Bersabarlah Menghadapi Fitnah

Soalan:

Assalamualaikum.

Saya penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan persekutuan Malaysia. Namun, saya difitnah oleh penjawat awam juga. Saya mohon bantuan kerohanian dari ustaz untuk mendoakan kekuatan untuk saya menghadapi fitnah tersebut. Mohon juga ustaz memberikan perkongsian sunnah junjungan Rasulullah kepada saya untuk menghadapi fitnah tersebut.

Terima kasih.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Kehidupan manusia di dunia ini sememangnya tidak terlepas daripada fitnah. Perbuatan tersebut menjadi lumrah sama ada memfitnah atau difitnah dan ia merupakan antara ujian daripada pelbagai ujian yang ditakdirkan Allah SWT terhadap manusia di atas muka bumi ini. Allah SWT telah mengingatkan manusia dalam firman-Nya;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Oleh itu, amat penting untuk mendepani fitnah-fitnah yang berlaku sesuai dengan cara yang telah ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi SAW. Ini supaya fitnah-fitnah tersebut dapat dihadapi dengan penuh tertib, berhati-hati serta tidak melampaui batas sehingga tidak membelakangi panduan yang telah digariskan di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menyediakan solusinya bagi umat manusia menghindarkan diri daripada pelbagai bentuk fitnah dan dugaan yang menimpa. Kita disarankan untuk bertawakal sesuai dengan tuntutannya dan sering berdoa. Antara doa yang digalakkan untuk diamalkan sebagaimana yang dititipkan dalam surah al- Mumtahanah ayat 5;

رَبَّنَا لَا تَجۡعَلۡنَا فِتۡنَةٗ لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ وَٱغۡفِرۡ لَنَا رَبَّنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

(Surah al-Mumtahanah: 5)

Di zaman Rasulullah SAW pernah berlaku suatu peristiwa fitnah yang kepada Saidatina Aisyah R.A. yang dikenali dengan peristiwa al-Ifki. Peristiwa ini terakam di dalam surah al-Nur ayat 11 hingga 19. Banyak pengajaran yang boleh diambil daripadanya, khususnya ketika menghadapi dugaan bagi membina kekuatan rohani dengan bertawakal dan bersabar.

Peristiwa al-Ifki ini berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustoliq. Ia merupakan suatu peristiwa melibatkan golongan munafik yang menuduh Aisyah R.A. melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol R.A.. Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau di kalangan penduduk Madinah pada ketika itu. Ada di antara sahabat yang tidak mempercayai berita tersebut. Ada juga yang tidak menyatakan apa-apa pendirian dan ada juga yang menerima bahawa Aisyah R.A. benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol. Di antara sahabat yang mempercayainya dan terlibat dalam penyebaran berita tersebut ialah Mistoh Bin Uthathah, Hamnah Binti Jahsyi dan Hasan Bin Thabit. Keadaan ini berlarutan sehingga sebulan lamanya. Bahkan pada masa yang sama wahyu tertahan dan tidak turun kepada baginda Nabi SAW. Sehinggalah kemudiannya Allah SWT menurunkan ayat ke 11 daripada Surah al-Nur bagi membebaskan Aisyah R.A. daripada tuduhan jahat kaum munafik. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلۡإِفۡكِ عُصۡبَةٞ مِّنكُمۡۚ لَا تَحۡسَبُوهُ شَرّٗا لَّكُمۖ بَلۡ هُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۚ لِكُلِّ ٱمۡرِيٕٖ مِّنۡهُم مَّا ٱكۡتَسَبَ مِنَ ٱلۡإِثۡمِۚ وَٱلَّذِي تَوَلَّىٰ كِبۡرَهُۥ مِنۡهُمۡ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٞ  ١١

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

(Surah al-Nur: 11)

Sayyid Qutb dalam menjelaskan ayat ini menyebutkan; membuat fitnah itu bukannya hanya seorang sahaja dan bukan pula beberapa orang, malah mereka terdiri dari satu kumpulan yang bersatu padu dan mempunyai matlamat yang sama. Orang yang menyebarkan fitnah yang didustai itu bukannya Abdullah ibn Ubay ibn Salul seorang sahaja, tetapi dialah yang mengambil peranan yang terbesar, yang mewakili kaum Yahudi dan kaum Munafiqin yang tidak berupaya memerangi Islam secara terbuka. Mereka telah berselindung di sebalik tabir Islam untuk memusnahkan Islam secara diam-diam.

Dan cerita fitnah yang didustai itu merupakan salah satu dari rancangan-rancangan jahat mereka yang berbisa, tetapi orang-orang Islam telah tertipu dengan di’ayah (pembohongan) mereka lalu turut memperkatakan cerita fitnah itu seperti Hamnah binti Jahsy, Hassan ibn Thabit dan Mistah ibn Uthathah, sedangkan punca yang merancangkan fitnah itu berada di tangan kumpulan itu yang dipimpin oleh Abdullah ibn Ubay ibn Salul, seorang dalang yang sangat berhati-hati dan pintar. Dia tidak pernah menampakkan dirinya dalam perjuangan itu. Dia tidak menuduh secara terus terang hingga dapat ditangkap dan dikenakan hukuman hudud. Dia hanya menyebarkan fitnah itu secara berbisik-bisik di kalangan orang-orangnya yang dipercayai tidak akan menjadi saksi terhadapnya. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 11/374-375)

 

Saranan Al-Quran Dalam Menghadapi Fitnah

Apabila menelusuri satu per satu ayat-ayat daripada Surah al-Nur kita akan dapati bahawa al-Quran memberikan saranan dan solusi bagaimana untuk menghadapi fitnah yang sedang melanda. Saranan-saranan ini datang sejurus selepas Allah SWT membebaskan Saidatina Aisyah R.A. daripada tuduhan zina bersama Sofwan Bin Mu’attol pada ayat yang ke 11. Antara saranan tersebut ialah:

 

Pertama: Sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT:

لَّوۡلَآ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ ظَنَّ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بِأَنفُسِهِمۡ خَيۡرٗا وَقَالُواْ هَٰذَآ إِفۡكٞ مُّبِينٞ  ١٢

Maksudnya: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.

(Surah Al-Nur : 12)

Inilah yang dilakukan oleh sebahagian sahabat Nabi SAW ketika mereka mendengar berita tentang Aisyah dan Sofwan Bin Mu’attol. Di antaranya ialah Abu Ayub al-Ansari dan keluarganya. Mereka tidak langsung terlibat dalam komplot penyebaran mahupun mempercayainya. (Rujuk Al-Kasyaf ‘An Haqaiq Ghawamid Al-Tanzil, 3/212)

 

Kedua: Datangkan bukti atas setiap berita yang datang. Firman Allah SWT:

لَّوۡلَا جَآءُو عَلَيۡهِ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَآءَۚ فَإِذۡ لَمۡ يَأۡتُواْ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُوْلَٰٓئِكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡكَٰذِبُونَ  ١٣

Maksudnya: “Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.”

(Surah Al-Nur : 13)

Ketiga: Jangan sesekali memperkecilkan dan meremehkan fitnah yang berlaku. Ini adalah perkara yang amat penting untuk diamati. Sikap orang Islam sepatutnya tidak melibatkan diri dalam apa-apa komplot untuk memburukkan orang lain dengan melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT:

إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٞ وَتَحۡسَبُونَهُۥ هَيِّنٗا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٞ  ١٥

Maksudnya: “Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”

(Surah Al-Nur : 15)

Keempat: Nasihat orang ramai agar jangan bercakap dan menyebarkan fitnah. Ini juga adalah sikap yang paling penting dalam menghadapi fitnah yang sedang melanda. Orang beriman lidahnya penuh dengan tanggungjawab. Dia tidak akan sewenangnya percaya dan menyebarkan berita fitnah yang datang. Dia juga menasihati orang lain agar jangan terlibat dalam penyebaran fitnah yang tidak diketahui kebenarannya. Firman Allah SWT:

وَلَوۡلَآ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ قُلۡتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَٰذَا سُبۡحَٰنَكَ هَٰذَا بُهۡتَٰنٌ عَظِيمٞ  ١٦

Maksudnya: “Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.

(Surah Al-Nur : 16)

Kelima: Manakala orang yang terkena fitnah pula hendaklah banyak bersabar. Contohilah akhlak Saidatina Aisyah R.A. dan Sofwan Bin Mu’attol R.A. yang tetap tenang menghadapi ujian fitnah tersebut dengan banyak berdoa kepada Allah SWT. Lantaran kesabaran yang tunjukkan, Allah SWT telah membela mereka kerana daripada-Nyalah segala yang apa yang telah berlaku dan kepada-Nyalah jua tempat mengadu dan meminta pertolongan.

 

Sama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT tunjukkan kita kepada perkara yang sebenar dan perbanyakanlah berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertakwa sebagai pemimpin.”

Wallahua’lam.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 24 Jun 2020, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: