Hargai Nilai Sebuah Kehidupan

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [Surah al-An’am: 153]

Sifat manusia yang lemah dan kerdil ini secara fitrahnya akan mudah bosan dengan perkara-perkara yang dia tidak suka dan jahil tentangnya. Apa yang menyebabkan tidak suka? Mungkin kerana tidak berminat dan tidak kena dengan cita rasanya. Tetapi manusia akan kembali suka sekiranya dia mengetahui perkara tersebut ada kepentingan dan kebaikan untuk dirinya.

Perjalanan-Panjang-Kehidupan-Manusia-di-Tujuh-Alam-01-1Untuk itu kita harus bermula dengan perkara yang paling asas dalam kehidupan ini, iaitu mengetahui kenapa kita diciptakan dan apakah kepentingannya?

Mengimbau kembali bagaimana proses kejadian seorang insan selama lebih kurang sembilan bulan sepuluh hari, membesar dan menetap di dalam rahim seorang ibu dalam keadaan yang gelap. Selama tempoh itulah kita dalam keadaan lemah, tidak mampu bernafas sendiri, tidak mampu mencari makanan sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri.

Subhanallah… Maha hebatnya Allah SWT menciptakan rahim ibu yang begitu kukuh dan amat selesa. Lengkap dengan bantuan bagi menyalurkan oksigen untuk si anak bernafas. Lengkap dengan bantuan makanan dan bendalir amnion untuk melindungi si anak yang masih bayi dan lemah itu. Firman Allah SWT:

“Dia (Allah) menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan. Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah, Tuhan kamu, Tuhan yang mempunyai kerajaan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan?”  (Surah Az-Zumar: 6)

Lalu setelah selamat dilahirkan ke dunia, bayi yang masih lemah dan tidak bermaya itu masih tidak mampu melakukan apa-apa. Dia memerlukan bantuan untuk menyuapkannya susu, memakaikannya pakaian dan mencuci alat sulitnya apabila dikotori najis.

Subhanallah… Hebatnya Allah SWT mencurahkan rasa kasihan belas yang begitu halus dalam hati para ibu supaya mereka sanggup berkorban untuk bangun malam menjaga bayinya itu. Mencuci najis dan memberikannya makanan untuk dia terus membesar dan bertenaga.

Lalu setelah bertahun lamanya Allah SWT menjaga insan ini melalui rahmat dan kasih sayang seorang ibu dan pengorbanan seorang ayah sehinggalah insan ini menginjak usia mumaiyiz iaitu mampu berfikir dengan menggunakan akal, si insan ini mulai lupa diri. Insan yang digelar manusia ini siang dan malamnya cuma memikirkan urusan-urusan yang berlegar tentang urusan dunianya sahaja. Yang ada di fikirannya cumalah bagaimana hendak menjadikan dirinya nampak mulia dan hebat pada pandangan manusia. Bagaimana hendak menjadikan dirinya bertambah berkuasa dikalangan manusia kerana pada itu semua dianggap adanya bahagia dan kedamaian jiwa.

Cita-cita manusia ini semakin hari semakin besar, namun sayangnya cita-cita itu hanyalah sekadar untuk kemuliaan dan kepentingan dirinya sahaja. Manusia ini menjadi alpa dan terlupa kepada suatu kuasa besar yang selama ini sudah lama menaungi dirinya, menjaga dirinya, melindungi dirinya dan yang menciptakannya!

Oleh kerana sifat kasih dan sayang Allah SWT kepada manusia itu, lalu Dia menguji manusia itu supaya manusia itu kembali sedar siapakah dirinya yang sebenar. Pelbagai ujian Allah SWT datangkan kepada para hamba-Nya. Ada dikalangan manusia yang hartanya dikurangkan sedikit sebagai ujian, ada manusia yang diambil orang kesayangannya sebagai ujian, ada manusia yang diberi sedikit ketakutan sebagai ujian serta bermacam-macam bentuk yang silih berganti suka-duka, susah dan senang.

Namun kesemua ujian itu mempunyai tujuan yang sama iaitu supaya manusia dapat mengetahui dan menilai siapakah dirinya yang sebenar, malah untuk membezakan siapakah di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Bagi orang yang beriman apabila diuji, mereka akan segera kembali kepada Allah SWT. Menginsafi diri, kerana adanya kesedaran bahawa diri mereka tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Segala ujian itulah yang akan menyedarkan mereka supaya kembali bertaubat dan memperbaiki diri. Orang-orang yang beriman akan bersabar, memperbanyakkan istighfar, solat dan berdoa sebagai cara meraih kekuatan untuk berhadapan dengan segala ujian tersebut.

Manakala orang-orang yang tidak beriman serta tidak memiliki keyakinan kepada Allah SWT pula apabila diuji, mereka akan semakin jauh dengan Allah SWT. Mereka akan suka menyalahkan orang lain dalam keadaan buruk sangka apabila ditimpa ujian. Segala ujian dan kepayahan yang mendatang dianggap sebagai nasib celaka yang membawa kepada sifat putus asa dan kufur terhadap Allah SWT. Ironinya kekufuran mereka itu akan menempatkan mereka ke dalam neraka, malah mereka akan sengsara di dunia lagi sebelum di akhirat. Nauzzubillah.

Apabila manusia sudah menyedari akan nilai kehidupan ini melalui segala ujian, kepayahan dan rintangan yang ditempuh, maka timbul pelbagai persoalan besar dalam mindanya;

Bagaimanakah caranya untuk berhadapan dengan ujian-ujian hidup?

Seterusnya timbul pula satu lagi persoalan besar iaitu apakah tujuan hidup ini?

Mengapa manusia perlu diciptakan jika akhirnya akan mati?

Mengapa manusia perlu gembira jika akhirnya akan berduka?

Mengapa manusia perlu berbuat baik jika akhirnya akan ditindas?

Mengapa manusia perlu membantu makhluk lain yang tiada kepentingan untuk diri sendiri?

Mengapa dan mengapa? Seribu satu persoalan akan hadir menyelinap di segenap kotak pemikirannya. Keadaan ini memerlukannya berfikir dan terus berfikir. Akhirnya jawaban yang ditemui, dia perlu kembali kepada Yang Maha Mengenal akan diri manusia, iaitu “Dia” yang menciptakannya. Hanya kepada “Dia” yang telah menjaga kita semenjak kita belum lahir sahaja, yang memiliki segala jawaban kepada persoalan itu. Siapakah “Dia”? Dialah Allah, Yang Maha Mengetahui dan Menciptakan. Allah berfirman :

“Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? (Surah Yunus: 31)

Firman Allah SWT:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Surah Al-Zariyat: 56-58)

Firman Allah SWT lagi:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”  (Surah Al-An’am: Ayat 162)

Berdasarkan firman-firman Allah SWT di atas, terjawablah satu persoalan penting mengenai tujuan hidup. Tujuan manusia dan jin diciptakan adalah untuk menyembah dan beribadat kepada Allah SWT serta berusaha mencapai darjat yang tertinggi dengan sifat takwa.

Halatuju Kehidupan Yang Tersasar

Hari ini kebanyakkan manusia hidup untuk menjadi buruh yang bekerja. Semenjak lahir, disekolahkan sebagai persediaan untuk bekerja. Semenjak muda hinggalah ke tua cuma tahu untuk bekerja. Apabila sudah pencen pula, manusia itu kebanyakkannya cuma menunggu mati dan juga yang masih ada lagi bekerja untuk menghilangkan rasa kebosanan dan kesunyian yang mencengkam jiwa. Alangkah sia-sianya hidup yang begitu rupa, di dunia hidupnya kosong dan di akhirat pula dirinya binasa.

Kenapa binasa? Kerana manusia itu sesat, tidak bertemu tujuan sebenar penciptaannya di dunia ini. Allah SWT menciptakan manusia untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya. Sepatutnya kita bekerja siang dan malam juga adalah untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab ibadah kita kepada Allah SWT. Melalui pekerjaan itu, kita menjaga hak-hak diri sendiri dan hak-hak manusia lain dengan mengeluarkan zakat, menjauhi riba dan mengelakkan penipuan. Melalui pekerjaan itulah juga kita akan beroleh rezeki menyara keluarga sebagai nafkah dan digunakan untuk membantu makhluk-makhluk Allah SWT yang lain sebagai memenuhi sifat ehsan yang menjadi fitrah kepada jiwa kita.

Alangkah indahnya hidup ini apabila manusia itu mengerti akan tujuan hidupnya di dunia ini adalah untuk beribadah kepada Allah. Justeru, seluruh hidupnya diusahakan agar bertepatan dengan kehendak Allah SWT sebagai tuntutan ibadah, iaitu pengabdian dan penyerahan diri hanya kepada Allah SWT. Makan, minum, tidur dan segala urusan hidupnya adalah untuk Allah SWT walaupun itu semua bagi menunaikan hajat dan fitrah insani, kerana dia yakin dan faham bahawa semua rezeki yang dimilikinya adalah daripada Allah SWT. Malah dia sedar bahawa dirinya wajib untuk mensyukuri segala nikmat Allah SWT itu.

Hakikatnya manusia tidak memiliki apa-apa di dalam dunia ini. Semuanya kepunyaan dan milik Allah SWT. Kita hanya ditugaskan untuk mengusahakan apa yang telah ada, mengikut apa yang diperintahkan bagi kesempurnaan hidup kita. Kenyataan ini akan kita pegang sungguh-sungguh apabila telah ada kesedaran dalam diri, kenapa kita dilahirkan ke dunia ini dan untuk apa kita dilahirkan.

Apabila manusia telah jelas dengan tujuan hidupnya, insya-Allah akan terasa mudahlah untuk dirinya menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Setiap yang menimpanya tidak akan dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia, sebaliknya adalah sesuatu yang dapat diambil hikmah dan pelajaran daripadanya. Biar betapa sukarpun hidup ini, manusia akan menyedari dan menyakini bahawa masih ada peluang untuk diusahakannya. Malah kehidupannya akan lebih terarah dan bermotivasi dengan berkeyakinan bahawa adanya kehidupan kedua yang kekal abadi selepas mati nanti. Berbaloilah bersabar sedikit dalam kehidupan yang singkat ini demi kebahagiaan yang abadi di sana nanti.

Advertisements

About Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 24 Ogos 2015, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. bajumuslimahmurah2

    Mohon Share yer.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: