Dengari Rintihan Hati Pasangan Anda

Kita sering menyalahkan orang lain apabila keinginan diri tidak dipenuhi. Kebahagiaan yang diimpikan dalam rumahtangga semakin hilang serinya. Masing-masing mengharapkan sesuatu daripada pasangan supaya mengerti dan memahami, namun masa terus berlalu tanpa sebarang kesimpulan dan tindakan. Akhirnya timbul perasaan bosan, cinta yang dibina seawal perkahwinan semakin pudar malah timbul pula perasaan benci. Sumbangan dan khidmat yang diberikan kepada pasangan seolahnya tidak dihargai. Janji-janji manis sebelum perkahwinan tinggal sebagai kenangan yang tidak tertunai, kekadang rasa tertipu dan dipermainkan. Dimanakah silapnya?

Perkahwinan adalah sebuah perhubungan suci yang termetri melalui perjanjian menanggung amanah dari seorang wali kepada suami. Perjanjian untuk sehidup semati bersama pasangan yang dipilih atau terpilih. Perkahwinan juga mempertautkan dua hati menjadi satu. Satu cita-cita dan matlamat iaitu membina kehidupan yang bahagia melalui sifat saling memberi dan menerima. Keadaan ini memerlukan komunikasi yang baik dari kedua-dua belah pihak, suami dan isteri.

komunikasi-3Kata orang, komunikasi tahap tinggi ialah kemampuan kita mendengar sesuatu yang tidak diperdengarkan. Komunikasi tanpa suara, begitulah istilah yang mungkin paling tepat untuk menamakan komunikasi jenis ini. Mendengar bukan sekadar dengan telinga, tetapi dengan mata dan hati. Berikan hubungan mata, jalinankan rasa hati. Itulah maksud mendengar yang hakiki. Jika tidak, kita masih dikira ‘tuli’ dalam perhubungan sesama suami-isteri.

Dah berapa kali saya beri tahu kepada awak… tetapi awak macam tak faham. Tak faham atau tak mahu faham?”

Begitu selalu kita dengar kemarahan seorang suami.

Dah berapa kali saya cakap baik-baik dengan abang, tapi abang tak mahu dengar. Terpaksalah saya jerit macam ni. Kalau abang tak faham juga tak tahulah… saya dah bosan!”

Begitu pula luapan kekecewaan seorang isteri.

Semua kata-kata di atas menunjukkan betapa manusia sering gagal ‘mendengar’ kata-kata pasangannya.

Awak sedar tak banyak kemahuan saya yang awak gagal penuhi?” kata suami yang berang.

Eh, awak kira kemahuan awak saja. Kemahuan saya? Dah berapa banyak awak penuhi? Saya tak dapat apa-apa dari perkahwinan ini!” balas isteri.

Termenung saya memikirkan, walaupun perkara ini kekadang berlaku dalam sebahagian kehiduapan kita. Sebagai suami, saya selalu mengharapkan isteri mendengar kata-kata yang saya luahkan tanpa suara. Namun, saya sedar, mana mungkin saya menerima tanpa terlebih dahulu memberi? Ertinya, setelah saya benar-benar ‘mendengar’, barulah saya didengari.

Mana lagi hubungan yang paling intim dalam kehidupan ini selain hubungan antara suami dengan isterinya? Apa kemahuan suami, harap-harap dipenuhi oleh isteri. Begitulah sebaliknya. Tetapi mampukah semua kemahuan ini dipenuhi? Silapnya, kebanyakan kemahuan itu dipendamkan sahaja. Tidak diperdengarkan. Jika pun diperdengarkan akhirnya, tetapi semua agak terlewat. Sudah jadi jeritan, bukan lagi bisikan. Read the rest of this entry

Haji Dan Umrah: Rinduku Pada BaitulLah

Saudaraku, ketahuilah bahawa setiap ibadah itu merupakan wasilah taqorrub (mendekatkan diri) kita pada Zat yang Maha Tinggi lagi Perkasa, Maha Sempurna dalam sifat dan asma (nama-nama Allah yang mulia), Maha Lembut dalam takdir dan qada’-Nya. Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dia yang memerintah dan membimbing. Dia yang mengancam dan menyelamatkan. Sehingga semua manusia harus sedar bahawa kewujudannya dalam kehidupan ini adalah sebagai makhluk yang lemah lagi memerlukan, faqir penuh kekurangan, hina tanpa kemuliaan. Kecuali orang-orang yang diberi nikmat ilmu untuk memahami setiap gerak dan kejadian yang tidak pernah lepas dari ketentuan Tuhan.

Datang Arafah 1432_2Setiap insan yang berakal, setelah ia memahami betapa adil dan bijaknya Allah SWT mensyari’atkan agama sebagai aturan, mewajibkan ibadah sebagai tuntunan, maka akan lahirlah kerinduan dalam setiap ibadah, baik yang sunnah lebih-lebih lagi yang wajib. Hal ini disebabkan oleh adanya kekuatan hidayah daripada Allah SWT serta usaha yang dilakukan sebagai pembuktian kehambaan. Sejauhmana pengetahuan yang difahami oleh seseorang daripada nilai sebuah ibadah maka sebesar itulah juga kerinduan yang akan mengisi hatinya pada pelaksanaan ibadah.

Kerinduan dalam ibadah haji tidak akan pernah lahir jika kita tidak memahami erti sesungguh-sungguhnya ibadah ini. Sebagaimana Allah SWT telah menjadikan Baitullah al-Haram tempat mulia yang disandarkan pada kebesaran-Nya. Menjadikan Ka’abah sebagai pusat ibadah manusia, tanah sekelilingnya Allah SWT haramkan (muliakan) dari kelakuan kejahatan manusia. Dilarang manusia berburu haiwan buruan di dalamnya. Dilarang memotong pepohonan yang ada di sekitarnya. Dijadikan-Nya padang Arafah sebagai hamparan bidang tanah yang Allah SWT muliakan, sebagai tempat wuquf bagi manusia yang mendapat panggilan. Berduyun-duyun datang dari segala arah penjuru dunia, penuh mujahadah (bersungguh-sungguh) dan tawaduk (merendah diri). Menjadi para tetamu Allah dan yang selalu berharap keampunan, sehingga zikir daripada tasbih, tahmid dan tahlil bergema daripada setiap rongga yang dahaga, haus akan limpahan kurnia serta maghfiroh-Nya.

Merindukan Baitullah al-Haram bererti merindukan Allah SWT, kerana Baitullah adalah sesuatu yang disandarkan pada kebesaran-Nya. Sehingga para penziarah Baitullah al-Haram adalah orang-orang yang menghendaki ziarah kepada-Nya, rindu dan ingin menjumpai rahsia disebalik syi’ar-syi’ar Allah SWT di dunia sebagai bentuk perhubungan cinta yang akan menghantarkan setiap hamba pada kekasihnya di alam akhirat kelak. Kerinduan kepada Allah SWT akan membawa manusia kepada sebab-sebab perjumpaan yang hakiki dengan-Nya, kerana orang yang hatinya telah dipenuhi cinta maka akan selalu rindu kepada sesuatu yang disandarkan pada apa yang dicintainya.

Semangat dan tekad melaksanakan ibadah haji

Tiada kemenangan tanpa usaha, tiada usaha tanpa semangat dan cita-cita. Malah cita-cita tidak akan lahir dengan sendirinya. Hendaklah bagi orang yang beribadah agar selalu membulatkan tekad dalam usaha untuk memenuhi panggilan-Nya dalam taat beribadah. Begitulah seharusnya ibadah haji yang kita tunaikan, agar tekad kita bulat ketika meninggalkan sanak saudara dan negara tercinta, meninggalkan syahwat dan kenikmatan, berjalan menuju Baitullah al-Haram dalam keadaan sentiasa mengagungkan Allah azza wa jallaa, menuju urusan yang sangat mulia. Maka sesiapa yang mencari sesuatu yang tinggi dan mulia haruslah tergetar dalam sanubarinya akan pemilik kebesaran itu, iaitu Allah SWT. Hendaklah bersih tekad dan cita-cita daripada kejahatan riya (menunjuk-nunjuk), kerana tiada amal dan jerih payah beribadah dapat diterima kecuali dengan keikhlasan yang hanya berharap redha-Nya.

Manakala sejahat-jahat orang yang melakukan ibadah haji adalah mereka yang menuju Baitullah al-Haram sedangkan hatinya berpaling daripada Allah SWT. Maka perhatikanlah tekad dan cita-cita kita dalam ibadah haji yang disyaratkan dengan keikhlasan hati lagi murni tindakkan serta menjauhkan diri daripada memilih sesuatu yang buruk sebagai pengganti daripada yang baik.

Read the rest of this entry

Nikmat Yang Didustakan

Dalam kehidupan seharian, kita sering mendapati orang memuji dan berterima kasih antara satu sama lain, khususnya kepada seseorang atau golongan yang membantu dan menghulurkan bantuan kepadanya. Tetapi hakikatnya, ramai yang terlupa untuk memuji dan berterima kasih kepada Allah SWT malah tidak bersyukur kepada-Nya, sedangkan Allah SWT telah melimpahkan nikmat ke atasnya dengan begitu banyak. Sedangkan manusia dan segala makhluk hanyalah perantara antara kita dengan Allah SWT ketika menerima segala nikmat itu. Namum malangnya sikap manusia yang tidak mengerti dan mengenali Tuhan yang sebenar, merasakan bahawa segala nikmat yang diperolehinya itu adalah hasil daripada usahanya sendiri. Sikap inilah yang dinamakan pendusta nikmat atau kufur nikmat, ianya berlaku disebabkan oleh hati yang lalai dan sikap tidak tahu mengenang budi.

NikmatBagi golongan manusia yang mengerti dan memahami malah suka memikirkan tentang segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada para hamba-Nya, sudah tentu menyedari betapa banyak dan tidak terhitungnya nikmat Allah SWT itu. Pada diri manusia sahaja terdapat nikmat yang tiada nilai jika diamati dengan hati yang insaf. Sebagai contoh, bayangkanlah dengan nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan kepada kita; berapakah nilainya? Dua biji mata yang dapat melihat dan membezakan pelbagai objek, bentuk dan warna, boleh pejam dan celik. Begitu juga mulut yang boleh menuturkan apa yang dikehendaki oleh hati disamping menjadi sumber utama kepada kelangsungan hidup manusia melalui makanan dan minuman yang kita nikmati melaluinya, subhanallah. Begitu indah dan hebat ciptaan Allah SWT, malah pelbagai lagi bentuk nikmat yang tidak ternilai malah tidak mampu ditukar ganti dengan dunia dan segala isinya, ada pada diri kita.

Kemudian, cuba fikirkan pula nikmat akal fikiran yang hanya dianugerahkan kepada makhluk yang bernama manusia, tidak kepada makhluk-makhluk lain. Dengan nikmat ini kita mampu menguasai segala yang ada di sekeliling kita, mengetahui apa yang benar dan palsu, yang baik dan buruk. Dengan akal juga kita boleh mengetahui apa yang bermanfaat untuk dicari dan diperolehi dan apa pula yang memudharatkan untuk dihindari dan dijauhi.

Allah SWT tidak menciptakan kita seperti makhluk yang tidak berakal, malah segala makhluk yang diciptakan Allah SWT di atas muka bumi mahupun di langit dipermudahkan untuk kehidupan manusia. Hakikatnya segala yang terdapat di dunia ini Allah SWT ciptakan untuk manusia dan manusia pula diciptakan untuk mengambil manfaat daripadanya. Bahkan, mungkin ada yang bertanya untuk apa pula manusia itu diciptakan?

Manusia sebenarnya tidak dijadikan begitu sahaja, tanpa ada hala tuju dan matlamat kejadian. Sedangkan setiap apa yang ada di sekitar kita walaupun sekecil-kecil kejadian sehinggalah sebesar-besarnya semuanya ada tujuan dan matlamat diciptakan, tentu sekali manusia yang hebat ini ada tujuan diciptakan Tuhan. Justeru, jawapan hanya ada pada pencipta manusia itu sendiri, iaitu Allah SWT. Read the rest of this entry

Berbahagialah Bila Diuji

Menurut ilmu psikologi kebahagiaan merupakan suatu keadaan emosi yang terdiri daripada perasaan gembira dan puas hati. Kebahagiaan adalah ketenangan jiwa dan ketenteraman hati. Sebagai satu keadaan atau subjek, ia telah dikejar-kejar dan didambakan oleh setiap manusia sepanjang zaman dalam sejarah kehidupan manusia. Keadaan ini mengambarkan kepentingan kebahagiaan yang manusia letakkan secara umumnya.

mencari bahagiaAristotle menyatakan, kebahagiaan adalah satu-satunya perkara yang didambakan oleh manusia. Seseorang itu mengejar kekayaan bukan kerana ingin kaya, tetapi kerana ingin bahagia. Orang yang mengejar kemasyhuran bukannya kerana ingin menjadi masyhur, tetapi kerana percaya kemasyhuran boleh membuatkan mereka bahagia.

Keadaan perasaan yang dikaitkan dengan kebahagiaan ialah sejahtera, gembira, sihat, selamat, puas hati dan cinta. Keadaan yang berlawanan dengan bahagia ialah sengsara, murung, sedih, cemas dan sakit. Kebahagiaan selalu dikaitkan dengan kewujudan keadaan-keadaan yang disenangi seperti kekayaan, keluarga yang ideal, ekonomi yang stabil dan perkahwinan yang manis lagi harmoni. Keadaan-keadaan yang tidak disenangi seperti perkahwinan yang hambar dan derita, kemalangan, konflik rumahtangga, kehilangan pekerjaan dan kemelesetan ekonomi akan mengurangkan perasaan bahagia yang dikecapi.

Namun menurut psikologi, kebahagiaan dipengaruhi perspektif individu terhadap satu-satu keadaan. Maksud kebahagiaan berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Begitu juga dengan faktor-faktor yang mendorong kepada kebahagiaan. Kebahagiaan adalah kegembiraan dan kepuasan yang datang dari jiwa. Ia berasal daripada minda seseorang, bukannya daripada sensasi deria. Keseronokkan, keghairahan dan keasyikan datangnya daripada sensasi deria. Namun bagi kebahagiaan, apa yang penting ialah pemikiran dan tanggapan yang dibuat seseorang tentang hidupnya.

Kebahagiaan dan kedamaian tidak berkait dengan faktor luaran sebenarnya. Ia adalah perasaan tenang dan tenteram tanpa mengenal masa. Jadi, kebahagiaan dan kedamaian adalah satu keadaan minda. Ia boleh dicapai dengan mengawal pemikiran dan emosi yang menyiksa kita. Kebahagiaan berkait rapat dengan falsafah hidup yang kita pegang. Ia adalah matlamat tertinggi kehidupan seseorang manusia. Ada yang meletakkan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat sebagai matlamat dan cita-citanya. Read the rest of this entry

Kesan Dosa Dan Kesalahan Pada Hati

Siapa berani berbuat dosa? Siapa pernah berbuat dosa? Jika kita banyak berbuat dosa, sekerap dan sebanyak mana pula penyesalan kita atas dosa dan kesilapan kita? Sehebat mana taubat kita kepada Allah SWT.?

Yakinkah kita betapa setiap perbuatan pasti terakam dengan rapi di sisi Allah SWT, segalanya dalam pengetahuan-Nya? Sehinggakan sekecil-kecil dosa pun akan tercatat dalam dokumentasi yang tidak akan hilang, bersaksikan dua malaikat dengan dirinya yang tidak pernah renggang. Firman Allah SWT:

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)-nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)-nya.

 (Surah Az-Zalzalah: 7-8)

Kita sering menelaah dan menyusuri kisah Rasulullah SAW, para sahabat RA dan para solihin terdahulu yang sangat menyesali kesalahannya, dan bersegera bertaubat kepada Allah SWT hanya disebabkan tertidur sehingga tidak sempat untuk solat malam. Atau tidak sempat solat Subuh berjamaah di masjid, dan pelbagai kisah teladan mereka. Mereka begitu sensitif dengan dosa-dosa yang mereka lakukan, walaupun ianya dosa kecil pada perkiraan kita. Sikap mereka segera menyesali perbuatan tersebut saat di dunia sebelum dibangkitkan di akhirat patut menjadi inspirasi buat kita semua yang lebih banyak lagi melakukan dosa setiap saat dan ketika.

Namun ada kelompok manusia yang mengaku beriman, enggan menyesali dosa-dosanya di dunia kerana keangkuhan dan kesombongannya. Lalu Allah SWT rakamkan wajah-wajah suram dan penuh penyesalan yang bakal mereka tempuh saat dibangkitkan di padang masyhar nanti, sebagaimana firman Allah SWT:

Dan (sungguh ngeri) jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.”

(Surah al- Sajadah: 12)

Beruntunglah kita kerana Allah SWT telah mengkhabarkan lebih awal kisah-kisah benar akibat serta kesan daripada sikap sombong dan angkuh manusia ketika di dunia. Ianya menjadi peringatan dan pengajaran kepada kita bersama. Betapa kasih dan sayangnya Allah SWT kepada kita kerana memperingatkan kita akan sikap manusia yang tidak ambil kisah urusannya terhadap Allah, Tuhan yang menciptakannya.

Read the rest of this entry

Bicara Buku: Q&A Galeri Ilmu

Maklumat lanjut tentang buku : Pulang Bersama Haji Mabrur

Mencari Bahagia Nan Damai

Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia yang mendamaikan jiwa itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia dan kedamaian dalam hatinya.

Malangnya, keinginan manusia untuk mendamaikan jiwa dan merasai bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya yang membawa kepada kedamaian jiwa dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan dan kedamaian itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu sebelum beroleh kedamaian.

Bahagia yang merupakan eleman utama untuk mencapai kedamaian jiwa di sisi Islam terbahagi kepada dua, iaitu kebahagiaan sementara dan kebahagiaan abadi. Kebahagiaan sementara hanyalah bersifat seketika sahaja, ia boleh hilang daripada seseorang dengan sekelip mata. Kebahagiaan sementara ini dikurniakan di dalam kehidupan manusia yang sementara di dunia ini. Matlamat manusia yang mengejar kebahagiaan dunia sentiasa mengumpul harta, mencari pangkat serta kemasyhuran dan ingin memiliki segala-galanya yang ada di dunia ini sebagai milik mutlak dirinya. Namun, kebanyakkan manusia terlupa bahawa kebahagiaan yang dicari itu hanyalah bersifat seketika dan sementara. Apabila manusia terpaksa meninggalkan dunia ini dengan kematian segalanya itu akan ditinggalkan malah sudah tidak berguna lagi.

Kebahagiaan yang kekal akan menjadi milik hamba-hamba Allah yang menjadikan dunia sebagai ladang akhirat. Di dunia, mereka “bercucuk tanam” membuat bekalan bagi mempersiapkan diri menghadapi kehidupan di akhirat. Pada masa yang sama mereka tidak meninggalkan tanggungjawab asasi kehidupan mereka di dunia seperti pada keluarga, kerjaya dan harta benda. Urusan dunia dilaksanakan dengan penuh amanah demi mencapai keredhaan Allah SWT. Golongan inilah yang akan berjaya mencapai kebahagiaan yang menjadi idaman setiap insan malah hati mereka damai menerima takdir Allah SWT disamping mempunyai keyakinan dan iman yang utuh kepada Allah SWT.

Read the rest of this entry

“Sayang Isteri Tinggal-tinggalkan, Sayang Suami Manja-manjakan?”

Sering kita mendengar untaian kata; “Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang suami manja-manjakan”. Ungkapan ini memberi pengertian yang sangat bermakna kepada pasangan suami isteri. Ungkapan ini juga pasti memberi seribu satu perbezaan makna sama ada dari sudut ungkapan itu sendiri mahupun maksud di sebaliknya.

Perbezaan pemahaman dan tafsiran yang tepat mengenai ungkapan ini bergantung kepada sejauhmana tahap pengetahuan yang dianugerahkan Allah SWT kepada seseorang individu. Ianya bersesuaian dengan tahap keimanannya serta keintiman hubungannya dengan Allah SWT.

Timbul tanda-tanya di dalam hati kita, adakah apabila seorang suami menyayangi isterinya, isterinya itu perlu ditinggal-tinggalkan?

Meninggalkan insan yang tersayang dalam ertikata keluar menjalankan urusan kehidupan dan tanggungjawab memerlukan pengorbanan. Pengorbanan meninggalkan isteri atau suami atau keluarga atas maksud perintah Allah SWT dan mencari keredhaanNya adalah suatu tuntutan dalam Islam. Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim AS diperintahkan meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail di tanah gersang lagi tandus. Pada ketika itu tiada jaminan keselamatan dan tiada bekalan makanan serta tiada tempat sandaran, ianya adalah semata-mata untuk menunaikan perintah Allah SWT. Adakah pada ketika itu Nabi Ibrahim AS tidak menyayangi isteri dan anaknya Ismail yang baru dilahirkan?

Jika pada hari ini berlaku peristiwa yang sebegitu, pasti dibibir kita meniti kata-kata nista, alangkah tidak bertanggungjawab-nya tindakan Nabi Ibrahim AS itu! Begitulah bicara golongan yang tidak kuat dan lemahnya iman mereka.

Begitu juga yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang telah berhijrah meninggalkan isteri serta keluarga tercinta di Kota Makkah ke Madinah adalah atas perintah Allah SWT. Mereka telah bersedia menjadikan isteri-isteri mereka sebagai balu dan anak-anak menjadi yatim. Demikianlah iman para sahabat hasil dari kefahaman dan didikan Rasulullah SAW.

Mungkin kita juga telah mendengar bagaimana kisah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Hanzalah bin Abu Amir RA yang baru melangsungkan pernikahan bersama isterinya yang tercinta bernama Jamilah binti Ubay yang juga sepupunya. Semasa mereka melalui malam pertama dengan penuh kemesraan, maka tiba-tiba laungan jihad berkumandang menyeru ke medan Uhud. Hanzalah dengan penuh semangat melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang dan akhirnya Hanzalah gugur sebagai syuhada di medan Uhud.

Read the rest of this entry

Didik Hati Dari Sifat Dengki Dan Cemburu

Kita tidak akan dapat bergaul dengan baik dan mesra jika hati diselubungi oleh rasa dengki dan cemburu kepada kejayaan-kejayaan orang lain. Sikap ini adalah suatu sifat yang meruntuhkan dan tidak berguna. Ia tidak akan menjatuhkan dan merosakkan orang yang didengkikan atau dicemburukannya itu, bahkan akan menjatuhkan dan merosakkan pendengki dan pencemburu itu sendiri.

            Makin besar perasaan dengki dan cemburu yang ada pada seseorang, makin besar pula api kesengsaraan dan kegelisahan jiwa dan perasaannya. Makin lama perasaan ini dipendam dalam jiwa, maka akan makin banyak perubahan-perubahan buruk akan lahir pada tingkah-laku dirinya. Dia akan cenderung untuk mengumpat, merendah-rendahkan serta mengecil-ngecilkan kebolehan dan kejayaan orang lain nescaya lambat laun tembelangnya akan terbuka. Akibatnya dia tidak akan disukai dan digemari di dalam masyarakat pergaulannya.

            Perasaan dengki dan cemburu ini mula tumbuh apabila seseorang itu merasakan dirinya kurang, rendah dan lemah. Merasakan kedudukannya terancam dan tapak-tapak kebanggaannya bergoyang dan apabila seseorang itu digodai oleh perasaan tamak haloba hendak membolot semua kebaikan dan ketinggian untuk dirinya sahaja.

            Oleh kerana itu sifat dengki dan cemburu ini dianggap sebagai tanda-tanda perasaan kelemahan dan kerendahan diri sendiri. Orang yang percaya kepada kebolehan, kecekapan dan segala kelebihan yang ada pada dirinya tidak akan ada tempat di dalam hatinya untuk perasaan dengki dan cemburu, biar bagaimana besar sekalipun kejayaan orang lain. Bahkan ia akan merasa gembira kerana dapat pula mempelajari segala rahsia kejayaan orang tersebut sebagai contoh teladan untuk digarap bagi membina kejayaan untuk dirinya sendiri.

Perlukah dengki dan cemburu?

Kita tidak perlu  ada sifat dengki dan cemburu, kerana setiap kita mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri dalam bidang hidup masing-masing. Kalau ada orang yang berjaya dengan kelebihan yang ada pada dirinya, kita juga harus berjaya dengan kelebihan yang ada pada diri kita. Kalau orang tegak dan cemerlang dalam bidang hidupnya, kita juga mempunyai bidang perjuangan hidup sendiri untuk kita turut tegak dan berjaya seperti mereka.

            Bongkarkan segala kelebihan dan keistimewaan yang ada pada diri sendiri, kemudian tanamkan kepercayaan yang kukuh dan curahkan segala daya upaya supaya segala kelebihan yang ada itu berkembang dengan seindah-indahnya. Mustahil kita tidak memiliki sesuatu keistemewaan dan kelebihan tertentu. Setiap makluk yang bernama manusia, Allah SWT ciptakan dengan tidak memiliki sifat, bakat dan kelebihan yang sama cuma yang hampir-hampir sama, sebab itu setiap manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu hargai kelebihan yang ada pada diri sendiri yang tidak ada pada orang lain. Usaha sebegini adalah lebih logik, berguna dan membina dari memandang dengan putih mata atau menaruh sifat cemburu dan dengki kepada kejayaan-kejayaan orang lain. Read the rest of this entry

Kuliah: Hikmah Puasa Dan Adab Makan

Kuliah Subuh ini berpandukan kitab Bimbingan Mukmin karangan Imam al-Ghazali RA. Telah dirakamkan di Masjid Al-Islah Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal pada 23 Julai 2012 bersamaan 3 Ramadhan 1433.

Siri Kedua

Kuliah Subuh ini berpandukan kitab Bimbingan Mukmin karangan Imam al-Ghazali RA. Telah dirakamkan di Masjid Al-Islah Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal pada 31 Julai 2012 bersamaan 11 Ramadhan 1433.

%d bloggers like this: