Author Archives: Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

Ramadhan: Persiapan Untuk Jemaah Haji

Satu Syawal adalah merupakan Hari Raya Idul Fitri yang disambut sebagai tanda kemenangan bagi yang berjaya melaksanakan ibadah puasa. Namun perlu diingatkan, dengan masuknya 1 Syawal, bermulalah bulan-bulan haji. Bakal haji akan mula bersiap sedia untuk bermusafir ke Tanah Suci bagi menyempurnakan rukun Islam ke 5.

Dengan rahmat Allah SWT, sebelum memasuki Madrasah Haji, para hamba-Nya terlebih dahulu dipersiapkan dengan satu fasa penyucian jiwa di Madrasah Puasa selama sebulan. Ia lebih khusus kepada para bakal tetamu Allah sebagai persiapan untuk memasuki Madrasah Haji. Ini kerana cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam Madrasah Haji ini memerlukan kekuatan roh dan jiwa yang jitu supaya lulus dengan cemerlang.

Oleh itu, bagi bakal jemaah haji jadikanlah Madrasah Puasa kali ini sebagai yang terbaik pernah dilalui dalam hidup ini. Penuhilah Madrasah Puasa ini dengan pelbagai amal ibadat, bermula dengan sabarnya, mengekang hawa nafsu, menjaga segala anggota tubuh badan supaya tidak terlibat dengan dosa dan noda.

Dengan segala persiapan ini, didoakan semoga bakal jemaah haji akan berjaya mengharungi ujian rafath, fusuq dan jidal yang disebut secara khusus oleh Allah SWT dalam Al-Quran al-Karim. Begitu juga mereka akan mampu melaksanakan pelbagai pesta ibadat di Tanah Suci nanti sebagaimana mereka berpesta ibadat sepanjang sebulan di Madrasah Puasa ini. Wa Allah A’lam.

Advertisements

KECUAIAN YANG TERBIASA

Pernah suatu ketika Rasulullah SAW melintasi seorang sahabat yang bernama Saad Ibnu Abi Waqas yang sedang berwuduk. Lalu baginda SAW bertanya: “Mengapa engkau melakukan pembaziran seperti ini?” Saad bertanya: “Apakah ketika berwuduk pun ada pembaziran?” Baginda SAW pun menjawab: “Bahkan, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir!”

Seringkali berlaku, apabila berwuduk kebanyakkan kita akan membuka pili air dengan laju dan membiarkan air mengalir dengan begitu banyak. Sedangkan air yang digunakan untuk berwuduk hanyalah sedikit dan tidak perlu membazir. Kelaziman ini adalah disebabkan ketidak prihatinan serta kejahilan kita tentang pembaziran yang berlaku. Disebabkan kejahilan kita telah merelakan diri terjerumus ke dalam kancah dosa tatkala melakukan ibadat.

Pembaziran amat dilarang dalam syarak dan dimurkai Allah SWT, sehinggakan perbuatan ini disamakan dengan saudara syaitan. Allah SWT berfirman;

Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’-27)

Berwuduk sepatutnya dapat mendidik dan membentuk diri untuk membersihkan segala kekotoran yang bukan hanya bersifat lahiriah tetapi juga batiniah. Orang yang menghayati sifat wuduk yang sempurna akan terbentuk jiwanya. Jiwa yang bersih akan mencorak seorang insan yang taat dan tidak melaksanakan sesuatu yang dimurkai Allah SWT.

Demikianlah tarbiah Allah SWT yang membentuk keperibadian mukmin sejati melalui perlaksanaan syariat yang tidak hanya tertumpu kepada amalan lahiriah tetapi mendidik manusia agar memiliki sikap dan akhlak yang baik. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru hendaklah kita perhatikan setiap perbuatan dan tindakan yang dilakukan. Jangan sampai perkara pahala bertukar menjadi haram dan berdosa disebabkan kelalaian kita terhadap urusan agama.

Salam Ramadhan 1438H

 

KEPADA SEMUA SAUDARA² KU YANG MENGUNJUNGI BLOG INI..

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

*Maaf* sekiranya pernah menyakiti,
*Maaf* sekiranya pernah menghina,
*Maaf* sekiranya pernah terkasar,
*Maaf* sekiranya pernah membohongi,
*Maaf* sekiranya pernah menyinggung,
*Maaf* sekiranya pernah mengumpat,
menjelang 1 Ramadhan 1438 ini saya memohon kemaafan kepada anda sekiranya saya pernah melakukan kesalahan sepanjang perkenalan kita…
Sesungguhnya yang buruk datang dari diri ini sendiri dan yang baik sentiasa daripada *اللهِ*

*Saya akan sentiasa memaafkan anda kerana memaafkan itu lebih baik dari meminta kemaafan*

Selamat Berpuasa.

 

 

 

HARGAILAH PASANGAN ANDA SEADANYA

pasangan-yang-baikSeorang lelaki telah berkahwin dengan seorang gadis cantik. Dia sangat mencintainya. Suatu hari si isteri mengalami penyakit kulit. Dengan penyakitnya itu si isteri telah mula kehilangan kecantikannya. Suatu hari si suami pergi untuk bekerja. Ketika pulang dari tempat kerja, dia mengalami kemalangan lalu kehilangan penglihatannya. Namun kehidupan pasangan tersebut tetap terus berjalan seperti biasa. Namun seiring waktu dan hari yang berlalu, si isteri telah kehilangan kecantikannya secara bertahap. Suaminya yang buta tidak menghiraukannya dan tidak ada perubahan dalam kehidupan pernikahan mereka. Si suami terus mencintai isterinya, demikian juga si isteri amat sangat mencintai dan mengasihinya.


Akan tetapi kebahagiaan mereka tidak lama, ditakdirkan si isteri meninggal dunia. Kematiannya membawa kesedihan yang mendalam terhadap si suami. Setelah dia menyelesaikan urusan pengkebumian dan ingin meninggalkan pekan itu, seorang rakannya telah menyapa dari belakang dan mengatakan; “sekarang bagaimana Anda akan menjalani kehidupan secara sendirian? Selama ini isteri Andalah biasanya membantu Anda.”

Dia menjawab; “saya tidak buta, saya hanya berpura-pura, kerana jika dia tahu saya dapat melihat keburukan dirinya, perkara itu akan merunsingkan perasaan dan menyakitkan dirinya lebih dari penyakitnya. Jadi saya berpura-pura buta. Dia adalah seorang isteri yang baik. Saya hanya ingin membuatnya bahagia.”

Pesanan Moral:

Terkadang bagus untuk kita menutup mata dan mengabaikan kekurangan orang lain supaya tetap menjadi bahagia.


Tidak peduli berapa kali gigi tergigit lidah, mereka masih tinggal bersama dalam satu mulut. Itulah semangat PENGAMPUNAN.


Meskipun kedua mata kita tidak dapat melihat antara satu sama lain, namun mereka melihat banyak perkara bersama-sama, berkedip secara bersamaan dan menangis bersama-sama. Itulah KESATUAN.


Semoga Allah SWT memberikan kita semua semangat pengampunan dan kebersamaan.

1) Sendirian, saya dapat ‘berkata’ tetapi bersama-sama kita dapat ‘berbincang’.

2) Sendirian, saya dapat ‘menikmati’ tetapi bersama-sama kita dapat ‘merayakan’.

3) Sendirian, saya dapat ‘tersenyum’ tetapi bersama-sama kita dapat ‘bergurau senda’.


Itulah keindahan hubungan manusia. Hidup kita tidak bererti tanpa orang lain di sekeliling. TETAPLAH PERHUBUNGAN.

Sebuah kenyataan terkait dengan qada dan qadar;

“Perkahwinan itu adalah nasib (ketentuan) manakala penceraian pula adalah keputusan, sakit itu adalah nasib (ketentuan) manakala berubat pula adalah keputusan, memiliki sesuatu adalah nasib (ketentuan) manakala menjaganya adalah keputusan, disayangi adalah nasib (ketentuan) manakala menghargainya adalah keputusan. Oleh itu, jika kita kurang bernasib baik Janganlah pula kita bodoh dalam membuat keputusan.”

Hargailah pasangan anda dan hayatilah peluang hidup anda yang sekali cuma ini.

Bekalan Jemaah Haji dan Umrah

Buku Pulang Bersama Haji Mabrur 2016

PULANG BERSAMA HAJI MABRUR

Mengerjakan ibadat haji memerlukan kita berfikir dan bertindak mengikut arahan. Bagi orang yang berfikir dan berusaha menghayati ibadat ini dengan sepenuh hati dan perasaan, mereka pasti melalui dimensi kehidupan yang berbeza. Buku ini digarap dengan penuh penghayatan kepada wujudnya sifat rasa dalam diri. Perbicangan dalam buku ini mengajak para pembaca untuk muhasabah amal agar ibadah haji & umrah tidak hanya dilihat sebagai satu ritual agama malah lebih dari itu iaitu usaha untuk “overhaul” atau “service diri”

Buku ini bukan sahaja bacaan untuk persiapan mereka yang akan mengerjakan ibadah haji & Umrah, tetapi sesuai juga untuk pembacaan mereka yang belum, dan berniat untuk mengerjakannya suatu hari (Dengan izin Allah). Moga-moga bertambah bersedia menghadapi mehnah & ujian yang dilihat sebagai kasih sayang Allah, malah bersedia untuk mengapai tawaran “Haji Mabrur”.

“Buku ini ditulis bukan hanya untuk dibaca, tetapi lebih untuk dihayati dan dirasa”- Ustaz Mohamad Zaki Abdul Halim

APA LAGI, jom hadiahkan pada diri sendiri, keluarga dan rakan terdekat, buku yang sarat dengan didikan & tarbiah! 

Dapatkan buku ini dengan harga RM19.00 sahaja! 😍 termasuk urusan pos (Percuma!!)

Hubungi saya : 012-4012327 ( whatsapp)

Jommm.. Sila share..

Tips Keluarga Bahagia [Siri 1]: 7 SEBAB HILANGNYA REZEKI KELUARGA

7 SEBAB HILANGNYA REZEKI KELUARGA

 

Suami Isteri bertengkar1] SERING BERGADUH… Usahlah bergaduh sesama suami isteri, apatah lagi perihal duit ringgit. Sebaiknya, berbincang dan carilah persefahama. Buanglah sifat ego dalam diri, khususnya suami. Hidup berumahtangga adalah sebuah pengkongsian. Belajarlah untuk menerima dan redha dengan kekurangan diri pasangan masing-masing, samada sikap, akhlak dan sebagainya. Bila pasangan tidak redha antara satu sama lain, di situlah rezeki akan tersekat……

2] MERASA ANAK-ANAK SEBAGAI BEBAN… Usahakan rezeki untuk anak-anak tanpa merungut, menyesal, ataupun rasa terbeban. Berikanlah kasih sayang kepada anak-anak, kerana setiap anak adalah rezeki Allah SWT. Mereka menjadi ujian untuk kita. Mereka juga amanah yang boleh menjadi kebaikan atau bala kepada kita di akhirat kelak. Justeru, hargailah kewujudan mereka kerana merekalah aset selepas kematian kita nanti.

3] SELALU MENGELUH… Kurangkan mengeluh dan banyakkan bersyukur dengan apa yang dimiliki. Tidak kira banyak atau sedikit, kerana syukur itu adalah kunci kepada rezeki yang melimpah ruah.

4] BAKHIL DENGAN PASANGAN DAN ANAK-ANAK… Jangan terlalu berkira dengan keluarga. Namun sebaliknya, kita selalu tidak berkira dengan kawan-kawan. Perlu diingat keluargalah yang lebih utama, hendaklah bertolak ansur dan faham sesama pasangan, kerana rezeki yang Allah beri adalah untuk dikongsi bersama pasangan dan anak-anak serta ahli keluarga.

5] GAGAL MENGAWAL EMOSI DAN AMARAH… Jangan meninggikan suara, mengherdik atau membentak, apatah lagi memaki hamun serta mengugut. Gunakan kata-kata yang baik sesama suami, isteri dan juga anak-anak. Jangan menakut-nakutkan ahli keluarga, dan tanamkan layanan yang penuh mesra dan kasih sayang.

6] SUAMI ISTERI KURANG SABAR… Bersabarlah dalam menangani karenah masing-masing. Adakalanya sesuatu itu kita tidak suka, namun, tetap perlu bersabar, kerana kesabaran itulah punca rezeki.

7] KURANG BERDOA… Ini sangat penting! Sentiasalah dekatkan diri kepada Allah, dan mendoakan yang baik-baik untuk suami, isteri dan anak-anak. Sentiasa ingat mereka dalam doa, khususnya setiap kali selepas solat.

Moga Allah merahmati dan melimpahkan kurniaNya untuk kita semua.

Wallahu a’lam…

Berbaik Sangkalah Dengan Allah

Takdir AllahNabi NUH belum tahu bila banjir akan datang ketika dia membuat kapal dan ditertawakan kaumnya.

Nabi IBRAHIM belum tahu akan tersedia kibas ketika pisau nyaris mengelar leher anak kesayangannya.

Nabi MUSA belum tahu laut akan terbelah saat dia dikejar Firaun dan bala tenteranya.

Nabi MUHAMMAD SAW pun belum tahu yang Madinah adalah kota tersebarnya ajaran yang dibawanya saat baginda diperintahkan berhijrah..

Yang mereka tahu adalah bahawa mereka wajib patuh pada perintah Allah tanpa berhenti berharap yang terbaik…

Ternyata disebalik semua ketidaktahuan kita, Allah telah menyediakan kejutan saat kita menunaikan perintahNYA.

Pertolongan Allah datang di detik-detik terakhir daripada usaha hamba-Nya. Kalaupun hasil yang kita usahakan masih jauh daripada harapan, jangan kita berkecil hati…

Semuanya itu tidak akan berlaku jika bukan dengan izin dan kehendak Allah SWT. Beriman kepada qada’ dan qadar diletakkan dalam senarai keenam… Kenapa?

Kerana ia tahap yang sukar untuk dicapai jika lima perkara yang terdahulu tidak beres. Hanya mereka yang benar-benar mempraktikkan lima rukun Imam sebelumnya akan dapat redha dan tenang dalam menghadapi sebarang ketetapan Allah SWT dan segala ujian hidup…

Kebergantungan kepada Allah, mencari redha dan cinta Allah membuatkan kita tidak mengabaikan kasih manusia iaitu hubungan kita sesama manusia, tidak pandang serong dengan apa yang Allah takdirkan.

Ya, kita boleh minta daripada Allah SWT agar dijauhi ujian yang tidak mampu kita hadapi (mengikut sangkaan dan kayu ukur kita).. Tetapi jika Allah telah takdirkan lain daripada yang kita minta dan suka… yakinlah dengan apa yang telah Allah sebut dalam al Quran:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [Al-Baqarah: 216]

Tetap HUSNUDZON-lah walau apapun yang terjadi. Berbaik sangkalah selalu kepada ALLAH. Kerana sesuatu akan indah pada waktunya!

Sila kongsikan, moga ia bermanfaat untuk yang lain..

Hargai Nilai Sebuah Kehidupan

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [Surah al-An’am: 153]

Sifat manusia yang lemah dan kerdil ini secara fitrahnya akan mudah bosan dengan perkara-perkara yang dia tidak suka dan jahil tentangnya. Apa yang menyebabkan tidak suka? Mungkin kerana tidak berminat dan tidak kena dengan cita rasanya. Tetapi manusia akan kembali suka sekiranya dia mengetahui perkara tersebut ada kepentingan dan kebaikan untuk dirinya.

Perjalanan-Panjang-Kehidupan-Manusia-di-Tujuh-Alam-01-1Untuk itu kita harus bermula dengan perkara yang paling asas dalam kehidupan ini, iaitu mengetahui kenapa kita diciptakan dan apakah kepentingannya?

Mengimbau kembali bagaimana proses kejadian seorang insan selama lebih kurang sembilan bulan sepuluh hari, membesar dan menetap di dalam rahim seorang ibu dalam keadaan yang gelap. Selama tempoh itulah kita dalam keadaan lemah, tidak mampu bernafas sendiri, tidak mampu mencari makanan sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri.

Subhanallah… Maha hebatnya Allah SWT menciptakan rahim ibu yang begitu kukuh dan amat selesa. Lengkap dengan bantuan bagi menyalurkan oksigen untuk si anak bernafas. Lengkap dengan bantuan makanan dan bendalir amnion untuk melindungi si anak yang masih bayi dan lemah itu. Firman Allah SWT:

“Dia (Allah) menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan. Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah, Tuhan kamu, Tuhan yang mempunyai kerajaan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan?”  (Surah Az-Zumar: 6)

Lalu setelah selamat dilahirkan ke dunia, bayi yang masih lemah dan tidak bermaya itu masih tidak mampu melakukan apa-apa. Dia memerlukan bantuan untuk menyuapkannya susu, memakaikannya pakaian dan mencuci alat sulitnya apabila dikotori najis.

Subhanallah… Hebatnya Allah SWT mencurahkan rasa kasihan belas yang begitu halus dalam hati para ibu supaya mereka sanggup berkorban untuk bangun malam menjaga bayinya itu. Mencuci najis dan memberikannya makanan untuk dia terus membesar dan bertenaga.

Lalu setelah bertahun lamanya Allah SWT menjaga insan ini melalui rahmat dan kasih sayang seorang ibu dan pengorbanan seorang ayah sehinggalah insan ini menginjak usia mumaiyiz iaitu mampu berfikir dengan menggunakan akal, si insan ini mulai lupa diri. Insan yang digelar manusia ini siang dan malamnya cuma memikirkan urusan-urusan yang berlegar tentang urusan dunianya sahaja. Yang ada di fikirannya cumalah bagaimana hendak menjadikan dirinya nampak mulia dan hebat pada pandangan manusia. Bagaimana hendak menjadikan dirinya bertambah berkuasa dikalangan manusia kerana pada itu semua dianggap adanya bahagia dan kedamaian jiwa.

Cita-cita manusia ini semakin hari semakin besar, namun sayangnya cita-cita itu hanyalah sekadar untuk kemuliaan dan kepentingan dirinya sahaja. Manusia ini menjadi alpa dan terlupa kepada suatu kuasa besar yang selama ini sudah lama menaungi dirinya, menjaga dirinya, melindungi dirinya dan yang menciptakannya!

Oleh kerana sifat kasih dan sayang Allah SWT kepada manusia itu, lalu Dia menguji manusia itu supaya manusia itu kembali sedar siapakah dirinya yang sebenar. Pelbagai ujian Allah SWT datangkan kepada para hamba-Nya. Ada dikalangan manusia yang hartanya dikurangkan sedikit sebagai ujian, ada manusia yang diambil orang kesayangannya sebagai ujian, ada manusia yang diberi sedikit ketakutan sebagai ujian serta bermacam-macam bentuk yang silih berganti suka-duka, susah dan senang. Read the rest of this entry

Tazkirah Ramadhan: Bulan Persiapan Bekalan

 

Sekiranya terdapat gangguan audio pada paparan di atas sila guna link ini untuk menonton.

http://u-channel.eng.usm.my/videos/2239/ustaz-mohd-zaki-abd

Semoga tazkirah yang disampaikan beroleh manfaat untuk semua..

 

HAKIKAT TAKDIR; ALLAH TIDAK PERNAH ZALIM MALAH TIDAK PULA PILIH KASIH

KENAPA seorang dengan seorang yang lain tak sama kadar dunia yang dimilikinya? Ada yang ditakdirkan miskin yakni, kais pagi makan pagi. Ada pula lahir saja ke dunia, terus menikmati kemewahan tanpa perlu berusaha. Ada pula ditakdirkan sakit sana sini biarpun makan minumnya terjaga berbanding dengan sesetengahnya yang terurus makan minumya. Ada pula ditakdirkan cacat sementara yang lainnya sempurna pula. Mengapa demikian? Walhal Allah itu Adil sifatnya, Pemurah lagi Penyayang, rahmatNya melimpah ruah.

Lebih pelik lagi, kita lihat orang yang tholeh lebih baik dan berjaya kehidupannya berbanding orang yang soleh. Orang baik ditmpanya musibah, sedangkan orang jahat selalu saja menang. Tengok ummat Islam di Palestin yang memilih Allah, dibiarkan ditindas oleh Yahudi laknatullah, musuh Allah. Lalu dimanakah sebenarnya keadilan Allah? Demikianlah antara rungutan minda sesetengah dari kita bila berdepan dengan hakikat di atas.

Merasakan ketidakadilan Allah dalam hal seumpama di atas bukan hanya di kalangan orang orang yang ingkar (tidak meyakini rububiyyah Allah dan kebenaran agama Islam), bahkan ianya penyakit rohani yang turut menimpa kita yakni muslim yang hati dan lidahnya akad akan kebijaksanaan dan kesempurnaan aturan Allah.

redhaHAKIKAT TAKDIR

Pada hemat penulis, keraguan tersebut adalah dari kerana fikiran yang belum cukup mengenali Allah dan samar pula dalam memahami hakikat takdir.  Memahami hakikat takdir dengan sebenar benar fahaman nescaya akan terubatlah resah dihati dan berlalulah rintihan bahkan insyaAllah, menjadikan kita manusia yang tak kenal mundur dan tidak mudah cemburu hati.

Duhai diri, hakikat keadilan Allah itu adalah hak (benar) dan takdir Allah itu bukanlah tanda sikap pilih kasihNya. Apa penjelasannya? Sebaiknya kita mulai dengan memahami maknanya.

Takdir itu natijah daripada qada’ dan qadar Allah. Qada’ itu ialah “ketetapan Allah” yang kita sebut sebagai “sunnatullah.” Ketetapan ini penting bagi memastikan keseimbangan alam dan seluruh isinya. Sementara “qadar” itu adalah ukuran Allah untuk dijadikan sebab kepada takdir. Takdir berjalan seiring dengan qada’ dan qadarnya. Iradat (keinginan) perlukan kudrat ( usaha), itu qada’ Allah. Namun sejauh mana kudrat diperlukan manusia bergantung kepada berat bebannya, itulah qadar Allah.

Api itu sifatnya panas lagi membakar, ianya qada’ Allah. Sementara qadar Allah pula ukuran api itu sendiri besar mana ia, menatijahkan besar atau kecil sesuatu kebakaran itu yakni takdir.

Qada’ Allah setiap yang jatuh itu tidak keatas tapi ke bawah (hukum graviti), dan nasib sesuatu yang jatuh itu yakni takdir bergantung kepada ketinggian dari tempat jatuh dan kekebalan objek itu yaitun‘qadar’. Allah telah menegaskan akan hal tersebut dalam surah al-Qamar, ayat 49:

Sesungguhnya, Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran”

Justeru itulah kita diminta menimbangi perbuatan kita sesuai dengan qada’ dan qadar Allah supaya tidak celaka natijahnya. Demikianlah yang dimaksudkan oleh Allah:

….dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan …” (al-Baqarah: 195)

Contohnya, semakin tua umur suatu tali, akan semakin lapuk dan kemampuan untuk mengangkat dan menahan bebannya pun akan semakin berkurangan, inilah qada’. Katakanlah tali tersebut qadarnya hanya mampu menahan beban seberat 50 kg, itupun kurang dari 2 jam. Jika kita nekad (tekad) menggunakan tali tersebut dengan beban melebihi kemampuan tali kemudiannya kita ditimpa kecelakaan, tidak boleh kita salahkan Allah sebaliknya salah kita sendiri. Seharusnya gunalah akal dan selidik dulu keupayaan tali tadi. Jika tidak pasti akan keupayaannya, hindarilah daripada menggunakan tali yang sudah berusia tadi untuk mengangkat beban yang berat, sebaliknya dapatkan tali baru atau alternatifnya.

MANUSIA MEMBUAT PILIHAN

Benarlah firman Allah, setiap musibah yang menimpa diri manusia atau alam ini adalah disebabkan tangan manusia itu sendiri sebagamana firmannya:

Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)” (Asy-Syuraa, 42: 30)

Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar) (Al-Rum: 30, 41)

Sama juga apabila Allah telah menetapkan bahawa ini jalan baik, ini pula jalan buruk dan ini jalan celaka, ini pula jalan yang berkesudahan bahagia. Maka dipundak kitalah untuk memilih jalannya. Sebagaimana Allah berfirman;

Sesungguhnya kami telah menunjuki jalan yang lurus dan ada yang bersyukur ada pula yang kafir” (Al insan, 76: 3)

Maknanya Jika kita inginkan kebaikan dan kebahagian, maka beramallah dengan amalan kebaikan. Jika kita mengharapkan kebahagiaan tetapi kita beramal dengan amalan orang orang yang celaka, maka celakalah takdirnya kerana begitulah qada’ Allah (sunnatullah).

Seumpama kita menduduki peperiksaan, kita telah ditetapkan sekiranya kita memberi jawapan dengan kadar sekian-sekian, kita akan diberi markah sekian-sekian pula. Kemudian kita memberikan jawapan dengan kadar yang melayakkan kita mendapat markah separuh sahaja, maka separuhlah markahnya.

Maknanya setiap nasib (takdir) menimpa kita ada sebabnya yang bertitik tolak dari kita jualah. Segalanya telah ditetapkan sebagaimana tetapnya formula matematik.

Adapun beberapa kejadian Allah seolah olah menyalahi qada’ dan qadar di atas seperti peristiwa mengandungnya Mariam (ummu Isa alaihissalam) tanpa lelaki, hanyalah perkara nadir (sangat jarang). Ianya dihadirkan dalam kehidupan manusia untuk membuktikan kekuasaan Allah dimana Dia maha kudrat melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya sekalipun diluar jangkaan manusia, dan juga sebagai hujjah akan kebenaran pengkhabaranNya.

Umumnya Allah tidak berbuat demikian, sebaliknya ditetapkan segala natijah sesuai dengan mukaddimah hambanya, setiap keberhasilan menurut formula yang dipakai hambanya.

Read the rest of this entry

%d bloggers like this: