Category Archives: Perbincangan Ilmiah

Cinta yang terlarik…

Cinta adalah sebuah ungkapan yang seringkali diungkapkan dan membawa pelbagai maksud serta pengertian untuk dinyatakan. Kerana cinta, dunia ini wujud daripada tiada.  Kerana cinta manusia terus berkembang dan dunia semakin meriah, dan oleh kerana cinta juga segalanya tercetus. Satu perasaan unik secara fitrah yang disertakan Allah pada penciptaan setiap makluknya.

Daripada cinta terbitnya perasaan rindu. Kalau bukan kerana rindu, masakan manusia menyahut seru. Manusia dan kehidupan, punya makna dan penghayatan. Itulah antara hakikat yang tidak dapat dinafikan.

Allah Taala menciptakan seluruh alam ini, adalah dari limpahan kasih sayang  serta rahmatNya kepada setiap makluk. Allah Taala menyediakan segala kemudahan kepada manusia dalam segenap lapangan kehidupan mereka, agar sifat kepatuhan dan kehambaan yang menjadi amanah mudah terlaksana dan dilaksana.

Allah juga mengutuskan pemandu arah dan pemudah cara untuk manusia, disamping rahmat untuk semesta. Manusia agung dipimpin Ar-Rahman Saidina Rasulullah SAW, penghulu para perindu. Nilai cinta Allah, ada dalam diri setiap zarrah. Membuktikan Allah Taala bersifat penyayang. Tidak ditinggalkan hamba-hambaNya terkapai-kapai dalam kebutaan dan kebuntuan. Tersingkap segala rahsia yang mudah difahami tetapi perlu diteliti. Nabi dibimbing Allah dan ia [Nabi] membimbing manusia agar mengerti, laluan yang samar menjadi landai, jiwa yang kusut menjadi tenang dan damai.

Kitab panduan terbentang untuk disingkap segala rahsia. Manual kehidupan alam semesta, yang membawa kerahmatan dan kedambaan sang perindu untuk meraih cinta Agong dari Tuhannya. Panduan di dalamnya menjanjikan kedamaian yang menjadi dambaan setiap jiwa. Aturan lengkap untuk menyelaraskan fitrah insani, mengunjur kesudahan gemilang duniawi dan ukhrawi yang kekal abadi di sisi Rabbi.

Read the rest of this entry

Nikmat yang disalah ertikan

Dalam keterbatasan waktu ketika ini, saya cuba gagahi juga untuk istiqamah menulis dan menukilkan sesuatu buat ingatan dan bahan renungan bagi diri ini khususnya. Memang payah untuk istiqamah apatah lagi dengan sesuatu yang baru walaupun suatu ketika dahulu ianya pernah menjadi kebiasaan.  Kekadang perasaan malas menyergah, pastinya ada saja halangan yang menyebabkan tertangguh segala yang dirancang. Apa yang pasti, Rasulullah SAW mendidik, jika kita hendak lakukan sesuatu dan menjadikannya sebagai kebiasaan hendaklah kita terus melakukannya dan berusaha dalam mengekalkannya. Itulah dia ciri-ciri mujahadah. Kesungguhan, keazaman dan tindakan seiringan dengan tanpa rasa jemu pastinya akan beroleh kejayaan. Saya akan cuba, insyaallah…

“Ya Allah, izinkan aku untuk menceritakan tentang keagonganMu, membongkar hikmah syariatMu dan berkongsi rasa dengan sahabat-sahabatku agar ianya akan lebih menambahkan rasa kehambaan pada jiwaku. Ya Allah, jadikanlah ia sebagai ibadah serta dapat memberi manfaat untuk diriku, juga untuk insan-insan yang dengan rela hati terpanggil untuk membaca coretanku ini. Ya Allah jauhkanlah diriku dari sifat ‘ujub, riak dan takabbur tatkala aku menumpang di bumiMu, berlangitkan kekuasaanMu, bernafas dengan izinMu serta berezeki dengan limpah kurniaanMu. Ya Allah sesungguhnya tiada daya dan kuasa melainkan dariMu jua.”

Sesekali bila merenung semula segala nikmat yang dianugerahi Allah, terlalu banyak yang telah kita kecapi. Seawal dilahirkan sehinggalah ke saat ini, tidak pernah terlalai walau sekelumit cuma anugerah Ilahi terhidang di hadapan kita. Begitulah sifat Ar-Rahmannya Allah Ta’ala dalam melimpahkan kasih kepada semua makhluk ciptaanNya.

Namun, kita hanya menilai nikmat itu hanyalah dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan keseronokan. Sedangkan kesakitan, kesengsaraan dan musibah itu pula dianggap azab, bukan nikmat?. Lantaran itu ramai yang mengeluh bila sesuatu takdir dari Allah bercanggah dengan kefahaman dan keinginannya. Malah sehingga sampai ke peringkat menyalahkan Allah serta takdirNya. Beginikah sifat hamba?. Kerana jahil kita bertindak begitu. Kerana lemahnya iman kita seolah-olah hilang pertimbangan.

Read the rest of this entry

Rawdah

Depan Mehrab Masjid Nabawi

Suatu pagi, rutin biasa memimpin para jemaah menziarahi Rawdah, Maqam Rasulullah dan Perkuburan Baqi’. Dua orang jemaah haji keluar dari masjid Nabawi melalui pintu Baqi’ dalam keadaan hampa. Merungut kerana Sheikh Arab yang menjadi mutawwif memimpin doa jemaah dalam kawasan hadapan Rawdah dan Maqam Rasulullah seolah-olah lepas tangan dan tidak membantu mereka untuk mendapat ruang dalam kawasan Rawdah. Mereka tidak berpuas hati.

Saya biarkan mereka melepaskan kehampaan mereka sambil sebilangan kecil para jemaah yang lain turut menyokong pendapat mereka sambil memberi cadangan; “Sepatutnya para jemaah yang datang secara perkumpulan diberikan keutamaan”. Saya terus membisu sehinggalah terlintas difikiran, apakah tujuan kita sebenarnya ke bumi barakah ini?. Seolah-oleh satu kekuatan diberikan Allah, lantas terus saya membalas rungutan mereka.

“Tuan-tuan, sebenarnya kita sekarang berada di bumi yang barakah, Allah nak [hendak] didik kita untuk lebih merasai kewujudanNya. Sepatutnya kita pohon kepada Allah supaya diberi kemudahan untuk dapat solat dan berdoa dalam kawasan Rawdah, bukannya kita merungut dengan hanya bergantung kepada manusia.” Saya menyambung lagi; “Tuan-tuan semalam saya membawa seorang jemaah uzur untuk menziarahi Maqam Rasulullah dan melintasi kawasan Rawdah dengan kerusi roda, waktu asar memang sesak. Saya pesan kepada pak cik itu; pak cik sekejab lagi kita masuk masjid melalui pintu [Babul Salam], pak cik solat tahayatul masjid dan berdoa supaya diberi kemudahan. Memang Allah beri kemudahan, bayangkan dalam keadaan bersesak itu kami mampu berdoa dan menziarahi Maqam Rasulullah tanpa sebarang masalah. Seolah-olah hanya kami berempat sahaja (dengan seorang pembantu perubatan) melalui kawasan itu, mudah.. Subhanallah… itulah kekuatan doa.” Sebilangan jemaah terfikir sendiri, seraya melepaskan pandangan mereka memerhatikan kubah hijau tempat maqam Rasulullah dari kejauhan. Saya biarkan mereka berfikir.

Kebetulan sehari sebelum itu, saya bersama Nur Imam (pembantu dalam unit ziarah) membantu seorang jemaah uzur yang berkerusi roda untuk membuat ziarah wida’ (selamat tinggal) kerana hendak berangkat ke Mekah pada sebelah malamnya. Seorang tua yang uzur tidak punya waris, seolah ditinggalkan ahli keluarga. Saya terharu. Bagaimana anak-anaknya boleh berkeyakinan untuk menghantar ayah mereka untuk menunaikan haji secara berseorangan. Sedangkan si ayah ini menaiki kapal terbang pun tidak pernah. Apatah lagi berada di bumi orang yang begitu asing baginya.

Redup matanya, ketika saya ajarkan doa selepas melintasi dan memberi salam di Maqam Rasulullah. Begitu sayu seorang tua yang berusia lingkungan 80an sendirian membawa diri mencari keredhaan Ilahi. Termanggu-manggu kebingungan, masih lagi dalam keadaan kejutan budaya dengan kelam ramainya manusia. Saya berdoa moga dia beroleh haji yang mabrur dan di terima oleh Allah yang Maha Esa.

Madinah al-Munawwarah

Madinah, bumi yang penuh dengan keberkatan dan ketenangan. Saya sampai di Airport Madinah pada 23/10/2009 pagi Jumaat lebih kurang pada jam 11:00 pagi waktu tempatan dengan penerbangan KT 12. Setiap urusan berjalan lancar tanpa ada sebarang permasalahan. Para jemaah Haji di bawa ke hotel penginapan, Sakan Rawdah. Saya sebagai Petugas Haji (Guru Agama) ditempatkan di Hotel al-Haram.

Hari pertama menjejakkan kaki ke Masjid Nabi menimbulkan pelbagai perasaan yang sukar dimengertikan. Suka, sedih, sayu bercampur baur membangkitkan rasa khusyuk yang amat sangat. Air mata ini gugur tanpa dipaksa apabila ungkapan doa mengucapkan syukur betapa nikmat Allah yang tidak terhingga membolehkan diri yang kerdil ini sampai ke bumi barakah Madinah al-Munawwarah.

Terlintas dibenak betapa Allah telah memaqbulkan doa yang dipanjatkan. Mungkin berkat doa bersama para jemaah yang bakal menunaikan haji dalam siri-siri kursus Haji tempoh hari. Doa yang dipanjatkan saban waktu mohon diperkenankan supaya diri ini menjadi tetamu Allah yang istimewa serta petugas kepada jemaah juga yang istimewa. Alhamdulillah, saya rasakan Allah telah memberi yang istimewa.

Di Madinah, mengikut percaturan asalnya saya ditugaskan sebagai Guru Agama Zon 1, tetapi dengan takdir Allah urusan keberangkatan saya ke Madinah lewat mendapat pengesahan untuk bersama para petugas yang lain pada penerbangan pertama sebagaimana jadual asal. KT 12 menjadi penerbangan saya yang menyebabkan saya terlewat 3 hari untuk melapor diri di Madinah. Oleh itu, tempat dan tugasan saya telah digantikan oleh ustaz Ala’uddin. Saya pula ditugaskan sebagai Guru Agama Ziarah disamping tugas-tugas yang lain.

Apa yang lebih rasa istimewanya, ialah saya diamanahkan untuk memimpin para Jemaah Haji untuk ziarah dalam iaitu melawat Rawdah, Maqam Rasulullah serta perkuburan Baqi’. Maknanya setiap pagi saya akan memimpin jemaah melawat Maqam Rasulullah, memberi salam serta berdoa mohon syafaat baginda, sesuatu yang diluar jangkaan telah menjadi tugas rasmi saban pagi selama hampir 2 minggu. Betapa Allah menentukan sesuatu yang tidak diduga tetapi punya kelebihannya yang tersendiri. Saya rasakan umpama khadam Rasulullah SAW membawa para tetamu bertemu baginda. Walaupun ianya hanya perasaan sendiri tetapi ianya amat bermakna buat saya. Tiada ungkapan yang lebih istimewa melainkan selawat serta doa moga mendapat syafaat baginda.

Pertama kali

Merenung, menilai serta bermuhasabah perjalanan sebuah kehidupan

Alhamdulillah.. hari ini buat pertama kali saya cuba berjinak-jinak untuk menulis dalam blog. Sebelum ini hanya meninjau-ninjau laman blog orang lain.. mencari maklumat, terbukalah blog-blog yang bermacam ragam gaya persembahannya dari para penulis blog. Ada yang suka-suka, ada yang cuba-cuba [macam saya, hehe..] dan ada yang serius dalam penulisannya. Walau apapun.. saya dah mula rasa terpanggil untuk mencoret sedikit sebanyak apa saja pengalaman hidup yang dilalui sebagai ingatan untuk diri ini khususnya bagi menilai semula perjalanan kehidupan ini. Ada suka duka, hitam putih kehidupan yang telah dilalui. Saya selalu terfikir – masa lampau adalah suatu kenangan – tak mungkin kita kembali lagi. Lalu masa hadapan yang perlu kita hadapi dengan lebih bermakna. Namun di sana-sini, saya berhadapan dengan cabaran yang memerlukan pengamatan semula dengan apa yang pernah kita lakukan.

Apa yang pasti kalau kita merenung kembali kehidupan ini, amat ringkas tetapi penuh dengan pengajaran kalau kita mahu mengkaji dan memahami. Itulah realiti kehidupan. Kita sentiasa dibayangi dengan pelbagai persoalan yang nampak mudah tetapi kelihatan janggal apabila ia berakhir dengan tindakan yang tidak pernah berasaskan logik. Sebenarnya Allah SWT mengajar kita agar lebih bergantung harap kepadaNya dalam segala tindakan kita. Namun sejauhmana kita memahami persoalan itu… ianya terletak pada tahap keimanan kita.

Mari kita merenung kata-kata Ibn ‘Abbad*: Bergantung kepada Allah merupakan sifat orang ‘arifin yang bertauhid, sebaliknya bergantung kepada yang lain [dari Allah, cth; manusia, wang ringgit, pangkat dll] merupakan sifat orang jahil yang lalai”.

*Ibn ‘Abbad: Abu Abdullah Muhammad Bin Ibrahim bin Malik bin Ibrahim bin Yahya bin ‘Abbad al-Nifazi al-Maliki. Dilahirkan di Raundah sebuah bandar di Negeri Sepanyol pada tahun 732 hijrah. Ketika umur 7 tahun beliau sudah menghafaz al-Quran kemudian beliau merantau ke Fas dan Tilmas dan di sana beliau mendalami ilmu bahasa Arab, fiqh dan semua ilmu syariah seterusnya beliau menjawat jawatan khatib di Jami’ al-Qarwayain di Bandar Pas selama 15 tahun. Meninggal dunia selepas solat asar, hari Jumaat di rumahnya 4 Rejab tahun 792 hijrah ketika itu umurnya dalam lingkungan 60 tahun. [Kita kena kenal juga kepada siapa yang kita ambil ilmu]

%d bloggers like this: