Mukmin pintar; Apakah persiapan utama?

Dari kamar pejabat, aku terlihat dikejauhan sana deretan batu nisan yang menempatkan para jenazah yang suatu ketika dahulu mereka pernah menghuni dunia ini. Namun saat kematian telah memisahkan mereka dengan dunia yang merupakan satu episod dalam sebuah kehidupan yang panjang, yang tidak berakhir dengan kematian. Kematian hanyalah permulaan bagi sebuah lagi kehidupan yang bakal ditempuh oleh setiap insan.

Secara fitrahnya semua manusia mengakui adanya alam selepas kematian, walaupun akal kadangkala berhujah sebaliknya. Dhomir atau detikan hati kecil manusia tidak dapat menafikannya. Tidak kira apa latarbelakang fahaman dan agamanya, semuanya akan membuat persiapan berdasarkan persepsi tersendiri malah tidak kurang juga yang buat tidak kisah kerana masih terlalai dengan keseronokkan yang dikecapi di dunia ini.

Kehidupan Akhirat

Kematian akan membawa kita menuju ke alam akhirat sebagai satu cara yang tiada pilihan untuk sampai ke sana.

Melalui rukun Iman yang enam, kita sebagai orang Islam berkewajipan mempercayai adanya hari kiamat dan pembalasan. Sedarkah kita betapa pentingnya merancang kehidupan hakiki iaitu kehidupan akhirat?. Hakikatnya, kehidupan dunia bukanlah sebuah kehidupan yang hakiki dan ianya diibaratkan perhentian seorang musafir buat seketika untuk sampai ke tempat tujuannya.

Setiap saat juga, kematian membayangi dan sentiasa menghampiri kita sekaligus akan membawa kita menuju ke alam akhirat sebagai satu cara yang tiada pilihan untuk sampai ke sana. Mahu atau tidak, suka atau benci ianya tetap akan berlaku. Cuma tempoh masanya sahaja yang belum pasti. Kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana juga tanpa kita menyedarinya.

Oleh itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju kehidupan hakiki. Persiapan awal ini amat penting bagi setiap muslim kerana peluang kehidupan di dunia yang dikurniakan Allah Taala bagi setiap insan hanyalah sekali sahaja dan tiada lagi peluang kedua.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. banyak merakamkan kisah-kisah penyesalan orang-orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya kerana mereka telah diberikan peringatan demi peringatan oleh para nabi dan rasul namun mereka mengingkarinya. Sebagai contoh, firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 27-30:

Maksudnya : Dan perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur’an ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.

 

Persiapan Kita

Kalau betul kita sebagai seorang muslim, adakah kita telah mengetahui apakah ciri-ciri muslim yang sebenar? Atau kita hanya sebagai hiasan pada nama tetapi tidak pada perlaksanaannya? Perlu diinsafi bahawa antara ciri-ciri muslim yang bijaksana ialah muslim yang sentiasa melakukan muhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian. Sabda Rasulullah s.a.w :

Maksudnya : Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah taala( mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah.

Rasulullah s.a.w telah memberikan panduan kepada umatnya melalui hadis baginda. Satu panduan untuk membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam barzakh. Sabda Rasulullah s.a.w;

Maksudnya: Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. (Hadis riwayat muslim)

Hadis tersebut memperjelaskan bahawa terdapat tiga amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap muslim semasa hidupnya di dunia, sebagai bekalan menuju ke alam akhirat.

Amalan pertama ialah sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah. Perlu difahami bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan harta di jalan jihad Fisabilillah, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, mewakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.

Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun uhkrawi kerana Islam adalah ad-din ataupun cara hidup yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah S.W.T. telah mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amal soleh serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah S.W.T. Baginda Rasululah S.A.W. pernah menyatakan kelebihan ilmu melalui hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh at-Termizi yang bermaksud:

Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan keatas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T. ) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama keatas gugusan bintang di langit .”

Dan amalan ketiga yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat ialah doa kebaikan seorang anak yang soleh setelah ibu atau bapanya meninggal dunia. Alangkah beruntungnya ibu bapa, yang mampu mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak-anak yang soleh dan taat kepada Allah S.W.T. Dalam masa yang sama, anak-anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah di antara ciri- ciri anak soleh yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tuanya. Sesungguhnya anak yang soleh adalah pelaburan jangka panjang, yang amat berharga kepada kedua ibu bapa apabila mereka meninggal kelak. Rasulullah s.a.w pernah menegaskan dalam sabdanya diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud:

Orang yang mati dalam kuburnya tidak ubah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada bapanya, saudaranya ataupun sahabat handainya. Jika sampai doa kepadanya, maka itulah yang amat disukainya berbanding dengan segala isi dunia.

Namun kadangkala kedapatan dikalangan masyarakat kita yang mempertikaikan jantina anak-anak yang dilahirkan. Sebenarnya tiada kelebihan lelaki atau perempuan kepada kedua ibubapanya, melainkan apabila mereka mampu mendidik anak-anak mereka dengan baik seterusnya mampu menjadi saham untuk mendoakan mereka selepas kematian mereka nanti.

Demikianlah antara beberapa amalan soleh yang perlu diamalkan sebagai persiapan menuju kehidupan hakiki. Sedarilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki adalah di akhirat. Justeru, sebelum terlambat bersegeralah kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan dalam masa yang sama menjauhkan daripada segala kemungkaran serta bersungguh-sungguh mendidik anak-anak agar menjadi insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa. Firman Allah SWT dalam surah ali-Imran, ayat 133;

Maksudnya : Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa;

About Mohamad Zaki Abdul Halim

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang memberi kita pelbagai pengajaran. Sedar atau tidak kita sedang menuju destinasi yang pasti, namun...

Posted on 23 November 2010, in Ketepatan Masa. Bookmark the permalink. 4 Komen.

  1. Sebuah kupasan yang bernas untuk kita renungkan. Terima kasih Hj Mohd Zaki
    Semoga berjaya dalam hidup tuan. amin

  2. artikel ini menyedarkan saya. Hidup didunia ini hanya pinjaman.. KEMATIAN.. mahu atau tidak, suka atau benci ke… ianya tetap akan berlaku..

  3. SALAM USTAZ,DI PENANG SEKARANG RAMAI MUSLIM LETAK BUNGA DI KUBUR..ada yang bawa jambangan seperti kematian bangsa alkafirun.apa hukumnya mohon artikel…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: