Berbahagialah Bila Diuji

Menurut ilmu psikologi kebahagiaan merupakan suatu keadaan emosi yang terdiri daripada perasaan gembira dan puas hati. Kebahagiaan adalah ketenangan jiwa dan ketenteraman hati. Sebagai satu keadaan atau subjek, ia telah dikejar-kejar dan didambakan oleh setiap manusia sepanjang zaman dalam sejarah kehidupan manusia. Keadaan ini mengambarkan kepentingan kebahagiaan yang manusia letakkan secara umumnya.

mencari bahagiaAristotle menyatakan, kebahagiaan adalah satu-satunya perkara yang didambakan oleh manusia. Seseorang itu mengejar kekayaan bukan kerana ingin kaya, tetapi kerana ingin bahagia. Orang yang mengejar kemasyhuran bukannya kerana ingin menjadi masyhur, tetapi kerana percaya kemasyhuran boleh membuatkan mereka bahagia.

Keadaan perasaan yang dikaitkan dengan kebahagiaan ialah sejahtera, gembira, sihat, selamat, puas hati dan cinta. Keadaan yang berlawanan dengan bahagia ialah sengsara, murung, sedih, cemas dan sakit. Kebahagiaan selalu dikaitkan dengan kewujudan keadaan-keadaan yang disenangi seperti kekayaan, keluarga yang ideal, ekonomi yang stabil dan perkahwinan yang manis lagi harmoni. Keadaan-keadaan yang tidak disenangi seperti perkahwinan yang hambar dan derita, kemalangan, konflik rumahtangga, kehilangan pekerjaan dan kemelesetan ekonomi akan mengurangkan perasaan bahagia yang dikecapi.

Namun menurut psikologi, kebahagiaan dipengaruhi perspektif individu terhadap satu-satu keadaan. Maksud kebahagiaan berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Begitu juga dengan faktor-faktor yang mendorong kepada kebahagiaan. Kebahagiaan adalah kegembiraan dan kepuasan yang datang dari jiwa. Ia berasal daripada minda seseorang, bukannya daripada sensasi deria. Keseronokkan, keghairahan dan keasyikan datangnya daripada sensasi deria. Namun bagi kebahagiaan, apa yang penting ialah pemikiran dan tanggapan yang dibuat seseorang tentang hidupnya.

Kebahagiaan dan kedamaian tidak berkait dengan faktor luaran sebenarnya. Ia adalah perasaan tenang dan tenteram tanpa mengenal masa. Jadi, kebahagiaan dan kedamaian adalah satu keadaan minda. Ia boleh dicapai dengan mengawal pemikiran dan emosi yang menyiksa kita. Kebahagiaan berkait rapat dengan falsafah hidup yang kita pegang. Ia adalah matlamat tertinggi kehidupan seseorang manusia. Ada yang meletakkan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat sebagai matlamat dan cita-citanya.

Kehidupan yang bermakna juga bergantung kepada kebahagiaan. Seseorang itu akan merasakan hidupnya bermakna jika dia bahagia dan begitulah sebaliknya. Kebahagiaan adalah suatu keadaan yang tidak tetap dan tidak kekal. Seseorang mungkin merasakan bahagia pada awalnya, namun apabila sesuatu musibah menimpa, dia akan hilang punca dan merasakan sangat tertekan. Akan tetapi, dia masih boleh bangkit kembali mencari sinar kebahagiaan dengan merawat hatinya dan mencari sumber kekuatan yang baru.

Hakikatnya semua manusia yang mendiami dunia ini mendambakan kebahagiaan dan kedamaian dalam jiwanya sehingga ramai pula yang tertipu dengan pengertiannya yang sebenar. Ramai dikalangan manusia yang mengejar-mengejar kemewahan melalui harta benda dan kekayaan. Ada yang berusaha memiliki kediaman yang mewah di lokasi yang strategik dan disediakan kawalan keselamatan kerana itulah yang akan membahagiakan dan mendamaikan jiwanya. Ada juga yang berlumba-lumba bergaya dengan koleksi fesyen yang terbaru dan “up to date” kerana merasakan ianya akan membahagiakan diri supaya tidak tersisih dengan trend semasa. Akhirnya, bagi mereka yang jahil, kebahagiaan yang hakiki tidak kesampaian sebaliknya tekanan perasaan dan masalah yang bertimpa-timpa.

Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:

Dialah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

(Surah al-Mulk: 2)

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Mesir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

Kebahagiaan juga ditentukan oleh jangkaan-jangkaan seseorang tentang hidupnya dan ketakutan-ketakutan yang bersarang di dalam hatinya. Jika kita meletakkan syarat untuk bahagia, semakin sukarlah pencariaan kebahagiaan itu. Jika kita terlalu meletakkan harapan yang tinggi, kita hanya akan menyulitkan segala usaha malah mungkin kebahagiaan sukar untuk dicapai seumur hidup.

Justeru untuk bahagia, kita tidak perlu menjadi cerewet dengan meletakkan syarat atau harapan yang menggunung tinggi. Kebahagiaan bukanlah berpunca daripada apa yang kita cari atau usahakan, tetapi ia adalah suatu keadaan jiwa yang jernih, tenang dan sedar walau di mana pun kita berada dan dalam keadaan apa sekalipun, susah ataupun senang.

Hapuskanlah segala ketakutan yang membayangi di dalam hati jika kita ingin bahagia. Janganlah takut untuk menghadapi segala cabaran dan mendepani masa depan kerana ia tetap akan hadir dalam hidup kita. Hadapilah dengan perasaan berani dengan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT yang maha pencipta. Percayalah bahawa kita mampu mengawal dan menentukan arah haluan kita sendiri dan pastinya Allah SWT akan membantu kita dalam usaha ini jika kita yakin dan berserah diri kepadaNya.

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup ini adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukanlah penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itukah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka yang terdapat di tangan.

Air limau itu diumpamakan ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia dan kedamaian jiwa tetapi timbul rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Walaupun seteruk mana kita diuji, bangkitlah dengan semangat dan keberanian, insya-Allah kita akan mampu. Allah SWT tidak akan menyusahkan para hambaNya kerana disebalik setiap ujian dan cabaran itu ada hikmah dan kebaikkan yang Allah SWT sediakan untuk setiap manusia, cuma kita sahaja yang jahil dan tidak mahu serta tidak mampu mengambil iktibar yang baik daripadanya. Setiap cabaran dan peluang yang menyinggahi kita sebenarnya memiliki kebaikan untuk meningkatkan lagi potensi diri sendiri. Kebahagiaan akan tetap datang kerana kebahagiaan dan kedamaian itu berpunca dari hati kita yang bening, jernih, bersih dan tenang. Maka usahakanlah..

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 14 Disember 2012, in Perbincangan Ilmiah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen