Saya ingin memberi respon kepada para pengunjung laman web ini yang banyak bertanyakan tentang hak-hak isteri. Ramai dikalangan para isteri rasa terinaya dengan sikap suami mereka yang tidak memahami bahawa isteri juga mempunyai hak yang perlu ditunaikan oleh seorang suami kepada isterinya.
Ikatan perkahwinan adalah merupakan simpulan tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh kedua-dua pasangan, suami dan isteri. Tanggungjawab suami adalah lebih berat daripada tanggungjawab isteri, meskipun ramai yang menganggap isteri lebih banyak beban berbanding suami. Namun begitu, hakikatnya di alam akhirat nanti suami mempunyai bebanan yang lebih berat lagi untuk dilaksanakan, yang akan disoal oleh Allah SWT. Suami akan dipertanggungjawabkan atas segala yang berlaku ke atas isteri dan keluarganya.
Dalam institusi rumahtangga, setiap pasangan suami isteri perlu menyedari bahawa masing-masing mempunyai hak tersendiri. Dalam Islam setiap suami wajib melayani isterinya dengan baik dan setiap isteri juga wajib taat dan melayani suami dengan sebaiknya. Islam adalah agama yang sempurna, setiap hukum dan peraturan yang terdapat bukan hanya memihak kepada lelaki, tetapi juga kepada isteri dan kesemua pihak.
Islam telah menetapkan para suami bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangganya dan memenuhi hak-hak isterinya dan memerintahkan supaya mereka berlaku baik terhadap isteri mereka sesuai dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, apabila hak-hak isteri tidak ditunaikan dengan baik oleh suami sedangkan ia menyedari dan mampu melaksanakan hak-hak tersebut, maka dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya, juga menderhakai isterinya.
Umumnya, masyarakat kita hari ini jarang menghayati perkara ini mengikut tuntutan syariat bahkan lebih cenderung untuk mengikuti tradisi yang berlaku dalam masyarakat. Tatacara kehidupan di dalam rumahtangga diperolehi daripada amalan tradisi masyarakat atau pengalaman yang diperolehi daripada keluarga tanpa berpandukan kepada ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan apa yang ditimba dan dijadikan ikuti dari kalangan masyarakat dan keluarga kemungkinan besar jauh dari ketentuan Allah dan Rasul-Nya, sehingga sering para suami sanggup dengan terang-terangan melakukan pelanggaran terhadap hak-hak isteri dan menganggapnya suatu yang lumrah berlaku di dalam masyarakat.
Pada kedudukan sebagai seorang isteri, banyak amalan masyarakat dan pengalaman keluarga yang merugikan hak-hak isteri sehingga mereka tidak mampu untuk membela diri kerana budaya dalam masyarakat menempatkan isteri pada kedudukan yang lemah. Justeru, untuk memberikan hak kepada isteri dan menempatkan mereka sebagai hamba Allah yang sama dengan lelaki dalam melaksanakan kewajipan yang telah disyariatkan, Islam telah menggariskan hak- hak isteri yang wajib dipatuhi oleh suami.
Di dalam situasi ini para isteri hendaklah celik agama dengan mengetahui dan memahami hak-hak mereka agar dapat mengesan perilaku suami yang dikategorikan sebagai pelanggaran hak-hak isteri dan sekaligus juga dapat membela diri sama ada di hadapan suami atau di mahkamah syariah.
PENGERTIAN HAK
Hak dari sudut bahasa ialah benar, kebenaran, kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu dan ianya ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat dan lain-lain. (Kamus Dewan. 2002. 428)
Menurut istilah; hak ialah sesuatu yang dapat dipunyai atau dikuasai, baik yang berupa benda mahupun yang berupa wewenang dan kewajipan, ialah sesuatu yang perlu diberikan, baik yang berupa benda mahupun yang berupa perbuatan. (Syafii. 1995. 273) Firman Allah SWT:
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Ertinya: “dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang ma’ruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah maha perkasa lagi maha bijaksana” (al-Baqarah: 228)
Terdapat beberapa hak yang wajib suami tunaikan ke atas isteri berdasarkan nas al- Quran dan hadith Nabi antaranya hak mahar, hak nafkah, hak mendapat hubungan komunikasi yang baik, hak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar, hak terhadap harta sepencarian, dan beberapa hak asasi wanita yang akan disebut penulis di dalam kertas kerja ini antaranya hak wanita untuk bersuara, hak untuk bekerja dan hak terhadap hartanya sendiri.
Read the rest of this entry →
Sebarkan maklumat ini melalui;