Category Archives: Ketepatan Masa
Berbaik Sangkalah Dengan Allah
Nabi NUH belum tahu bila banjir akan datang ketika dia membuat kapal dan ditertawakan kaumnya.
Nabi IBRAHIM belum tahu akan tersedia kibas ketika pisau nyaris mengelar leher anak kesayangannya.
Nabi MUSA belum tahu laut akan terbelah saat dia dikejar Firaun dan bala tenteranya.
Nabi MUHAMMAD SAW pun belum tahu yang Madinah adalah kota tersebarnya ajaran yang dibawanya saat baginda diperintahkan berhijrah..
Yang mereka tahu adalah bahawa mereka wajib patuh pada perintah Allah tanpa berhenti berharap yang terbaik…
Ternyata disebalik semua ketidaktahuan kita, Allah telah menyediakan kejutan saat kita menunaikan perintahNYA.
Pertolongan Allah datang di detik-detik terakhir daripada usaha hamba-Nya. Kalaupun hasil yang kita usahakan masih jauh daripada harapan, jangan kita berkecil hati…
Semuanya itu tidak akan berlaku jika bukan dengan izin dan kehendak Allah SWT. Beriman kepada qada’ dan qadar diletakkan dalam senarai keenam… Kenapa?
Kerana ia tahap yang sukar untuk dicapai jika lima perkara yang terdahulu tidak beres. Hanya mereka yang benar-benar mempraktikkan lima rukun Imam sebelumnya akan dapat redha dan tenang dalam menghadapi sebarang ketetapan Allah SWT dan segala ujian hidup…
Kebergantungan kepada Allah, mencari redha dan cinta Allah membuatkan kita tidak mengabaikan kasih manusia iaitu hubungan kita sesama manusia, tidak pandang serong dengan apa yang Allah takdirkan.
Ya, kita boleh minta daripada Allah SWT agar dijauhi ujian yang tidak mampu kita hadapi (mengikut sangkaan dan kayu ukur kita).. Tetapi jika Allah telah takdirkan lain daripada yang kita minta dan suka… yakinlah dengan apa yang telah Allah sebut dalam al Quran:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [Al-Baqarah: 216]
Tetap HUSNUDZON-lah walau apapun yang terjadi. Berbaik sangkalah selalu kepada ALLAH. Kerana sesuatu akan indah pada waktunya!
Sila kongsikan, moga ia bermanfaat untuk yang lain..
Tazkirah Ramadhan: Bulan Persiapan Bekalan
Sekiranya terdapat gangguan audio pada paparan di atas sila guna link ini untuk menonton.
http://u-channel.eng.usm.my/videos/2239/ustaz-mohd-zaki-abd
Semoga tazkirah yang disampaikan beroleh manfaat untuk semua..
Nikmat Yang Didustakan
Dalam kehidupan seharian, kita sering mendapati orang memuji dan berterima kasih antara satu sama lain, khususnya kepada seseorang atau golongan yang membantu dan menghulurkan bantuan kepadanya. Tetapi hakikatnya, ramai yang terlupa untuk memuji dan berterima kasih kepada Allah SWT malah tidak bersyukur kepada-Nya, sedangkan Allah SWT telah melimpahkan nikmat ke atasnya dengan begitu banyak. Sedangkan manusia dan segala makhluk hanyalah perantara antara kita dengan Allah SWT ketika menerima segala nikmat itu. Namum malangnya sikap manusia yang tidak mengerti dan mengenali Tuhan yang sebenar, merasakan bahawa segala nikmat yang diperolehinya itu adalah hasil daripada usahanya sendiri. Sikap inilah yang dinamakan pendusta nikmat atau kufur nikmat, ianya berlaku disebabkan oleh hati yang lalai dan sikap tidak tahu mengenang budi.
Bagi golongan manusia yang mengerti dan memahami malah suka memikirkan tentang segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada para hamba-Nya, sudah tentu menyedari betapa banyak dan tidak terhitungnya nikmat Allah SWT itu. Pada diri manusia sahaja terdapat nikmat yang tiada nilai jika diamati dengan hati yang insaf. Sebagai contoh, bayangkanlah dengan nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan kepada kita; berapakah nilainya? Dua biji mata yang dapat melihat dan membezakan pelbagai objek, bentuk dan warna, boleh pejam dan celik. Begitu juga mulut yang boleh menuturkan apa yang dikehendaki oleh hati disamping menjadi sumber utama kepada kelangsungan hidup manusia melalui makanan dan minuman yang kita nikmati melaluinya, subhanallah. Begitu indah dan hebat ciptaan Allah SWT, malah pelbagai lagi bentuk nikmat yang tidak ternilai malah tidak mampu ditukar ganti dengan dunia dan segala isinya, ada pada diri kita.
Kemudian, cuba fikirkan pula nikmat akal fikiran yang hanya dianugerahkan kepada makhluk yang bernama manusia, tidak kepada makhluk-makhluk lain. Dengan nikmat ini kita mampu menguasai segala yang ada di sekeliling kita, mengetahui apa yang benar dan palsu, yang baik dan buruk. Dengan akal juga kita boleh mengetahui apa yang bermanfaat untuk dicari dan diperolehi dan apa pula yang memudharatkan untuk dihindari dan dijauhi.
Allah SWT tidak menciptakan kita seperti makhluk yang tidak berakal, malah segala makhluk yang diciptakan Allah SWT di atas muka bumi mahupun di langit dipermudahkan untuk kehidupan manusia. Hakikatnya segala yang terdapat di dunia ini Allah SWT ciptakan untuk manusia dan manusia pula diciptakan untuk mengambil manfaat daripadanya. Bahkan, mungkin ada yang bertanya untuk apa pula manusia itu diciptakan?
Manusia sebenarnya tidak dijadikan begitu sahaja, tanpa ada hala tuju dan matlamat kejadian. Sedangkan setiap apa yang ada di sekitar kita walaupun sekecil-kecil kejadian sehinggalah sebesar-besarnya semuanya ada tujuan dan matlamat diciptakan, tentu sekali manusia yang hebat ini ada tujuan diciptakan Tuhan. Justeru, jawapan hanya ada pada pencipta manusia itu sendiri, iaitu Allah SWT. Read the rest of this entry
Kesan Dosa Dan Kesalahan Pada Hati
Siapa berani berbuat dosa? Siapa pernah berbuat dosa? Jika kita banyak berbuat dosa, sekerap dan sebanyak mana pula penyesalan kita atas dosa dan kesilapan kita? Sehebat mana taubat kita kepada Allah SWT.?
Yakinkah kita betapa setiap perbuatan pasti terakam dengan rapi di sisi Allah SWT, segalanya dalam pengetahuan-Nya? Sehinggakan sekecil-kecil dosa pun akan tercatat dalam dokumentasi yang tidak akan hilang, bersaksikan dua malaikat dengan dirinya yang tidak pernah renggang. Firman Allah SWT:
”Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)-nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)-nya.
(Surah Az-Zalzalah: 7-8)
Kita sering menelaah dan menyusuri kisah Rasulullah SAW, para sahabat RA dan para solihin terdahulu yang sangat menyesali kesalahannya, dan bersegera bertaubat kepada Allah SWT hanya disebabkan tertidur sehingga tidak sempat untuk solat malam. Atau tidak sempat solat Subuh berjamaah di masjid, dan pelbagai kisah teladan mereka. Mereka begitu sensitif dengan dosa-dosa yang mereka lakukan, walaupun ianya dosa kecil pada perkiraan kita. Sikap mereka segera menyesali perbuatan tersebut saat di dunia sebelum dibangkitkan di akhirat patut menjadi inspirasi buat kita semua yang lebih banyak lagi melakukan dosa setiap saat dan ketika.
Namun ada kelompok manusia yang mengaku beriman, enggan menyesali dosa-dosanya di dunia kerana keangkuhan dan kesombongannya. Lalu Allah SWT rakamkan wajah-wajah suram dan penuh penyesalan yang bakal mereka tempuh saat dibangkitkan di padang masyhar nanti, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan (sungguh ngeri) jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.”
(Surah al- Sajadah: 12)
Beruntunglah kita kerana Allah SWT telah mengkhabarkan lebih awal kisah-kisah benar akibat serta kesan daripada sikap sombong dan angkuh manusia ketika di dunia. Ianya menjadi peringatan dan pengajaran kepada kita bersama. Betapa kasih dan sayangnya Allah SWT kepada kita kerana memperingatkan kita akan sikap manusia yang tidak ambil kisah urusannya terhadap Allah, Tuhan yang menciptakannya.
Hikmah dan Kebaikan Solat Awal Waktu
Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.
Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.
Waktu Subuh
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.
Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.
Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur.
Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.
Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.
Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.
Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
Waktu Zohor
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.
Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.
Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.
Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?
Read the rest of this entry
Mukmin pintar; Apakah persiapan utama?
Dari kamar pejabat, aku terlihat dikejauhan sana deretan batu nisan yang menempatkan para jenazah yang suatu ketika dahulu mereka pernah menghuni dunia ini. Namun saat kematian telah memisahkan mereka dengan dunia yang merupakan satu episod dalam sebuah kehidupan yang panjang, yang tidak berakhir dengan kematian. Kematian hanyalah permulaan bagi sebuah lagi kehidupan yang bakal ditempuh oleh setiap insan.
Secara fitrahnya semua manusia mengakui adanya alam selepas kematian, walaupun akal kadangkala berhujah sebaliknya. Dhomir atau detikan hati kecil manusia tidak dapat menafikannya. Tidak kira apa latarbelakang fahaman dan agamanya, semuanya akan membuat persiapan berdasarkan persepsi tersendiri malah tidak kurang juga yang buat tidak kisah kerana masih terlalai dengan keseronokkan yang dikecapi di dunia ini.
Kehidupan Akhirat

Kematian akan membawa kita menuju ke alam akhirat sebagai satu cara yang tiada pilihan untuk sampai ke sana.
Melalui rukun Iman yang enam, kita sebagai orang Islam berkewajipan mempercayai adanya hari kiamat dan pembalasan. Sedarkah kita betapa pentingnya merancang kehidupan hakiki iaitu kehidupan akhirat?. Hakikatnya, kehidupan dunia bukanlah sebuah kehidupan yang hakiki dan ianya diibaratkan perhentian seorang musafir buat seketika untuk sampai ke tempat tujuannya.
Setiap saat juga, kematian membayangi dan sentiasa menghampiri kita sekaligus akan membawa kita menuju ke alam akhirat sebagai satu cara yang tiada pilihan untuk sampai ke sana. Mahu atau tidak, suka atau benci ianya tetap akan berlaku. Cuma tempoh masanya sahaja yang belum pasti. Kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana juga tanpa kita menyedarinya.
Oleh itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju kehidupan hakiki. Persiapan awal ini amat penting bagi setiap muslim kerana peluang kehidupan di dunia yang dikurniakan Allah Taala bagi setiap insan hanyalah sekali sahaja dan tiada lagi peluang kedua.
Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. banyak merakamkan kisah-kisah penyesalan orang-orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya kerana mereka telah diberikan peringatan demi peringatan oleh para nabi dan rasul namun mereka mengingkarinya. Sebagai contoh, firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 27-30:
Maksudnya : “Dan perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur’an ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.”
Persiapan Kita
Kalau betul kita sebagai seorang muslim, adakah kita telah mengetahui apakah ciri-ciri muslim yang sebenar? Atau kita hanya sebagai hiasan pada nama tetapi tidak pada perlaksanaannya? Perlu diinsafi bahawa antara ciri-ciri muslim yang bijaksana ialah muslim yang sentiasa melakukan muhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian. Sabda Rasulullah s.a.w :
Maksudnya : “Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah taala( mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah.
Mengintai waktu-waktu terluang dalam hidup kita
Setiap muslim meyakini bahawa setiap detik masa yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia merupakan saat-saat yang sangat berharga. Ia perlu digunakan sebaik mungkin untuk melakukan pekerjaan yang diredhai oleh Allah agar akhirnya mendapat ganjaran syurga di alam abadi. Allah berfirman:
Maksudnya: “Demi masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman dan melakukan pekerjaan yang baik, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
(Surah al-Asr: 1-3)
Dalam keadaan begitu Islam membenarkan manusia untuk mengambil sedikit ruang masa untuk berhibur dan bergurau senda kerana itulah fitrah manusia. Imam Muslim meriwayatkan satu cerita tentang seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah.
Suatu hari ketika bertembung Abu Bakar bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaan kamu wahai Hanzalah?” Hanzalah lalu menjawab: “Hanzalah telah berpura-pura.” Abu Bakar terkejut mendengar jawapan Hanzalah lalu bertanya maksud ungkapannya itu. Jawab Hanzalah: “Kami ketika berada di sisi Rasululullah selalu diperingatkan dengan neraka dan syurga hingga kita terasa bagaikan kedua-duanya berada di hadapan mata. Tetapi apabila kita keluar meninggalkan Rasululullah sallalahu alaihi wasallam kita mula sibuk dengan isteri dan anak-anak serta harta benda. Dengan itu banyak perkara yang kita lupakan.”Sambut Abu Bakar: “Demi Allah kami juga mengalami perkara yang sama.” Mereka berdua lantas bertemu dengan Rasululullah sallallahu alaihi wasallam mengadu tentang apa yang mereka rasai dan alami. Baginda lalu bersabda: “Demi jiwaku yang berada di tanganNya. Sesungguhnya sekiranya kamu berterusan dengan kelakuan kamu ketika bersamaku dan berterusan dalam keadaan zikir, tentu para Malaikat Allah akan bersalam-salaman dengan kamu di tempat pembaringan dan di jalanan kamu. Tetapi wahai Hanzalah, ada ketika-ketikanya, ada ketika-ketikanya, ada ketika-ketikanya (baginda mengulanginya tiga kali)”. Hadis riwayat Muslim-Kitab Taubah, Tirmizi-Kitab Sifat al-Qiyamah, Ibn Majah-Kitab al-Zuhd dan Ahmad.
Justeru hadis di atas menjelaskan kepada kita kewujudan sifat fitrah manusia yang inginkan sedikit masa untuk menghiburkan hati. Ibn Qayyim berpendapat, setiap orang perlu mendapatkan ruang yang cukup untuk menghiburkan hati dan berehat untuk menghilangkan kepenatan dan keletihan, memperbaharui kecergasan dan daya kerja dan memperkuatkan tenaga untuk bergerak. Secara umumnya, hiburan itu adalah sesuatu yang diharuskan Islam.
Muhasabah Sejenak…
Kata Baginda s.a.w.:
‘Sesungguhnya kami tidak akan berikannya (kepimpinan dan kedudukan) kepada sesiapa yang memintanya.’
‘Sesungguhnya kalian akan menjadi tamak terhadap kepimpinan, dan ianya akan menjadi satu kerugian dan penyesalan buat kamu.’
‘Sesiapa yang mencarinya kami akan berikannya (kepimpinan) dan mewakilkannya untuk perkara tersebut. Sesiapa yang mendapatkannya tanpa mencarinya pula aku akan membantu untuknya (maka yang ini adalah lebih utama).’ “

“Apabila ibadah seseorang itu tidak membuahkan kehinaan serta tawadhu’ di dalam hatinya terhadap Allah, dikhuatiri dengan setiap kali bertambah ibadahnya, dia akan semakin jauh dari Allah.
Hal ini (merisaukan) jika ibadahnya itu tidak menghasilkan adab-adab kesopanannya bersama Allah; (yakni) apabila ibadahnya tidak membuahkan sifat rendah diri di hadapan Allah.
Oleh itu, setiap seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah, dia mestilah mempertingkatkan nilai taqarrubnya dari Allah dengan rasa hina.
Orang yang disirami dengan cahaya kedekatan (taqarrub) dengan Allah tidak mungkin hidup dalam kegelapan penyakit takabbur.”
Tip 3
Tingkatkanlah keyakinanmu padaNya melalui deria yang telah dianugerahkan Allah padamu. Hati kecilmu sebenarnya amat menyakini bahawa Allahlah pencipta yang Maha Perkasa dan lagi al-Hakim. Namun hanya kerana deria kita telah diseliputi tipuan dunia yang sementara bisikan itu diabaikan.
Kita lupa diri siapakah kita sebenarnya.. marilah kita hayati lirik lagu ini moga kesedaran kita akan pulih semula..
Salam Ramadhan, Maaf Zahir & Batin
Moga Allah memberi kekuatan dan semangat untuk kita beramal yang terbaik dalam mencari redhaNya, amenn.
Munajat: Mencari erti kehambaan.
Segala puji padaMu Tuhan yang memiliki sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan tercinta Nabi yang mulia Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan ahli keluarga baginda.
Ya Allah dikala dan saat yang masih berbaki ini kami datang kepadaMu menyahut seruan kasih dan cintaMu terhadap kami. Ingin kami labuhkan rasa kekurangan serta kedhoifan keinsanan kami padaMu.
Ya Allah Engkau lebih tahu apa yang kami tidak tahu.. Engkau lebih memahami dari apa yang kami jahil… Engkau adalah penentu apa yang kami dambakan… Ya Allah kami sedar mungkin apa yang kami harap adalah sesuatu yang memudaratkan kami di kemudian hari, justeru Engkau gantikan yang lain mungkin lebih baik dari apa yang kami dambakan.. Namun Ya Allah… lemahnya kami.. luluhnya hati kami kerana kami masih buta dalam menilai hikmahMu..
Kuatkanlah imam kami, Ya Allah..
Hidupkanlah hati kami, Ya Allah..
Rezekikanlah kami kefahaman yang akan membuatkan kami pasrah dan redha atas segala ketentuanMu..
Ya Allah, maafkanlah kami.. ampunkanlah kami.. kerana kejahilan kami yang membutakan hati kami…
Ya Allah, kami buta untuk menilai segala nikmat kurniaanmu. Sedangkan nikmat yang terbentang sebenarnya sudah cukup untuk menyedarkan kami. Tetapi nafsu ini tidak pernah puas lantaran jahilnya kami dan lalainya kami dengan kehidupan ini.
Betapa tandusnya ilmu dan keyakinan kami menyebabkan kami telah memilih sesuatu yang tidak kekal untuk kami puja dan harapkan. Kekadang sapaan hidayahMu dapat mengingatkan kami tapi mudah saja kami abaikan bila kelekaan dunia menyergah ke dalam lubuk hati kami.
Ya Allah, Engkaulah maksud kami.. harapan dan matlamat kami. Namun kenapa jiwa ini sering meletakkan sesuatu yang lain antara Engkau dan kami. Munafikkah kami?
Ya Allah, maafkanlah kami.. ampunilah kami.. kerana menduakanMU. Kami lebih yakin pada diri kami sendiri dari terus bersandar harap padaMu. Bibir kami mengungkapkan cinta padaMu tapi hati kami lebih cinta kepada makluk ciptaanMu. Bibir kami mengungkapkan kalimah rindu padaMu namun hakikatnya rindu kami hanyalah tertumpah pada nikmat ciptaanMu.
Ya Allah selamatkanlah hati-hati kami dari terus dirobek perasaan yang akan menyebabkan sirnanya kecintaan yang tulus padaMu. Wahai Tuhan yang menguasai hati-hati manusia tetapkanlah hati kami padaMu, dalam mencari cintaMu, pada menagih kasihMu.
Ya Allah kami bertaubat kepadaMu, kami kembali kepadaMu, dan kami menyesal atas segala kesalahan perbuatan kami.
Ya Allah, siapa lagi yang dapat menyelamatkan kami pada waktu yang kami amat mengharapkannya.. tiada pada yang lain hanyalah Engkau, Ya Allah. Ampunkanlah segala kesalahan dan dosa kami.
Sesungguhnya segala pujian dan kesyukuran hanyalah bagi Allah Tuhan yang mentadbir sekelian alam. Amin ya Robbal ‘alamin.