Iman Para Sahabat

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Amru bin al-Asr RA bahawa tatkala kematian menghampirinya di Mesir, dia memalingkan wajahnya ke dinding dan menangis, padahal dia adalah sahabat Rasulullah SAW dan telah banyak berjasa terhadap Islam dan kaum Muslimin.

Kemudian datanglah anaknya Abdullah RA seorang sahabat yang alim lagi zahid, untuk mententeramkan jiwa ayahnya agar sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dan berkata: “Wahai ayahku mengapakah engkau masih menangis? Wahai ayahku bukankah engkau sahabat Rasulullah SAW? Bukankah baginda telah melantikmu sebagai pemimpin pasukan perang Dzat al-Salasil? Bukankah baginda telah memujimu dahulu? Bukankah engkau bersahabat dengan Abu Bakar al-Siddiq dan Umar bin al-Khatab? Bukankah engkau penakluk negeri Mesir? Bukankah engkau berjihad dan bukankah engkau telah melakukan segala amal baik itu?”

Semakin panjang perkataan anaknya semakin kuat pula tangisan Amru bin al-Asr RA. Lalu ia berkata: “Wahai sekelian umat manusia, sesungguhnya aku telah melalui fasa hidupku dalam tiga peringkat. Sekarang aku akan menjelaskannya kepada kamu.

Pertama: Semasa jahiliah, aku tidak mengenal Islam dan aku adalah orang yang paling membenci Rasulullah SAW. Demi Allah seandainya ketika itu aku berkesempatan membunuhnya, pastilah aku lakukan. Jadi kiranya aku mati dalam keadaan demikian, pastilah aku termasuk penghuni neraka jahanam.

Kedua: Kemudian aku dianugerahkan Allah untuk memeluk agama Islam dan aku berhijrah dari Makkah ke madinah. Aku ingin berjumpa Rasulullah SAW dan ketika itu baginda berada di masjid Nabawi. Sebaik sahaja melihatku baginda menyambut kedatanganku dengan ramah, senyum dan senang hati. Ini merupakan sambutan yang amat luar biasa dan penuh bermakna dalam diriku, baginda bersabda: “Dekatlah kepadaku wahai Amr”.

Amr menyambung ceritanya: Setelah itu aku sentiasa bersahabat dengannya dan aku menjaga baik persahabatan ini. Demi Allah pandangan mataku tidak pernah menatap Rasulullah SAW secara langsung kerana aku berasa malu dan segan disamping kewibaannya. Demi Allah, sekiranya kamu mohon kepadaku supaya menceritakan sifat dan ciri-ciri Rasulullah SAW tentulah aku tidak dapat melakukannya. Alangkah bahagianya diriku, jika aku mati dalam keadaan seperti itu! Dengan demikian, besar harapanku bahawa aku termasuk ahli syurga.

Ketiga: Tetapi ternyata usiaku masih panjang dan aku tidak wafat bersama Rasulullah SAW sehingga urusan duniawi telah menghancurkan jalan hidupku. Sekarang aku tidak tahu adakah aku akan dipersilakan masuk syurga ataukah nanti akan dicampakkan ke dalam jurang neraka. Aku tidak mempunyai amal selain aku dapat mengucapkan dua kalimah syahadah. Inilah persediaanku untuk berhadapan dengan Allah pada hari kiamat. Dan inilah yang hanya dapat kubanggakan!”

Masjid Amr Ibn Al-Asr (Masjid Tertua Di Benua Afrika)

Setelah Amr bin al-Ash RA berkata-kata seperti itu, dia pun wafat dengan membaca kalimah tauhid tersebut. Anaknya Abdullah menceritakan: “Ketika kami ingin memandikan, kami cuba beberapa kali untuk melepaskan genggaman tangannya itu, setiap kali kami berusaha melepaskannya maka pada saat yang sama ia kembali tergenggam seperti asal. Kami biarkan kedua-dua tangannya tergenggam sehingga mengkafaninya, menyembahyangkannya dan memasukkannya ke dalam kubur dalam keadaan demikian.”

Bagaimana kita?

Renungilah.. orang yang sehebat sahabat ini pun sentiasa merasai kekurangan diri apatah lagi kita yang sememangnya setiap hari bergelumang dosa. Amalan pula kurang, berjuang untuk Islam jauh sekali. Malahan kita lebih labakan dunia dalam setiap tindakan kita.

Ya Allah, adakah layak kami mendapat kasihMu sedangkan kami selalu alpa pada mengingati MU. Layakkah kami mendapat syurgaMu sedangkan kejahilan kami menyebabkan kami lari dari rahmatMu. Layakkah kami mendapat syafaat NabiMu sedangkan kurangnya kami berselawat dan mengamalkan sunnahnya. Ya Allah… inilah kami. Engkau lebih mengetahui tetang kami melebihi diri kami sendiri. Ya Allah, rahmatilah kami, hidayahkanlah kami, berikanlah kepada kami kebahagiaan dunia dan akhirat.

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 1 Oktober 2010, in Teruja. Bookmark the permalink. 1 Komen.

  1. Hakikat iman manusia yang dijadikan ada naik dan turunnya, menyebabkan kita tidak lari daripada memperbaharui iman kita setiap masa dan sentiasa mencari keredhaanNya serta mengembalikan ruh-ruh kita ke dalam kemanisan iman itu.

    Manusia juga sepatutnya tidak lari daripada perasaan takut akan jatuhnya iman apabila datang cubaan yang menguji tahap keimanannya, dan apabila fitnah dunia mula meragut kecintaanya kepada Ilahi, dan apabila tentera iblis datang mewarnai hawa nafsu manusia agar ia jatuh ke dalamnya. Semua ini meletakkan manusia itu dalam keadaan berjaga-jaga setiap masa.

    Hanya berserah pada nya dan tadahlah tangan anda ke langit, dan mohonlah pertolongan daripada Allah. Ingatlah, kemenangan Islam dilambatkan oleh maksiat yang sering kita lakukan. Bersegeralah, sebelum ajal menjemput kita. Ayuh perbaharui iman kita.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: