Korban Demi Cinta
Tatkala Nabi Ibrahim membaringkan anaknya Nabi Ismail untuk membuktikan ketaatannya kepada perintah Allah SWT, jelas terpancar kecintaan yang tulus dalam jiwa dua insan hebat ini terhadap cinta utama. Hakikatnya kecintaan mereka menuntut pengorbanan. Itu yang tersirat dalam tarbiah Allah kepada para hamba-Nya yang mahu berfikir.
Aku, kamu dan kita semua kerap dibutakan oleh cinta. Musuh cinta paling utama ialah cinta yang utama. Sentiasa ada sahaja kecintaan lain, yang menghalang cinta utama kita – cinta Allah.
Ibrahnya, cinta kepada selain Allah diumpamakan “Ismail” dalam hidup kita. Carilah “Ismail” itu di sebalik harta, keinginan, keyakinan, prinsip, gelaran, jawatan, isteri, teman dan segala yang menjadi kecintaan kita. Korbankan itu semua demi cinta utama.
Kita mungkin kehilangan yang disuka, tetapi dengan itu kita akan menemui sesuatu yang lebih berharga. Moga Allah SWT memberi kita ketaatan seperti Nabi Ibrahim, yang rela mengorbankan segala kesayangan demi cinta. Begitu juga kesabaran seperti Nabi Ismail yang rela “dikorbankan” demi cinta.
Jangan pula kita dibutakan dengan kemewahan dunia. Sedangkan dunia sifatnya sementara pasti akan ada gantiannya jika ia hilang dari pandangan mata. Sebaliknya jika kita kehilangan Allah dalam hati, kepada siapa lagi yang kita harapkan? Imam Ghazali menegaskan; “Jika Allah bersamamu, maka jangan takut kepada sesiapa sahaja, akan tetapi jika Allah sudah tiada lagi bersamamu, maka siapa lagi yang boleh diharapkan olehmu?”
Dr. Zakihalim alAzhari alBakapi.
Posted on 26 Julai 2020, in Teruja. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.
Tinggalkan komen
Comments 0