Category Archives: Keluarga

Perihal keluarga

“Sayang Isteri Tinggal-tinggalkan, Sayang Suami Manja-manjakan?”

Sering kita mendengar untaian kata; “Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang suami manja-manjakan”. Ungkapan ini memberi pengertian yang sangat bermakna kepada pasangan suami isteri. Ungkapan ini juga pasti memberi seribu satu perbezaan makna sama ada dari sudut ungkapan itu sendiri mahupun maksud di sebaliknya.

Perbezaan pemahaman dan tafsiran yang tepat mengenai ungkapan ini bergantung kepada sejauhmana tahap pengetahuan yang dianugerahkan Allah SWT kepada seseorang individu. Ianya bersesuaian dengan tahap keimanannya serta keintiman hubungannya dengan Allah SWT.

Timbul tanda-tanya di dalam hati kita, adakah apabila seorang suami menyayangi isterinya, isterinya itu perlu ditinggal-tinggalkan?

Meninggalkan insan yang tersayang dalam ertikata keluar menjalankan urusan kehidupan dan tanggungjawab memerlukan pengorbanan. Pengorbanan meninggalkan isteri atau suami atau keluarga atas maksud perintah Allah SWT dan mencari keredhaanNya adalah suatu tuntutan dalam Islam. Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim AS diperintahkan meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail di tanah gersang lagi tandus. Pada ketika itu tiada jaminan keselamatan dan tiada bekalan makanan serta tiada tempat sandaran, ianya adalah semata-mata untuk menunaikan perintah Allah SWT. Adakah pada ketika itu Nabi Ibrahim AS tidak menyayangi isteri dan anaknya Ismail yang baru dilahirkan?

Jika pada hari ini berlaku peristiwa yang sebegitu, pasti dibibir kita meniti kata-kata nista, alangkah tidak bertanggungjawab-nya tindakan Nabi Ibrahim AS itu! Begitulah bicara golongan yang tidak kuat dan lemahnya iman mereka.

Begitu juga yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang telah berhijrah meninggalkan isteri serta keluarga tercinta di Kota Makkah ke Madinah adalah atas perintah Allah SWT. Mereka telah bersedia menjadikan isteri-isteri mereka sebagai balu dan anak-anak menjadi yatim. Demikianlah iman para sahabat hasil dari kefahaman dan didikan Rasulullah SAW.

Mungkin kita juga telah mendengar bagaimana kisah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Hanzalah bin Abu Amir RA yang baru melangsungkan pernikahan bersama isterinya yang tercinta bernama Jamilah binti Ubay yang juga sepupunya. Semasa mereka melalui malam pertama dengan penuh kemesraan, maka tiba-tiba laungan jihad berkumandang menyeru ke medan Uhud. Hanzalah dengan penuh semangat melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang dan akhirnya Hanzalah gugur sebagai syuhada di medan Uhud.

Read the rest of this entry

Di Mana Syurgaku Di Sisimu Wahai Isteriku

Perkahwinan adalah merupakan suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah insani yang tersedia semenjak manusia diciptakan. Perkahwinan juga merupakan satu jalan bagi mencapai kedamaian dan ketenangan jiwa dalam usaha menagih keredhaan Allah SWT sebagai pelangkap kesempurnaan hidup insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Allah SWT memerintahkan dan menggalakkan hamba-hamba-Nya untuk berkahwin sebagaimana firman-Nya:

Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah An-Nur 24:32)

Jaminan kekayaan yang dianugerahi Allah SWT ini bukanlah semata-mata dalam konteks wang ringgit dan harta-benda, tetapi kekayaan diri yang dimaksudkan ialah merasakan diri cukup dengan nikmat-nikmat Allah SWT yang seterusnya dapat mendekatkan kita dengan keredhaan-Nya.

Tanyalah setiap pasangan yang telah berkahwin, pasti mereka merasai nikmat Allah SWT itu meliputi mereka kerana isteri itu adalah anugerah Allah SWT. Dan kekayaan melalui nikmat itulah yang Allah SWT rakamkan dalam Firman-Nya:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.” (Surah al-Rum 30:21)

Hakikatnya Allah SWT menjadikan isteri itu sebagai pasangan buat lelaki adalah merupakan anugerah dan bukannya hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila dia merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa daripada Allah SWT. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan pemilikan itu, dan sentiasa merasa gelisah  serta berwaspada akan kehilangannya.

Disebalik anugerah Allah SWT itulah kita akan mendapatkan syurga. Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan kita melalui hadis-hadis yang terakam melalui riwayat yang pelbagai bahawa terlalu banyak kebaikan yang Allah SWT ganjarkan kepada mereka yang berkahwin. Antaranya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah mengiktiraf perkahwinan ini dengan sempurnanya separuh daripada agama, maka sebahagiannya lagi disuruh kita supaya bertakwa.

Mengapa begitu besar ganjaran Allah SWT disebalik anugerah itu yang sudah pastinya bukan sekadar mengkayakan kita di dunia, malah menambah saham akhirat dengan berlipat kali ganda? Jika ditanyakan pasangan yang telah berkahwin, sudah pasti mereka akan katakan, terlalu banyak peluang membuat kebaikan kepada isteri dan anak-anak yang seterusnya menjanjikan syurga.

Read the rest of this entry

Kemesraan Jambatan Kasih Sayang

Rumahtangga adalah sebuah medan penyempurnaan sebuah kehidupan. Fitrah manusia ingin menyayangi dan disayangi akan wujud dikala rumahtangga yang dibina atas sifat fitrah keinsanan dibajai ilmu pengetahuan dalam mencari nikmat ketenangan dan keredhaan Tuhan. Kehidupan yang sempurna ialah kehidupan yang tidak hanya diberati pada mengikuti nafsu semata-mata tetapi juga ditimbang dengan akal yang sempurna ilmunya.

Perkara utama dalam mengwujudkan kasih sayang ialah sifat mesra diantara kedua-dua belah pihak. Kemesraan yang terjalin antara suami isteri akan menyemarakkan lagi sifat kecintaan. Hubungan yang penuh kasih sayang, InsyaAllah, akan kekal selama-lamanya kerana hubungan yang kaya dengan kasih sayang akan membetulkan segala keadaan, segala salah anggap, segala buruk sangka.

Terdapat beberapa tips kemesraan yang boleh dibangkitkan di antara suami isteri. Tips-tips ini adalah merupakan amalan baginda Rasulullah S.A.W. Adalah lebih sempurna kita mengambil contoh baginda kerana segala perbuatan baginda adalah suatu sunnah. Ganjaran pahala diberikan sekiranya kita mengamalkannya. Betapa romantiknya Rasulullah S.A.W.

Tidur dalam satu selimut bersama isteri

Dari Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W dan ‘Aisyah r.a biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan ‘Aisyah r.a, tiba-tiba ‘Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, ‘Mengapa engkau bangkit?’ Jawabnya, ‘Kerana saya haid, wahai Rasulullah.’ Rasulullah berkata, ‘Kalau begitu, pergilah ambil kain dan dekatlah kembali kepadaku.’ Aku pun masuk lalu berselimut bersama beliau” (Hadith Riwayat Sa’id bin Manshur)

Mendinginkan kemarahan isteri dengan mesra

Rasulullah S.A.W biasa memicit hidung ‘Aisyah jika beliau marah dan baginda berkata, “Wahai ‘Uwaisy, bacalah doa: ‘Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan.” ( Hadith Riwayat Ibnu Sunni)

Membersihkan titisan darah haid isteri

Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah S.A.W di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Bila darahku menitis ke atas tikar itu, beliau mencuci bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda solat di tempat itu pula, lalu baginda berbaring kembali di sisiku. Bila darah ku menitis lagi di atas tikar itu, baginda mencuci di bahagian yang terkena darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun solat di atas tikar itu.” (Hadith Riwayat Nasa’i)

Segera menemui isteri jika tergoda

Dari Jabir, sesungguhnya Nabi S.A.W pernah melihat wanita, lalu baginda masuk ke tempat Zainab, lalu baginda tumpahkan keinginan baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita, kalau mengadap, ia mengadap dalam rupa syaitan. Bila seseorang di antara kamu melihat seorang wanita yang menarik, hendaklah ia datangi isterinya, kerana pada diri isterinya ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Read the rest of this entry

Bersediakah; “Aku terima nikahnya…”?

Musim cuti sekolah selalu dikaitkan dengan musim majlis perkahwinan. Seolah-olah telah menjadi adat, cuti sekolah dengan majlis perkahwinan tidak dapat dielakkan. Maka ramailah raja sehari berhias indah melakarkan sejarah peribadi dalam perjalanan sebuah kehidupan berkeluarga.

Namun beberapa perkara yang perlu difahami oleh setiap pasangan ialah bagaimana untuk  mengekalkan ikatan perkahwinan agar ianya berkekalan serta mencapai kebahagian yang berterusan sehingga ke akhirat nanti.

Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan? Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati bahagia? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?

  • Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.
  • Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.
  • Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.
  • Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.
  • Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.
  • Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.
  • Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya.

Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah. Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat!

Pilihan yang tepat

Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih. Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak ‘niat’. Jika kita menginginkan jodoh baik, mula dari diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula.

Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda bersabda bermaksud:

“Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah bersabda bermaksud:

“Orang mengahwini wanita kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, carilah wanita yang mempunyai agama (kerana kalau tidak) binasalah dua tanganmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu tidak hanya merujuk kepada pihak lelaki, malah wanita dalam memilih calon suami. Oleh kerana Rasulullah tidak merumuskan bentuk tertentu daripada perkataan binasa, berkemungkinan besar yang dimaksudkan ‘binasa’ adalah penderitaan batin kerana ketegangan yang berlaku akibat salah memilih teman. Janganlah terpedaya dengan keindahan fizikal dan duniawi semata-mata dan mengaburkan tujuan perkahwinan yang sebenarnya iaitu penyempurnaan ketakwaan kepada Allah.

Read the rest of this entry

Berkeluarga, bahagiakah kita?

Bila lafaz aku terima nikahnya diungkapkan oleh seorang lelaki, maka statusnya  telah bertukar menjadi sebagai seorang suami. Segenap amanah dan hak pemiliharan seseorang wanita telah bertukar tangan dari seorang wali kepada suami. Dikala itu ‘arash bergegar, para malaikat turun bersama doa dan pengharapan kepada Allah agar sepasang insan yang baru sahaja diijabkabulkan mendapat rahmat dari Yang Maha Esa.

Alangkah malangnya tatkala alam turut merestui pertemuan dua jiwa ini, tiba-tiba majlis yang penuh barakah dan amat bermakna sebagai permulaan yang baik telah dicemari dengan unsur-unsur kemaksiatan. Pasangan pengantin khususnya wanita berhias semahu mungkin sehingga mengabaikan hukum memenuhi nafsu agar penampilan dipuji. Seolah-olah waktu itu tiada lagi hukum untuk didepani, apa yang diserlahkan adalah kemahuan nafsu atas alasan hari bersejarah ini hanya sekali.

Sedarkah kita hari bersejarah yang hanya sekali inilah kalau tidak diatur mengikut ketetapan agama akan memberi kesan berpanjangan dalam kehidupan berkeluarga. Sepatutnya para malaikat turut mendoakan kesejahteraan dan keberkatan tetapi telah menjadi sebaliknya bila para malaikat pula melimparkan laknat dan kebencian atas kederhakaan yang dilakukan. Aurat diabaikan, percampuran lelaki dan perempuan yang tidak terkawal, solat yang diambil ringan malah ditinggal-tinggalkan, hiburan yang melalaikan serta wujudnya pembaziran pada persiapan. Ini semua punca kepada kemurkaan ilahi. Apakah mungkin permulaan yang sebegini boleh menghasilkan kebahagian yang hakiki?

Keluarga Bahagia

Apabila seseorang itu berkahwin suatu perkara yang didambakannya ialah kebahagiaan. Adakah bahagia itu seronok? Namun seronok tidak bererti bahagia tetapi bahagia mengundang keseronokan. Sifat seronok hanyalah sementara. Ianya seketika, boleh jadi hanya dalam beberapa saat sahaja. Apabila perasaan tercuit rasa gembira, sifat kecewa atau sedih berlalu seketika, hanya seketika mungkin malah tidak mampu mengubat jiwa.

Bahagia pula suatu perasaan yang lahir dari hati yang tenang, walaupun sekeliling membingitkan. Kebahagian bukanlah keadaan yang dibuat-buat akan tetapi ianya terjadi dari dalam diri yang memiliki hati yang tenang. Firman Allah SWT;

Dialah yang menurunkan Sakinah (ketenangan) ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Al-Fath: 4)

Ketenangan yang didambakan itu datangnya dari Allah. Bukan hasilan manusia semata-mata. Kita mungkin nampak bahagia itu pada banyaknya harta, pasangan yang sama padan dari segi rupa parasnya, jawatan yang baik, anak-anak yang ramai atau apa saja yang pada nilaian fikiran manusia ianya bahagia.

Read the rest of this entry

Solat: Punca Perceraian?

Rutin sebagai Naib Khadi bukan hanya untuk menikahkan pasangan pengantin sahaja tetapi juga sebagai orang tengah dan tempat rujukan dalam urusan dan permasalahan rumahtangga. Selalunya pihak Naib Khadi akan dirujuk untuk khidmat nasihat dalam proses mencari jalan penyelesaian sebelum sesuatu kes itu dilanjutkan dengan aman melalui perdamaian kedua-dua belah pihak atau terpaksa bercerai yang berkelanjutan seterusnya melalui proses mahkamah mengikut prosedur tertentu.

Dalam sebuah hadis, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Umar, Rasulullah SAW telah bersabda;

“Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak” Riwayat Abu Daud dan Hakim

Manakala firman Allah SWT, di surah An Nisa’ ayat 19 bermaksud;

“Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi ada yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya”

Ayat Al-Quran dan Hadis di atas ini dengan jelas memberikan kita penjelasan bahawa perceraian merupakan suatu perkara yang paling dibenci oleh Allah SWT. Agama Islam tidak mengalakkan umatnya bercerai berai, kerana ia akan mengakibatkan implikasi yang negatif kepada pasangan itu sendiri, anak-anak, keluarga mahupun masyarakat amnya.

Amanah dan tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan oleh kedua pasangan suami isteri dengan baik dan sempurna, jika keduanya menjadikan dasar ikatan atau perjanjian yang suci ini dengan bersumberkan iman dan taqwa kepada Allah swt. Selagi kedua pasangan ini menjadikan sumber pegangan mereka berpandukan dengan ajaran Islam, Insya Allah tujuan dan matlamat perkahwinan yang didambakan akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.

Kesan Perceraian

Perceraian bukanlah suatu perkara yang mudah, dan ia tidak pernah dipermudahkan dan digalakkan oleh agama Islam. Islam hanya membenarkan perceraian, jika kedua pasangan suami isteri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bantuan dan nasihat yang diperlukan, sehingga tiada lagi ruang bagi mengatasi permasalahan mereka untuk berdamai.

Read the rest of this entry

Persoalan Suami dan Isteri

Sebagaimana biasa ketika saya menjalankan tugas rutin sebagai Penolong Pendaftar Nikah, menemuduga para bakal pengantin bagi permohonan pernikahan, bukan saja saya yang menyoal bakal pengantin malah saya juga sering ditanya dengan pelbagai persoalan yang melibatkan persoalan rumahtangga. Antara soalan yang kerap ditanyakan oleh bakal pengantin perempuan ialah berkenaan tanggungjawab mereka kepada suami apabila telah berumahtangga nanti. Ada juga yang bertanyakan status pekerjaan mereka, khususnya wanita adakah perlu berhenti dari kerja apabila telah berkahwin atau kalau nak bekerja juga macam mana pula keizinannya?.

Memang tidak dinafikan ada juga pasangan yang selepas perkahwinan mereka timbul perselisihan tetang kefahaman antara hak dan tanggungjawab kepada suami dengan kerjaya yang telah mereka ceburi sejak sebelum dari perkahwinan lagi.

Secara asasnya kedudukan seorang isteri pada pandangan Islam adalah sebagai seorang insan pendamping kepada suami yang akan membantu suami dalam menguruskan kehidupan suami, rumahtangga serta anak-anak. Manakala suami pula bertindak sebagai ketua keluarga bertugas mencari rezeki dan mengurus keperluan umum rumahtangga supaya berjalan dengan baik dan teratur. Masing-masing mempunyai posisi tugas yang sesuai dengan fitrah dalam menjana kebahagian dalam rumahtangga.

Kekadang rungutan dari para isteri bahawa kerja di rumah adalah lebih mencabar dan tidak pernah habis berbanding para suami yang kerja di luar rumah. Sebenarnya kedua-dua keadaan itu mempunyai permasalahan dan cabarannya yang tersendiri. Justeru mulianya kedudukan dan status suami atau isteri ini, Allah Taala telah menyediakan ganjaran yang baik bagi mereka yang berjaya menjalankan amanah masing-masing dengan sempurna.

Sebagai contoh, galakkan Nabi SAW kepada wanita yang bergelar isteri, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik RA; sabda Nabi SAW:

“Seorang wanita itu, jika ia menyempurnakan solat lima waktunya, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya, serta mentaati suaminya nescaya dia akan masuk ke syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.”

Kewajipan Isteri

Apabila suami sebagai ketua di dalam rumahtangga, maka isteri itu timbalannya yang mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Di antara tanggungjawab isteri ialah:

1. Bergaul dengan suami secara baik. Menurut ulama Mazhab As-Shafie, wajib bagi isteri menggauli suaminya dengan baik.

2. Mengendalikan kerja-kerja rumah. Menurut riwayat Jauzani, Rasulullah s.a.w menentukan kewajipan anaknya Fatimah mengurus rumah dan Ali mengurus kerja-kerja di luar rumah. (AI Mar’ah fi Tasawwuri Islam, m.s 105, oleh Abdul Muta’al AI Jibry).

3. Berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas. Dengan itu suami menjadi terhibur ketika di sampingnya. Tugas ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh isteri kecuali mereka yang faham dan benar-benar prihatin.

4. Pujuk memujuk adalah penting dalam kehidupan rumahtangga. Ibn al-Aswad AI-Dualy berkata kepada isterinya:

‘Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula menenangkan kamu. Jika tidak janganlah kita bersama-sama. ‘

Read the rest of this entry

Mengekalkan Ikatan Perkahwinan

“Rasulullah dalam mengenangmu, kami susuri lembaran sirahmu…” [Lagu “ring tone handphone”, nyanyian Nazri, Kenangan The Zikr]. “Assalamu’alaikum, ustaz… boleh saya nak berjumpa ustaz, ada hal sikit nak berbincang”. Jawab saya ringkas; “Wa’alaikum salam, insyaallah… petang nanti di pejabat saya ye?, kita jumpa di sana jam 3…”.

Begitulah keadaan saya saban hari tidak mengira waktu melayani panggilan dan permasalahan yang pelbagai. Syukur, alhamdulillah kerana Allah Taala masih lagi memberi kekuatan dan suatu perasaan dalam bentuk kepuasan apabila dapat berbakti dan memberi manfaat kepada orang lain.

Suatu hari saya didatangi oleh sepasang suami isteri yang mahukan saya menjadi orang tengah dalam permasalahan mereka. Dalam keadaan runsing si suami memulakan bicara. “Ustaz, isteri saya minta cerai dari saya, dia kata, dia dah ada lelaki lain… saya boleh saja nak tunaikan kehendaknya tapi saya nak tahu apa sebabnya dia dah tak sukakan saya..?. Bila saya tanya, dia tak jawab, asyik nak cerai saja, peningla ustaz.”

Sebenarnya situasi begini sering berlaku terutama kepada pasangan yang baru berkahwin dan juga pasangan yang telah mula rasa bosan atau hilang keserasian dengan pasangan dalam kehidupan rumahtangga mereka walaupun usia perkahwinan mereka telah menjangkau 10 tahun ke atas. Banyak faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku. Sama ada sedar atau tidak setiap pasangan pasti akan melalui peringkat-peringkat ini. Cuma bagaimana mereka menghadapi dan menanganinya sahaja yang membezakan antara pasangan yang berjaya meneruskan fasa perkahwinan mereka atau golongan yang tewas dengan penceraian.

Melalui pengalaman yang diperolehi, ketika  saya berhadapan dengan pelbagai persoalan rumahtangga khususnya, membuatkan saya terfikir tetang beberapa perkara yang dapat dirumuskan. Disamping melalui kajian-kajian secara realiti yang telah dibuat diharapkan ianya dapat membantu pasangan-pasangan yang bermasalah ini sebagai usaha untuk mengekalkan ikatan perkahwinan, antaranya;

Read the rest of this entry

Nilai Kebahagiaan

Kebahagiaan adalah harapan bagi setiap insan. Mainan emosi yang berlegar dalam kotak pemikiran manusia saban ketika. Setiap detik hati inginkan kedamaian, ketenangan dan ketenteraman yang membolehkan pergerakan minda dan fizikal menjadi teratur.

Setiap kita impikan kebahagiaan yang berkekalan. Namun aturan Allah, kehidupan di dunia ada hitam putihnya. Ada ketika senang dan susah, gembira dan berduka, miskin dan kaya begitulah seterusnya. Silih bergantian sebagai pelengkap kejadian manusia. Setiap kita pasti melaluinya. Roda kehidupan terus berputar mengisi ruang-ruang dalam kehidupan sebelum ajal, untuk kita dipanggil pulang.

Seorang anak inginkan kebahagiaan di sisi kedua ibubapanya. Curahan kasih sayang, belaian tunjuk ajar yang berterusan membangkitkan rasa kasih dan hormat si anak kepada keduanya membuatkan si anak bahagia.

Seorang isteri, inginkan kebahagiaan di sisi suaminya. Ia juga mendambakan insan jujur untuk memimpinnya. Perasaan cinta yang tulus di dalam hati akan terpancar dari tindakan suami dalam memberi kasih sayang. Belaian, hormat menghormati, mengambil peduli, bertanggungjawab yang terbina atas rasa kehambaan diri pada Allah akan membuatkannya terjelma dengan keikhlasan. Isteri akan bahagia kerana perasaan yang tercurah amat bermakna dalam dakapan penuh rahmat.

Si suami inginkan kebahagiaan dari sentuhan isteri yang penyayang dan penyantun. Pelengkap kesempurnaan seorang insan bernama isteri adalah sifat taat yang tinggi kepada suami yang juga memahami. Justeru pakej seorang isteri solehah adalah kebahagian mutlak seorang suami.

Sebenarnya kebahagian itu boleh dicapai dengan pelbagai cara. Namun, yang penting ialah kefahaman kita dalam menunaikan hak sesama insan, maka akan bahagialah kita dengan mereka. Begitu juga dengan Yang Maha Pencipta, tunaikanlah segala hakNya serta kewajipan kita yang telah ditetapkanNya, pastinya akan menemui kebahagiaan hakiki.

Kalam suci dari Rabbul Jalil:

Jika sekiranya kamu bersyukur dengan segala nikmatKu (melalui ketaatan serta kepatuhan pada perintahKu) nescaya akan Aku tambah lagi nikmatKu, namun sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu adalah pedih”. Al-ayat.

Bukankah kebahagiaan itu “NIKMAT”???

%d bloggers like this: