Category Archives: Teruja
Peristiwa & pengajaran
Institut Pengajian Ar-Razi; mematangkanku..
Tinggal kenangan… Institut Pengajian Ar-Razi suatu ketika dahulu menjalankan pengajian peringkat diploma namun disebabkan hambatan semasa pengajian diploma terpaksa ditangguhkan seketika. Namun Institut Pengajian Ar-Razi telah berubah wajah sebagai sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.. Moga kelangsungan para pejuang awal dan matlamat yang telah dilaksanakan akan diteruskan oleh generasi terkini… Kita tetap berjuang, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung..
Di sinilah aku mula mengenali dunia yang sebenarnya, dilatih, diuji dan terus diuji untuk mematangkan diri. Belajar untuk membina keyakinan diri sebagai seorang pendidik, pentadbir dan pemikir seterusnya membentuk sebagai pendaie.
Kini, takdir Allah yang menentukan segala, setiap perancangan ada noktahnya. Namun perjuangan yang lebih mencabar menanti untuk diterokai. Amanah terpikul lebih besar, khalayak mad’au lebih mencabar memerlukan lebih pengorbanan dan ketabahan.
Kita merancang, Allah juga merancang tetapi perancangan Allah lebih baik kerana Allah telah menentukan yang terbaik untuk kita. Moga pengorbanan dan perjuangan 11 tahun di situ menjadi aset yang tidak ternilai dalam membentuk keperibadian, khibrah dan yang penting jariah yang berterusan sehingga khiamat, insyaallah.
Perjuangan ini masih belum selesai. Selagi hayat dikandung badan selagi itulah amanah dan tanggungjawab senantiasa tergalas. Hanya harapan dan tawakal pada Ilahi menghibur hati, agar perjalanan ini terus dirahmati..
Ambillah sejarah sebagai pedoman kerana tanpa perjuangan orang yang terdahulu, mereka yang hari ini tidak akan berdiri di puncak kegemilangan.
Cetusan Rasa…
Arafah:
Arafah: bukan hanya sekadar mengimbau sejarah pertemuan Adam dan Hawa atau perhimpunan besar umat Islam seluruh dunia, tetapi lebih dari itu. Renungkanlah dengan penuh penghayatan. Bumi Arafah hanyalah sekadar subjektif untuk membangkitkan rasa bagi mereka yang telah kenal diri dan tuhannya. Seluruh rukun iman akan teruji untuk menilai keikhlasan hamba. Allah tidak mengharapkan sesuatu dari hambaNya. Cuma ia mahu melihat siapakah di antara mereka yang lebih sifat kehambaannya. Memohon keampunan dari dosa yang sememangnya manusia tidak mampu menghindarinya, rasa serba kekurangan yang sememangnya kita tidak punya apa-apa melainkan hak Allah semata-mata, menagih simpati dan rahmatnya yang sememangnya kita kepunyaan mutlaknya. Justeru, susah payah, sakit deman, tekanan perasaan, rindu dan sebagainya hanyalah sekadar permulaan untuk menyedarkan kita. Tiada daya dan kekuatan melainkan hanya Allah semata. Kita datang dari Allah dan kepadaNya jua kita pasti akan dikembalikan.
[Ilham pada: 24/11/2009]
Mina:

Terowong Mu'asim: Laluan ke Jumrah di Mina
Melangkah menuju Jumrah.. melalui laluan bersama gerombolan manusia, laungan memuji Allah bergema. Kibaran bendera di mana-mana sebagai lambang dan tanda kumpulan yang sama. Secebis gambaran mahsyar tersingkap bagi mereka yang meniti titipan mutiara si Utusan Mulia SAW. Sekujur tubuh terus melangkah membawa sekeping hati yang pasrah. Mengimbau kejahilan dan kesalahan dengan harapan lontaran yang bakal dibuat nanti dapat membulatkan azam sebagai penerimaan taubat di sisi Tuhannya..
[Ilham pada: 29/11/09]
Takdir
Membiarkan sesuatu episod dalam kehidupan yang datang berlalu tanpa dibuat penilaian, iktibar dan mengambil peluang, umpama membiarkan takdir berlalu, tanpa usaha untuk menetapkan Qadar Allah yang perlu disertakan usaha. “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga ia mengubah nasibnya sendiri”. Namun ketetapan Allah adalah muktamat.
[Ilham pada: 21/11/09]
Hati
Hati.. bila ia mati bagai jasad yang tak bernyawa. Hati adalah raja dalam diri. Hati yang hidup bagai sumur yang subur. Memberi kebaikan pada jasad mengarah kepada kesempurnaan. Hati yang baik terbentuk dari kesempurnaan iman. Iman pula gerak hati yang punya akal yang berfikir. Sebab itu Nabi SAW diutuskan untuk membantu akal supaya kenal Tuhan. Bila kenal Tuhan ia akan ada rasa bertanggungjawab. Amanah akan ditunaikan. Hati akan terarah melakukan sesuatu yang Allah suka. Itulah sifat ulul albab yang sebenarnya. Punya maklumat dan perasaan yang tinggi pada Tuhannya.
[Ilham pada: 15/11/09]
Santai di Pinggir Madinah
25/12/2009 sehari sebelum berangkat pulang ke Malaysia, kami beberapa orang guru agama [saya, Nur Imam, Us. Sahudin, Ustz. Afaf, Ustz. Siti Solehah dan Ustz.Latifah] telah diraikan oleh Sheikh Zahrani [tokey syarikat pengangkutan, yang menyediakan bas sepanjang program ziarah luar] dalam satu program tidak rasmi di kawasan peranginan yang dikenali dengan “Baidha” dipinggir kota Madinah. Kawasan ini juga dikenali dikalangan para jemaah Malaysia sebagai “Bukit Magnet”.

- Pemandangan yang indah di kawasan “Baidha”
Sedang memanggang ayam.. simple tapi sedappp...

Bersantai di kaki bukit, tenang dan mendamaikan
Umrah

Pintu satu Masjidil Haram
Saya ditugaskanuntuk mengiring Rombongan Am (RA) dikalangan VIP seramai 14 orang dan ditemani oleh Tuan Hj Soleh Abdul Halim selaku pegawai pengiring kebajikan. Kami bersiap segak dengan berihram dari hotel sebelum berangkat menuju ke miqat Birr Ali untuk berniat Ihram Umrah. Perjalanan bas agak tenang sambil masing-masing membelek-belek buku doa yang dibekalkan oleh Tabung Haji setelah doa musafir saya bacakan secara ringkas.
Setelah selesai solat sunat Ihram di masjid Birr Ali, saya memimpin para jemaah memulakan niat mereka di dalam bas diiringi doa. Rayuan doa mendayu-dayu ilham dari Allah SWT, mungkin berkat keikhlasan para jemaah yang mengaminkannya. Hati tersentuh, berulang-ulang kali saya menyebut; “Ya Allah jadikanlah kami tetamumu yang paling istimewa, paling istimewa, paling-paling istimewa.. Ya Allah permudahkanlah urusan haji kami dan umrah kami, permudahkanlah perjalanan kami ini, rasakanlah ianya singkat untuk kami…”
Bas terus meluncur dengan iringan talbiah serta diselang-seli dengan zikrullah. Kami keasyikkan melayani perasaan masing-masing disamping zikrullah yang membasahi bibir. Akhirnya kami terlelap dalam zikrullah. Alhamdulillah secara keseluruhan perjalanan kami amat lancar.
Setelah hampir 6 jam perjalanan akhirnya kami memasuki kawasan Tanah Haram melalui laluan Tan’im. Perjalanan yang memenatkan tetapi aman membuatkan kebanyakkan ahli rombongan terlena. Saya bangunkan mereka untuk membaca doa apabila mula melepasi sempadan tanah haram.
Dengan nama Allah yang Amat Pemurah lagi Amat Mengasihani, ya Allah kurniakanlah aku di sini tempat tinggal yang tetap dan rezeki yang halal, Ya Allah sesungguhnya Tanah Haram ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya semuanya kepunyaan-Mu. Hamba-Mu ini telah datang menyahut panggilan-Mu dari negeri yang jauh dengan membawa dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk, aku pohonkan kepada-Mu sebagai permohonan orang yang sangat berhajat kepada-Mu dan takut daripada azab-Mu supaya engkau terimalah daku dengan limpahan kemaafan-Mu dan masukkanlah daku ke dalam syurga-Mu Jannatun-Naim. Ya Allah sesungguhnya ini adalah tanah haram-Mu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulang sendiku dari api neraka.”
Demikian maksud doa yang dibacakan dalam dwi-bahasa sambil menghayati bait-baitnya dengan penuh harapan kepada Yang Maha Pencipta.
Bas meluncur tenang melalui jalan-jalan kawasan tanah haram yang agak lengang kerana waktu asar baru sahaja menjelang tiba. Demikianlah kebiasaannya di tanah haram, bila tiba waktu solat, kebanyakkan para penghuninya akan bergegas menuju ke Rumah Allah yang penuh kemuliaan untuk menunaikan kewajipan.
Kami dibawa ke Hotel Movenpick Makkah yang kedudukannya hanya 50 meter dari pintu no.1 Masjidil Haram. Para tetamu diraikan ketibaan dengan minuman jus sebagaimana kebiasaan hotel-hotel bertaraf 5 bintang. Tuan Hj Suhaimi (Pengurus Tabung Haji Pulau Pinang) mengetui anggota sambutan. Para jemaah diberikan bilik penginapan. Saya dibawa ke bilik petugas untuk berehat.
Memandangkan waktu asar baru sahaja berlalu lebih satu jam, saya mengambil keputusan untuk tidak berehat panjang. Hati membuak-buak, tidak sabar untuk mendekati dan memandang ka’abah yang dirindui. Dengan perasaan penuh kegirangan dan hati yang berdebar-debar, kaki terus melangkah menuju ke kawasan masjid. Mulut tidak berhenti mengucapkan talbiah. Walaupun laluan ke dalam masjid agak sesak dengan jemaah yang bersimpang siur hendak masuk dan keluar. Perasaan teruja terus menyelubungi hati ini bagaikan perasaan yang sama apabila pertama kali hendak melihat wajah isteri setelah diijab kabulkan.
Mata liar mencari-cari, manakah ka’abah? Hati semakin berdebar apabila ka’abah berada dihadapan mata. Hati terus sebak, air mata yang mula bergenang di kelopak terus berguguran.
“Setelah 10 tahun aku tinggalkan masjidil Haram dan Ka’abahMu yang mulia, ya Allah kini Kau menjemput aku lagi. Hamba yang doif ini datang Ya Allah menyahut seruanMu”. Itulah detikan hati yang berkata-kata terzahir tatkala itu. Kaki terhenti seketika.
Apabila perasaan mulai tenang semula, saya melangkah menghampiri lapangan tawaf untuk memulakan tawaf umrah yang pertama. Keadaan pada mata kasarnya memang nampak sesak. Namun harapan di permudahkan Allah terzahir apabila langkahan pertama memulakan tawaf. Waktu telah berganjak ke maghrib ketika pusingan ke empat. Setelah selesai solat maghrib saya menyambung tawaf untuk pusingan yang masih berbaki.
Selanjutnya saya menyambung rukun yang seterusnya iaitu sa’i setelah selesai tawaf dan solat sunat. Alhamdulillah apabila azan isyak berkumandang, saya selesai bertahallul dengan bergunting. Begitu nikmat.
Amat terasa kemudahan yang diberikan Allah. Suatu yang tidak dapat dibayangkan ialah perasaan yang Allah berikan kepada saya iaitu rasa dekat dan kecil sahaja Masjidil Haram. Tidak memenatkan malah terasa amat sekejab segala yang dilakukan khususnya tawaf dan sa’i. Bukanlah bermakna sayaberkejaran tetapi dalam keadaan santai dan penuh penghayatan. Itulah nikmat Allah, diberinya kepada saya layanan VIP (walau bukanlah saya VIP), umrah yang pertama dengan segala kemudahan, subhanallah. Hakikatnya, bila kita mohon sesungguh-sungguhnya kepada Allah tiada suatu yang mustahil bagi Allah. Saya pasrah, moga keyakinan pada Allah akan terus bertambah, insyaallah.
Baqi’
Suatu petang dari kejauhan, jelas kelihatan dari jendala bilik 1012 Hotel Sakan Raudah, Bandar Bercahaya Madinah. Pandangan mata dilemparkan, merenung ke kawasan perkuburan Baqi’ bersebelahan Masjid Nabawi di Madinah yang menempatkan ribuan para sahabat [lebih 10 ribu] dan ahli keluarga Nabi mengimbau kembali kenangan silam. Bahawa tempat ini pernah menjadi saksi Kenabian Rasulullah SAW dan perjuangan serta pengorbanan para sahabat. Sebahagian mereka telah pergi dengan amalan dan jaminan sebagai kekasih Allah. Setiap hari kuburan mereka diziarahi dan didoakan oleh para jemaah, subhanallah betapa istimewanya mereka.
Terdapat banyak hadis yang menyatakan tentang keutamaan Baqi’, di antara hadis-hadis ini adalah diriwayatkan oleh Muslim daripada hadis Aisyah RA, yang menyatakan bahawa ketika itu adalah malam gilirannya bersama Rasulullah SAW, namun beliau pergi keluar pada akhir malam untuk menuju Baqi’ dan mengucapkan:
Semoga kedamaian Allah ke atasmu, wahai tempat kediaman orang-orang yang beriman. Apa yang dijanjikan datang kepadamu esok hari telah datang kepadamu setelah sedikit penundaan dan sesungguhnya kami, kalaulah Allah memberikan kehendaknya, akan mengikutmu. Ya Allah ampunilah orang-orang yang berada di dalam maqam Al-Gharqad”. (Riwayat Muslim & Ibn Hibban)
Ibn Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Aku adalah orang pertama ketika bumi dibelah, kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian para penduduk al-Baqi’ dan mereka akan berkumpul denganku, kemudian aku akan menantikan orang-orang Makkah di antara dua masjid suci”. (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)
Begitu hebat jaminan dan doa Nabi untuk mereka. Terdetik di hati, apakah pula nasib diri ini yang tidak sehebat mereka. Amalan kurang… berapa banyakkah amalan yang telah di bawa. Namun kita juga tidak pasti di bumi manakah kita akan disemadikan.
Nur Imam
Seorang lelaki yang ‘low profile’, tawaduk dan suka membantu. Hari pertama saya berjumpa dan mengenali beliau tatkala terpandang kad nama yang tergantung di lehernya. Kebetulan saya sudah dimaklumkan oleh Us. Yusuf Ahmad (Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang) tentang beliau secara ringkas sehari sebelum berangkat ke Madinah.
Bekenalan dengan beliau membuatkan saya lebih banyak merenung diri. Seorang insan yang merantau jauh dari Indonesia berkelana mencari ilmu seterusnya mencuba nasib mencari rezeki di bumi orang, Makkah al-Mukarramah. Sudah hampir 8 tahun ia berkhidmat sebagai ‘rencam’ pembantu am dalam operasi haji setiap musim.
Beliau mempunyai falsafah hidup yang ringkas tetapi cukup signifikan. Sebelum merantau ayahnya telah berpesan; “Imam, engkau jangan lupa dua perkara, pertama; bila engkau buat keputusan jangan pakai kepala sendiri [maknanya selalulah berdoa dan minta petunjuk dari Allah]. Kedua; kau jadilah manusia yang sentiasa menolong orang lain”.
Saya cuba memahami perjalanan hidup beliau. Seringkali apabila habis acara ziarah dalam, kami akan bersama-sama bersarapan, di sana saya mula lebih mengenali beliau.
Beliau sering menyatakan senjata utama di perantauan ini adalah doa. Banyak bergantung pada ketentuan Allah dan pasrah dengan segala takdirNya. Beliau tidak lupa pada pesanan ayahnya untuk sentiasa berbakti kepada orang lain. Sebab itu beliau memohon pekerjaan di Tabung Haji menjadi sebagai pembantu am. Walaupun hanya bermusim, tujuannya untuk berbakti kepada tetamu Allah.
Siapa tahu, rupa-rupanya beliau adalah seorang yang mempunyai perniagaan sendiri di Indonesia. Perusahaan kuari, perusahaan kopi dan lain-lain yang menjadi aset dan pemangkin kepada penduduk di daerahnya. Niatnya adalah untuk membantu orang kampung yang di dalam kesusahan. Disediakannya medan untuk mereka mencari rezeki. Kagum saya melihat betapa keikhlasan yang terpancar pada wajahnya. Moga ia memiliki sifat Saidina Abdul Rahman al-Auf RA. Amin.