, tukarkan perkara-perkara berikut kepada yang lebih rasional seperti katakan pada diri anda “ia sungguh mengecewakan”, “ia memang teruk”, atau “saya faham sekarang saya tengah sedih tapi bukan bermakna selamanya saya akan gagal”. Kata-kata itu akan menguatkan semangat anda dan menghilangkan rasa marah anda.

Selesaikan masalah

  • Kadangkala kemarahan itu timbul apabila ada beberapa masalah yang tidak dapat diselesaikan. Oleh itu selesaikan masalah anda dengan merangkakan perancangan anda, jangan lupa semak perkembangannya, selesaikan masalah dengan cara yang paling berhemah dan jangan salahkan diri jika tidak dapat ia tidak dapat memenuhi perancangan anda.

Berkomunikasi dengan baik

  • Selalunya orang yang tengah marah akan cepat membuat kesimpulan terhadap sesuatu secara tidak tepat. Jika menghadapi perbincangan hangat yang mencetuskan kemarahan, anda patut bertenang dan jangan buat keputusan ketika marah dan berfikirlah dahulu sebelum melakukan apa-apa. Jadilah pendengar yang baik pada perkara-perkara yang menyebabkan kemarahan.

Luang masa untuk diri sendiri

  • Kadangkala suasana sekeliling akan menyebabkan kita rasa tertekan. Masalah dan tanggungjawab yang banyak akan membebankan dan ini membuatkan kita cepat marah. Oleh itu anda mestilah luangkan masa untuk diri sendiri pergilah melancong untuk memperbaharui mood.

Marah dengan cara yang betul

  • Kemarahan adalah emosi normal manusia dan emosi ini juga penting untuk kita mempertahankan diri, marahlah dengan cara yang wajar dan terkawal tanpa diikuti dengan kekerasan. Tapi jangan memendamkan masalah itu luahkanlah agar tidak memberi kesan pada diri sendiri. Luahkan perasaan anda pada individu yang paling anda percayai contohnya seperti kaunselor.

Bayangkan sesuatu yang menggembirakan

  • Ketika marah, pejamkan mata dan bayangkan anda sedang berada di sebuah pulau percutian bersama insan tersayang. Jika keadaan tidak mengizinkan, biarkan fikiran anda melayang jauh ke tempat yang membuatkan anda seronok. Kaedah ini amat berkesan untuk memberi ketenangan dan mengurangkan rasa marah anda.

Guna teknik pernafasan yang betul

  • Tumpukan perhatian pada teknik pernafasan anda. Fokuskan pada cara pernafasan anda dengan memastikan nafas ditarik perlahan dan disedut sedalam-dalamnya. Dengan bunyi pernafasan anda dan nikmati pergerakan keluar masuk udara yang amat amat nyaman, disamping zikir kalimah Allah disebutkan semasa hembusan nafas, insya Allah ia akan menenangkan perasaan.

Terapi Islam

Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi mengatasi atau mengawal sikap panas baran atau marah iaitu:

1. Mengubah Posisi: Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah dan ketika itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah dia berbaring.” (Riwayat Muslim)

2. Berwuduk: Rasulullah SAW bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk.” (Riwayat Abu Daud)

3. Bersolat: Bersolatlah bagi mengelakkan keadaan semakin serius kerana solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

4. Banyakkan beristighfar.

5. Minum air: Air merupakan satu kaedah rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran.

6. Banyakkan memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan (berta’awwudz – membaca أعوذ بالله من الشيطان الرجيم)

Walau bagaimanapun, bagi melakukan langkah-langkah di atas dan melihat kesannya, ianya tidak mengambil masa yang singkat kerana memerlukan komitmen dan ketahanan mental serta emosi yang sangat tinggi. Setiap individu tersebut perlu melalui beberapa siri ulangan. Namun begitu, sokongan pasangan adalah penting pada saat pasangan ingin berubah ke arah yang lebih baik. Elakkan melakukan provokasi kepada pasangan dan jadilah pendengar yang setia kepada pasangan, jika pasangan telah bersedia untuk meluahkan perasaannya. Pasangan juga dicadangkan untuk mengikuti sesi kaunseling ataupun berjumpa alim ulama untuk mendapat pandangan dan nasihat bagi meredakan permasalahannya.

Kes Azli dan Rohana ini boleh dijadikan iktibar kepada setiap pasangan yang melayari alam rumahtangga. Setiap individu tidak semestinya mendapat pasangan sesempurna seperti yang diimpikan. Namun begitu, setiap daripada kita diberi ruang dan peluang oleh Allah SWT untuk memperbaiki kekurangan yang ada pada diri. Justeru kita sentiasa diingatkan untuk bermuhasabah diri agar tidak menjadi hambaNya yangn bongkak dan sombong.

Kesimpulannya, panas baran sebenarnya boleh diatasi dan dikawal tetapi bergantung kepada individu tersebut sama ada mahu berubah atau lebih suka dengan sifat panas barannya. Tetapi ingat kesan daripada sifat ini kalau diabaikan amatlah besar mudharatnya kepada perhubungan sesama manusia dan juga perhubungan ibadatnya dengan Allah SWT.

 

Advertisements

About Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 19 November 2013, in Naib Khadi. Bookmark the permalink. 1 Komen.

  1. savinah paimil

    sntiasa ingat pada allah..kra da la makhluk da…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: