Category Archives: Teruja
Peristiwa & pengajaran
Korban Demi Cinta
Tatkala Nabi Ibrahim membaringkan anaknya Nabi Ismail untuk membuktikan ketaatannya kepada perintah Allah SWT, jelas terpancar kecintaan yang tulus dalam jiwa dua insan hebat ini terhadap cinta utama. Hakikatnya kecintaan mereka menuntut pengorbanan. Itu yang tersirat dalam tarbiah Allah kepada para hamba-Nya yang mahu berfikir.
Aku, kamu dan kita semua kerap dibutakan oleh cinta. Musuh cinta paling utama ialah cinta yang utama. Sentiasa ada sahaja kecintaan lain, yang menghalang cinta utama kita – cinta Allah.
Ibrahnya, cinta kepada selain Allah diumpamakan “Ismail” dalam hidup kita. Carilah “Ismail” itu di sebalik harta, keinginan, keyakinan, prinsip, gelaran, jawatan, isteri, teman dan segala yang menjadi kecintaan kita. Korbankan itu semua demi cinta utama.
Kita mungkin kehilangan yang disuka, tetapi dengan itu kita akan menemui sesuatu yang lebih berharga. Moga Allah SWT memberi kita ketaatan seperti Nabi Ibrahim, yang rela mengorbankan segala kesayangan demi cinta. Begitu juga kesabaran seperti Nabi Ismail yang rela “dikorbankan” demi cinta.
Jangan pula kita dibutakan dengan kemewahan dunia. Sedangkan dunia sifatnya sementara pasti akan ada gantiannya jika ia hilang dari pandangan mata. Sebaliknya jika kita kehilangan Allah dalam hati, kepada siapa lagi yang kita harapkan? Imam Ghazali menegaskan; “Jika Allah bersamamu, maka jangan takut kepada sesiapa sahaja, akan tetapi jika Allah sudah tiada lagi bersamamu, maka siapa lagi yang boleh diharapkan olehmu?”
Dr. Zakihalim alAzhari alBakapi.
Salam Aidilfitri 1440
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
سلامت هاري راي عيد الفطر
معاف ظاهر دان باطن
تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال
من العاءدين والفاءزين
Moga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita serta merahmati, memberkati, dan mengampunkan kita semua.
Maaf dan ampun dipinta dari kami sekeluarga atas segala salah silap serta khilaf sekiranya ada.
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin
Ramadhan: Persiapan Untuk Jemaah Haji
Satu Syawal adalah merupakan Hari Raya Idul Fitri yang disambut sebagai tanda kemenangan bagi yang berjaya melaksanakan ibadah puasa. Namun perlu diingatkan, dengan masuknya 1 Syawal, bermulalah bulan-bulan haji. Bakal haji akan mula bersiap sedia untuk bermusafir ke Tanah Suci bagi menyempurnakan rukun Islam ke 5.
Dengan rahmat Allah SWT, sebelum memasuki Madrasah Haji, para hamba-Nya terlebih dahulu dipersiapkan dengan satu fasa penyucian jiwa di Madrasah Puasa selama sebulan. Ia lebih khusus kepada para bakal tetamu Allah sebagai persiapan untuk memasuki Madrasah Haji. Ini kerana cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam Madrasah Haji ini memerlukan kekuatan roh dan jiwa yang jitu supaya lulus dengan cemerlang.
Oleh itu, bagi bakal jemaah haji jadikanlah Madrasah Puasa kali ini sebagai yang terbaik pernah dilalui dalam hidup ini. Penuhilah Madrasah Puasa ini dengan pelbagai amal ibadat, bermula dengan sabarnya, mengekang hawa nafsu, menjaga segala anggota tubuh badan supaya tidak terlibat dengan dosa dan noda.
Dengan segala persiapan ini, didoakan semoga bakal jemaah haji akan berjaya mengharungi ujian rafath, fusuq dan jidal yang disebut secara khusus oleh Allah SWT dalam Al-Quran al-Karim. Begitu juga mereka akan mampu melaksanakan pelbagai pesta ibadat di Tanah Suci nanti sebagaimana mereka berpesta ibadat sepanjang sebulan di Madrasah Puasa ini. Wa Allah A’lam.
Salam Ramadhan 1438H
KEPADA SEMUA SAUDARA² KU YANG MENGUNJUNGI BLOG INI..
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
*Maaf* sekiranya pernah menyakiti,
*Maaf* sekiranya pernah menghina,
*Maaf* sekiranya pernah terkasar,
*Maaf* sekiranya pernah membohongi,
*Maaf* sekiranya pernah menyinggung,
*Maaf* sekiranya pernah mengumpat,
menjelang 1 Ramadhan 1438 ini saya memohon kemaafan kepada anda sekiranya saya pernah melakukan kesalahan sepanjang perkenalan kita…
Sesungguhnya yang buruk datang dari diri ini sendiri dan yang baik sentiasa daripada *اللهِ*
*Saya akan sentiasa memaafkan anda kerana memaafkan itu lebih baik dari meminta kemaafan*
Selamat Berpuasa.
Khutbah Arafah 1434H
KHUTBAH ARAFAH 1434H
السلام عليكم ورحمةالله وبركاته
الحَمْدُللهِ الَّذِي شَرَعَ لِعِبَادِهِ القَادِرِيْن، حَجَّ بَيْتِهِ الحَرَامِ، وَجَعَلَ الحَجَّ اَحَدَ اَرْكَانِ الإِسْلاَمِ، وَغَفَرَ لِمَنْ حَجَّهُ لَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ جَمِيْعَ الذُّنُوْبِ وَالآثاَمِ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَه، المَلِكُ العَلاَّمُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ أَفْضَلُ المُرْسَلِيْن وَأَكْمَلُ اِلإمَامِ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍوَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ البَرَرَةِ الكِرَامِ وَهُدَاةِ الأَنَامِ. أَمَّابَعْدُ
فَيَا وَفْدَ اللهِ بِالأَرْضِ المُقَدَّسَةِ، إِتَّقُواالله َوَاعْمَلُوا الصَّالِحَاتِ وَاجْتَنِبُواالمُنْكَرَاتِ وَاذْكُرُوا اللهَ كَثِيْرًا فِي أَيَّامٍ مَعْلُوْمَاتٍ وَاشْكُرُوْهُ وَأَكْثِرُوا التَلْبِيَةَ لَبَّيْكَ اللّهُ مَلَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَشَِريْكَ لَك حَتَّى تَتَحَلَّلُوْا عَنِ اْلإِحْرَامِ
مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله، حُجَّاجَ بَيْتِ الله
Seruan Arafah 1434 Hijrah kali ini sekali lagi bersuara. Suara yang sentiasa memenuhi jiwa-jiwa yang ingin pulang ke pangkuan Allah Ta’ala dengan seruan menambah ketaqwaan kepadaNya. Hanya taqwa sahajalah merupakan nilaian yang diperakui di sisi Rabbul-Jalil.
Pesanan Luqmanul-Hakim kepada anakandanya wajar dijadikan perhatian buat semua dengan katanya: ‘Wahai anakku yang dikasihi. Janganlah sekali-kali kamu menanggalkan pakaian taqwa dari tubuhmu. Sekiranya itu berlaku, maka seolah-olah tiada seurat benang pun yang menutupi tubuhmu.’
Justeru, permukiman kita dalam perkhemahan tarbawiyyah dan ibadah teragung warisan Nabi Ibrahim AS dan Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW ini wajib dijadikan peluang yang digunakan sebaik-baiknya untuk menjana iman dan taqwa.
مَعَاشِرَالمسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Ibadah Haji menyaksikan perhimpunan agung manusia dari seluruh pelusuk dunia. Perhimpunan yang mempunyai satu arah dan tujuan. Perhimpunan yang menyaksikan perbezaan darjat yang selama ini dibanggakan manusia, warna kulit yang suka dibeza-beza dan kedudukan serta pangkat yang sentiasa dibanding-banding dan dipuja semuanya menjadi sama, serupa dan tiada berbeza.
Kebersamaan inilah yang lahir atas kepatuhan dan ketundukan kepada Yang Maha Esa menjadikan manusia terhimpun menjadi satu. Satu aqidah, satu iman. satu qiblat dan satu tujuan iaitu Haji yang mabrur menjadi idaman, menjadi satu umat kepada Nabi Akhir Zaman. Berpegang teguh dengan satu kitab al-Quran. Beramal kukuh dengan sunnah Nabi Junjungan, sehingga mampu menjadi pegangan yang berkekalan untuk dipersembahkan dihadapan al-Rahman pada perhimpunan Mahsyar yang agung kelak.
Sudah jelas lagi nyata kepada kita bahawasanya ajaran Islam adalah sesuatu yang memberi jaminan keselamatan di dunia dan akhirat. Sebaliknya lebih jelas dan nyata lagi bahawasanya ajaran-ajaran, idealism-idealism dan semua yang selain dari agama Islam akan menempah akibat yang buruk bermula dari dunia lagi sebelum akibat yang lebih buruk dan tercela di akhirat sana. Kenyataan dan hakikat inilah mewajibkan diri kita bertambah yakin dengan Islam. Agama yang memacu kebenaran dan keadilan. Agama penyelamat manusia dari kemurkaan Tuhan.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Ali I’mran ayat 85 :
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَفِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpegang kepada (ajaran) selain dari Islam (dalam agama dan cara hidup) maka dia tidak akan diterima dan di akhirat nanti akan termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.”
مَعَاشِرَالمسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله
Dalam kesempatan rehlah imaniyyah (kembara keimanan) yang berkampung di perkampungan maghfirah (keampunan) di Bumi Arafah ini pada saat yang sangat mulia lagi mustajab. Saya ingin mengajak diri saya dan khalayak para jemaah sekelian untuk mendengar wasiat terakhir Bumi Arafah, Khutbah al-Wada’ Baginda SAW yang dibacakan di Wadi Uranah di hadapan hampir 124 ribu hingga 144 ribu jiwa manusia pada hari Jumaat tanggal 9 Zulhijjah tahun kesepuluh Hijrah.
Khutbah ini seringkali diulang-ulang pesanannya oleh Rabi`ah bin Umayyah bin Khalaf dengan penuh bersemangat di bumi Arafah. Dengarlah wahai para Hujjaj sekelian, bingkisan dari khutbah terakhir ini. Dengarlah dengan iman yang memenuhi setiap pelusuk nurani. Dengarlah agar terjelas olehmu akan maksudnya dan pengajaran darinya. Dengarlah dan hayatilah agar meresap dalam jiwamu yang murni. Dengarlah kini dan murnikan dengan hakikat dan perlaksanaannya bermula di sini dan hendaknya berkekalan setelah pulang dari Kembara Haji ini nanti.
Doa Arafah, Al-Ghazali
Alhamdulillah pada tahun ini Allah SWT telah menjemput saya sekali lagi untuk menyantuni Dhuyufurrahman. Sempena hari wukuf yang semakin hampir ingin saya berkongsi doa Arafah yang menjadi amalan Imam al-Ghazali Rahimahullah. Hayatilah bait-bait doa ini. Ianya begitu indah, kalam yang lahir dari percintaan insan yang mengenali penciptaNya. Bagi kita yang baru menjinakkan diri dan hati untuk mencintai Allah SWT moga dapat menjiwainya, insya Allah.
“Tiada Tuhan (yang disembah sebenar2nya) melainkan Allah yang Esa tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan (kekuasaan) dan bagiNya segala pujian, Dia menghidupkan dan Dia mematikan, Dialah yang sentiasa hidup dan tidak mati di dalam kekuasaanNya. Segala kebajikan dan Dialah (Allah) Maha berkuasa di dalam segala perkara.
Ya Allah, kurniakanlah cahaya pada hatiku, pendengaranku dan lidahku. Ya Allah, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku. Ya Allah (Tuhan) yang memiliki segala pujian, bagiMu segala pujian, seperti yang Engkau katakan dan lebih baik daripada yang Engkau katakan. BagiMu, solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, dan kepadaMu jua aku akan kembali, dan kepadaMu (kuserahkan pemberian) pahala kepadaku.
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu, daripada was was (syak) dalam hatiku dan daripada penangguhan suatu pekerjaan dan daripada azab seksa kubur. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada sejahat2 benda (sihir) yang masuk pada malam hari dan daripada kejahatan benda yang dihembus dengannya oleh angin (sihir atau guna2) dan daripada ditimpa bala bencana yang datang pada bila2 masa.
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada berubah2nya keadaan (sihat kepada sakit) dan daripada ditimpa secara tiba2 balasanMu dan daripada didatangi secara tiba2 kemurkaanMu.
Ya Allah, kurniakan kepadaku petunjuk yang benar, dan ampunilah dosa2ku di hari akhirat (hari kemudian) dan di hari permulaan (di dunia). Wahai Tuhan sebaik2 tempatku bernaung, dan sebaik2 tempatku berlindung dan semulia2 Pengurnia yang memakbulkan apa2 yang diminta, kurniakanlah kepadaku pada hari ini sebaik2 kurniaan yang pernah Engkau kurniakan kepada orang lain dari makhlukMu dan orang2 yang menyempurnakan Haji di rumahMu.
Ya Allah Yang Amat Pengasih dan Penyayang, Ya Allah (Tuhan) yang meninggikan kedudukan (darjat) dan menurunkan berkat (kepada hamba2Nya). Wahai Tuhan Pencipta segala bumi (tujuh lapisan) dan tujuh tingkat langit, gegak gempita seruan segala suara dengan berbagai bahasa, memohon (berdoa) segala hajat dan hajatku kepadaMu supaya janganlah Engkau melupakanku di hari turunnya bencana apabila aku dilupakan oleh ahli (penghuni) dunia.
Ya Allah, bahawasanya Engkau Maha Mendengar kata-kataku dan Engkau melihat tempat kediamanku dan Engkau mengetahui segala rahsiaku yang zahir dan batin dan tiada yang tersembunyi sesuatupun mengenaiku. Aku yang sangat berhajat, yang fakir, yang memohon pertolongan, yang mengharapkan keamanan, yang sangat takut, yang memohon dikasihani, yang mengaku (pernah) melakukan dosa2. Aku memohon kepadaMu sebagai seorang yang miskin dan aku merendahkan diri kepadaMu sebagai orang yang berdosa dan aku seorang yang hina. Aku berlindung denganMu daripada segala kejahatan dan aku memohon doa kapadaMu sebagai seorang yang sangat takut azab seksa neraka. Permohonan seorang yang menundukkan tengkuknya kepadaMu (khusyuk dan tawadduk) dan dengan cucuran airmata keinsafan kerana mengharapkan kurniaanMu dan menghinakan diriku dihadapanMu dan seikhlasnya merendahkan diriku. Read the rest of this entry
Haji Dan Umrah: Rinduku Pada BaitulLah
Saudaraku, ketahuilah bahawa setiap ibadah itu merupakan wasilah taqorrub (mendekatkan diri) kita pada Zat yang Maha Tinggi lagi Perkasa, Maha Sempurna dalam sifat dan asma (nama-nama Allah yang mulia), Maha Lembut dalam takdir dan qada’-Nya. Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dia yang memerintah dan membimbing. Dia yang mengancam dan menyelamatkan. Sehingga semua manusia harus sedar bahawa kewujudannya dalam kehidupan ini adalah sebagai makhluk yang lemah lagi memerlukan, faqir penuh kekurangan, hina tanpa kemuliaan. Kecuali orang-orang yang diberi nikmat ilmu untuk memahami setiap gerak dan kejadian yang tidak pernah lepas dari ketentuan Tuhan.
Setiap insan yang berakal, setelah ia memahami betapa adil dan bijaknya Allah SWT mensyari’atkan agama sebagai aturan, mewajibkan ibadah sebagai tuntunan, maka akan lahirlah kerinduan dalam setiap ibadah, baik yang sunnah lebih-lebih lagi yang wajib. Hal ini disebabkan oleh adanya kekuatan hidayah daripada Allah SWT serta usaha yang dilakukan sebagai pembuktian kehambaan. Sejauhmana pengetahuan yang difahami oleh seseorang daripada nilai sebuah ibadah maka sebesar itulah juga kerinduan yang akan mengisi hatinya pada pelaksanaan ibadah.
Kerinduan dalam ibadah haji tidak akan pernah lahir jika kita tidak memahami erti sesungguh-sungguhnya ibadah ini. Sebagaimana Allah SWT telah menjadikan Baitullah al-Haram tempat mulia yang disandarkan pada kebesaran-Nya. Menjadikan Ka’abah sebagai pusat ibadah manusia, tanah sekelilingnya Allah SWT haramkan (muliakan) dari kelakuan kejahatan manusia. Dilarang manusia berburu haiwan buruan di dalamnya. Dilarang memotong pepohonan yang ada di sekitarnya. Dijadikan-Nya padang Arafah sebagai hamparan bidang tanah yang Allah SWT muliakan, sebagai tempat wuquf bagi manusia yang mendapat panggilan. Berduyun-duyun datang dari segala arah penjuru dunia, penuh mujahadah (bersungguh-sungguh) dan tawaduk (merendah diri). Menjadi para tetamu Allah dan yang selalu berharap keampunan, sehingga zikir daripada tasbih, tahmid dan tahlil bergema daripada setiap rongga yang dahaga, haus akan limpahan kurnia serta maghfiroh-Nya.
Merindukan Baitullah al-Haram bererti merindukan Allah SWT, kerana Baitullah adalah sesuatu yang disandarkan pada kebesaran-Nya. Sehingga para penziarah Baitullah al-Haram adalah orang-orang yang menghendaki ziarah kepada-Nya, rindu dan ingin menjumpai rahsia disebalik syi’ar-syi’ar Allah SWT di dunia sebagai bentuk perhubungan cinta yang akan menghantarkan setiap hamba pada kekasihnya di alam akhirat kelak. Kerinduan kepada Allah SWT akan membawa manusia kepada sebab-sebab perjumpaan yang hakiki dengan-Nya, kerana orang yang hatinya telah dipenuhi cinta maka akan selalu rindu kepada sesuatu yang disandarkan pada apa yang dicintainya.
Semangat dan tekad melaksanakan ibadah haji
Tiada kemenangan tanpa usaha, tiada usaha tanpa semangat dan cita-cita. Malah cita-cita tidak akan lahir dengan sendirinya. Hendaklah bagi orang yang beribadah agar selalu membulatkan tekad dalam usaha untuk memenuhi panggilan-Nya dalam taat beribadah. Begitulah seharusnya ibadah haji yang kita tunaikan, agar tekad kita bulat ketika meninggalkan sanak saudara dan negara tercinta, meninggalkan syahwat dan kenikmatan, berjalan menuju Baitullah al-Haram dalam keadaan sentiasa mengagungkan Allah azza wa jallaa, menuju urusan yang sangat mulia. Maka sesiapa yang mencari sesuatu yang tinggi dan mulia haruslah tergetar dalam sanubarinya akan pemilik kebesaran itu, iaitu Allah SWT. Hendaklah bersih tekad dan cita-cita daripada kejahatan riya (menunjuk-nunjuk), kerana tiada amal dan jerih payah beribadah dapat diterima kecuali dengan keikhlasan yang hanya berharap redha-Nya.
Manakala sejahat-jahat orang yang melakukan ibadah haji adalah mereka yang menuju Baitullah al-Haram sedangkan hatinya berpaling daripada Allah SWT. Maka perhatikanlah tekad dan cita-cita kita dalam ibadah haji yang disyaratkan dengan keikhlasan hati lagi murni tindakkan serta menjauhkan diri daripada memilih sesuatu yang buruk sebagai pengganti daripada yang baik.
Warna-warna kehidupan
Kita takkan dapat 100% kemahuan yang kita kehendaki..
Kebahagian bersilih ganti dengan 1001 macam ujian daripada Ilahi,
Kesenangan bersilih ganti dengan kesulitan pelbagai bentuk jua kisah,
Kekenyangan, bersilih ganti dengan penyakit dan kesan kealpaan terhadap nikmat kurniaNya..
Mengapa, hidup ini tidak semuanya ‘indah’ ?
Mengapa, hidup ini tidak sebagaimana yang kita ‘mahu’ ?
Yang pastinya ‘perjalanan’ hidup ini adalah keMAHUan Nya yang Maha Irodah,
Dia Maha bijaksana, Maha Adil..
Iman Para Sahabat
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Amru bin al-Asr RA bahawa tatkala kematian menghampirinya di Mesir, dia memalingkan wajahnya ke dinding dan menangis, padahal dia adalah sahabat Rasulullah SAW dan telah banyak berjasa terhadap Islam dan kaum Muslimin.
Kemudian datanglah anaknya Abdullah RA seorang sahabat yang alim lagi zahid, untuk mententeramkan jiwa ayahnya agar sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dan berkata: “Wahai ayahku mengapakah engkau masih menangis? Wahai ayahku bukankah engkau sahabat Rasulullah SAW? Bukankah baginda telah melantikmu sebagai pemimpin pasukan perang Dzat al-Salasil? Bukankah baginda telah memujimu dahulu? Bukankah engkau bersahabat dengan Abu Bakar al-Siddiq dan Umar bin al-Khatab? Bukankah engkau penakluk negeri Mesir? Bukankah engkau berjihad dan bukankah engkau telah melakukan segala amal baik itu?”
Semakin panjang perkataan anaknya semakin kuat pula tangisan Amru bin al-Asr RA. Lalu ia berkata: “Wahai sekelian umat manusia, sesungguhnya aku telah melalui fasa hidupku dalam tiga peringkat. Sekarang aku akan menjelaskannya kepada kamu.
Pertama: Semasa jahiliah, aku tidak mengenal Islam dan aku adalah orang yang paling membenci Rasulullah SAW. Demi Allah seandainya ketika itu aku berkesempatan membunuhnya, pastilah aku lakukan. Jadi kiranya aku mati dalam keadaan demikian, pastilah aku termasuk penghuni neraka jahanam.
Kedua: Kemudian aku dianugerahkan Allah untuk memeluk agama Islam dan aku berhijrah dari Makkah ke madinah. Aku ingin berjumpa Rasulullah SAW dan ketika itu baginda berada di masjid Nabawi. Sebaik sahaja melihatku baginda menyambut kedatanganku dengan ramah, senyum dan senang hati. Ini merupakan sambutan yang amat luar biasa dan penuh bermakna dalam diriku, baginda bersabda: “Dekatlah kepadaku wahai Amr”.
Amr menyambung ceritanya: Setelah itu aku sentiasa bersahabat dengannya dan aku menjaga baik persahabatan ini. Demi Allah pandangan mataku tidak pernah menatap Rasulullah SAW secara langsung kerana aku berasa malu dan segan disamping kewibaannya. Demi Allah, sekiranya kamu mohon kepadaku supaya menceritakan sifat dan ciri-ciri Rasulullah SAW tentulah aku tidak dapat melakukannya. Alangkah bahagianya diriku, jika aku mati dalam keadaan seperti itu! Dengan demikian, besar harapanku bahawa aku termasuk ahli syurga.