Category Archives: Perbincangan Ilmiah
Pengaruh Rakan Dalam Kehidupan
Sewaktu dibangku sekolah di sekolah, cikgu sering mengingatkan kita mengenai “pengaruh rakan sebaya”. Kata cikgu, inilah penyebab seseorang pelajar itu berjaya atau tidak. Kerana kawan adalah pengaruh yang paling kuat terhadap seseorang individu. Apa saja penyebab seseorang pelajar itu berjaya – “pengaruh rakan sebaya”. Apa saja penyebab seseorang pelajar itu gagal – “pengaruh rakan sebaya”
Namun apabila umur kita semakin meningkat dewasa, kita tidak lagi memikirkan hal ini. Kita hanya berkawan dengan sesiapa yang kita rasa selesa dan seronok berkawan. Jadi cara kita menerima seseorang itu masuk dalam hidup kita adalah bergantung kepada apa perasaan kita terhadap orang itu.
Namun, perasaan seperti ini kekadang boleh memesongkan kita. Kita mungkin lebih suka berkawan dengan orang yang lebih miskin daripada kita, lebih bodoh daripada kita, lebih lembab daripada kita. Dengan rakan-rakan seperti ini, anda akan merasa diri anda lebih baik dan dengan itu anda akan merasa selesa. Adakah anda akan berkembang maju dengan berkawan dengan rakan-rakan sebegini ?
“Jika anda berkawan dengan orang menjual minyak wangi, anda akan berbau wangi, jika anda berkawan dengan tukang besi, anda akan berbau busuk”
Anda seharusnya mengawasi dengan siapa anda berkawan. Ini adalah kerana, apabila dua orang bertemu, mereka akan saling mempengaruhi sesama sendiri secara sedar atau tidak sedar walaupun dalam aspek yang baik mahupun jahat. Inilah realiti. Terima ini sebagai kebenaran. Walaupun mereka berdua ini tidak bercakap atau bertegur sapa, mereka tetap akan mempengaruhi sesama sendiri walaupun sedikit.
Jadi awasi dengan siapa anda bertemu, dan awasi sesiapa yang anda pilih menjadi rakan anda.
Suasana hidup yang sihat dan jernih lagi mendamaikan tidak mungkin subur di dalam keadaan pergaulan yang penuh dengan inspirasi yang muram dan dorongan-dorongan contoh tauladan yang buruk. Suasana pergaulan hendaklah bersih dan sihat serta harus mempunyai inspirasi dan contoh tauladan yang dinamis, yang boleh mendorong kita kepada kebaikan tingkah laku dan keluhuran budi.
Daripada kenyataan ini timbullah keperluan ketelitian dalam usaha memilih sahabat- handai, rakan dan taulan. Ini adalah kerana merekalah insan-insan yang berpengaruh memberi warna kepada suasana hidup kita. Memberi contoh tauladan dan inspirasi dalam perjuangan hidup sehingga mereka seringkali mengheret kita terlibat dalam putaran roda kehidupan mereka tanpa kita sedari dan daripada merekalah, orang lain akan dapat menilai dan mengukur keperibadian kita. Read the rest of this entry
Berbahagialah Bila Diuji
Menurut ilmu psikologi kebahagiaan merupakan suatu keadaan emosi yang terdiri daripada perasaan gembira dan puas hati. Kebahagiaan adalah ketenangan jiwa dan ketenteraman hati. Sebagai satu keadaan atau subjek, ia telah dikejar-kejar dan didambakan oleh setiap manusia sepanjang zaman dalam sejarah kehidupan manusia. Keadaan ini mengambarkan kepentingan kebahagiaan yang manusia letakkan secara umumnya.
Aristotle menyatakan, kebahagiaan adalah satu-satunya perkara yang didambakan oleh manusia. Seseorang itu mengejar kekayaan bukan kerana ingin kaya, tetapi kerana ingin bahagia. Orang yang mengejar kemasyhuran bukannya kerana ingin menjadi masyhur, tetapi kerana percaya kemasyhuran boleh membuatkan mereka bahagia.
Keadaan perasaan yang dikaitkan dengan kebahagiaan ialah sejahtera, gembira, sihat, selamat, puas hati dan cinta. Keadaan yang berlawanan dengan bahagia ialah sengsara, murung, sedih, cemas dan sakit. Kebahagiaan selalu dikaitkan dengan kewujudan keadaan-keadaan yang disenangi seperti kekayaan, keluarga yang ideal, ekonomi yang stabil dan perkahwinan yang manis lagi harmoni. Keadaan-keadaan yang tidak disenangi seperti perkahwinan yang hambar dan derita, kemalangan, konflik rumahtangga, kehilangan pekerjaan dan kemelesetan ekonomi akan mengurangkan perasaan bahagia yang dikecapi.
Namun menurut psikologi, kebahagiaan dipengaruhi perspektif individu terhadap satu-satu keadaan. Maksud kebahagiaan berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Begitu juga dengan faktor-faktor yang mendorong kepada kebahagiaan. Kebahagiaan adalah kegembiraan dan kepuasan yang datang dari jiwa. Ia berasal daripada minda seseorang, bukannya daripada sensasi deria. Keseronokkan, keghairahan dan keasyikan datangnya daripada sensasi deria. Namun bagi kebahagiaan, apa yang penting ialah pemikiran dan tanggapan yang dibuat seseorang tentang hidupnya.
Kebahagiaan dan kedamaian tidak berkait dengan faktor luaran sebenarnya. Ia adalah perasaan tenang dan tenteram tanpa mengenal masa. Jadi, kebahagiaan dan kedamaian adalah satu keadaan minda. Ia boleh dicapai dengan mengawal pemikiran dan emosi yang menyiksa kita. Kebahagiaan berkait rapat dengan falsafah hidup yang kita pegang. Ia adalah matlamat tertinggi kehidupan seseorang manusia. Ada yang meletakkan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat sebagai matlamat dan cita-citanya. Read the rest of this entry
Mencari Bahagia Nan Damai
Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia yang mendamaikan jiwa itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia dan kedamaian dalam hatinya.
Malangnya, keinginan manusia untuk mendamaikan jiwa dan merasai bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya yang membawa kepada kedamaian jiwa dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan dan kedamaian itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu sebelum beroleh kedamaian.
Bahagia yang merupakan eleman utama untuk mencapai kedamaian jiwa di sisi Islam terbahagi kepada dua, iaitu kebahagiaan sementara dan kebahagiaan abadi. Kebahagiaan sementara hanyalah bersifat seketika sahaja, ia boleh hilang daripada seseorang dengan sekelip mata. Kebahagiaan sementara ini dikurniakan di dalam kehidupan manusia yang sementara di dunia ini. Matlamat manusia yang mengejar kebahagiaan dunia sentiasa mengumpul harta, mencari pangkat serta kemasyhuran dan ingin memiliki segala-galanya yang ada di dunia ini sebagai milik mutlak dirinya. Namun, kebanyakkan manusia terlupa bahawa kebahagiaan yang dicari itu hanyalah bersifat seketika dan sementara. Apabila manusia terpaksa meninggalkan dunia ini dengan kematian segalanya itu akan ditinggalkan malah sudah tidak berguna lagi.
Kebahagiaan yang kekal akan menjadi milik hamba-hamba Allah yang menjadikan dunia sebagai ladang akhirat. Di dunia, mereka “bercucuk tanam” membuat bekalan bagi mempersiapkan diri menghadapi kehidupan di akhirat. Pada masa yang sama mereka tidak meninggalkan tanggungjawab asasi kehidupan mereka di dunia seperti pada keluarga, kerjaya dan harta benda. Urusan dunia dilaksanakan dengan penuh amanah demi mencapai keredhaan Allah SWT. Golongan inilah yang akan berjaya mencapai kebahagiaan yang menjadi idaman setiap insan malah hati mereka damai menerima takdir Allah SWT disamping mempunyai keyakinan dan iman yang utuh kepada Allah SWT.
Didik Hati Dari Sifat Dengki Dan Cemburu
Kita tidak akan dapat bergaul dengan baik dan mesra jika hati diselubungi oleh rasa dengki dan cemburu kepada kejayaan-kejayaan orang lain. Sikap ini adalah suatu sifat yang meruntuhkan dan tidak berguna. Ia tidak akan menjatuhkan dan merosakkan orang yang didengkikan atau dicemburukannya itu, bahkan akan menjatuhkan dan merosakkan pendengki dan pencemburu itu sendiri.
Makin besar perasaan dengki dan cemburu yang ada pada seseorang, makin besar pula api kesengsaraan dan kegelisahan jiwa dan perasaannya. Makin lama perasaan ini dipendam dalam jiwa, maka akan makin banyak perubahan-perubahan buruk akan lahir pada tingkah-laku dirinya. Dia akan cenderung untuk mengumpat, merendah-rendahkan serta mengecil-ngecilkan kebolehan dan kejayaan orang lain nescaya lambat laun tembelangnya akan terbuka. Akibatnya dia tidak akan disukai dan digemari di dalam masyarakat pergaulannya.
Perasaan dengki dan cemburu ini mula tumbuh apabila seseorang itu merasakan dirinya kurang, rendah dan lemah. Merasakan kedudukannya terancam dan tapak-tapak kebanggaannya bergoyang dan apabila seseorang itu digodai oleh perasaan tamak haloba hendak membolot semua kebaikan dan ketinggian untuk dirinya sahaja.
Oleh kerana itu sifat dengki dan cemburu ini dianggap sebagai tanda-tanda perasaan kelemahan dan kerendahan diri sendiri. Orang yang percaya kepada kebolehan, kecekapan dan segala kelebihan yang ada pada dirinya tidak akan ada tempat di dalam hatinya untuk perasaan dengki dan cemburu, biar bagaimana besar sekalipun kejayaan orang lain. Bahkan ia akan merasa gembira kerana dapat pula mempelajari segala rahsia kejayaan orang tersebut sebagai contoh teladan untuk digarap bagi membina kejayaan untuk dirinya sendiri.
Perlukah dengki dan cemburu?
Kita tidak perlu ada sifat dengki dan cemburu, kerana setiap kita mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri dalam bidang hidup masing-masing. Kalau ada orang yang berjaya dengan kelebihan yang ada pada dirinya, kita juga harus berjaya dengan kelebihan yang ada pada diri kita. Kalau orang tegak dan cemerlang dalam bidang hidupnya, kita juga mempunyai bidang perjuangan hidup sendiri untuk kita turut tegak dan berjaya seperti mereka.
Bongkarkan segala kelebihan dan keistimewaan yang ada pada diri sendiri, kemudian tanamkan kepercayaan yang kukuh dan curahkan segala daya upaya supaya segala kelebihan yang ada itu berkembang dengan seindah-indahnya. Mustahil kita tidak memiliki sesuatu keistemewaan dan kelebihan tertentu. Setiap makluk yang bernama manusia, Allah SWT ciptakan dengan tidak memiliki sifat, bakat dan kelebihan yang sama cuma yang hampir-hampir sama, sebab itu setiap manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu hargai kelebihan yang ada pada diri sendiri yang tidak ada pada orang lain. Usaha sebegini adalah lebih logik, berguna dan membina dari memandang dengan putih mata atau menaruh sifat cemburu dan dengki kepada kejayaan-kejayaan orang lain. Read the rest of this entry
Syubhah Membinasakan Akidah
Dalam tempoh kehidupan ini, kita tidak dapat lari daripada persoalan halal dan haram kerana segalanya tertakluk kepada penilaian Allah SWT terhadap segala amalan dan perbuatan yang kita lakukan. Sebagai panduan, setiap perkara dari segi hukum halal dan haramnya telah diperjelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran disamping hadis-hadis Rasulullah SAW menghuraikan lagi persoalan tersebut. Hukum halal dan haram yang mewarnai kehidupan manusia di dunia ini adalah suatu persoalan yang berkaitan dengan kepercayaan dan keimanan kita kepada Allah SWT ianya melibatkan suruhan serta tegahan, galakkan dan amaran.
Allah SWT tidak meninggalkan persoalan asas dan pokok yang melibatkan halal dan haram yang dibicarakan di dalam al-Quran mengenai urusan akidah, ibadah, syariah dan akhlak yang mulia tanpa ada jawapan serta panduan untuk melaksanakannya. Walaubagaimana pun di antara segala perkara yang jelas halal dan haram tersebut, ada perkara-perkara yang syubhah iaitu perkara yang samar-samar hukumnya di antara yang halal atau haram sebagai ujian untuk orang yang beriman. Justeru, orang mukmin yang benar dan bersifat warak akan meninggalkan perkara-perkara syubhah ini sebagai lambang kesempurnaan iman kerana dikhuatiri tanpa disedari ianya boleh terjatuh kepada perkara yang haram dan dimurkai Allah SWT.
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nukman bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, (sambil Nukman memegang kedua belah telinganya): “Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan perkara haram itu pun jelas. Manakala di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh orang ramai. Oleh itu, sesiapa menjaga dirinya daripada perkara syubhat, maka dia telah bebas (dari kecaman) untuk agamanya dan kehormatannya dan sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhat, bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram.”
Memang tidak dapat dinafikan, tidak semua perkara yang telah Allah SWT dan Rasulullah SAW nyatakan dalam al-Quran dan hadis, jelas dari segi hukumnya sama ada halal ataupun haram. Namun begitu ianya tidak bermakna apabila Allah SWT dan Rasul-Nya tidak mengatakan mengenainya, lantas perkara itu boleh dianggap halal!
Rasulullah SAW telah menjelaskan di dalam hadis di atas bahawa antara halal dan haram, terdapat perkara syubhah. Syubhah merupakan sesuatu perkara atau keadaan yang tidak pasti akan hukumnya. Syubhah juga boleh juga ditakrifkan sebagai perasaan was-was akan sesuatu perkara. Walaupun syubhah bukanlah halal dan tidak juga haram, tetapi ianya tidak bermakna perkara syubhah itu boleh dilakukan sesuka hati.
Pengertian daripada hadis di atas juga jelas menyatakan, syubhah bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan ataupun dibuat main-main. Ini adalah kerana Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang menjauhkan perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan akidahnya serta memelihara kehormatannya. Akan tetapi jika sesiapa mengamalkan amalan syubhah, bermakna ia mengamalkan perkara yang haram dengan membelakang arahan dan perintah Allah SWT malah tidak berhati-hati dalam urusan tersebut. Bukankah itu satu penekanan dan penegasan yang berat?
Di dalam sebuah riwayat yang lain Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menjauhi syubhah, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhah, ia seolah telah jatuh dalam yang haram” ( Riwayat Muslim, no 1599, 3/1219)
Ingatan Rasulullah SAW dalam hadis ini membuatkan kita mesti berwaspada dalam setiap tindakan dan perkara yang bakal dilakukan dalam kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi apabila segala aktiviti kita melibatkan urusan sesama manusia khususnya golongan yang tidak beriman. Malah mereka langsung tidak mengetahui apa itu halal dan haram yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Read the rest of this entry
Haji dan Umrah: Layakkah aku menjadi Tetamu Allah?
Musim cuti sekolah selain sinonim dengan majlis perkahwinan dan kenduri untuk meraikan pasangan yang telah diijab-kabulkan, ianya juga dikaitkan dengan program Umrah dan Ziarah bagi mereka yang berkemampuan untuk mengunjungi Makkah al-Mukarramah. Malah program umrah dan ziarah ini menjadi agenda tahunan bagi mereka yang telah mendapat nikmat melalui kunjungan ke Tanah Suci dan ibadah yang dilakukan di sana. Pelbagai tujuan dan gelagat manusia yang tersingkap disebalik keghairahan untuk mengunjungi Kota Suci ini. Ada yang pergi kerana ingin melancong dan melihat dengan lebih dekat disamping merasai sendiri kemuliaan Tanah Haram sebagaimana yang sering menjadi buah mulut para jemaah yang telah pernah mengunjunginya. Ada juga yang berazam untuk mengambil pengalaman pertama sebelum dijemput untuk menunaikan ibadah haji yang difardhukan.
Walaupun kunjungan kita ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah yang sunat, namun harus difahami ibadah umrah juga adalah ibadah yang penting untuk dihayati, dipelajari manasiknya (cara perlaksanaannya) dan dimurnikan tujuan serta niat untuk melaksanakannya. Janganlah pula keghairahan itu nanti menjadi penyebabkan kepada kita terjebak dalam maksiat yang berganda disebabkan kejahilan yang kita bawa apabila melangkahkan kaki ke sana.
Kategori Tetamu Allah
Saudaraku, fahamilah bahawa ibadah umrah juga adalah ibadah utama bagi yang mampu dan telah terpanggil untuk menunaikannya. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon kepadanya, pasti diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan kepadaNya, pasti diampunkan.” (Riwayat Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim).
Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah para tetamu Allah. Manakala kedudukan dan tahap kesempurnaan jemputannya pula dapat ditentukan berdasarkan kepada ciri-ciri keutamaan dan keadaan persiapan seseorang jemaah sebelum terpilih dan dipilih untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Secara umumnya para tetamu Allah tergolong kepada tiga kategori;
- Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
- Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
- Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.
Ketiga-tiga golongan ini termasuk dalam jaminan Allah SWT, iaitu doa dan taubat mereka akan dikabulkan Allah SWT jika mereka memohon bersungguh-sungguh kepada-Nya serta memenuhi segala syaratnya. Namun terdapat perbezaan dari segi layanan Allah SWT kepada mereka setelah mana mereka tersenarai dalam jemputan-Nya itu.
a. Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
Golongan pertama ialah tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya adalah dikalangan mereka yang telah membuat persiapan seawal niat dan azam untuk menunaikan haji serta umrah lagi. Antara persiapan yang telah mereka persiapkan;
- Membersihkan jiwa batiniah melalui taubat yang bersungguh-sungguh disamping memperbanyakkan doa-doa khusus supaya dijemput sebagai tetamu-Nya.
- Mempersiapkan diri dengan ilmu amali ibadah haji dan umrah seawal mungkin agar jelas difahami dengan rasa penuh keyakinan di dalam hati pada perlaksanaan dan penghayatan serta hikmahnya.
- Memberi tumpuan dan meningkatkan kualiti ibadah fardu seperti solat, zakat serta puasa malah diperkemaskan dan ditunaikan berserta amalan sunat dengan sebaik mungkin.
- Hubungan sesama manusia diperbaiki, jika ada dosa dan pernah membuat kejahatan kepada sesama insan maka ia akan bersegera memohon kemaafan kepada mereka.
- Dilangsaikan segala hutang yang mampu dijelaskan disamping membuat perancangan dengan teliti agar tidak membebankan mereka yang ditinggalkan.
- Mempersiapkan semua keperluan yang patut bagi meringankan segala bebanan dan tanggungjawab yang bakal ditinggalkan dengan secara yang halal. Mereka ikhlas melakukan yang demikian demi mencari redhanya Tuhan.
Keikhlasan mereka itu adalah antara penyebab kepada segala urusan mereka dipermudahkan Allah SWT. Malah sepanjang menunaikan ibadah haji dan umrah juga akan berada dalam ketenangan dan dilimpahi bantuan daripada Allah SWT. Mereka ini telah benar-benar menghayati dan mempraktikkan suruhan Allah SWT sebagai bekalan menuju kepada keredhaan-Nya, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sebaik-baik bekal itu ialah Takwa (memelihara diri), dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”
(Surah al-Baqarah: 197)
Bekalan takwa mereka ialah pemeliharan diri daripada sifat-sifat mazmumah yakni sifat-sifat keji, memiliki ilmu serta praktikal ibadah yang sempurna. Disamping itu juga, mereka mempunyai kefahaman dalam ertikata yang sebenarnya dalam meningkatkan penghayatan pada ibadah dengan belajar untuk memperbaiki diri dalam setiap praktik amalan haji dan umrah. Memperelokkan hubungan mereka dengan Allah SWT melalui penyempurnaan iman dan kecintaan yang hakiki kepada Ilahi, serta menyantuni manusia dalam semua keadaan sebagai pelengkap keindahan akhlak dan adab melalui hablum minannas, hubungan mereka semasa manusia. Read the rest of this entry
Menunaikan Haji: Tunggu Sampai Seru?
Musim kursus asas haji sudah bermula. Ramai dikalangan jemaah yang telah berdaftar dengan Tabung Haji untuk menunaikan fardu haji mengintai-intai tempat-tempat kursus untuk dihadiri. Manalah tahu jika sekiranya nama mereka tersenarai untuk jemputan sebagai tetamu Allah pada tahun ini yang sering didoakan dimakbulkan Allah Taala. Namun tidak kurang juga ada dikalangan kita yang tidak mengambil peduli dengan seruan haji atau umrah ini. Mereka merasakan ibadah itu hanyalah kepada golongan-golongan tertentu sahaja, iaitu mereka yang mendapat seru. Betulkah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah ini perlu menunggu sampai seru?
Suatu ketika saya telah didatangi oleh seorang wanita bertanyakan keadaan suaminya yang masih lagi tidak berminat untuk menunaikan haji ataupun umrah. Suaminya telah berusia melebihi 50 tahun, tetapi masih lagi tidak terlintas dan terdetik niat atau azam untuk menunaikan ibadah haji padahal duitnya telahpun mencukupi. Malah ia mampu pula melancong keluar negara sekurang-kurangnya dua kali setiap bulan. Apabila disapa oleh rakan-rakannya berkenaan menunaikan ibadah haji, dia sering berdalih dengan mengatakan; “belum sampai seru.”
Sesetengah orang beralasan “belum sampai seru” untuk melengah-lengahkan perlaksanaan ibadah haji. “Belum sampai seru” bukanlah alasan untuk mengabaikan keutamaan ibadah haji kerana hakikatnya seruan haji sudah lama disampaikan oleh Allah SWT melalui “lisan” Nabi Ibrahim AS.
Ketika Nabi Ibrahim AS membina Kaabah atas arahan Allah SWT dan bertawaf sebanyak tujuh kali setelah selesai melengkapkan tugasannya, Allah SWT mewahyukan kepadanya supaya menyeru manusia untuk datang ke Baitullah al-Haram bagi mengerjakan ibadah haji. Telah terakam kisah ini sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu dengan sebab Allah telah mengurniakan mereka binatang-binatang ternakan untuk dijadikan qurban.
(Surah Al-Haj: 27-28)
Cintailah Rasulullah SAW Kerana Dia Mencintaimu
Renungkanlah wahai saudaraku, bagaimana kasihnya Rasulullah SAW kepada kita, umatnya. Sedangkan hati baginda SAW sentiasa hadir mengingati kita sebelum kelahiran kita lagi (seluruh umat Islam). Ada sebuah hadis menyebutkan tentang cinta dan kerinduan khusus Rasulullah SAW kepada umatnya yang terkemudian iaitu umat yang dilahirkan setelah kewafatannya. Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda:
“Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW)” [Riwayat Muslim, Ibn Majah, An-Nasa’ie dan Imam Malik]
Alangkah malangnya bagi mereka yang tidak pernah cuba untuk menghadirkan Rasulullah SAW dalam satu saat pun daripada kehidupan dan ingatan mereka, sedangkan baginda menghadirkan kita semua dalam kehidupannya dan juga dalam setiap doa. Rasulullah SAW sendiri menghayati kehadiran kita sebelum kelahiran kita, bagaimana kita tidak berusaha untuk menghayati kehadiran Rasulullah SAW setelah kewafatannya?
Bagaimana pula bentuk kehadiran Rasulullah SAW dalam segenap kehidupan umat Islam sedangkan Rasulullah SAW sudahpun wafat? Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan: Alhamdulillah, dan apa saja amal kamu yang aku dapati jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu.” (Riwayat Ad-Dailami dan Al-Bazzar)
Hadis ini memahamkan kita bagaimana kehadiran Rasulullah SAW dalam kehidupan para umatnya dan sentiasa memerhatikan dan mengetahui perihal umatnya walaupun setelah kewafatan Baginda SAW. Dalam riwayat yang lain, dinyatakan bahawa segala amalan umat Baginda SAW akan dibentangkan kepadanya pada setiap malam Isnin dan Khamis.
Ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW sememangnya hadir dalam kehidupan umat Islam dengan kehadiran yang hanya diketahui oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW sahaja. Namun, sudah pastilah rasa penghormatan dan penghargaan yang cuba dizahirkan oleh para umatnya akan juga sampai kepada Baginda SAW, melalui selawat dan doa disamping ziarah kita ke Makam baginda SAW melalui salam yang disampaikan selagimana menepati syarak.
Kisah al-Utbi
Daripada Imam al-‘Utbi[1] bahawa ia telah menceritakan: “Adalah aku satu ketika duduk di samping Makam Junjungan Nabi SAW, maka telah datang seorang ‘Arabi (penduduk kampung) mengucapkan salam kepada Junjungan Nabi SAW dengan katanya: “Salam kesejahteraan bagimu, wahai Rasulullah, aku telah mendengar ayat Allah Ta`ala sebagaimana firman-Nya:
“Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri (dengan membuat dosa dan kesalahan) datang kepadamu (wahai Nabi) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” [Surah an-Nisa’: 64]
Dan aku telah mendatangimu dalam keadaan memohon keampunan daripada segala dosaku dan mengharapkan syafaatmu kepada Tuhanku.”
Lalu dia melantunkan beberapa bait syair seperti berikut:-
يا خير من دفنت بالقاع اعظمه * فطاب من طيبهن القاع والأكم
نفسي الفداء لقبر انت ساكنه * فيه العفاف وفيه الجود و الكرم
Maksudnya: “Wahai manusia terbaik bersemadi dalam bumi jasadnya, Maka harumlah lembah dan bukit dengan keharumannya, Jiwaku jadi tebusan kubur yang engkau penghuninya, Dalamnya ada (peribadi) yang suci, pemurah lagi mulia.”
Al-‘Utbi meneruskan ceritanya; “Kemudian, dia berpaling meninggalkan Makam Junjungan Nabi SAW, tiba-tiba dua mataku mengantuk, lalu aku bermimpi melihat Junjungan Nabi SAW dalam tidurku dan baginda bersabda kepadaku:
“Wahai ‘Utbi, segera pergi berjumpa A’rabi itu dan khabarkan berita gembira kepadanya bahawa Allah telah mengampuninya.”[2]
Khutbah Arafah 1432
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحَمْدُ للهِ الَّذِي شَرَعَ لِعِبَادِهِ القَادِرِيْن، حَجَّ بَيْتِهِ الحَرَامِ، وَجَعَلَ الحَجَّ اَحَدَ اَرْكَانِ الإِسْلاَمِ، وَغَفَرَ لِمَنْ حَجَّهُ لَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ جَمِيْعَ الذُّنُوْبِ وَالآثاَمِ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِ لهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَ…رِيْكَ لَه، المَلِكُ العَلاَّمُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ أَفْضَلُ المُرْسَلِيْن وَأَكْمَلُ اِلإمَامِ،
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ البَرَرَةِ الكِرَامِ وَهُدَاةِ الأَنَامِ. أَمَّا بَعْدُ،
فَيَا وَفْدَ اللهِ بِالأَرْضِ المُقَدَّسَةِ، إِتَّقُوا الله َوَاعْمَلُوا الصَّالِحَاتِ وَاجْتَنِبُوا المُنْكَرَاتِ وَاذْكُرُوا اللهَ كَثِيْرًا فِي أَيَّامٍ مَعْلُوْمَاتٍ وَاشْكُرُوْهُ وَأَكْثِرُوا الَتلبية لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شَرِيْكَ لَك حَتَّى تَتَحَلَّلُوْا عَنِ اْلإِحْرَامِ,
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Bertaqwalah kepada Allah dengan melakukan amalan mulia serta menjauhkan segala kemungkaran, ingatlah Allah sebanyak-banyaknya dan perbanyakkanlah bersalawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW di mana jua kita berada khususnya semasa menunaikan ibadat haji serta bersyukur kepada Allah di atas segala nikmat kurniaanNya,
Kehadiran kita di bumi Arafah pada hari ini adalah telah ditentukan Allah bagi melaksanakan ibadat haji yang menjadi salah satu dari rukun Islam yang wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
Basahkanlah lidah dengan menyebut sebanyak-banyaknya kalimah talbiyyah:
لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شِرِيْكَ لَك
Basahkan juga lidah-lidah kita, lembutkan hati-hati kita dengan Selawat kepada Baginda SAW, Zikrullah, Isthighfar, Berdoa, Bacaan Al-Quran serta amalan soleh yang lain, serta jauhkan diri daripada perbuatan yang boleh membawa kepada dosa.
Pada hakikatnya inilah suatu permukiman kita dalam suasana perkhemahan tarbawiyyah, ruhiyyah, ilahiyyah rabbaniyah dalam menyempurnakan ibadat teragung warisan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Junjungan Mulia baginda Nabi Muhammad SAW. Ambilah kesempatan ini untuk diguna sebaik mungkin untuk menjana iman dan taqwa seterusnya beristiqamah menurut jalan petunjuk yang lurus. Insya Allah.
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Sesungguhnya intipati Islam adalah pengorbanan. Rasulullah SAW dan para sahabat Radiallahu ‘anhum telah berjuang berhabis-habisan tanpa rasa jemu dan tanpa mengenal erti kalah dan berputus asa demi menegakkan agama suci ini dengan berbagai-bagai dugaan, kelaparan, keringat, titisan air mata dan darah.
Natijah daripada inilah, bangsa yang berpuak-puak dan bertelingkah dan sesat selama berkurun lamanya sebelum ini telah ditukar dan ditarbiyyah mengikut acuan Islam dan akhirnya menjadi umat yang satu. Cahaya hidayah islam, iman, taqwa dan limpahan rahmat telah menerangi seluruh alam sehingga hari kiamat kelak.
Ibadat haji melatih kita supaya bersatu haluan dalam meninggikan syiar Islam, berganding bahu untuk menegakkan agama Allah menjalin hubungan yang erat tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam sesama saudara Islam. Ibadat ini membuktikan bahawa kita semua adalah serupa dan tiada bezanya. Kebersamaan ini lahir atas kepatuhan dan ketundukan kepada Yang Maha Esa, menjadikan kita satu aqidah, satu iman, satu syariah, satu akhlak, satu qiblat dan satu tujuan.
Sabda Nabi SAW turut bersabda, mafhumnya :
“Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang satu jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain tidak tidur malam dan demam”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Rasulullah SAW bersabda bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam mengerjakan ibadat haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai haji mabrur. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah;
“أَشْعَثَ أَغْبَرَ أَوْ شَعَثًا غَبَرًا”
Yang bermaksud : “Kusut masai dan berdebu”
Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan hidayahNya, ganjaran besar iaitu syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia.
Setiap jemaah haji sama-sama mempunyai peluang yang amat luas untuk mendapatkan keredhaan, keampunan dan hadiah syurga tersebut, berusaha melepasi dan mengatasi ranjau serta rintangan yang tersedia menanti. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke arah kejahatan dan kemungkaran.
Ibadah Haji sebagai Proses Kesempurnaan Hidup Insan
Musim haji datang lagi. Para tetamu Allah yang telah disenaraikan semakin berdebar menanti waktu penerbangan ke tanah suci. Namun telah bersediakah kita untuk menunaikan sebuah ibadah hebat ini? Persiapan utama yang perlu disempurnakan dan difahami oleh seseorang yang bakal menjadi tetamu Allah yang terpilih dan dipilih ialah dengan mengetahui, kenapa ibadah haji menjadi keutamaan dalam proses kesempurnaan hidup insan di dunia ini?
Hakikat nyata, kesedaran diri sebagai manusia jahil, hina dan kerdil di sisiNya tidak menghalang untuk kita berfikir dan tidak melakukan perkara tanpa memahami sebab ia perlu dilakukan. Maksud tersirat apabila kita mahu melaksanakan ibadah haji, kita perlu melakukan dengan cara yang terbaik supaya dapat meninggalkan kesan yang mendalam pada diri sendiri terutamanya dalam konteks hubungan dengan Pencipta. Ia memerlukan pemahaman sepenuh hati dan perasaan.
Namun untuk mengetahui dan memahami persoalan ini ianya tidak memungkinkan kita memperolehi jawapannya dalam ceramah-ceramah kursus asas haji sahaja kerana di sana ia lebih menitikberatkan persoalan tatacara perlaksanaan haji. Sebenarnya, kita perlu lebih menekuni beberapa aspek daripada falsafah ibadah haji melalui pembacaan dan perbincangan dengan mereka yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang baik khususnya dalam bab ibadah haji.
Hakikatnya, falsafah dan hikmah daripada segala sesuatu tidak semua dapat dilihat oleh pandangan mata kepala, tetapi dengan mata hati. Allah SWT tidak mencipta segala yang wujud di dunia ini kecuali mempunyai falsafah dan hikmahnya. Ada sebab dan tujuannya. Sama ada diketahui oleh manusia ataupun tersembunyi daripadanya.
Begitu juga Allah SWT tidak memerintahkan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau melarang daripada sesuatu amalan, melainkan kerana hikmah yang ada disebaliknya. Semuanya itu tidaklah sia-sia, bagi yang mahu berfikir pasti akan menjumpai jawapannya sebagaimana firman Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan segalanya ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah ali-Imran: 191)
Hikmah pada Ibadah Haji
Hikmah Allah SWT yang berlaku meliputi segala sesuatu dalam dunia ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu; pertama, Jaliyyah yakni nyata dan jelas. Kedua, Khafiyyah iaitu tersembunyi dan tidak diketahui secara mudah.
Hikmah Jaliyyah iaitu nyata dan jelas. Ianya boleh diketahui kewujudannya oleh semua orang melalui lima pancaindera. Sama ada boleh dilihat, dicium, disentuh, dirasa dan didengar. Contohnya, hikmah diciptakan matahari, ianya memberi manfaat dengan adanya siang dan malam. Pada waktu siang manusia dapat bekerja mencari penghidupan dan di waktu malam pula mereka dapat berehat dan beribadah kepada Penciptanya. Ini adalah antara hikmah diciptakan matahari, tetapi bukan hanya itu sahaja. Masih banyak lagi yang lain, sama ada yang telah diketahui oleh manusia mahupun belum diketahui.
Namun hikmah kejadian alam, manusia dan kehidupan ini, telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam banyak ayat-ayat al-Quran bagi memudahkan kita untuk meneliti, mengambil pengajaran serta iktibar daripadanya dan ianya mampu pula difahami dengan logik akal.