Category Archives: Naib Khadi

Pengalaman Naib Khadi

Tips Keluarga Bahagia [Siri 1]: 7 SEBAB HILANGNYA REZEKI KELUARGA

7 SEBAB HILANGNYA REZEKI KELUARGA

 

Suami Isteri bertengkar1] SERING BERGADUH… Usahlah bergaduh sesama suami isteri, apatah lagi perihal duit ringgit. Sebaiknya, berbincang dan carilah persefahama. Buanglah sifat ego dalam diri, khususnya suami. Hidup berumahtangga adalah sebuah pengkongsian. Belajarlah untuk menerima dan redha dengan kekurangan diri pasangan masing-masing, samada sikap, akhlak dan sebagainya. Bila pasangan tidak redha antara satu sama lain, di situlah rezeki akan tersekat……

2] MERASA ANAK-ANAK SEBAGAI BEBAN… Usahakan rezeki untuk anak-anak tanpa merungut, menyesal, ataupun rasa terbeban. Berikanlah kasih sayang kepada anak-anak, kerana setiap anak adalah rezeki Allah SWT. Mereka menjadi ujian untuk kita. Mereka juga amanah yang boleh menjadi kebaikan atau bala kepada kita di akhirat kelak. Justeru, hargailah kewujudan mereka kerana merekalah aset selepas kematian kita nanti.

3] SELALU MENGELUH… Kurangkan mengeluh dan banyakkan bersyukur dengan apa yang dimiliki. Tidak kira banyak atau sedikit, kerana syukur itu adalah kunci kepada rezeki yang melimpah ruah.

4] BAKHIL DENGAN PASANGAN DAN ANAK-ANAK… Jangan terlalu berkira dengan keluarga. Namun sebaliknya, kita selalu tidak berkira dengan kawan-kawan. Perlu diingat keluargalah yang lebih utama, hendaklah bertolak ansur dan faham sesama pasangan, kerana rezeki yang Allah beri adalah untuk dikongsi bersama pasangan dan anak-anak serta ahli keluarga.

5] GAGAL MENGAWAL EMOSI DAN AMARAH… Jangan meninggikan suara, mengherdik atau membentak, apatah lagi memaki hamun serta mengugut. Gunakan kata-kata yang baik sesama suami, isteri dan juga anak-anak. Jangan menakut-nakutkan ahli keluarga, dan tanamkan layanan yang penuh mesra dan kasih sayang.

6] SUAMI ISTERI KURANG SABAR… Bersabarlah dalam menangani karenah masing-masing. Adakalanya sesuatu itu kita tidak suka, namun, tetap perlu bersabar, kerana kesabaran itulah punca rezeki.

7] KURANG BERDOA… Ini sangat penting! Sentiasalah dekatkan diri kepada Allah, dan mendoakan yang baik-baik untuk suami, isteri dan anak-anak. Sentiasa ingat mereka dalam doa, khususnya setiap kali selepas solat.

Moga Allah merahmati dan melimpahkan kurniaNya untuk kita semua.

Wallahu a’lam…

HAK-HAK ISTERI DALAM PERKAHWINAN

Saya ingin memberi respon kepada para pengunjung laman web ini yang banyak bertanyakan tentang hak-hak isteri. Ramai dikalangan para isteri rasa terinaya dengan sikap suami mereka yang tidak memahami bahawa isteri juga mempunyai hak yang perlu ditunaikan oleh seorang suami kepada isterinya.

Ikatan perkahwinan adalah merupakan simpulan tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh kedua-dua pasangan, suami dan isteri. Tanggungjawab suami adalah lebih berat daripada tanggungjawab isteri, meskipun ramai yang menganggap isteri lebih banyak beban berbanding suami. Namun begitu, hakikatnya di alam akhirat nanti suami mempunyai bebanan yang lebih berat lagi untuk dilaksanakan, yang akan disoal oleh Allah SWT. Suami akan dipertanggungjawabkan atas segala yang berlaku ke atas isteri dan keluarganya.

Dalam institusi rumahtangga, setiap pasangan suami isteri perlu menyedari bahawa masing-masing mempunyai hak tersendiri. Dalam Islam setiap suami wajib melayani isterinya dengan baik dan setiap isteri juga wajib taat dan melayani suami dengan sebaiknya. Islam adalah agama yang sempurna, setiap hukum dan peraturan yang terdapat bukan hanya memihak kepada lelaki, tetapi juga kepada isteri dan kesemua pihak.

suami-istri1Islam telah menetapkan para suami bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangganya dan memenuhi hak-hak isterinya dan memerintahkan supaya mereka berlaku baik terhadap isteri mereka sesuai dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, apabila hak-hak isteri tidak ditunaikan dengan baik oleh suami sedangkan ia menyedari dan mampu melaksanakan hak-hak tersebut, maka dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya, juga menderhakai isterinya.

Umumnya, masyarakat kita hari ini jarang menghayati perkara ini mengikut tuntutan syariat bahkan lebih cenderung untuk mengikuti tradisi yang berlaku dalam masyarakat. Tatacara kehidupan di dalam rumahtangga diperolehi daripada amalan tradisi masyarakat atau pengalaman yang diperolehi daripada keluarga tanpa berpandukan kepada ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan apa yang ditimba dan dijadikan ikuti dari kalangan masyarakat dan keluarga kemungkinan besar jauh dari ketentuan Allah dan Rasul-Nya, sehingga sering para suami sanggup dengan terang-terangan melakukan pelanggaran terhadap hak-hak isteri dan menganggapnya suatu yang lumrah berlaku di dalam masyarakat.

Pada kedudukan sebagai seorang isteri, banyak amalan masyarakat dan pengalaman keluarga yang merugikan hak-hak isteri sehingga mereka tidak mampu untuk membela diri kerana budaya dalam masyarakat menempatkan isteri pada kedudukan yang lemah. Justeru, untuk memberikan hak kepada isteri dan menempatkan mereka sebagai hamba Allah yang sama dengan lelaki dalam melaksanakan kewajipan yang telah disyariatkan, Islam telah menggariskan hak- hak isteri yang wajib dipatuhi oleh suami.

Di dalam situasi ini para isteri hendaklah celik agama dengan mengetahui dan memahami hak-hak mereka agar dapat mengesan perilaku suami yang dikategorikan sebagai pelanggaran hak-hak isteri dan sekaligus juga dapat membela diri sama ada di hadapan suami atau di mahkamah syariah.

PENGERTIAN HAK

Hak dari sudut bahasa ialah benar, kebenaran, kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu dan ianya ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat dan lain-lain. (Kamus Dewan. 2002. 428)

Menurut istilah; hak ialah sesuatu yang dapat dipunyai atau dikuasai, baik yang berupa benda mahupun yang berupa wewenang dan kewajipan, ialah sesuatu yang perlu diberikan, baik yang berupa benda mahupun yang berupa perbuatan. (Syafii. 1995. 273) Firman Allah SWT:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Ertinya: “dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang ma’ruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah maha perkasa lagi maha bijaksana” (al-Baqarah: 228)

Terdapat beberapa hak yang wajib suami tunaikan ke atas isteri berdasarkan nas al- Quran dan hadith Nabi antaranya hak mahar, hak nafkah, hak mendapat hubungan komunikasi yang baik, hak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar, hak terhadap harta sepencarian, dan beberapa hak asasi wanita yang akan disebut penulis di dalam kertas kerja ini antaranya hak wanita untuk bersuara, hak untuk bekerja dan hak terhadap hartanya sendiri.

Read the rest of this entry

Terapi Keluarga Bahagia: Panas Baran

Awak ni.. Tak boleh tengok aku senang sikit. Asyik duit… duit… Apa? Ingat aku ni tukang cop duit ka?” Bentak Azli kepada isterinya, Rohana.

Dilema Rohana bersuamikan Azli amat mencengkam khususnya masalah nafkah yang sering diabaikan oleh suaminya. Tambahan pula Azli seorang suami yang panas baran, tidak boleh ditegur atau dibawa berbincang. Jika Rohana bersuara, Azli sering mengeluarkan kata-kata ancaman seperti isteri nusyuz, derhaka sehingga ada maki-hamun yang dikeluarkan dari mulutnya.

marah

Semuanya ini sangat menyakitkan perasaan Rohana. Dia sangat tertekan dari segi mental dan emosi. Pernah juga beberapa kali Rohana dipukul tetapi dia tetap berdiam diri serta sabar kerana sayang dan kasihkan suaminya dan berusaha untuk menjadi seorang isteri yang baik.

Marah adalah emosi normal yang ada pada setiap individu. Namun begitu, jika dizahirkan dengan cara yang tidak sihat, ia boleh menyebabkan seseorang individu bertindak ganas sehingga mampu mempengaruhi secara negatif hubungan personal atau di tempat kerja. Kemarahan yang tidak dapat dikawal akan menjadi punca pergaduhan dan penceraian sehingga menyebabkan tekanan yang serius dalam hidup seseorang.

Dalam konflik rumahtangga, ianya banyak berpunca daripada permasalahan individu khususnya pada pihak suami. Keadaan ini berlaku kerana stress dan tekanan hidup yang tidak mampu dikawal hingga melarat ke dalam rumahtangga. Sekiranya keadaan ini tidak dikawal selia dengan baik maka ia akan berkembang menjadi penyakit panas baran. Sikap panas baran ini semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita hari ini, pantang silap sikit habis semua dikerjakannya. Yang paling parah, apabila yang menjadi mangsanya anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa.

Panas baran merupakan sifat Mazmumah yang berpunca daripada dosa-dosa yang diabaikan daripada bertaubat kepada Allah SWT. Kesannya jika tidak dikawal dan diubati boleh menjejaskan hubungan intrapersonal dan interpersonal. Selain itu, ia boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Golongan yang telah terjerumus dalam sikap panas baran boleh menyebabkan dia mudah diserang masalah tekanan darah tinggi, sakit kepala, sakit jantung dan strok. Kadang-kala individu ini juga boleh mencederakan dirinya sendiri, terlibat dalam penyalahgunaan dadah atau alkohol serta rendah penghargaan diri.

Dalam situasi Rohana yang bersuamikan suami yang bersifat panas baran, tentu akan memberi kesan emosi yang mendalam kepadanya. Jika keadaan ini berkekalan tanpa diikhtiar penawarnya, lama kelamaan akan menjadi barah dalam kehidupan rumahtangga. Ia seumpama sebuah kapal yang berada di tengah lautan, yang sentiasa di landa ribut dan menunggu masa untuk karam.

Penyelesaian

Rasa marah ini disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran. Biasanya ketika marah, tekanan darah dan kadar denyutan jantung akan meningkat, begitu juga dengan hormon tenaga adrenalin dan noradrenalin juga turut akan meningkat. Oleh yang demikian jika anda ingin hidup gembira dan sihat, kawal kemarahan anda dengan sebaiknya. Ambil masa dan kawal diri dengan sebaik mungkin.

Apakah faktor-faktor penyebab panas baran? Secara amnya ia melibatkan faktor persekitaran dan dalaman yang menjadi punca seseorang individu itu menjadi panas baran.

Read the rest of this entry

Tazkirah: 4 Jenis Lelaki Yang Akan Ditarik Wanita Ke Dalam Neraka

Di akhirat, wanita akan menarik empat jenis lelaki bersama-samanya ke dalam neraka. Artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan sebaik-baiknya berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berwaspada akan tanggungjawab yang dipikul..

lelaki-dayus

1. Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat…..tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya itu.

2. Suaminya

Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim. Apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka.


3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya…..jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiarkan melencong dari ajaran ISLAM …tunggulah tarikan adiknya itu ke neraka kelak.

4. Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram di sisi Islam, bila ibu membuat kemungkaran seperti mendedah aurat, mengumpat, mengata & sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya itu ke neraka.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan masing-masing.

Firman Allah SWT:-

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim : 6)

Harga diri seseorang muslim adalah sangat mahal. ALLAH SWT nilaikan seseorang muslim yang baik dan berjaya menjalankan amanahnya di dunia ini dengan nilai yang hebat, lebih hebat dari dunia dan segala isinya. Sebagai balasan atas ketaatannya Allah SWT akan memberi ganjaran SYURGA. Semua kaum muslimin yakni yang mengucap kalimah tauhid dijamin masuk syurga dengan syarat-syarat yang telah digariskan oleh Allah SWT dan diteladani oleh baginda Rasulullah SAW untuk diikuti. Oleh itu janganlah kita membiarkan atau tidak mengendahkan janji-janji dan peluang yang ALLAH SWT berikan kepada kita sewaktu di dunia ini…wallahua’lam

Rumahtangga: “Kamu Adalah Pengembala”

Sabda Rasulullah SAW;

Kullukum ra’in, wa kullukum mas’ulun ‘an ra’iyyatihi.”

Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin) dan bertanggungjawab terhadap apa yang digembalanya (dipimpinnya).”

Maksud hadis ini adalah umum, merangkumi keseluruhan tanggungjawab yang terpikul dalam kehidupan kita. Namun dalam konteks kekeluargaan, ibu bapa adalah pemimpin utama. Iaitu bapa sebagai ketua keluarga manakala ibu pula adalah pengurus dan pembantu yang setia.

keluarga-bahagiaMenjadi pemimpin kepada sesebuah keluarga adalah amanah besar dan bukanlah suatu tugas yang mudah untuk dilaksanakan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;

Setiap bayi yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah (yang berperanan) (sama ada) membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar terhadap kesinambungan generasi akan datang. Sama ada sekadar membina anak-anak menjadi generasi yang hanya dibanggakan dalam konteks duniawi atau sememangnya disyukuri dengan mencorak mereka dengan nikmat iman dan Islam. Keberkesanan memimpin dan mendidik pula menjadi penentu utama kepada kecemerlangan generasi akan datang, sekaligus membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan cemerlang. Baik di dunia mahupun di akhirat.

Perkara Asas Dalam Mendidik

Sesungguhnya mendidik anak-anak bermula sejak kecil lagi, seawal dalam kandungan ibu. Ini kerana ia akan memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak tersebut sehinggalah dewasa. Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam bukunya yang telah diterjemahkan dengan tajuk “Pendidikan Anak-anak Dalam Islam” menjelaskan tentang dua perkara asas dalm membantu perkembangan anak-anak sejak kecil iaitu;

a) “Talqin” (sudut nyata) iaitu pengajaran yang dilakukan secara berulang-ulang dengan lisan. Contohnya, bagaimana Rasulullah SAW menyuruh para pendidik mentalqinkan ucapan “Laa Ilaaha Illallah”, mengajar rukun-rukun solat dan sebagainya sejak anak-anak usia kecil lagi. Menurut Piaget, seorang ahli psikologi barat, bayi memerlukan masa yang panjang untuk mengenali serta membezakan rangsangan-ransangan yang didaftarnya. Oleh itu, proses pengulangan sangat membantu bagi mewujudkan skema dalam diri mereka. Chaplin (1985) mendefinisikan skema sebagai satu rangka kognitif yang berkembang dan menjadi khusus dengan peningkatan umur.

b) “Ta’wid” (sudut amali) iaitu pembimbingan amali (pembentukan dan pelengkapan). Pentarbiahan secara ulangan seterusnya diterjemahkan secara lahiriah (amali) dalam diri anak-anak mengikut perkembangan umur mereka. Contohnya, usaha ibu bapa melatih anak-anak melaksanakan solat secara amali. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

Suruhlah anak-anak kamu solat apabila mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka apabila umur mereka sudah menjangkau 10 tahun ke atas (jika tidak mahu melaksanakannya) dan pisahkan tempat tidur mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Read the rest of this entry

Isteri Dan Konflik Rumahtangga

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir r.a yang menyebutkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda, “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian dia mengirimkan bala tenteranya. Orang bawahan yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka datang dan berkata, ‘Aku telah lakukan ini dan itu.’ Lalu Iblis menjawab, ‘Engkau belum melakukan apa-apa lagi yang besar.” Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melanjutkan, “Lalu datanglah seorang daripada mereka dan berkata, “Aku mengikuti manusia sehingga aku tidak meninggalkan mereka melainkan aku telah berhasil memisahkan seorang suami dan isterinya.’’ Lalu iblis memanggilnya agar dia dijadikan dekat dengan Iblis dan berkata, “Sebaik-baik fitnah adalah usaha yang telah engkau lakukan.” (Hadis Sahih riwayat Muslim no. 2813)

Seorang ulama’ ahlul sunnah pernah menyebutkan bahawa tidaklah ada perkahwinan melainkan seorang wanita itu pasti pernah meminta cerai daripada suaminya lantaran didesak oleh Syaitan.

Sabda Nabi bermaksud: “Allah tidak menjadi sesuatu yang halal, yang lebih dibenci oleh-Nya dari talak.” Dan lagi: “Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Riwayat Abu Dawud)

Broken_marriageHUKUM ISTERI MINTA CERAI

Sabda Baginda Rasulullah s.a.w :

 قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا الطَّلَاقَ مِنْ غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ

Ertinya: Baginda Nabi s.a.w pernah bersabda: “Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya TANPA ADA SEBARANG SEBAB YANG MENDESAK, maka haramlah baginya ( wanita itu ) mencium bau syurga”[1]

Dan terdapat beberapa hadis lagi menyebutkan hal ini selain yang di atas seperti: “Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa mempunyai sebab yang diterima Islam, maka diharamkan baginya untuk mencium bau syurga.” (Riwayat al-Hakim, 2/200, hadis yang sahih)

Dalam isu dan konflik rumah tangga hendaklah kaum wanita bermuhasabah dan mengambil Al-quran dan As-sunnah sebagai panduan mereka dan bukannya menurut hawa nafsu serta perasaan. Kaum perempuan itu kerap sekali mensyirikkan Allah dengan nafsu dan perasaan mereka. Ini pernah disebutkan di dalam sebuah hadis yang menyebutkan: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar, iaitu memohon ampun. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.

Seorang wanita yang cukup pintar antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, mengapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal daripada golongan kamu.”

Wanita itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?

Rasulullah s.a.w bersabda: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.” (Hadis Sahih riwayat Muslim) Read the rest of this entry

Dengari Rintihan Hati Pasangan Anda

Kita sering menyalahkan orang lain apabila keinginan diri tidak dipenuhi. Kebahagiaan yang diimpikan dalam rumahtangga semakin hilang serinya. Masing-masing mengharapkan sesuatu daripada pasangan supaya mengerti dan memahami, namun masa terus berlalu tanpa sebarang kesimpulan dan tindakan. Akhirnya timbul perasaan bosan, cinta yang dibina seawal perkahwinan semakin pudar malah timbul pula perasaan benci. Sumbangan dan khidmat yang diberikan kepada pasangan seolahnya tidak dihargai. Janji-janji manis sebelum perkahwinan tinggal sebagai kenangan yang tidak tertunai, kekadang rasa tertipu dan dipermainkan. Dimanakah silapnya?

Perkahwinan adalah sebuah perhubungan suci yang termetri melalui perjanjian menanggung amanah dari seorang wali kepada suami. Perjanjian untuk sehidup semati bersama pasangan yang dipilih atau terpilih. Perkahwinan juga mempertautkan dua hati menjadi satu. Satu cita-cita dan matlamat iaitu membina kehidupan yang bahagia melalui sifat saling memberi dan menerima. Keadaan ini memerlukan komunikasi yang baik dari kedua-dua belah pihak, suami dan isteri.

komunikasi-3Kata orang, komunikasi tahap tinggi ialah kemampuan kita mendengar sesuatu yang tidak diperdengarkan. Komunikasi tanpa suara, begitulah istilah yang mungkin paling tepat untuk menamakan komunikasi jenis ini. Mendengar bukan sekadar dengan telinga, tetapi dengan mata dan hati. Berikan hubungan mata, jalinankan rasa hati. Itulah maksud mendengar yang hakiki. Jika tidak, kita masih dikira ‘tuli’ dalam perhubungan sesama suami-isteri.

Dah berapa kali saya beri tahu kepada awak… tetapi awak macam tak faham. Tak faham atau tak mahu faham?”

Begitu selalu kita dengar kemarahan seorang suami.

Dah berapa kali saya cakap baik-baik dengan abang, tapi abang tak mahu dengar. Terpaksalah saya jerit macam ni. Kalau abang tak faham juga tak tahulah… saya dah bosan!”

Begitu pula luapan kekecewaan seorang isteri.

Semua kata-kata di atas menunjukkan betapa manusia sering gagal ‘mendengar’ kata-kata pasangannya.

Awak sedar tak banyak kemahuan saya yang awak gagal penuhi?” kata suami yang berang.

Eh, awak kira kemahuan awak saja. Kemahuan saya? Dah berapa banyak awak penuhi? Saya tak dapat apa-apa dari perkahwinan ini!” balas isteri.

Termenung saya memikirkan, walaupun perkara ini kekadang berlaku dalam sebahagian kehiduapan kita. Sebagai suami, saya selalu mengharapkan isteri mendengar kata-kata yang saya luahkan tanpa suara. Namun, saya sedar, mana mungkin saya menerima tanpa terlebih dahulu memberi? Ertinya, setelah saya benar-benar ‘mendengar’, barulah saya didengari.

Mana lagi hubungan yang paling intim dalam kehidupan ini selain hubungan antara suami dengan isterinya? Apa kemahuan suami, harap-harap dipenuhi oleh isteri. Begitulah sebaliknya. Tetapi mampukah semua kemahuan ini dipenuhi? Silapnya, kebanyakan kemahuan itu dipendamkan sahaja. Tidak diperdengarkan. Jika pun diperdengarkan akhirnya, tetapi semua agak terlewat. Sudah jadi jeritan, bukan lagi bisikan. Read the rest of this entry

Hak Isteri Di Sisi Suami

Apabila pasangan suami isteri telah selamat diijab-kabulkan maka bermulalah tanggungjawab besar yang terpikul bersama antara suami dan isteri. Bahtera rumahtangga yang dikemudikan oleh suami bakal berlayar menempuh lautan yang luas menuju destinasi keredhaan ilahi. Namun lautan tidak selalunya tenang, langit tidak selalunya cerah, pelbagai dugaan dan ujian akan silih berganti. Kadang-kala badai menerjah menguji kesabaran dan kematangan hidup insan. Keadaan ini menagih kesabaran dan ketenangan dalam mengharunginya. Penyelamat yang paling ampuh ialah ilmu dan keimanan yang menebal kepada Tuhan.

Perkara asas dalam menjamin keharmonian rumahtangga ialah memahami hak-hak yang mesti dijaga oleh pasangan suami dan isteri. Kegagalan memahami dan menunaikannya akan mengakibatkan mahligai yang dibina akan mengalami keretakan.

Untuk catatan kali ini saya akan cuba mengupas dua hak utama bagi isteri secara zahir yang wajib dihormati serta dilaksanakan sepanjang tempoh perkahwinan supaya tidak timbul pecabulan hak dan kedamaian dalam jiwa seorang isteri.

Hak Pertama: Mahar

Mahar adalah suatu pemberian wajib daripada suami kepada isterinya dengan sebab berkahwin. Ia merupakan hak mutlak isteri yang tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh diambil oleh suami sesuka hati kecuali dengan keredhaan dan keizinan isterinya. Walaubagaimanapun suami dibolehkan berhutang mahar dengan isterinya, tetapi dengan syarat ianya wajib dilunaskan kembali.

Sekiranya suami enggan berbuat demikian, maka ianya adalah perbuatan maksiat yang diancam oleh Allah SWT. Iaitu sebagaimana ancaman Allah SWT kepada orang yang berhutang dengan niat tidak mahu membayar balik hutang tersebut sedangkan ia mampu untuk berbuat demikian. Perbuatan ini jelas merupakan penderhakaan terang-terangan terhadap hak isteri, sekaligus menderhakai Allah SWT.

Dari Muhammad bin Jahsy radhiyallaahu ‘anhu, ia berkata, “Pada suatu hari, kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW sedang menguburkan jenazah. Beliau menengadahkan kepalanya ke langit kemudian menepukkan dahi beliau dengan telapak tangan seraya bersabda: “Subhanallaah, betapa berat ancaman yang diturunkan.” Kami diam saja namun sesungguhnya kami terkejut. Keesokan harinya aku bertanya kepada beliau, ‘Wahai Rasulullah! Ancaman berat apakah yang turun?’ Beliau menjawab: “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya seorang laki-laki terbunuh fii sabiilillaah kemudian dihidupkan kembali kemudian terbunuh kemudian dihidupkan kembali kemudian terbunuh sementara ia mempunyai hutang, maka ia tidak akan masuk surga hingga ia melunaskan hutangnya.’” (Riwayat An-Nasa’i dan Ahmad)

Read the rest of this entry

%d bloggers like this: