Umrah

Pintu satu Masjidil Haram

Saya ditugaskanuntuk mengiring Rombongan Am (RA) dikalangan VIP seramai 14 orang dan ditemani oleh Tuan Hj Soleh Abdul Halim selaku pegawai pengiring kebajikan. Kami bersiap segak dengan berihram dari hotel sebelum berangkat menuju ke miqat Birr Ali untuk berniat Ihram Umrah. Perjalanan bas agak tenang sambil masing-masing membelek-belek buku doa yang dibekalkan oleh Tabung Haji setelah doa musafir saya bacakan secara ringkas.

Setelah selesai solat sunat Ihram di masjid Birr Ali, saya memimpin para jemaah memulakan niat mereka di dalam bas diiringi doa. Rayuan doa mendayu-dayu ilham dari Allah SWT, mungkin berkat keikhlasan para jemaah yang mengaminkannya. Hati tersentuh, berulang-ulang kali saya menyebut; “Ya Allah jadikanlah kami tetamumu yang paling istimewa, paling istimewa, paling-paling istimewa.. Ya Allah permudahkanlah urusan haji kami dan umrah kami, permudahkanlah perjalanan kami ini, rasakanlah ianya singkat untuk kami…”

Bas terus meluncur dengan iringan talbiah serta diselang-seli dengan zikrullah. Kami keasyikkan melayani perasaan masing-masing disamping zikrullah yang membasahi bibir. Akhirnya kami terlelap dalam zikrullah. Alhamdulillah secara keseluruhan perjalanan kami amat lancar.

Setelah hampir 6 jam perjalanan akhirnya kami memasuki kawasan Tanah Haram melalui laluan Tan’im. Perjalanan yang memenatkan tetapi aman membuatkan kebanyakkan ahli rombongan terlena. Saya bangunkan mereka untuk membaca doa apabila mula melepasi sempadan tanah haram.

Dengan nama Allah yang Amat Pemurah lagi Amat Mengasihani, ya Allah kurniakanlah aku di sini tempat tinggal yang tetap dan rezeki yang halal, Ya Allah sesungguhnya Tanah Haram ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya semuanya kepunyaan-Mu. Hamba-Mu ini telah datang menyahut panggilan-Mu dari negeri yang jauh dengan membawa dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk, aku pohonkan kepada-Mu sebagai permohonan orang yang sangat berhajat kepada-Mu dan takut daripada azab-Mu supaya engkau terimalah daku dengan limpahan kemaafan-Mu dan masukkanlah daku ke dalam syurga-Mu Jannatun-Naim. Ya Allah sesungguhnya ini adalah tanah haram-Mu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulang sendiku dari api neraka.”

Demikian maksud doa yang dibacakan dalam dwi-bahasa sambil menghayati bait-baitnya dengan penuh harapan kepada Yang Maha Pencipta.

Bas meluncur tenang melalui jalan-jalan kawasan tanah haram yang agak lengang kerana waktu asar baru sahaja menjelang tiba. Demikianlah kebiasaannya di tanah haram, bila tiba waktu solat, kebanyakkan para penghuninya akan bergegas menuju ke Rumah Allah yang penuh kemuliaan untuk menunaikan kewajipan.

Kami dibawa ke Hotel Movenpick Makkah yang kedudukannya hanya 50 meter dari pintu no.1 Masjidil Haram. Para tetamu diraikan ketibaan dengan minuman jus sebagaimana kebiasaan hotel-hotel bertaraf 5 bintang. Tuan Hj Suhaimi (Pengurus Tabung Haji Pulau Pinang) mengetui anggota sambutan. Para jemaah diberikan bilik penginapan. Saya dibawa ke bilik petugas untuk berehat.

Memandangkan waktu asar baru sahaja berlalu lebih satu jam, saya mengambil keputusan untuk tidak berehat panjang. Hati membuak-buak, tidak sabar untuk mendekati dan memandang ka’abah yang dirindui. Dengan perasaan penuh kegirangan dan hati yang berdebar-debar, kaki terus melangkah menuju ke kawasan masjid. Mulut tidak berhenti mengucapkan talbiah. Walaupun laluan ke dalam masjid agak sesak dengan jemaah yang bersimpang siur hendak masuk dan keluar. Perasaan teruja terus menyelubungi hati ini bagaikan perasaan yang sama apabila pertama kali hendak melihat wajah isteri setelah diijab kabulkan.

Mata liar mencari-cari, manakah ka’abah? Hati semakin berdebar apabila ka’abah berada dihadapan mata. Hati terus sebak, air mata yang mula bergenang di kelopak terus berguguran.


“Setelah 10 tahun aku tinggalkan masjidil Haram dan Ka’abahMu yang mulia, ya Allah kini Kau menjemput aku lagi. Hamba yang doif ini datang Ya Allah menyahut seruanMu”
. Itulah detikan hati yang berkata-kata terzahir tatkala itu. Kaki terhenti seketika.

Apabila perasaan mulai tenang semula, saya melangkah menghampiri lapangan tawaf untuk memulakan tawaf umrah yang pertama. Keadaan pada mata kasarnya memang nampak sesak. Namun harapan di permudahkan Allah terzahir apabila langkahan pertama memulakan tawaf. Waktu telah berganjak ke maghrib ketika pusingan ke empat. Setelah selesai solat maghrib saya menyambung tawaf untuk pusingan yang masih berbaki.

Selanjutnya saya menyambung rukun yang seterusnya iaitu sa’i setelah selesai tawaf dan solat sunat. Alhamdulillah apabila azan isyak berkumandang, saya selesai bertahallul dengan bergunting. Begitu nikmat.

Amat terasa kemudahan yang diberikan Allah. Suatu yang tidak dapat dibayangkan ialah perasaan yang Allah berikan kepada saya iaitu rasa dekat dan kecil sahaja Masjidil Haram. Tidak memenatkan malah terasa amat sekejab segala yang dilakukan khususnya tawaf dan sa’i. Bukanlah bermakna sayaberkejaran tetapi dalam keadaan santai dan penuh penghayatan. Itulah nikmat Allah, diberinya kepada saya layanan VIP (walau bukanlah saya VIP), umrah yang pertama dengan segala kemudahan, subhanallah. Hakikatnya, bila kita mohon sesungguh-sungguhnya kepada Allah tiada suatu yang mustahil bagi Allah. Saya pasrah, moga keyakinan pada Allah akan terus bertambah, insyaallah.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 8 Disember 2009, in Teruja. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. hiba dan sayu hati saya membaca artikel2 uztaz ketika di Madinah dan Mekah kerana saya terasa rindu .. rindu hendak ke sana lagi.. Teringat ketika kali pertama saya menjejak kaki di Madinah, betapa Allah melapangkan ruang untuk saya solat di saf hadapan sekali sedangkan ketika itu bulan ramadan 2008, yang mana berbagai kaum manusia yang menjadi tetamu Allah. Terlalu ramai manusia, tetapi masih ada ruang untuk saya melawat Raudah. MasyaAllah.. sebenarnya waktu sukar tetapi saya dan teman saya tidak berhenti2 memohon dan berdoa kehadrat Ilahi permudahkan segala urusan. Betul kata Uztaz.. Allah akan bayar ‘cash’ apa yang kita mohon dan apa yang kita doa dgn benar2 ikhlas. Sambil saya menaip komen ini, sayu and hiba tersangat-sangat kerana terasa-rasa betapa kerdilnya saya ketika menatap KAABAH, MasyaAllah… tanpa diduga saya dapat mengerjakan solat sunat dan berdoa di Hijr Ismail dengan bantuan askar arab yang mengarahkan saya terus masuk ke dalam yang mana ketika itu keadaan yang bersesak2. Alhamdulillah, alhamduilillah..kerdilnya diri ketika itu.. ohh.. saya terasa sayu dan hiba ketika ini. mohon undur diri now.. rindu pada kaabah..rindu pada raudah… insyaAllah.. ada rezeki bulah jadi tetamu Allah soon. TQ

    • Mohamad Zaki Hj Abdul Halim

      Aminn.. Ya Allah jemputlah kami datang bertandang ke RumahMu berkali-kali. Ya Allah kekalkanlah rasa kehambaan pada hati kami, moga pertemuaan hakiki bersamaMu di akhirat nanti dalam keredhaanMu, ya Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: