PERSOALAN: IKHTIAR, TAWAKAL DAN TAREKAT JALAN KENABIAN

Assalamualaikum ustaz,

Saya ada pertanyaan mengenai seorang ustaz yang buat ceramah di surau kawasan saya bekaitan kenyataan dalam ceramah beliau. Kenyataan ustaz tersebut adalah seperti berikut :

“Ikhtiar atas asbab(benda) dengan mengharap kepada Allah, ini bukanlah tawakkal. Hal seperti ini, orang tidak beriman pun paham. Thariqat itu berbeda dengan jalan kenabian.”

Saya berharap pihak ustaz dapat menjelaskan maksudnya ikhtiar dan tawakal, serta pengertian tarekat, apa perbezaan tarekat sufiyyah dan nabawiyyah, mohon penjelasan.

Terima kasih

Tujukanlah Kami Jalan Yang Lurus

Jawapan:

Wa’alaikumussalam wrt. wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari pembalasan.

Apa Itu Ikhtiar?

Perkataan ikhtiar diambil dari bahasa Arab, yakni ‘ikhtaara‘ yang bermaksud memilih. Sementara dalam bentuk kata kerja, ikhtiar bererti pilihan atau memilih hal yang baik (khair).

Manakala menurut istilah, ikhtiar adalah usaha manusia untuk memenuhi keperluan dalam hidupnya, sama ada dari sudut material, spiritual, kesihatan, dan juga masa depannya dalam usaha mendapatkan yang terbaik, agar tujuan hidupnya selamat sejahtera di dunia dan di akhirat.

Ikhtiar bukan hanya usaha, atau semata-mata kemampuan untuk menyelesaikan persoalan yang sedang dihadapi. Ikhtiar adalah konsep Islam dalam cara berfikir dan mengatasi permasalahan. Dalam ikhtiar terkandung pesan takwa, yakni bagaimana kita menyelesaikan masalah dengan mempertimbangkan apa yang baik menurut Islam. Kemudian menjadikannya sebagai pilihan dalam apa jua keadaannya, walaupun keputusan itu tidak popular atau terasa berat.

Ikhtiar bermaksud tidak mengenal putus asa disertai dengan keyakinan bahawa rahmat Allah pasti akan datang setelah berikhtiar. Allah memerintahkan para hamba-Nya untuk berikhtiar, dan melarang hamba-Nya daripada sifat berputus asa. Sebagaimana perintah Nabi Ya’akub a.s. kepada anak-anaknya untuk terus berikhtiar dalam mencari berita tentang Nabi Yusuf a.s. dan adiknya Bunyamin. Hal tersebut diabadikan Allah SWT dalam al-Qur’an;

يَٰبَنِيَّ ٱذۡهَبُواْ فَتَحَسَّسُواْ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَاْيۡ‍َٔسُواْ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ لَا يَاْيۡ‍َٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ

Maksudnya“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.

(Surah Yusuf: 87)

Dan Allah juga berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

(Surah Al-Ra’d:11)

Ayat di atas menjelaskan bahawa manusia sebagai hamba Allah diperintahkan untuk berusaha, bukan untuk bermalas-malasan. Sebab, rahmat Allah turun kepada kita melalui sebab atau usaha yang kita lakukan. Ini bererti kita disuruh berusaha dan jangan pernah berputus asa dalam mencari rahmat serta redha Allah SWT.

Setelah berikhtiar dengan segala kemampuan, seterusnya kita dituntut untuk menyerahkan segala usaha yang telah dilakukan itu kepada Allah SWT. Tindakan ini dinamakan tawakal.

Apa Itu Tawakal?

Tawakal diambil dari bahasa Arab, yakni ‘Tawakul‘ yang bermaksud bersandar atau berserah diri. Tawakal diambil dari kata ‘wakala‘ yang ertinya mewakilkan, maka tawakal bererti memberikan perwakilan, kepasrahan, dan penyerahan diri kepada Allah SWT.

Secara istilah, tawakal membawa maksud berserah diri dan berpegang teguh kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Tawakal merupakan sikap bersandar dan mempercayakan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Tawakal kepada Allah

Tawakal memiliki dua perkara asas, iaitu berserah diri dan berpegang teguh. Kedua-duanya merupakan kesatuan yang tidak dapat dipisahkan. Ini bermaksud, tidak dapat dikatakan bertawakal jika belum berserah diri secara ikhlas. Begitu juga tidak dapat dikatakan bertawakal, jika belum berpegang teguh kepada-Nya, yakni belum kukuh keyakinannya kepada kekuasaan Allah SWT yang tidak terbatas, keadilan-Nya, kebijaksanaan-Nya, kasih sayang-Nya dalam mengatur segala sesuatu dengan sempurna.

Allah memerintahkan kita untuk senantiasa bertawakal kepada-Nya, sebagaimana firman-Nya:

وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱلۡحَيِّ ٱلَّذِي لَا يَمُوتُ وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِهِۦۚ وَكَفَىٰ بِهِۦ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرًا

Maksudnya: “Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Dia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya;”

(Surah al-Furqan: 58)

Tawakal yang dimaksudkan ini ialah berserah diri kepada Allah iaitu membatasi sifat tawakal itu semata-mata hanya kepada Allah SWT, serta berkeyakinan dengan bersungguh-sungguh bahawa Allah SWT, Maha Berkuasa mewujudkan semua permintaan dan keperluan sekalian hamba-Nya sesuai dengan kehendak-Nya.

Hikmah daripada Ikhtiar

  1. Selalu mempunyai harapan yg baik dalam menghadapi sesuatu dan tidak pernah berputus asa, kerana selalu berkeyakinan bahawa suatu ketika dia pasti meraih hasil dari usaha dan kerja kerasnya.
  2. Tidak merasakan lelah dan payah dalam berusaha, kerana dia yakin bahawa Allah tidak akan menyia-nyiakan hamba-Nya yang mahu berusaha dan berikhtiar.
  3. Tidak pernah merasa khuatir terhadap segala bentuk kegagalan, kerana ia memahami dengan baik bahawa setiap usaha memang berisiko untuk gagal. Namun, hal tersebut diambil sebagai hikmah bahawa di balik kegagalan pasti ada kejayaan.

Hikmah daripada Tawakal

  1. Dicukupkan rezekinya oleh Allah SWT dan merasakan ketenangan. Sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT:

وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا

Maksudnya“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Surah At-Thalaq:3)

  1. Dikuatkan imannya, dijauhkan daripada godaan syaitan. Sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT:

إِنَّهُۥ لَيۡسَ لَهُۥ سُلۡطَٰنٌ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya“Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.”

(Surah Al-Nahl:99)

Tarekat Dan Jalan Kenabian

Tarekat diambil dari perkataan Arab membawa maksud jalan. Kalau disebut tarekat Al-Fikr membawa maksud jalan berfikir. Jika disebut tarikat Az-Zikr membawa maksud jalan berzikir dan lain-lain. Dalam Al-Quran biasanya tarekat digunakan untuk jalan yang diikuti oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diajarkan kepada baginda oleh Allah SWT melalui Malaikat Jibril. Ini merangkumi soal jalan baginda beribadat, berakidah, bermuamalah, mengadakan hubungan antarabangsa, mendirikan negara, melayan tetamu, menyiapkan bala tentera dalam peperangan, menguruskan keluarga dan lain-lain.

Dari segi istilah, tarekat ditakrifkan oleh Syeikh Ahmad Khatib Al-Minangkabau seorang ulama dari Indonesia yang pernah menjadi khatib di Makkah Al-Mukkaramah sebagai jalan yang ditempuhi oleh nabi SAW, para sahabat, ulama dan para ahli sufi generasi awal dahulu. Jalan ini mesti diikuti oleh umat Islam.

Menurut Syeikh Al-Jurjānī tarekat ialah jalan khusus menuju kepada Allah yang melibatkan pengharungan beberapa halangan dan penempuhan beberapa tingkatan rohani dalam berbagai maqam (kedudukan/tingkatan).

Syeikh Al-Kandahlawi pula mendefinisikan tarekat itu sebagai sejalan dengan makna ihsan yang terdapat dalam sebuah hadis yang sahih iaitu seorang itu beribadat kepada Allah seolah-olah dia melihat Allah, Jika ia tidak melihat Allah, Allah melihatnya. Bagaimanapun tarekat tasawuf sekarang lebih tertumpu kepada teknik berzikir untuk membersihkan jiwa kerana itu timbullah istilah tarekat Qadiriyah, Naqsyabandiyyah dan sebagainya.

Setiap muslim wajib melalui tarekat untuk menuju kepada Allah tetapi bukan hanya melalui tarekat yang bersifat khusus dengan bimbingan seorang guru sahaja, akan tetapi tarekat yang dimaksudkan ialah jalan kenabian yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan diikuti oleh para sahabatnya.

Tarekat ini merangkumi soal akidah, ibadat dan akhlak. Kerana itu mereka hendaklah menuntut ilmu dari para ulama yang dipercayai keilmuannya, tidak melakukan bid’ah dan sentiasa menunaikan amalan yang wajib di samping berterusan melakukan amalan yang sunat. Selain itu ia juga perlu tegas dalam menentang perkara mungkar. Ulama seperti inilah menurut Ibn Al-Qayyim yang layak dijadikan guru.

Tidak mahu bertarekat dengan erti kata tidak mengikuti salah satu dari tarekat zikir yang disertai oleh sesetengah masyarakat sekarang seperti Tarekat Ahmadiyyah dan sebagainya tidaklah menjadi kesalahan, tetapi tidak bertarekat dalam erti kata tidak mengikut cara nabi berakidah, beribadah dan berakhlak adalah haram dan berdosa malah terkeluar daripada Islam.

Membenci tarekat Zikir adalah sesuatu yang tidak wajar kerana zikir kepada Allah adalah perkara yang boleh menggilapkan hati dan mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT.

Walau bagaimanapun jangan difahami istilah zikir itu sekadar zikir lisan sahaja, malah zikir dalam maksud yang sebenarnya merangkumi zikir hati, lisan dan anggota. Ini merangkumi berjihad fi sabilillah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat menunaikan fardu haji di Baitullah, berbuat baik kepada jiran tetangga, menziarahi orang sakit, menolong orang yang dalam kesusahan, menziarahi kubur, beriktikaf, menuntut ilmu, mengulangkaji ilmu, mengadakan majlis perbincangan ilmu dan lain-lain.

Kesimpulannya, tarekat adalah suatu bentuk madrasah yang dipimpin oleh seorang guru bagi mengilap keperibadian melalui amalan khusus berdasarkan sunnah Nabi SAW meliputi adab dan akhlak. Manakala jalan kenabian pula adalah bersifat umum iaitu sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW dan para sahabat, merangkumi soal akidah, ibadat dan akhlak. Namun begitu untuk mencapai kesempurnaan dalam menjejaki jalan kenabian ini adalah digalakkan seseorang itu mendapat bimbingan secara khusus daripada para guru yang mursyid melalui tarbiah rohani dan jasmani.

Wallahu a’lam.

Sumber asal Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang: http://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=655

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 13 April 2020, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: